Enam sekeluarga berdepan detik cemas
Enam sekeluarga berdepan detik cemas
JOHOR- Enam sekeluarga yang pulang ke kampung dari Senawang, Negeri Sembilan berdepan detik cemas apabila kenderaan dinaiki mereka terbabas ke dalam gaung di Kilometer 28.8 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, di sini malam tadi.
Akibat kejadian tersebut, tiga daripada mangsa dilaporkan mengalami cedera parah setelah kenderaan itu terjatuh ke dalam gaung sedalam lebih kurang 60 meter.
Dua daripada mereka yang parah ialah Syaidi Mohd. Nor, 48, dan Azlina Nazarudin, 45, manakala dua wanita dewasa lain dan dua kanak-kanak lelaki belum diperoleh maklumat mereka.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Pegawai Kanan Bomba II Wan Mohd. Azrul Wan Mahamad Shaf’ii berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 10.53 malam.
Katanya, sehubungan itu seramai lapan anggota beserta dua buah jentera ke lokasi kejadian.
Setibanya di lokasi, didapati sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Wish yang dinaiki enam individu telah terbabas ke dalam gaung sedalam lebih kurang 60 meter.
Tiga mangsa berada dalam keadaan parah di bawah gaung dan mereka dikeluarkan dengan menggunakan pengusung,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini,lapor utusan online.
Tambah beliau, kesemua mangsa dibawa ke Hospital Kulai untuk mendapatkan rawatan.