Lebih 1,400 Murid Darjah Satu DUN Pelangai Terima BPP
Lebih 1,400 Murid Darjah Satu DUN Pelangai Terima BPP
KUANTAN – Bantuan Prihatin Pahang (BPP) untuk murid darjah satu bagi kawasan dewan undangan negeri (DUN) Pelangai mula diagihkan semalam.
Majlis penyampaian dilakukan ahli dewan undangan negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun dalam satu majlis di Sekolah Kebangsaan Simpang Pelangai, dekat Bentong.
Johari dalam ucapan pada majlis itu berkata, bantuan berkenaan adalah antara inisiatif kerajaan Pahang bagi membantu meringankan beban ibu bapa di negeri ini.
“Melalui bantuan ini, seramai 25,146 murid darjah satu di seluruh Pahang akan menerima ‘one-off’ RM100.
“Secara keseluruhannya, kerajaan Pahang menyediakan peruntukan berjumlah RM2.514 juta bagi melaksanakan inisiatif ini.
“Inisiatif ini juga adalah hasil keprihatinan kerajaan negeri yang dipimpin Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail,” katanya.
Beliau yang juga Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang berharap bantuan itu dapat memberi semangat kepada murid-murid tahun satu dan pada masa sama membantu ibu bapa menyediakan keperluan anak-anak mereka yang pertama kali memasuki alam persekolahan.
Katanya, seramai 1,458 murid darjah satu dalam kawasan DUN Pelangai turut menikmati bantuan berkenaan.
tamat-SAHIH