‘Tak sangka orang rapat sanggup buat anak kami begitu’
‘Tak sangka orang rapat sanggup buat anak kami begitu’
TEMERLOH: “Kami memang tak sangka dia boleh buat macam itu kepada anak kami sebab isteri dengan cikgu berkenaan boleh dikatakan rapat.”
Demikian luahan Muhammad Nurfaiz, 32, bapa kepada kanak-kanak berusia dua tahun yang dipercayai dilayan kasar di sebuah taska di Mentakab selepas rakaman kejadian itu tular di media sosial.
Muhammad Nurfaiz berkata, dia dan isterinya hanya mengetahui mengenai kejadian berkenaan selepas dimaklumkan ibu saudaranya mengenai video yang tular di Threads.
Katanya, dia terkejut dan pada mulanya sukar mempercayai rakaman berkenaan kerana keluarganya sudah lama mengenali taska terbabit.
“Anak saya dihantar ke taska itu sejak dua tahun lalu. Abangnya juga pernah dihantar ke taska sama sebelum ini dan tidak pernah berlaku perkara seperti ini.
“Memang ada masanya anak menangis atau enggan ke taska, tetapi kami sentiasa fikir yang baik-baik dan tidak mengesyaki apa-apa,” katanya.
Menurutnya, mereka juga tidak pernah mengesan kecederaan luar biasa pada tubuh anak sebelum kejadian itu diketahui.
Bagaimanapun, selepas rakaman terbabit terbongkar, dia percaya emosi anaknya mungkin terjejas apabila kanak-kanak itu kini lebih kerap membentak.
Katanya, anaknya sudah dibawa menjalani pemeriksaan, manakala isterinya membuat laporan polis pada 5 September lalu kerana mahu tindakan sewajarnya diambil.
“Pihak taska ada membuat permohonan maaf tetapi kami masih trauma dan buat masa ini tidak menghantar anak ke taska berkenaan.
“Kami berharap siasatan dilakukan sebaiknya. Pihak taska juga perlu menambah CCTV supaya setiap sudut dapat dipantau,” katanya.
Difahamkan, individu yang merakam kejadian itu adalah pekerja pelatih di taska terbabit.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Khairul Amri Ahmad berkata, JKM Temerloh sudah menjalankan siasatan awal pada 5 September sebelum siasatan lanjut dibuat pada 7 September.
Menurutnya, laporan siasatan sudah dikemukakan kepada ibu pejabat untuk tindakan selanjutnya dan menjadi asas kepada kenyataan rasmi kementerian.
Sebelum ini, seorang pembantu taska wanita berusia 25 tahun direman enam hari bermula 7 hingga 12 September bagi membantu siasatan.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Temerloh, Anis Adlina Abu Johan selepas permohonan polis.-SAHIH
#kw: taska Mentakab, kanak-kanak dikasari, Muhammad Nurfaiz, pembantu taska, CCTV taska, JKM Pahang, JKM Temerloh, polis Temerloh, penderaan kanak-kanak, video tular Threads
