KOPSYA sasar lonjak pembiayaan menerusi Sukuk Siri Ketiga
KOPSYA sasar lonjak pembiayaan menerusi Sukuk Siri Ketiga
SELANGOR : Koperasi Pembiayaan Syariah ANGKASA Berhad (KOPSYA) terus memperkukuh kedudukannya dalam sektor kewangan koperasi apabila merancang menerbitkan Sukuk Siri Ketiga bagi memperluaskan akses kepada sumber dana jangka panjang yang lebih mampan.
Presiden ANGKASA merangkap Pengerusi KOPSYA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, langkah strategik itu bukan sahaja mampu mengurangkan kebergantungan kepada pembiayaan perbankan tradisional, malah meningkatkan daya saing koperasi kredit pada masa depan.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bengkel Pembiayaan Koperasi Kredit Berkaitan Penerbitan Sukuk Siri Ketiga yang menghimpunkan 20 koperasi kredit anggota KOPSYA di sini, semalam.
Menurutnya, bengkel itu menjadi platform penting bagi menyelaras tindakan dan memperkukuh kefahaman anggota menjelang penerbitan sukuk yang dijangka dilaksanakan pada suku keempat tahun ini atau suku pertama 2027.
Katanya, KOPSYA berada pada landasan kukuh selepas merekodkan keuntungan bersih tertinggi dalam sejarah penubuhannya sebanyak RM12.7 juta bagi tahun kewangan 2025, selain diiktiraf sebagai Koperasi Ke-16 Terbaik Malaysia 2026.
“Sejak ditubuhkan, KOPSYA telah meluluskan pembiayaan berjumlah RM1.3 bilion, manakala pengeluaran pembiayaan mencecah RM874 juta kepada koperasi dalam pelbagai sektor termasuk kredit, hartanah, perladangan dan peruncitan.
“Dana itu berjaya merangsang pertumbuhan ekonomi koperasi serta meningkatkan kesejahteraan anggotanya,” katanya.
Beliau berkata, bagi penerbitan Sukuk Siri Ketiga, aset pembiayaan bernilai RM116 juta telah lengkap dengan data diperlukan untuk proses penilaian agensi penarafan sebelum diserahkan kepada CIMB Investment Bank bagi tindakan lanjut.

Abdul Fattah turut merakamkan penghargaan kepada koperasi anggota yang memberi komitmen menyediakan 28 set data anggota individu dan dokumen pembiayaan, sekali gus membuktikan semangat “Koperasi Membantu Koperasi” terus menjadi kekuatan gerakan koperasi negara.
Beliau berkata, prospek ekonomi Malaysia yang kekal positif, inflasi terkawal serta kedudukan negara sebagai peneraju pasaran modal Islam dunia memberi kelebihan kepada KOPSYA untuk menjayakan penerbitan sukuk berkenaan.
Turut hadir barisan Jawatankuasa Syariah KOPSYA serta pengurusan KOPSYA yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hajah Fatimah Nurhaliza Mohd. Hatta.-SAHIH
