4 ANGGOTA SANJEV DITAHAN
PENAHANAN EMPAT ANGGOTA SANJEV BERJAYA SELESAI KES PECAH RUMAH
SUNGAI SIPUT: Empat lelaki ditahan kerana dipercayai terbabit dalam beberapa aktiviti samun dan pecah rumah yang dilaporkan sekitar daerah ini, sepanjang Oktober dan November lalu.
SUPERINTENDAN MOHD KHAIZAM AHMAD SHAHABUDIN
Ketua Polis Daerah Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin, berkata penahanan empat suspek berusia antara 20 hingga 33 tahun iaitu anggota Kumpulan Sanjev itu berjaya menyelesaikan lima kes pecah rumah dan dua kes samun.
Beliau berkata, susulan penahanan dua lelaki di tepi Bangunan Arked MARA, di sini pada 28 November lalu, membawa kepada penahanan dua lagi anggota kumpulan itu pada kelmarin dan semalam.
“Kesemua suspek mempunyai rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah, dengan ujian air kencing turut di dapati positif dadah jenis methamphetamine serta morfin.
“Hasil siasatan mendapati modus operandi mereka adalah dengan cara mengumpil pintu tingkap untuk memasuki rumah mangsa sewaktu ketiadaan penghuninya, selain samun yang dilakukan ketika mangsa berada dalam rumah,” katanya ketika dihubungi seperti yang dipetik dari BH Online hari ini.
Katanya lagi, antara barang yang dirampas adalah dua motosikal, passport antarabangsa, minuman keras, wang tunai, duit syiling lama, jam tangan dan pisau lipat yang dipercayai digunakan sebagai senjata.
“Selain itu barang kemas kepunyaan mangsa hasil kegiatan itu turut dirampas, di samping ganja dan heroin yang ditemui bersama salah seorang daripada suspek,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 457 Kanun Keseksaan iaitu masing-masing atas kesalahan samun dan pecah rumah.
Katanya, bagaimanapun polis masih mengesan dua lagi anggota kumpulan sama yang masih bebas.