KANAK-KANAK JATUH DARI TINGKAT 4
KANAK-KANAK LEKA BERMAIN DI KORIDOR JATUH DARI TINGKAT 4
PUTRAJAYA: Seorang budak perempuan 10 tahun cedera parah selepas terjatuh dari tingkat empat sebuah kuarters perumahan penjawat awam di Presint 11, di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali, berkata, kejadian berlaku pada 5.20 petang ketika mangsa sedang bermain di koridor apartmen berkenaan.
Mohd Fadzil berkata, mangsa difahamkan sedang bermain baling botol di sekitar koridor sebelum ia terkeluar daripada kawasan itu
“Mangsa kemudiannya mengambil kerusi untuk memanjat bagi mengambil botol berkenaan sebelum hilang kawalan dan terjatuh ke kawasan parkir motosikal di apartmen berkenaan.
GAMBAR HIASAN
“Mangsa patah tulang selangka dan dalam keadaan stabil di Hospital Putrajaya,” katanya ketika dihubungi seperti dilaporkan BH Online hari ini.
Mohd Fadzil berkata, pihak hospital turut memaklumkan kemungkinan tulang belakang dan tulang rusuk mangsa patah dan masih menunggu pengesahan doktor.
Ketika kejadian, bapa mangsa yang juga seorang anggota sukarelawan polis Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya berada di rumah, manakala ibu mangsa sedang bekerja.