Empat maut, kanak-kanak cedera selepas Ford Raptor dihempap pokok
Empat maut, kanak-kanak cedera selepas Ford Raptor dihempap pokok
BENTONG: Empat individu dipercayai sekeluarga maut selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka dihempap sebatang pokok dalam kejadian di Jalan Lama Kuala Lumpur menghala ke pintu gerbang Janda Baik, dekat sini, tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa yang maut ialah pemandu lelaki berusia 35 tahun, seorang wanita berusia 36 tahun yang berada di tempat duduk hadapan bersama seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang dipangkunya, serta seorang lelaki berusia 40 tahun yang berada di tempat duduk belakang.
Seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang duduk di bahagian belakang terselamat namun cedera dan dihantar ke Hospital Bentong untuk mendapatkan rawatan.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superitendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian daripada orang awam sebelum anggota dikerahkan ke lokasi.
“Siasatan awal mendapati semua mangsa berada dalam sebuah kenderaan jenis Ford Raptor ketika kejadian berlaku.
“Kanak-kanak yang cedera dipercayai adalah kembar kepada kanak-kanak yang maut berdasarkan dokumen pengenalan diri yang ditemui,” katanya.
Beliau berkata, kesemua mangsa adalah warga tempatan.
Mayat semua mangsa dihantar ke Hospital Temerloh untuk proses bedah siasat, manakala punca kejadian masih dalam siasatan.-SAHIH.
