KK Mart dicadang jadi ‘Safety Point’ bantu orang awam
KK Mart dicadang jadi ‘Safety Point’ bantu orang awam
KUALA LUMPUR: Rangkaian kedai serbaneka KK Mart yang beroperasi 24 jam dicadang dijadikan sebagai lokasi ‘Go-To-Safety-Point’ bagi membantu orang awam mendapatkan perlindungan atau bantuan ketika berdepan kecemasan dan ancaman keselamatan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, cadangan itu bakal dilaksanakan menerusi kerjasama strategik antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan syarikat berkenaan bagi memperkukuh usaha pemantauan serta pencegahan jenayah khususnya di ibu negara.
Menurutnya, terdapat kira-kira 700 cawangan KK Mart di Kuala Lumpur dan Selangor yang beroperasi 24 jam, sekali gus mempunyai potensi untuk dijadikan lokasi selamat kepada masyarakat.
Katanya, antara kelebihan premis itu adalah pencahayaan yang terang selain dilengkapi sistem televisyen litar tertutup (CCTV) berpusat yang boleh membantu aspek pemantauan keselamatan.
“Kita mengemukakan cadangan supaya KK Mart dijadikan ‘safety point’ untuk tujuan keselamatan.
“Pada masa sama, kita akan meningkatkan kerjasama dari segi rondaan dan pemantauan supaya KK Mart boleh menjadi satu ‘safety point’, satu tempat yang selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pembukaan cawangan KK Mart di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Selasa.
Fadil berkata, pihaknya turut melihat kemungkinan mendapatkan akses kepada sistem CCTV berpusat milik rangkaian kedai serbaneka berkenaan.
Menurutnya, akses itu sekiranya dapat direalisasikan mampu memperkukuh lagi aspek pemantauan keselamatan di kawasan sekitar premis berkenaan, selain membantu tindakan lebih pantas sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.
Berdasarkan maklumat Polis Diraja Malaysia, Program Go-To-Safety-Point (GTSP) adalah inisiatif mewujudkan rangkaian premis rakan strategik sebagai titik keselamatan untuk orang awam mendapatkan bantuan segera ketika berdepan kecemasan, jenayah atau ancaman keselamatan.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw KK Mart, Go-To-Safety-Point, PDRM, keselamatan
