KOPERASI TERJEJAS PERLU REBUT PELUANG MOHON MODAL PUSINGAN MEDAC
KOPERASI TERJEJAS PERLU REBUT PELUANG MOHON MODAL PUSINGAN MEDAC
MARAN: Sektor koperasi yang berdepan masalah akibat pandemik COVID-19 perlu merebut peluang pembiayaan diumumkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) Ahad lalu.
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA), Datuk Abdul Fatah Abdullah berkata, berdasarkan kajian MEDAC, kira-kira 30 operator koperasi di seluruh negara terjejas berikutan sekatan pergerakan diperkenalkan kerajaan bagi membendung penularan COVID-19 sejak tahun lalu.
Katanya, antara sektor koperasi paling teruk terkesan ialah membabitkan operator pelancongan, perkhidmatan dan perhotelan.
“Pengumuman Menteri MEDAC, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar baru-baru ini diharap dapat memberi kelegaan sedikit kepada koperasi yang terjejas ini.
“Melalui peruntukan berjumlah RM230 juta dan pengenalan produk baharu dalam Tabung Modal Pusingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (TMPSKM), mereka perlu merebut peluang dan mengemukakan permohonan.
“Cuma kalau boleh, syarat permohonan itu dipermudahkan dan lebih fleksibel bagi memastikan proses (kelulusan) dapat disegerakan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan sumbangan set pakaian pelindung diri (PPE) dan pelitup muka dari CoopCare ANGKASA kepada petugas Hospital Jengka, di sini, hari ini.
Sumbangan diterima Pengarah Hospital Jengka, Dr Mohd Sharafana Senasi Abdullah.
Dr Wan Junaidi dalam sidang media Ahad lalu dilaporkan berkata, MEDAC menyediakan peruntukan RM230 juta melalui lima produk pembiayaan TMPSKM bagi membantu kira-kira 14,000 koperasi seluruh negara.
Dianggarkan melalui peruntukan itu, seramai 6.5 juta ahli koperasi bakal menerima manfaat.-SAHIH.