MUAR: Seorang bapa dan anak lelakinya ditemui rentung dalam kebakaran rumah dua tingkat di Jalan Manja, Kampung Baru 1, Tangkak, jam 11.50 pagi hari ini.
Jurucakap Jabatan dan Bomba Penyelamat (JBPM) Johor berkata, dua beranak masing-masing berusia 54 dan 15 tahun itu dipercayai terperangkap di tingkat atas kediaman.
“Empat jentera bomba dan sebuah utiliti dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangkak dibantu BBP Muar dan BBP Bukit Gambir membabitkan 24 anggota dihantar ke tempat kejadian.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
“Kebakaran membabitkan dua rumah jenis separuh kekal dan memusnahkan 80 peratus daripada keseluruhan bangunan.
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Harian Metro.
Katanya, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan manakala operasi ditamatkan pada jam 1.58 tengah hari ini.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SIKAP tidak bertanggungjawab segelintir manusia yang cuba berkebun secara haram menyaksikan kejadian kebakaran hutan berlaku berhampiran taman perumahan di Jalan Pintasan Kuantan-Pelabuhan tengahari tadi.
GAMBAR IHSAN PENDUDUK KAMPUNG
Perbuatan ini bukan sahaja menyusahkan penduduk yang tinggal berhampiran lokasi kebakaran, bahkan turut mengakibatkan banyak masalah lain kepada orang ramai.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panching, Mohd Tarmizi Yahya yang sempat meninjau lokasi kejadian petang tadi bagi mendapatkan maklumat mengenai punca kebakaran, merakamkan ucapan terima kasih kepada pegawai dan anggota bomba serta penduduk yang bersama-sama berusaha memadamkan kebakaran itu.
GAMBAR IHSAN PENDUDUK KAMPUNG
Difahamkan punca kebakaran bermula apabila pihak tidak bertanggungjawab membakar tayar lama untuk membersihkan kawasan hutan bagi tujuan bercucuk tanam secara haram!
GAMBAR IHSAN PENDUDUK KAMPUNG
Semoga semua pihak lebih peka dan berhati-hati serta tidak melakukan pembakaran terbuka ketika musim panas ketika ini susulan perubahan Monsun Timur Laut.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JOHOR BAHRU: Sebuah rumah teres dua tingkat musnah manakala enam unit lagi dapat diselamatkan dalam kebakaran di Taman Pulai Perdana, pagi tadi.
Tindakan pantas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang mengawal kebakaran daripada merebak menyebabkan hanya bahagian hadapan enam unit rumah teres dua tingkat di Jalan Pulai Perdana 9/9 itu terbakar.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai, Mohd Riduan Akhyar yang juga ketua komander operasi berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Negeri Johor menerima panggilan jam 8.13 pagi.
Katanya, sejurus itu, sepasukan 12 anggota dari BBP Skudai dengan tiga jentera dan sebuah tangki air dikejarkan ke lokasi.
“Setiba PKO di lokasi, kami mendapati kebakaran berlaku membabitkan tujuh unit rumah teres dua tingkat di situ.
“Sebuah unit rumah membabitkan kebakaran seluruh strukur bangunan manakala enam unit lagi hanya mengenai bahagian garaj hadapan.
“Sebuah kereta dan sebuah motosikal musnah dalam kebakaran itu namun tiada yang cedera atau kehilangan nyawa,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor BH Online.
Mohd Riduan berkata punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan.
“Operasi memadam kebakaran ditamatkan jam 9.43 pagi tadi,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
7 RUMAH, 2 KENDERAAN TERBAKAR, PENGHUNI SEMPAT KELUAR
JOHOR BAHRU: Tujuh buah rumah dan dua kenderaan yang diletakkan di parkir terlibat dalam kebakaran di Jalan Pulai Perdana 9/9, Taman Pulai Perdana, Skudai, hari ini.
Kejadian dilaporkan kepada pihak bomba pada 8.13 pagi namun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa kerana semua penghuni sempat menyelamatkan diri.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd Riduan Akhyar berkata, 12 anggota dengan satu jentera dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terlibat dengan operasi pemadaman.
“Kebakaran dikatakan bermula dari sebuah kenderaan yang diparkir di kawasan letak kenderaan, kemudian merebak ke bahagian rumah.
“Ketika pihak bomba tiba, kebakaran sudah pun meranapkan kira-kira 40% struktur rumah itu manakala rumah-rumah yang lain hanya mengalami kesan kebakaran di bahagian bumbung garaj kereta sahaja,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, kebakaran itu turut mengakibatkan sebuah kereta jenis Proton Exora dan sebuah motosikal jenis Yamaha LC135 yang diparkir di tempat letak kereta satu daripada rumah terlibat, kemusnahan 90 peratus.
Kebakaran berjaya dikawal kira-kira jam 9.43 pagi dan punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Orang ramai dan peniaga sekitar Pasar Datuk Keramat di sini, gempar apabila pasar berusia lebih 50 tahun itu terbakar mendadak tadi.
Dalam kejadian sekitar jam 5.30 petang, lebih 40 gerai terletak di dalam kawasan pasar besar itu musnah dijilat api.
Jurucakap bomba berkata, jentera dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keramat, BBP Setapak, BBP KLCC, BBP Hang Tuah dan BBP Wangsa Maju bergegas ke lokasi kejadian untuk memadamkan kebakaran, lapor Harian Metro.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
Difahamkan majoriti peniaga di kawasan Pasar Datuk Keramat adalah dikalangan Bumiputera yang menjual barang basah, makanan, pakaian dan perkakas rumah.
Api kebakaran bagaimanapun berjaya dikawal sekitar jam 6.30 petang tadi.
Kejadian itu turut tular di media sosial apabila video menunjukkan orang ramai berusaha memadamkan kebakaran besar yang memusnahkan deretan gerai beratap zink itu.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PARIT BUNTAR: Tujuh buah rumah kedai musnah dijilat api dalam kebakaran di Kampung Simpang 3, Kuala Kurau di sini petang tadi.
Kejadian kira-kira pada pukul 2 petang itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kehilangan jiwa mahupun kecederaan kepada orang awam.
Pemangku Penolong Pengarah Kanan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Muhamad Syahrizal Aris berkata, pihaknya terus bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan dan anggota bertugas kemudiannya mendapati api sedang marak membakar tiga buah rumah kedai kelas C.
“Ketika anggota tiba, api sedang marak membakar tiga buah bangunan rumah kedai dan atas faktor cuaca panas serta tiupan angin di kawasan itu menyebabkan ia cepat merebak ke rumah kedai lain.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
“Seramai 24 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kurau, BBP Parit Buntar dan BBP Bagan Serai berusaha mengawal kebakaran daripada merebak dibantu enam pasukan bomba sukarewan (PBS),” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Tambah Muhamad Syahrizal, pihaknya mengambil masa selama 40 minit untuk mengawal api sepenuhnya.
“Kebakaran tidak melibatkan sebarang kehilangan nyawa serta kecederaan dan ketika kejadian kebanyakan premis ini tidak beroperasi kecuali sebuah kedai runcit, lapor KOSMO! Online.
“Lima buah rumah kedai musnah antara 60 hingga 80 peratus manakala dua unit lagi hanya musnah 10 peratus. Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
Sementara itu, Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad yang turut melawat lokasi kebakaran mengingatkan orang ramai agar menaik taraf pendawaian lama di premis masing-masing bagi mengelakkan litar pintas yang boleh mengakibatkan kebakaran.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
“Pendawaian yang lama adalah pendawaian yang jenis melekat ke dinding iaitu wayar elektrik berada di luar dan berkemungkinan pendawaian itu kini sudah reput.
“Jadi saya berharap agar orang ramai dapat menaik taraf pendawaian wayar elektrik yang terkini iaitu mengunakan salutan paip PVC agar lebih selamat,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
REMBAU: Dua beranak cedera apabila kediaman pusaka berusia lebih 100 tahun yang didiami di Kampung Seberang Batu Hampar, dekat sini musnah dalam kebakaran petang semalam.
Dalam kejadian pada 6.40 petang itu, Maimunah Mohd Shah, 81, dikatakan cuba masuk ke dalam rumah yang sedang terbakar menerusi pintu dapur bagi menyelamatkan anaknya, Zaidi Zainuddin, 46, yang juga orang kurang upaya (OKU) fizikal.
Bagaimanapun, tindakannya sempat dihalang seorang anggota polis yang kebetulan melalui kawasan itu.
GAMBAR IHSAN JBPM
Anak mangsa, Hamdan Zainudin, 44, berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang selepas menjenguk ibu dan abangnya, sebelum mendapat panggilan daripada kawan yang memaklumkan rumah emak saya terbakar.
“Saya pun berpatah balik untuk melihat keadaan mereka dan sebaik tiba didapati api sudah marak.
“Alhamdulillah, emak dan abang saya berjaya diselamatkan seorang anggota polis yang kebetulan lalu di kawasan rumah kami,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Menurutnya, anggota polis berkenaan dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas habis bekerja.
“Mujur dia menyelamatkan emak yang uzur, malah dia juga berjaya menghalang emak daripada masuk ke dalam rumah kerana mahu menyelamatkan abang.
“Emak cedera di bahagian leher, muka dan tangan serta dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), manakala abang yang melecur di bahagian badan, kaki serta tangan masih kritikal dan dirawat di unit rawatan rapi (ICU) di hospital sama,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Mohd Fuad Majid berkata, pasukannya ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada 6.44 petang, lapor Harian Metro.
“Sebaik tiba, kedua-dua mangsa yang cedera dan melecur sudah dibawa keluar sebelum dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
GAMBAR IHSAN JBPM
“Api berjaya dikawal pada 7.25 malam dengan bantuan Balai Bomba dan Penyelamat Rantau.
“Rumah berstruktur separa kekal ini dianggarkan musnah 80 peratus. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BOMBA BERJAYA MENGAWAL KEBAKARAN DARIPADA MEREBAK KE KEDAI BERSEBELAHAN
JERANTUT: Sederet empat pintu kedai dua tingkat berusia kira-kira 80 tahun yang terletak di Bandar Lama terbakar kira-kira jam 3.15 petang tadi.
Empat kedai itu yang dibina antara tahun 1941 sehingga 1947 dan masih digunakan untuk menjual basikal dan alat ganti, restoran, kedai runcit dan kedai gunting rambut.
Empat buah kedai 2 tingkat berusia kira-kira 80 tahun terbakar di Jerantut, petang tadi
Tiga kedai tersebut rosak teruk manakala kedai gunting rambut hanya terbakar di bahagian tingkat atas kedai.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Balai Bomba Jerantut, Mohamad Zulkifli Mohamad Zainal berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira 3.16 petang dan tiba di lokasi pada jam 3.20 petang.
“Pasukan dibahagi kepada dua kumpulan untuk memadamkan api dari bahagian hadapan deretan kedai dan belakang dengan bantuan sebuah kenderaan skylift komersil.
Anggota bomba turut memadam kebakaran dari bahagian belakang premis berkenaan di Jerantut, petang tadi
“Pihak kami berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke bangunan kedai bersebelahan yang berhampiran, 7 buah rumah kedai dapat diselamatkan, manakala sebuah kedai gunting rambut rosak teruk di bahagian tingkat atas,” katanya.
Katanya, lima jentera Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dari Balai Jerantut, Temerloh dan Bandar Jengka serta dibantu sebuah jentera Bomba Sukarela Damak bersama kira-kira 30 anggota berusaha memadam kebakaran, operasi berjaya memadam sepenuhnya kira-kira jam 6.00 petang.
Jumlah kerugian dan punca kebakaran belum diketahui dan masih dalam siasatan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
IPOH: Seorang warga emas ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah bangsal di satu kawasan berlalang di Ampang berhampiran Plaza Tol Ipoh Utara, di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Muhamad Shahrizal Aris berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran yang mengorbankan lelaki berusia 71 tahun itu, pada 5.47 petang, lapor Harian Metro.
GAMBAR IHSAN JBPM PERAK
“Kami segera mengarahkan 14 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh bagi kerja memadamkan kebakaran sebaik menerima panggilan.
“Setibanya di lokasi kejadian, kami mendapati bangsal itu terbakar 90 peratus manakala mangsa yang rentung ditemukan di bawah timbunan zink yang terbakar,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, di sini, hari ini.
GAMBAR IHSAN JBPM PERAK
Beliau berkata, api dapat dikawal dalam masa lima minit dan mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Katanya, pasukan forensik masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran itu.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA KANGSAR: Kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Gunung Bubu di Manong, di sini terbakar petang tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, kebakaran membabitkan keluasan dua hektar pada ketinggian 300 meter dari aras laut, lapor BH Online.
Susulan itu anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar dikejarkan ke lokasi bagi operasi pemadaman selepas menerima panggilan jam 4.39 petang tadi.
Operasi ditangguhkan setakat jam 8.10 malam tadi dan akan disambung semula esok dengan pos kawalan bencana (PKB) turut dibuka di lokasi terbabit.
GAMBAR IHSAN JBPM PERAK
Sementara itu ditanya sama ada kebakaran itu mempunyai kaitan dengan aktiviti penerokaan hutan di kawasan itu seperti dakwaan penduduk setempat, beliau berkata perkara itu masih dalam siasatan Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNPk).
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!