Belanjawan 2027 dijangka fokus kos sara hidup, tarik pelaburan
Belanjawan 2027 dijangka fokus kos sara hidup, tarik pelaburan
KUALA LUMPUR: Penyelesaian isu kos sara hidup rakyat dijangka terus menjadi antara keutamaan kerajaan dalam Belanjawan 2027 selain usaha menarik lebih banyak pelaburan domestik dan antarabangsa.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, beberapa faktor termasuk perkembangan geopolitik semasa serta pergerakan harga minyak mentah dunia dijangka diambil kira dalam merangka belanjawan berkenaan.
Menurutnya, penekanan juga perlu diberikan terhadap projek yang mampu memberi penyelesaian segera kepada permasalahan rakyat selain menyokong pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Saya juga lihat fokus semestinya pada projek-projek yang dapat menyelesaikan masalah rakyat pada kadar segera, usaha untuk meraih lebih banyak pelaburan bukan hanya domestik tetapi juga antarabangsa.
“Selain itu, projek yang mampu melaksanakan Rancangan Malaysia Ke-13 dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang X JAGA 2026 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di Lembah Pantai, di sini, Ahad.
Mengulas keutamaan Kementerian Komunikasi dalam Belanjawan 2027, Fahmi berkata, antara perkara yang akan diberi perhatian ialah usaha memperluaskan capaian internet terutama di kawasan pedalaman.
Katanya, masih terdapat kawasan yang belum mempunyai akses perkhidmatan internet mencukupi dan usaha menangani perkara itu perlu diteruskan bagi memastikan lebih ramai rakyat mendapat manfaat kemudahan digital.
Pada masa sama, beliau berkata, aspek kemampanan industri media turut menjadi antara perkara yang diberi perhatian.
Ia termasuk insentif Concert and Event in Malaysia Incentives (CEMI) serta Film in Malaysia Incentive (FIMI) yang dilihat berpotensi menarik lebih banyak pelaburan ke Malaysia.
Langkah itu sekali gus dijangka membantu memperkukuh ekosistem industri kreatif dan media tempatan di samping menjadikan negara lebih kompetitif sebagai destinasi pelaburan berkaitan sektor berkenaan.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: Belanjawan 2027, Fahmi Fadzil, kos sara hidup, pelaburan, RMK13, internet, Kementerian Komunikasi, CEMI, FIMI, industri media
