Gelaran Datuk Sanjeevan ditarik balik
Gelaran Datuk Sanjeevan ditarik balik
KUANTAN: Gelaran Datuk yang dianugerahkan Istana Pahang kepada Pengerusi Badan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch), R Sri Sanjeevan ditarik balik serta-merta.
Perkara itu dimaklumkan melalui satu kenyataan media oleh Setiausaha Kerajaan negeri, Dr Sallehuddin Ishak.
“Menjunjung titah perintah ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, dengan ini dimaklumkan bahawa anugerah Darjah Kebesaran Negeri Pahang Darul Makmur kepada penama di bawah dengan ini ditarik balik dan dibatalkan serta-merta.
“Penama tidak dibenarkan memakai sebarang gelaran dan perlu mengembalikan Darjah Kebesaran yang dikurniakan sebelum ini kepada pejabat Setiausaha Kerajaan negeri Pahang, selaras dengan undang-undang Darjah-Darjah dan Bintang-Bintang negeri Pahang,” kata kenyataan itu.
Berdasarkan kenyataan media berkenaan, darjah kebesaran ditarik balik ialah Darjah Indera Mahkota Pahang dan tarikh berkuatkuasa penarikan balik darjah terbabit ialah pada 24 Ogos lalu.
Selain mengetuai MyWatch, Sanjeevan juga adalah Ketua Pemuda Negara Negeri Sembilan, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang didakwa mempunyai kaitan dengan Azmin Ali.-SAHIH