Keputusan PKR tidak jejas kerajaan Madani – Zahid
Keputusan PKR tidak jejas kerajaan Madani – Zahid
KUANTAN – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa keputusan pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam tidak akan menjejaskan kestabilan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, sebaliknya keputusan tersebut diharap dapat memperkukuh hubungan antara PKR dengan rakan gabungannya dalam Pakatan Harapan (PH) serta Barisan Nasional (BN).
“Saya tidak seharusnya mencampuri urusan dalaman parti lain, namun saya percaya Datuk Seri Anwar akan membuat keputusan terbaik bagi memastikan kerajaan sedia ada dan jemaah menterinya terus seiring sejalan demi memperkukuh kerajaan Madani,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Eastern International TVET di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Dalam pemilihan PKR semalam, dua menteri Kabinet – Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad – gagal mempertahankan jawatan masing-masing. Situasi itu mencetuskan spekulasi mengenai kedudukan mereka dalam Kabinet.
Mengulas lanjut, Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menyerahkan sepenuhnya kepada Perdana Menteri untuk membuat sebarang keputusan berkaitan pengisian semula dua jawatan menteri berkenaan.
“Itu adalah hak mereka (PKR). Kita tahu batas permintaan kita. Tapi kalau jawatan itu mahu diberi kepada UMNO, kita menadahkan sebuah padang bola untuk menerimanya,” katanya berseloroh.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada Nurul Izzah Anwar yang dipilih sebagai Timbalan Presiden PKR baharu serta kepada barisan Naib Presiden dan Majlis Pimpinan Pusat parti itu.
Bagaimanapun, Zahid menegaskan bahawa UMNO tidak akan meminta jawatan tersebut.
“UMNO tidak tamak. Kita bersyukur kerana sudah ada tujuh orang menteri dalam Kabinet sekarang,” ujarnya.-SAHIH