Kembara Jalur Gemilang semarak patriotisme di enam lokasi ibu kota
Kembara Jalur Gemilang semarak patriotisme di enam lokasi ibu kota
KUALA LUMPUR: Semangat patriotisme terus disemarakkan menerusi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) X JAGA 2026 peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang menjelajah enam lokasi persinggahan sekitar ibu negara, Ahad.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, konvoi yang bermula di Pasar Taman Seri Sentosa, Lembah Pantai itu membabitkan kira-kira 35 peserta bersama 10 kenderaan agensi kerajaan.
Menurutnya, enam lokasi persinggahan ialah Taman Tasik Metropolitan Kepong, Pasar Besar Taman Tun Dr Ismail, Balai Bomba dan Penyelamat Setapak, Hospital Rehabilitasi Cheras, Petronas Cochrane Perkasa sebelum berakhir di NZ Curry House, Wangsa Maju.
“Kembara Merdeka Jalur Gemilang akan melakukan enam persinggahan di seluruh Kuala Lumpur.
“Di setiap persinggahan, kit ‘Satu Rumah, Satu Jalur Gemilang’ akan diedarkan kepada wakil kluster selain Jalur Gemilang kepada masyarakat, persembahan kebudayaan, nyanyian lagu patriotik dan kuiz kenegaraan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media sebelum acara pelepasan program berkenaan.
Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, antara agensi terbabit ialah Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Radio Televisyen Malaysia (RTM), Bernama serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Antara tarikan program adalah penggunaan kenderaan pelbagai guna (MFV) JAGO milik JAPEN Arena Penggerak Komuniti yang dilengkapi skrin LED gergasi bagi memainkan lagu patriotik sepanjang siri kembara.
Menurut Fahmi, program itu bukan sahaja menyemarakkan semangat cintakan negara, malah membantu merapatkan hubungan antara pelbagai komuniti.
“Saya percaya program ini mampu menambah rasa cinta pada negara dan menyemarakkan lagi semangat patriotisme sempena Bulan Kebangsaan,” katanya.
Terdahulu, Fahmi menyerahkan kit Jalur Gemilang kepada Ketua Komuniti MADANI Taman Seri Sentosa, Mohamad Sarzal Mohd Ali, selain mengagihkan Jalur Gemilang kepada pengunjung bagi memeriahkan Kempen ‘1 Rumah 1 Jalur Gemilang’ sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026.-SAHIH
Sumber :BERNAMA
#kw: Kembara Merdeka Jalur Gemilang, KMJG, Fahmi Fadzil, Jalur Gemilang, Bulan Kebangsaan, patriotisme, JAGA 2026, Kuala Lumpur, Putrajaya, Satu Rumah Satu Jalur Gemilang
