PAHA TULANG BESI
BEKAS PEMAIN BOLA BALING 12 TAHUN MENGIDAP KETUMBUHAN DI PAHA KAKI KIRINYA DIBEDAH
JERANTUT: Bekas penjaga gol sukan bola baling Pahang bawah 12 tahun 2018 telah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan dalam tulang di bahagian kaki kirinya di Hospital Kuala Lumpur (HKL), pada November lepas.

Ady menunjukkan kesan pembedahan di kakinya
Muhammad Ady Putra Azhari, 14 tahun mengalami penyakit Chondroblastoma iaitu ketumbuhan pada tulang sejak bulan November 2019 dan melakukan beberapa pemeriksaan perubatan sebelum disahkan untuk dibedah.
Ady yang pernah bersama skuad negeri Pahang lelaki kategori 12 tahun yang menjuarai kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) dengan menewaskan Sabah yang diadakan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada tahun 2018.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Tembeling itu turut terpilih mewakili Pahang di Kejohanan Bola Baling bawah 16 tahun Kebangsaan ketika berusia 12 tahun di tahun yang sama.
Bapanya, Azhari Awang Kecik berkata, anaknya pernah tergelincir di dalam rumahnya pada November 2018 tetapi masih boleh aktif bermain dan mengalami kesakitan selepas tiga bulan kejadian tergelincir itu.

Bekas guru dan jurulatihnya, Muhd Fekry Yahya (kiri), Shamsul Nizam (tengah berdiri) dan Presiden Kelab Bola Baling Jerantut, Hafizainuddin Kassim menyerahkan sumbangan
“Sejak itu dia mengalami kesakitan dan terus mendapat rawatan ke Hospital Jerantut sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS),Temerloh.
“Pemeriksaan doktor pakar di HOSHAS mendapati melalui proses pengimejan resonans magnetik (MRI) dan terdapat tanda ketumbuhan di antara bahagian tulang paha (femur) dan tulang kering (tibia) yang perlu dibedah,” katanya ketika ditemui di Kuala Tembeling.
Katanya anaknya dirujuk ke HKL dan pembedahan sepanjang kira-kira 40 sentimeter dilakukan bagi membuang ketumbuhan dan tulang yang rosak serta diganti dengan besi serta berada di bawah pengawasan doktor selama 3 minggu.
Anak bongsu daripada 5 beradik kepada pasangan Azhari dan Rahmah Ismail itu memang berhasrat untuk menyarung jersi pasukan bola baling negara sehingga ke peringkat tertinggi tetapi selepas pembedahan mula berasa bimbang untuk bermain sukan itu.
Ibunya, Rahmah Ismail berkata anaknya mungkin terpaksa melupakan sukan bola baling atau sukan yang melibatkan pertembungan fizikal sebaliknya mungkin akan menceburkan diri dalam bidang sukan elektronik (e-sport).

Rakan sepasukan 2018, Muhammad Irham Hijazi Shamsul Nizam (kiri) dan Izzul Irfan Abdul Rahman (kanan) menyerahkan sumbangan dari Kelab Bola Baling Jerantut
“Kematangan dan ketenangnya berkomunikasi dengan rakan sepasukan ketika perlawanan menyebabkan dia terpilih mewakili negeri dalam kategori bawah 16 tahun walau pun ketika itu baru berusia 12 tahun,” katanya.