Silat warisan bangsa perlu terus diperkasa – Wan Rosdy
Silat warisan bangsa perlu terus diperkasa – Wan Rosdy
TEMERLOH: Kerajaan Pahang akan memperluaskan penganjuran program seni persilatan ke seluruh daerah bagi memastikan warisan budaya Melayu terus dipelihara dan diwarisi generasi akan datang.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, usaha itu akan dilaksanakan menerusi penganjuran program bersama Pertubuhan Perkumpulan Silat (PERTILAT) Pahang sebagai platform memperkukuh seni persilatan dan jati diri bangsa.
Menurutnya, seni silat bukan sekadar seni mempertahankan diri, malah khazanah budaya yang perlu dipelihara supaya tidak luput ditelan zaman.
“Kita akan melaksanakan program seperti ini di semua daerah di Pahang kerana kita mahu memperkasakan budaya silat dalam kalangan anak muda agar warisan bangsa ini terus kekal untuk generasi akan datang,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Apresiasi Pahang 1st Himpunan 1,000 Pendekar Silat Berbusana Daerah Temerloh Parlimen Temerloh 2026, di sini, hari ini.
Beliau berkata, program berkenaan turut menjadi medium menghimpunkan masyarakat, khususnya orang Melayu, untuk menghayati sejarah serta perkembangan seni persilatan yang sinonim dengan negeri Pahang.
Katanya, Pahang juga mempunyai potensi besar dalam sektor pelancongan dan program berteraskan warisan serta budaya mampu menjadi nilai tambah bagi menarik lebih ramai pelancong ke negeri itu.

“Jumlah pelancong yang datang ke Pahang terus meningkat setiap tahun. Perkembangan itu turut menyumbang kepada penurunan kadar pengangguran daripada 2.2 peratus kepada 1.7 peratus, manakala Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Pahang meningkat daripada RM68.1 bilion kepada RM71 bilion.
“Sebab itu program berasaskan budaya perlu digerakkan seiring dengan pembangunan ekonomi kerana kedua-duanya saling melengkapi,” katanya.
Wan Rosdy berkata, beliau turut kagum dengan persembahan yang dipamerkan peserta, terutama golongan muda, yang disifatkan lebih bersemangat, berkeyakinan dan menampilkan penghayatan tinggi dalam setiap gerakan silat.
“Saya melihat sendiri perubahan yang ditampilkan. Riak wajah, gerakan dan semangat mereka memberi impak berbeza berbanding sebelum ini. Ini menunjukkan seni persilatan di negeri ini terus berkembang dan mempunyai masa depan yang cerah,” katanya.-SAHIH
