KAJANG: Seorang lelaki didapati tergantung di jejantas Lebuhraya SILK yang menyambungkan Kampung Baru Balakong dan Amerin Mall pada jam 7.47 pagi, hari ini.
Pusat Kawalan Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang telah terima panggilan MERS 999 daripada orang awam memaklumkan terlihat ada seorang lelaki tergantung di jejantas Taman Impian Ehsan, Balakong, Selangor.
Siasatan awal mendapati, simati ialah berbangsa Cina berusia 56 tahun ditemui dalam keadaan tergantung di jejantas itu.
Maklumat awal daripada waris simati mendapati simati disyaki dijangkiti COVID-19 dan simati mengatakan beliau tidak tahan dengan sakit yang dialaminya seperti batuk, demam dan sesak nafas.
Mayat simati berjaya diturunkan dengan bantuan daripada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat dan seterusnya mayat tersebut dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Kajang untuk tujuan bedah siasat.- SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PENDUDUK MUKIM HULU TEMBELING SAMBUT BAIK PEMBINAAN ( Foto atas- Sebahagian jalan yang sudah siap dibina)
JERANTUT : Penduduk di kawasan Mukim Hulu Tembeling menyambut baik dan bersyukur dengan pengumuman yang dibuat oleh Menteri Besar Pahang projek pembinaan jalan dari Kampung Mat Daling ke Kampung Raja, Dungun, Terengganu yang bakal direalisasikan.
Tiga kampung itu, Kampung Bantal, Kampung Gusai dan Kampung Mat Daling yang berpenduduk seramai kira-kira 3,000 orang bakal mengecapi kemudahan jalan raya serta memberi peluang daripada sudut ekonomi dan sosial.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Kampung Mat Daling, Wan Mohd Suhaimi Wan Ishak (60) berkata, penduduk di Mukim Hulu Tembeling seluas kira-kira 420,000 hektar turut meliputi Taman Negara sudah lama menunggu prasarana seperti itu.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Kampung Mat Daling, Wan Mohd Suhaimi Wan Ishak
“Memang kami menunggu lama prasarana ini, selain meningkatkan ekonomi dengan menjual hasil tanaman kami ke Jerantut, masih boleh dipasarkan ke Kampung Raja, Hulu Terengganu yang jarak sejauh kira-kira 52 kilometer (km) berbanding ke bandar Jerantut lebih 100 km.
“Selain itu, kami boleh merapatkan tali persaudaraan kami yang berada di Kampung Raja, Kampung Batu dan beberapa buah kampung lagi, walaupun dekat tetapi jauh,” katanya.
Terdapat kubu Mat Kilau di Kampung Raja, antara sebahagian laluan Mat Kilau.
Katanya, projek jalan antara Kampung Tuit ke Kampung Pagi sudah disiapkan, malah jalan ke Kampung Kuala Sat turut boleh digunakan termasuk jalan ke Kampung Bantal.
“Hanya pembinaan sambungan dari Persimpangan Kampung Bantal ke Kampung Raja yang dianggarkan sejauh 52 km. Ini turut memberi kemudahan orang ramai dari arah Jerantut ke Terengganu melalui jalan ini,” katanya.
Pengerusi JKKK Kampung Bantal, Hamdan Ali (50) berkata, sangat gembira kerana menunggu begitu lama pembinaan projek jalan seperti itu selain dapat menghubungkan hubungan adik-beradik di sebelah Kampung Raja.
Pengerusi JKKK Kampung Bantal, Hamdan Ali
“Emak saya orang Kg Raja, bapa orang Kg Bantal, kami pernah berjalan kaki sekeluarga menziarah keluarga di sana mengambil masa 4 malam, berhenti berkelah, berkhemah dan memasak semasa dalam perjalanan dan menempuh laluan berbukit dan lurah serta menikmati pemandangan sungai yang cantik.
“Saya masih ingat, kami singgah di Bukit Mandi Angin, tempat persinggahan orang berehat di kawasan sempadan negeri ketika saya berusia 18 tahun… kalau tak silap pada tahun 1988,” katanya.
Peta Jerantut dan Dungun, laluan Kg Mat Daling -Kg Raja yang bakal dibina
Katanya, sudut ekonomi bakal memberi tempias kepada penduduk di Mukim Hulu Tembeling serta nilai hartanah akan melonjak naik, serta besar kemungkinan pelaburan dari sudut pembinaan resort bagi penggemar untuk menikmati alam sekitar dalam perjalanan ke Kg Raja.
“Selain itu, setelah melihat pelan jajaran jalan yang bakal dibina, pembinaan jalan itu jauh daripada sungai bagi mengelakkan pencemaran sungai dan alam sekitar,” katanya.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata , projek Jalan Hulu Tembeling – Pasir Raja yang yang tertangguh sejak beberapa tahun lalu, kini di peringkat perolehan sebelum dikemukakan kepada Kementerian Kewangan.
“Status pelaksanaan jalan luar bandar dari Kampung Mat Daling, Jerantut ke Kampung Pasir Raja di Dungun, Terengganu sepanjang 52.55 kilometer itu dimaklumkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang pada Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK).
“Jalan itu sebahagian daripada projek sambungan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) melibatkan laluan dua lorong (single carriageway) dengan lebar 6.5 meter dan berturap serta melibatkan pembinaan 12 buah jambatan,” katanya baru-baru ini.
Wan Rosdy berharap pembinaan jalan itu dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan untuk manfaat rakyat.-Sahih.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
LEBIH RM6 JUTA DADAH DIRAMPAS DALAM BENTLEY DI SJR GOPENG
POH: Polis merampas dadah seberat 128.78kg yang bernilai RM6.439 juta, apabila dua lelaki tempatan ditahan ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Gopeng di sini, Rabu lepas.
Ketua Polis Perak, Mior Faridalathrash Wahid berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, kedua-dua suspek berumur 41 dan 47 tahun yang menaiki kereta mewah jenis Bentley berada dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan menemui dadah jenis Methamphetamine seberat 122.5kg dalam 117 bungkusan teh Cina di ruang penyimpanan barang di bahagian belakang kenderaan itu yang telah diubah suai.
“Pemeriksaan lanjut turut menemui enam lagi bungkusan teh Cina yang mengandungi 6.28kg dadah jenis Methamphetamine di ruang penyimpanan tayar tambahan di bahagian belakang kereta berkenaan.
“Turut disita wang tunai bernilai RM3,390,” katanya pada sidang media di perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak hari ini.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek mempunyai surat kebenaran merentas negeri yang tamat tempoh, atas alasan mempunyai urusan perniagaan.
Katanya, hasil ujian saringan air kencing pula mendapati suspek berumur 41 tahun positif dadah jenis Methamphetamine, manakala lelaki berumur 47 tahun itu mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.
“Semua dadah yang dirampas itu dipercayai untuk pasaran di sekitar utara Semenanjung.”
Beliau berkata, dua suspek yang berasal dari Johor itu direman tujuh hari sehingga 30 Jun ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.-Bernama.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PKP PENUH DITERUSKAN HINGGA KES HARIAN BAWAH 4,000 KES- MUHYIDDIN
LEBIH BANYAK BANTUAN AKAN DIUMUMKAN PADA ISNIN DAN SELASA INI.
PETALING JAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh atau “total lockdown” akan diteruskan sehingga jangkitan harian di bawah 4,000 kes.
Muhyiddin sebagai berkata, PKP penuh tidak akan berakhir esok dan fasa pertama Pelan Pemulihan Negara akan diteruskan, dipetik BERNAMA.
PKP penuh sepatutnya berakhir esok, selepas dilanjutkan dua minggu sejak dimulakan 1 Jun lalu.
Susulan lanjutan “lockdown” yang tidak tahu sehingga bila itu, Muhyiddin berkata, Putrajaya akan mengumumkan lebih banyak bantuan, sama ada esok atau Selasa ini.
Katanya, langkah bantuan itu akan ditujukan kepada semua kumpulan masyarakat.
Pada 31 Mei lalu, Muhyiddin mengumumkan pakej bantuan PEMERKASA Tambahan berjumlah RM40 bilion, termasuk RM5 bilion dalam bentuk suntikan fiskal langsung.
Tetapi, ramai mengkritik pakej bantuan itu tidak mencukupi untuk membantu rakyat dan perniagaan ketika PKP penuh.
Ia disusuli pengumuman oleh Muhyiddin mengenai Pelan Pemulihan Negara yang terdiri daripada empat fasa.
Katanya, kerajaan akan menimbangkan peralihan daripada Fasa I ke Fasa II apabila purata kes harian berkurangan sehingga ke bawah 4,000 kes, sistem kesihatan awam tidak lagi di tahap kritikal dan 10 peratus penduduk lengkap dua dos vaksin.
Negara akan beralih ke Fasa III jika purata kes harian turun ke bawah 2,000 kes, sistem kesihatan awam di tahap selesa dengan kadar penggunaan katil ICU di paras mencukupi dan 40 peratus penduduk lengkap dua dos vaksin.
Manakala semua sektor akan dibenarkan dibuka di bawah Fasa IV apabila purata kes harian Covid-19 berkurangan kepada 500 kes ke bawah dan 60 peratus penduduk lengkap dos suntikan vaksin.
Jumlah jangkitan harian Covid-19 terus kekal sekitar 5,000 ke sejak seminggu lalu.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
ORANG RAMAI JANGAN PANIK, KEPERLUAN HARIAN MENCUKUPI DI JERANTUT
EKORAN 64 TAMAN PERUMAHAN DAN PENEMPATAN DIKENAKAN PKPD DI JERANTUT
JERANTUT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Koperasi (KPDNHEP) Cawangan Jerantut memberi jaminan bekalan barang keperluan asas bagi daerah Jerantut yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai 28 Jun hingga 11 Julai 2021 adalah mencukupi.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, Datuk Nazri Ngah berkata, orang ramai di daerah Jerantut jangan melakukan pembelian panik kerana bekalan barangan harian mencukupi.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, Datuk Nazri Ngah
“Diharap orang ramai membeli mengikut keperluan masing-masing dan sentiasa boleh mendapatkan bekalan keperluan harian.
“PKPD dikenakan di daerah ini dengan melibatkan 64 taman perumahan dan penempatan ekoran kes penularan wabak ini meningkat, bermula 28 Jun hingga 11 Julai, ”katanya.
Katanya, peniaga diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan seperti mengaut keuntungan tidak munasabah dengan menaikkan harga, mempamerkan harga mengelirukan, menyorok barang kawalan serta menipu timbangan semasa PKPD.
Sementara itu, Ketua Cawangan Abdul Mubin bin Ahmad berkata, bekalan barangan juga mudah diperoleh di seluruh pasaraya, pasar Mini, pasar Tani dan kedai kedai runcit kecil kerana premis-premis tersebut beroperasi seperti biasa.
“Bekalan barangan di peringkat pemborong, pengilang dan peruncit adalah mencukupi, stabil dan berupaya menampung permintaan semasa. Pengguna tidak perlu risau kerana semua pasar raya dan premis peruncitan masih dibuka dan beroperasi mengikut waktu yang ditetapkan kerajaan.
“Bagaimanapun KPDNHEP menggalakkan pihak peniaga, pasar raya dan peruncit supaya melakukan kawalan kendiri dengan menentukan had kuantiti dan jualan barangan yang bersesuaian bagi individu atau keluarga dalam memastikan bekalan sentiasa mencukupi dan hanya membenarkan seorang sahaja wakil keluarga untuk membeli barangan keperluan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Orang ramai dinasihatkan jangan membeli secara panik, bekalan keperluan harian mencukupi.
KPDNHEP Jerantut sentiasa menjalankan pemantauan dan pemeriksaan secara harian di premis perniagaan meliputi peruncit dan pemborong bagi memastikan bekalan barangan mencukupi selain pematuhan peraturan dalam kalangan peniaga.
“Sebarang aduan atau pertanyaan mengenai bekalan keperluan asas, harga barangan dan perkhidmatan berkaitan yang lain bolehlah menghubungi Bilik Gerakan KPDNHEP Cawangan Jerantut di talian 09-2601374.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
LIPIS – Hujan lebat selama tiga jam bermula kira-kira jam 12 tengah malam semalam menyebabkan berlaku kejadian banjir kilat di tiga buah kampung kawasan Merapoh dekat sini hari ini.
Dalam kejadian selepas hujan lebat itu, air Sungai Persit dalam kawasan lembangan Merapoh melimpah masuk ke kawasan kediaman di Kampung Berhamah, Kampung Teluk Gunung dan Kampung Persit.
Seorang penduduk dan anaknya berdiri di hadapan kediaman mereka yang dimasuki banjir kilat mulai tengah malam semalam di Kampung Berhamah, Merapoh, Lipis hari ini. -Foto JBPM Pahang
Ketua Zon 3 Jabatan Bomba dan Penyelamat(JBPM) Pahang, Shahrul Nizam Nasir berkata, banjir kilat itu selepas hujan lebat mulai tengah malam semalam menyebabkan paras air Sungai Persit melimpah masuk kira-kira paras lutut ke kawasan kediaman tiga buah kampung tersebut.
Katanya, seorang pegawai bersama seorang anggota bomba dari Balai Bomba Lipis dibantu oleh lima orang anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Merapoh turut memantau kejadian itu.
“Jumlah kediaman yang dinaiki air banjir kilat kira-kira paras lutut, iaitu 10 buah rumah di Kampung Persit, Kampung Berhamah (4 buah) dan sebuah di Kampung Teluk Gunung.
“Walau bagaimanapun tidak berlaku pemindahan mangsa berikutan banjir kilat yang melanda tiga buah kampung ini surut mulai jam 7.00 pagi hari ini,” katanya di sini hari ini.
Menurut Shahrul Nizam, beliau bersama anggota dari balai bomba Lipis dan Pasukan Bomba Sukarela Merapoh memantau kejadian ini sehingga banjir kilat surut dan turut membantu agensi kerajaan di Lipis menyampaikan kit makanan.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Padang Tengku, Datuk Mustapa Long turut hadir melawat kawasan kediaman selepas banjir kilat surut pada jam 11.00 pagi, hari ini.
Mustapa turut menyampaikan sumbangan kit makanan daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia kepada mangsa banjir kilat termasuk ahli Pasukan Bulan Sabit Merah (PBSM) Lipis juga menyumbangkan bantuan yang sama.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
TEMERLOH: Kerajaan negeri Pahang akan menubuhkan majlis biodiversiti negeri ini sebagai badan yang menjaga dan memantau hutan yang lebih tersusun dan terancang ke arah kelestarian alam sekitar yang lebih mampan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, majlis itu berperanan untuk mengemudi program penjagaan hutan termasuk menjadi badan harta intelek khazanah alam sekitar.
“Diharapkan semua pengkaji dan ahli sains berkaitan dengan kajian perhutanan dan hidupan liar di negeri ini boleh berkongsi dapatan dan kajian masing-masing dengan majlis ini.
“Kajian berkaitan flora dan fauna termasuk, tasik, sungai dan binatang boleh dilakukan dengan perkongsian dengan majlis yang bakal ditubuhkan,” katanya ketika memberi sumbangan kepada kawasan yang terjejas dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pejabat UMNO Temerloh, hari ini.
Katanya, majlis ini sedang mengubal enakmen berkaitan dengan biodiversiti agar lebih komprehensif dan jitu kerana kerajaan negeri memandang serius aktiviti perhutanan yang tidak terancang, penjagaan alam sekitar dan pewartaan hutan simpan kekal termasuk di kawasan Tasik Chini.
“Persekitaran, sosial dan governan (ESG) saling melengkapkan dengan enakmen yang akan digubal untuk menjadikan panduan dalam menghargai alam sekitar,”katanya.
Perkembangan Tasik Chini, setakat ini, tiada lagi lesen baharu dikeluarkan untuk aktiviti di Hutan Simpan Kekal di kawasan Tasik Chini, sekarang kerajaan lebih serius kepada penanaman semula pokok untuk menutup permukaaan bumi di kawasan itu dan bekas lombong yang terdapat di situ.
Pemandangan dari udara sekitar Tasik Chini, Pahang.
“Pastinya program pemulihan tanah dan kawasan itu mengambil masa, banyak pokok telah ditanam, dan kawasan itu telah diwartakan sebagai kawasan hutan simpan kekal seluas 4,600 hektar,” katanya.
Sementara itu, Mohd Sharkar turut berterima kasih kepada Syarikat Asia Honour yang telah memberi sumbangan tanggungjawab sosial koperat (CSR) syarikat itu buat kali kedua kepada kawasan yang dikenakan PKPD baru-baru ini di Mentakab, Semantan dan Lanchang.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
HAMPIR 70 PERATUS KAWASAN PEDALAMAN ULU TEMBELING CAPAI IMUNITI KELOMPOK
JERANTUT – Penduduk di kawasan pedalaman ulu tembeling, jerantut tidak terpengaruh dengan dakyah anti vaksin apabila program pemberian suntikan vaksin covid 19 mukim ulu tembeling mendapat sambutan menggalakkan.
Pemberian suntikan vaksin covid19 kepada penduduk kampung di ulu tembeling selama tiga hari telah dijalankan membabitkan penduduk kampung bantal, kampung orang asli Sungai Kucing , Kuala Sat, Gusai dan Mat Daling.
Ahli parlimen jerantut, Datuk ahmad nazlan idris berkata, isu anti vaksin boleh dianggap terpencil di kawasan pedalaman ini kerana tidak mempengaruhi mereka.
DATUK AHMAD NAZLAN IDRIS
Katanya, pada hari kedua semalam mendapati hampir 65 hingga 70 peratus penduduk di kawasan ulu tembeling sudah menerima suntikan dan dijangkakan pada hari ini lebih 90 peratus penduduk akan menerima vaksin.
Jelasnya, vaksin tiga kampung termasuk kampung kuncing kampung orang asli, kehadiran mereka sangat menggalakkan dan ucapkan terima kasih kepada saudara di ulu tembeling dah beri kerjasama, ada ditanya beberapa isu samada isu hasutan supaya masyarakat tak ambil vaksin tapi saya melihat di kawasan ulu tembeling ini isu tu boleh dianggap isu terpencil.
AHMAD NAZLAN MENINJAU PROSES PEMBERIAN VAKSIN COVID-19
Beliau berkata, usaha kementerian pembangunan luar bandar mewujudkan imuniti kelompok boleh tercapai berdasarkan sambutan yang ditunjukkan.
Tambahnya, usaha kerajaan melalui kementerian kesihatan malaysia ( kkm) dan kerajaan negeri membawa vaksin ini ke kawasan pedalaman amat baik kerana penduduk menghadapi kesukaran dari segi alat perhubungan dan lokasinya amat jauh dari bandar jerantut.
Sementara itu, ketua kampung bantal, hamdan ali berkata, penduduk kampung berasa bersyukur dan berterima kasih kerana melaksanakan program pemberian suntikan vaksin covid 19 mukim ulu tembeling.
KETUA KAMPUNGBANTAL, HAMDAN ALI
Menurutnya sebelum ini apa yang tahu kemungkinan mengambil vaksin ini di bandar jadi bila dapat berita mengenai penerimaan vaksin ini kplb di kampung bantal, namun beliau berasa bersyukur dapat meringankan orang tua dan seluruh penduduk di ulu tembeling. – SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
LEPAS GIAN MAIN ‘PAI KAW’ DALAM SEMAK BELAKANG TOKONG
3 WANITA VIETNAM DAN 7 LELAKI TEMPATAN DITAHAN DALAM SERBUAN
LIPIS: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh menyebabkan sepuluh orang yang gian untuk bermain judi buah “pai kaw’, bermain judi tersebut di kawasan bersemak di belakang Tokong Shek Thien Kong, Kampung Baru Penjom, dekat sini petang semalam.
Mereka yang sedang asyik berjudi di dalam semak, terkejut dan terkedu apabila kegiatan mereka diintai oleh sepasukan polis dari daerah Lipis hasil maklumat orang ramai dan suspek cuba melarikan diri ke kawasan hutan berdekatan belakang tokong itu .
Peralatan judi dan wang pertaruhan yang dirampas, semalam.-Foto PDRM
Polis menahan tiga wanita warga Vietnam berusia antara 31 hingga 46 tahun dan tujuh lelaki tempatan berusia antara 38 hingga 73 tahun dalam kegiatan judi tersebut.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, walaupun mereka cuba melarikan diri menghala ke hutan berdekatan, tetapi kesemua mereka berjaya diberkas oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Lipis.
Semua suspek ditahan dalam serbuan oleh pasukan polis Lipis, semalam.
“Ketika serbuan dilakukan pada jam 6.20 petang di kawasan itu, mendapati, beberapa lelaki dan wanita sedang asyik bermain judi dengan menggunakan buah ‘pai kaw’.
“Kesemua suspek diberkas dan mereka diminta menunjukkan kad pengenalan diri masing-masing untuk pemeriksaan lanjut,” katanya kepada media.
Katanya, ketika pemeriksaan, mendapati di atas meja yang digunakan mereka, terdapat 32 buah ‘pai kaw’ bersama bekas, tiga buah dadu dan wang tunai berjumlah RM2,539 yang digunakan sebagai pertaruhan berjudi.
“Polis menahan suspek judi berkenaan serta semua peralatan berjudi termasuk buah ‘pai kaw’ dan beberapa bukti kes tersebut dan mereka akan disiasat di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
“Pegawai mengetuai Ops Dadu juga menjelaskan sebab tangkapan dan rampasan kepada kepada semua suspek dalam bahasa mudah difahami serta menerangkan hak-haknya yang diperuntukan di bawah Seksyen 28A Kanun Prosedur Jenayah (KPJ),” katanya.
Selain itu, kesemua suspek judi masing-masing turut dikompaun RM1,500 kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan penjarakan fizikal serta berkumpul mengikut Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2021.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BENTONG: Di media sosial memaparkan seorang lelaki yang tidak memakai pelitup mulut dan hidung serta memakai “gelang merah jambu” berada di sebuah stesen minyak di Batu 1, Bentong, kira-kira jam 2.00 petang, yang ditularkan hari ini.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, lelaki warganegara tempatan berusia 25 tahun itu yang sedang mengisi minyak tanpa memakai pelitup mulut dan hidung dirakam gambarnya oleh orang awam.
“Siasatan awal pihak polis, mendapati lelaki terbabit dalam perjalanan ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Bentong untuk memotong gelang pengawasan merah jambu itu.
Gelagat seorang lelaki yang tidak memakai pelitup mulut dan hidung dan memakai “gelang merah jambu” sempat dirakam oleh orang awam di Stesen Minyak Batu 1, Bentong, hari ini
“Namun, kereta yang dipandu lelaki terbabit dipercayai kehabisan minyak dan berhenti di stesen itu untuk mengisi minyak dan sempat dirakam oleh orang awam gelagatnya,” katanya.
Katanya, siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan, perbuatan cuai yang mungkin merebakkan kejangkitan apa-apa penyakit yang berbahaya kepada nyawa dan Seksyen 17(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.
“Sesiapa yang melanggar, mana-mana peruntukan peraturan-peraturan ini atau mana-mana arahan Ketua Pengarah atau seseorang pegawai diberi kuasa melakukan suatu kesalahan dan boleh disabitkan akan denda tidak melebihi RM 50,000 atau dipenjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-keduanya sekali.
“Orang ramai dinasihatkan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP), khususnya dalam pemakaian pelitup mulut dan hidung di tempat awam serta menjaga penjarakan fizikal,” katanya.
Katanya, sebarang maklumat berkaitan aktiviti yang bertentangan dengan SOP boleh disalurkan kepada Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di talian 09-2222222 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!