Tiga ‘C’ Tun Razak masih ancaman negara – Anwar
Tiga ‘C’ Tun Razak masih ancaman negara – Anwar
KUALA LUMPUR: Pesanan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein mengenai tiga ancaman utama negara iaitu komunisme, perkauman dan rasuah atau tiga ‘C’ masih relevan untuk dihayati generasi hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun ancaman komunisme bersenjata tidak lagi wujud seperti pada era kepimpinan Perdana Menteri kedua itu, ancaman ideologi asing, sentimen perkauman dan rasuah masih perlu diberikan perhatian serius.
Menurutnya, Tun Abdul Razak pernah mengingatkan pemimpin mahasiswa mengenai tiga ‘C’ iaitu Communism, Communalism dan Corruption sebagai antara cabaran besar yang dihadapi negara ketika itu.
“Jadi mudah-mudahan perbincangan kita ini tidak mungkin terlepas daripada pesanan pemimpin, negarawan, negara bangsa yang dapat meneropong, menerobos waktu dan melihat hal yang boleh menyelamatkan negara, yang boleh dihindari oleh generasi kini dan generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Mengenang Negarawan Tun Abdul Razak, ‘Arkitek Pembangunan Negara Bangsa’ di Memorial Tun Abdul Razak di ibu negara, Selasa.
Anwar berkata, ancaman komunisme ketika itu bukan perkara kecil kerana gerakan bersenjata berkenaan mengorbankan anggota keselamatan dan memerlukan perbelanjaan pertahanan yang tinggi.
Katanya, keadaan itu berlaku ketika kerajaan pimpinan Tun Abdul Razak mahu memberikan tumpuan besar kepada pembangunan kawasan luar bandar.
Mengenai Communalism, beliau berkata Tun Abdul Razak melihat sentimen perkauman sebagai ancaman amat berbahaya kepada sebuah negara berbilang kaum sekiranya tidak dikawal.
Rasuah pula menjadi ‘C’ ketiga yang turut diberikan perhatian serius, termasuk peringatan kepada golongan muda supaya tidak mudah terpengaruh dengan amalan berkenaan apabila memegang jawatan atau mempunyai kuasa.
Anwar berkata, perjuangan Tun Abdul Razak tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai nostalgia sejarah.
Sebaliknya, generasi hari ini perlu menghayati semangat dan gagasan negarawan itu dalam meneruskan usaha membina negara bangsa.
Katanya, program memperingati negarawan terdahulu bukan sekadar mengenang mereka yang sudah tiada, sebaliknya perlu menghidupkan kembali obor perjuangan serta pemikiran yang ditinggalkan.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: Tun Abdul Razak Hussein, Anwar Ibrahim, tiga C, komunisme, perkauman, rasuah, Memorial Tun Abdul Razak, negara bangsa, generasi muda, Arkitek Pembangunan Negara Bangsa
