RM280 juta dicadang teruskan program tanam semula sawit
RM280 juta dicadang teruskan program tanam semula sawit
KUALA LUMPUR: Kerajaan mencadangkan pembiayaan sebanyak RM280.03 juta bagi meneruskan Program Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit 2.0 sebagai antara inisiatif utama sektor agrikomoditi yang sedang diteliti menjelang pembentangan Belanjawan 2027.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sedang meneliti beberapa inisiatif utama untuk diperkukuh dalam belanjawan akan datang bagi membantu pekebun kecil serta meningkatkan daya saing sektor agrikomoditi negara.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama warga Kementerian Perladangan dan Komoditi, Selasa.
Menurut Anwar, kerajaan memahami masalah yang dihadapi pekebun kecil termasuk mereka yang bergantung kepada sektor getah dan sawit untuk kelangsungan hidup.
“Saya tahu masalah pekebun kecil, getah ini daripada peristiwa Baling dulu lagi bukan baru, tahun 1974.
“Jadi takkanlah tak beri sedikit kesan dalam hati kita. Dulu, kita sama-sama mereka. Sekarang kita ada upaya untuk membantu,” katanya.
Selain program tanam semula sawit, kerajaan turut meneliti Pemerkasaan Usahawan Hiliran Sektor Agrikomoditi dengan peruntukan RM17.05 juta bagi meningkatkan nilai tambah produk tempatan.
Sebanyak RM28.57 juta pula dicadangkan untuk Tabung Bencana dan Kawalan Penyakit Sektor Agrikomoditi sebagai langkah perlindungan kewangan serta pengurusan risiko terhadap ancaman penyakit dan cuaca.
Kerajaan juga meneliti cadangan peruntukan RM100 juta bagi Projek Jalan Ladang Pekebun Kecil Persendirian.
Anwar berkata, cadangan berkenaan dirumuskan kementerian dan pandangan tambahan masih boleh dikemukakan sebelum dimuktamadkan.
“Saya umum perkara-perkara yang telah dilaksanakan ini supaya kementerian tidak minta dana tambahan lagi untuk Belanjawan 2027,” katanya.
Inisiatif berkenaan dijangka memberi tumpuan kepada kebajikan pekebun kecil, pengurusan risiko sektor agrikomoditi serta peningkatan nilai produk hiliran tempatan.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: Anwar Ibrahim, Belanjawan 2027, pekebun kecil sawit, Program Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit 2.0, agrikomoditi, pekebun kecil getah, Kementerian Perladangan dan Komoditi, Jalan Ladang Pekebun Kecil, Tabung Bencana Agrikomoditi, usahawan hiliran
