Pameran Hari Malaysia perbetul kekeliruan sejarah
Pameran Hari Malaysia perbetul kekeliruan sejarah
KUCHING: Pameran Hari Malaysia 2026 menjadi platform penting bagi memperjelas fakta sejarah pembentukan negara, terutama dalam menangani kekeliruan serta pelbagai tafsiran yang tersebar menerusi media sosial.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, pameran itu turut berperanan memperluas penghayatan masyarakat terhadap sejarah pembentukan Malaysia sempena sambutan Hari Malaysia tahun ini.
Menurutnya, detik 16 September perlu difahami dengan tepat kerana perkembangan media sosial menyebabkan wujud pelbagai interpretasi dan persepsi berkaitan sejarah negara.
“Detik 16 September ini amat penting untuk difahami semua kerana kita sedar banyak kekeliruan dengan cabaran media sosial, warga internet serta pelbagai interpretasi dan persepsi tentang sejarah Malaysia.
“Saya fikir kita ambil kesempatan daripada Hari Malaysia yang diadakan di Sarawak ini untuk meletakkan fakta betul supaya kita tidak keliru dan berada dalam satu persepsi yang betul,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pratonton Pameran Hari Malaysia 2026, di sini, Khamis.
Berkonsepkan Koridor Zaman Pembentukan Malaysia, pameran berkenaan menelusuri kronologi serta sejarah pembentukan negara menerusi lima segmen utama.
Antaranya Denai Masa Pembentukan Malaysia, Dokumen Pembentukan Malaysia dan Galeri Tokoh.
Pameran itu turut mengetengahkan dokumen penting berkaitan pembentukan Malaysia selain maklumat mengenai identiti negara termasuk Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.
Pameran Hari Malaysia 2026 berlangsung mulai Khamis hingga 16 September di Atrium Utama, Plaza Merdeka dan dianjurkan Kementerian Komunikasi menerusi Jabatan Penerangan Malaysia.
Selain pameran utama itu, Pameran Mini Sambutan Perayaan Hari Malaysia turut dilaksanakan di 10 bahagian di seluruh Sarawak selain lokasi tambahan di Putrajaya dan Sabah.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw Hari Malaysia 2026, Kuching, Sarawak, Abdullah Saidol, pembentukan Malaysia, 16 September, sejarah Malaysia
