JUMPA MAINAN STAR WARS BERNILAI RM2. 17 JUTA
JUMPA MAINAN STAR WARS BERNILAI RM2. 17 JUTA
Beg sampah milik jiran mereka yang meninggal dunia sebenarnya berisi koleksi permainan Star Wars
LONDON: Sepasang suami isteri Britain bagai memenangi loteri apabila beg sampah milik jiran mereka yang meninggal dunia sebenarnya berisi koleksi permainan Star Wars bernilai £400,000 (RM2.17 juta).
Pasangan dari Stourbridge di tengah England itu menzahirkan perasaan bersyukur dan berterima kasih kerana memperoleh tuah yang tidak disangkakan itu
.
Mereka pada mulanya tidak tahu apa yang harus dilakukan dengan patung dan kapal angkasa milik jiran yang mengumpulnya sejak beberapa dekad, lapor akhbar The Times semalam.
Berikutan itu, anak lelaki pasangan terbabit memanggil seorang pelelong, Chris Aston dari Aston’s Auctioneers, yang menemui harta karun Star Wars itu termasuk aksesori yang masih berbungkus dengan baik.
“Banyak daripadanya kelihatan agak lusuh berikutan cara penyimpanannya tetapi secara umum, ia adalah koleksi Star Wars terbaik yang pernah saya lihat.
“Kami mempunyai ramai peminat dari seluruh dunia dan mengharapkan jualannya berjalan dengan baik,” katanya kepada The Times.
Misalnya, tukul yang dikenali Star Destroyer Commander, salah satu daripada dua contoh yang diketahui masih ada dalam bungkusan asalnya, boleh dijual dengan harga £32,500 (RM173, 942.93) termasuk upah lelongan, lapor The Times.
Mainan Palitoy Jawa, juga masih dalam bungkusan asalnya dan dikatakan hanya terdapat 10 set saja di seluruh dunia, bernilai £27,280 (RM148,255) termasuk upah lelongan.
Satu set lapan koleksi dari ‘Return of the Jedi’ yang berharga hanya £1.59 (RM8.64) setiap satu ketika mula dijual pada 1980-an kini bernilai berharga £1,400 (RM7,608).
Sementara itu, topi Storm Trooper hingga aksesori mata R2D2, yang menyimpan nostalgia dari salah satu francais filem terbesar di dunia, dijangka menjadi tarikan lelongan.
Pada 2015, patung Luke Skywalker, yang memasuki pasaran pada 1978 sebagai mainan kanak-kanak, dijual pada harga AS$25,000 (RM103, 537) dalam lelongan anjuran Sotheby’s dan eBay.
Aston berkata pasangan Stourbridge pasti gembira dengan kejutan yang tidak dijangka itu, petikan AP
“Saya tidak tahu sama ada mereka mempunyai rancangan khusus tetapi mereka mesti rasa seperti memenangi loteri,” katanya.