PERKEMBANGAN BANJIR DI PAHANG
KUANTAN: Setakat jam 12 tengahari tadi, pusat pemindahan sementara (PPS) di Pahang masih kekal dengan lapan pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka, membabitkan dua daerah iaitu di Raub dan Pekan.
Menurut Portal Infobanjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), di Raub seramai 145 penduduk daripada 49 buah keluarga terjejas telah dipindahkan selepas kawasan rendah di daerah itu dinaiki air membabitkan 7 PPS.
7 PPS berkenaan adalah di SK Ulu Sungai yang menempatkan 42 orang daripada 11 keluarga, diikuti Masjid Kampung Kuala Semantan, seramai 38 orang daripada 12 keluarga, Dewan Serbaguna Kampung Pia, seramai 26 orang daripada 10 buah keluarga, Masjid Kuala Temau, 16 orang daripada 7 buah keluarga dan Balairaya Kampung Chenua seramai 5 orang daripada 1 buah keluarga.
Turut dibuka, SK Tersang, menempatkan 11 penduduk terjejas banjir daripada 3 buah keluarga dan Balai UMNO Kampung Batu Talam, menempatkan 7 orang penduduk daripada 5 buah keluarga.
Sementara itu, di daerah Pekan, kekal dengan sebuah PPS di buka di Sekolah Kebangsaan Seri Terentang yang menempatkan 5 penduduk daripada sebuah keluarga.