Jangan tunggu jawatan baru mahu jadi pemimpin – Fadillah
Jangan tunggu jawatan baru mahu jadi pemimpin – Fadillah
KUALA LUMPUR: Golongan muda tidak perlu menunggu sehingga memiliki gelaran atau jawatan rasmi untuk membuktikan kemampuan sebagai pemimpin, sebaliknya perlu berani memikul tanggungjawab dan berkhidmat kepada masyarakat sejak awal.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, usia bukan penentu keupayaan seseorang untuk memimpin kerana kepimpinan sebenar bergantung kepada keberanian bertindak dan kesediaan menyumbang kepada komuniti.
“Masa depan bukan milik mereka yang menunggu gelaran, tetapi milik mereka yang berkhidmat sebelum diminta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan khas pada Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Masa Depan Antarabangsa (iFUTURE 2026) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), semalam.
Hadir sama, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Prof Dr Yatimah Alias.
Fadillah berkata, golongan muda perlu memiliki tiga asas utama kepimpinan iaitu nilai, visi dan tanggungjawab bagi menghadapi perubahan dunia yang semakin pesat, khususnya perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Menurutnya, teknologi mampu memperluas keupayaan manusia, namun nilai moral tetap menjadi panduan penting dalam menentukan hala tuju penggunaannya.
“Teknologi boleh meningkatkan keupayaan seseorang, tetapi hanya nilai mampu membimbing bagaimana keupayaan itu digunakan,” katanya.
Beliau berkata, prinsip berkenaan selaras dengan gagasan Malaysia MADANI yang menekankan kemajuan berteraskan maruah manusia serta kepercayaan masyarakat.
Katanya, visi pula penting bagi memastikan golongan muda kekal fokus ketika berdepan perubahan kerana kepimpinan bukan sekadar membayangkan masa depan, tetapi berusaha membinanya.
Fadillah turut mengingatkan pemimpin muda supaya memiliki daya tahan tinggi, membina pasukan yang dipercayai serta sentiasa terbuka menerima pandangan dan kerjasama.
iFUTURE 2026 bertemakan ‘Redefining Future Leaders Through Value-Based Leadership’ berlangsung selama tiga hari bermula 11 hingga 13 Oktober.
Sidang kemuncak itu menghimpunkan lebih 1,000 pemimpin mahasiswa dari institusi pengajian tinggi merentasi 60 negara bagi memperkukuh jaringan kepimpinan antarabangsa melalui wacana intelektual dan dialog strategik.-SAHIH
#FadillahYusof #PemimpinMuda #iFUTURE2026 #MalaysiaMADANI
