Jasa James Ritchie terus dikenang, keluarga terima sumbangan HAWANA
Jasa James Ritchie terus dikenang, keluarga terima sumbangan HAWANA
KUCHING: Jasa dan sumbangan mendiang James Alexander Ritchie dalam dunia kewartawanan negara terus dikenang apabila keluarganya menerima sumbangan Tabung Kasih@HAWANA X TM.
Sumbangan itu disampaikan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching di kediaman keluarga mendiang, Rabu.
James yang meninggal dunia pada 3 Mei 2025 merupakan penerima Anugerah Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 dan sudah berkecimpung dalam bidang kewartawanan selama lebih lima dekad.
“Jasa beliau akan sentiasa dikenang.
“Kami juga mahu keluarga beliau tahu bahawa James akan terus dikenang,” kata Teo.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi, Datuk Bahria Mohd Tamil; Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama, Arul Rajoo Durar Raj.
Sementara itu, anak mendiang, Rebekah Dawn Ba’o Ritchie berkata, dia berbangga apabila bapanya masih dikenang oleh rakan-rakan dalam industri media.
Menurutnya, penghargaan yang diberikan pada sambutan Hari Malaysia cukup bermakna kerana Malaysia dan Sarawak sentiasa dekat di hati bapanya.
“Saya sangat bangga dengan ayah kerana beliau masih dikenang pada hari yang begitu bermakna seperti Hari Malaysia.
“Antara perkara yang sangat beliau cintai ialah Malaysia dan Sarawak, selain minatnya terhadap sejarah serta tokoh tempatan,” katanya.
Kerjaya James dalam bidang media dan komunikasi bermula pada 1971 sebagai wartawan kadet New Straits Times (NST).
Beliau kemudiannya berkhidmat sebagai wartawan NST Sarawak pada 1981 sebelum menjadi Pegawai Perhubungan Awam di Jabatan Ketua Menteri Sarawak pada 1998.
Pada 2022, beliau turut berkhidmat sebagai Perunding Media bersama Sarawak Digest.
Tabung Kasih@HAWANA X TM adalah inisiatif di bawah Tabung Kasih@HAWANA menerusi sumbangan dana tanggungjawab sosial korporat Telekom Malaysia bagi memperluas bantuan kepada pengamal media yang memerlukan.
Sejak peruntukan itu disalurkan pada Jun 2026, seramai 77 pengamal media di seluruh negara menerima manfaat daripada inisiatif berkenaan.
Secara keseluruhan, 847 pengamal media di seluruh negara menerima manfaat Tabung Kasih@HAWANA sejak diperkenalkan pada April 2023.
Inisiatif diterajui Kementerian Komunikasi itu dilaksanakan menerusi Bernama.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw James Ritchie, Tabung Kasih@HAWANA, Teo Nie Ching, pengamal media
