Shah Alam: Disebabkan merajuk kerana dilarang bermain basikal dan permainan video dalam telefon bimbit, seorang kanak-kanak lelaki merajuk hingga melarikan diri dari rumahnya di sini semalam.
Dia bagaimanapun ditemui seorang lelaki di Perhentian Bas Setia Alam sebelum dibawa ke Balai Polis Setia Alam.
Sebelum itu, tular video di media sosial mengenai perbualan kanak-kanak berusia 11 tahun itu dengan seorang lelaki dipercayai individu yang menemuinya.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, bapa kanak-kanak itu yang berusia 44 tahun mengambil anaknya di balai polis berkenaan pada 10 malam.
“Kanak-kanak itu ditemui selamat dan dalam soal siasat, mangsa didapati keluar rumah pada 8.30 malam, kerana merajuk tidak dibenarkan bermain basikal dan bermain permainan video.
“Dia ditemui 200 meter dari kediamannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pihaknya menegur keluarga kanak-kanak itu supaya lebih peka dan memantau anak mereka, lapor HM online.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
29 ORANG TERMASUK ADUN TERATAI MASUK HUTAN SIMPAN TANPA PERMIT
LIPIS: Seramai 29 orang ditahan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Lipis kerana telah masuk ke dalam Kompatmen 536 Hutan Simpan Ulu Jelai, Perkampungan Orang Asli Rakoh, Pos Lenjang, Sungai Koyan, Lipis pada jam 8.00 pagi, semalam.
Rombongan 29 orang itu, 21 lelaki Cina, 7 orang perempuan Cina serta seorang perempuan Asli yang berasal dari Selangor dan Kuala Lumpur termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Teratai, Selangor, Bryan Lai Wai Chong.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superitenden, Azli Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku pada 17 Julai, satu daripada kumpulan ADUN itu telah masuk ke dalam Hutan Simpan, kira-kira jam 11.00 pagi.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superitenden, Azli Mohd Noor (2 dari kiri).
“Sebelum operasi itu dilakukan, PDRM Lipis menerima maklumat daripada anggota JPNP berkaitan terdapat rombongan berkenderaan masuk ke Hutan Simpan Ulu Jelai yang dipercayai untuk memberi bantuan kepada masyarakat Orang Asli di situ.
“Kesemua mereka menaiki kenderaan pacuan empat roda (4×4) dengan 11 buah kenderaan dipercayai untuk memberi bantuan makanan kepada penduduk Orang Asli di dalam kawasan Hutan Simpan Ulu Jelai.
Katanya, pihak polis dan JPNP telah bertindak dengan segera setelah menyemak kumpulan itu yang masuk ke dalam hutan tanpa permit dan tiada makluman aktiviti bantuan daripada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB).
Katanya, kesemua suspek yang ditahan dibawa ke Balai Polis Sungai Koyan untuk saringan kesihatan.
“Siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 47 dan 88 Akta Perhutanan Negara, masing-masing memerlukan permit untuk memasuki hutan simpan serta kuasa menangkap, menyita dan menyiasat oleh pegawai perhutanan.
Rombongan 29 orang yang ditahan, semalam.
“Selain itu, kes tangkapan Pelanggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) Per 5 (1)/17 (1) PPPDPPB 2021 / Sek. 14 Akta Orang Asli 1954,” katanya
Katanya, semua mereka ditahan dan semua kenderaan dibawa ke Balai Polis Sungai Koyan untuk siasatan lanjut.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
GARA-GARA BALING DENGAN KERUSI PLASTIK, MANGSA PATAH TANGAN KENA BESI COP SAWIT
JEMPOL – Seorang lelaki berusia 22 tahun yang tidak berpuas hati dibaling dengan serpihan kerusi plastik, sanggup membalas dendam dengan memukul mangsa menggunakan sebatang besi cop sawit, kejadian berlaku di Felcra Rompin, semalam.
Besi cop sawit yang digunakan untuk memukul mangsa.-Foto hiasan
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, susulan kejadian berkenaan, mangsa berusia 24 tahun terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Jempol dan doktor mengesahkan tangan kiri mangsa telah patah.
Katanya, berdasarkan siasatan, kedua-dua lelaki itu mengenali antara mereka kerana menetap di perkampungan yang sama.
“Kejadian berlaku apabila suspek dipercayai tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa yang membalingnya dengan serpihan kerusi plastik sehari sebelum kejadian suspek memukul mangsa.
“Suspek memukul mangsa dengan besi cop sawit ketika berada di atas motosikal di tepi sebuah warung di Felcra Rompin B, kira-kira jam 6.30 petang, semalam, ” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Katanya, suspek menghayun besi tersebut ke arah muka mangsa dan mangsa cuba menangkis menggunakan tangan dan menyebabkan tangan kiri mangsa sakit dan kebas.
Chang Hock berkata, selepas memukul mangsa, suspek terus melarikan diri dan mangsa telah membuat laporan polis di Balai Polis Rompin kira-kira sejam selepas kejadian.
“Suspek telah ditangkap, manakala barang kes telah dirampas untuk siasatan lanjut dan lelaki berkenaan mengaku memukul pengadu menggunakan besi tersebut,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PENUNGGANG GRAB FOOD SELAMAT SATU KELUARGA DALAM NAHAS
KUCHING: Tindakan nekad sekumpulan penunggang Grab Food bersama orang awam untuk terjun ke dalam parit besar untuk menyelamatkan nyawa satu keluarga amat dipuji ketika berlaku kejadian tersebut di Jalan Camar, Petra Jaya, semalam.
Antara penunggang Grab Food yang terjun ke dalam parit untuk menyelamatkan mangsa kemalangan.-Foto Media Sosial
Sebelum itu, sebuah kereta yang sedang bergerak terbabas ke dalam parit itu apabila cuba mengelak daripada melanggar sebuah kereta yang dipercayai keluar secara tiba-tiba di satu persimpangan.
Orang awam yang berada di situ dikenali, Aiman berkata, kira-kira 12 orang termasuk penunggang Grab Food terjun ke dalam parit sedalam kira-kira 7 kaki dan berkelebaran 4 kaki untuk menyelamatkan mangsa.
“Tindakan pantas mereka untuk terjun ke dalam parit itu adalah bagi mengelak air masuk ke dalam kereta yang mungkin berlaku nahas yang lebih buruk.
“Mereka bertindak semua mangsa termasuk seorang lelaki dewasa, seorang wanita dewasa dan 2 orang kanak-kanak dengan pantas,” katanya.
Semua mangsa dilaporkan selamat dan mengalami trauma dan dihantar oleh ambulan, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) Petra Jaya.
Semua mangsa kemalangan itu dihantar ke hospital berdekatan,
Jurucakap JBP Petra Jaya, berterima kasih kepada orang awam dan penunggang motosikal tersebut yang bertindak pantas menyelamatkan mangsa.
“Kami JBP Petra Jaya dan JBPM Sarawak mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang awam yang terlibat khasnya kepada kumpulan penunggang Grab Food Kuching Sarawak, tahniah, Anda adalah hero kami,” katanya.-SAHIH.
Kredit: Balai Bomba Petra Jaya
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
336 MASJID DAN TEMPAT SEMBELIHAN KORBAN SUDAH DIKENALPASTI
KUANTAN: Sebanyak 336 masjid dan tempat penyembelihan di seluruh Pahang telah dikenalpasti bagi urusan penyembelihan untuk ibadah korban yang bermula Selasa ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, kebenaran itu diberikan dengan syarat pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat di lokasi terbabit.
“Seramai 1,335 penyembelih dan pembantu penyembelih sudah menerima kelulusan dan dibenarkan melakukan penyembelihan bagi ibadah korban.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad
“Kita juga sudah mendapat persetujuan mengadakan ibadah korban dengan SOP ketat iaitu hanya tempat diiktiraf dan diberikan lesen oleh pihak jabatan veterinar.
“Masjid ini juga perlu memiliki kelengkapan bersesuaian dan mencukupi bagi memastikan pematuhan SOP dapat dilakukan.
“Mereka yang dibenarkan melakukan kerja penyembelihan perlu membuat ujian saringan pengesanan Covid-19 terlebih dahulu sebelum sembelihan dilakukan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mengulas mengenai kebenaran melaksanakan solat Sunat Aidiladha pula, Syed Ibrahim berkata, semua masjid dan surau yang dibenarkan melaksanakan solat Jumaat serta fardu, turut dibenarkan melaksanakan solat sunat Aidiladha, tertakluk kepada SOP ditetapkan sebelum ini.
“Walaupun dapat kebenaran untuk menunaikan solat Aidiladha, tetapi mereka mestilah mengikut SOP sebagaimana yang telah ditetapkan, sebagai contoh masjid negeri boleh solat dengan jumlah 100 jemaah.
“Jika, mereka ada keupayaan dari segi ruang, jentera untuk bantu orang ramai dan memastikan SOP dipatuhi sepenuhnya, mereka boleh mengemukakan permohonan kepada Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) untuk menambah jumlah jemaah,” katanya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
ANIH BERHAD PASTIKAN OPERASI LEBUHRAYA KLK DAN LPT FASA 1 KEKAL TERBAIK
WALAUPUN LARANGAN RENTAS NEGERI MASIH BERKUATKUASA
KUALA LUMPUR: Meskipun aktiviti rentas negeri tidak dibenarkan ketika ini, ANIH Berhad, pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), yang bermula dari Gombak, Selangor ke Jabor, Terengganu, terus peka dalam memastikan operasi dan kemudahan di sepanjang lebuh raya berada dalam keadaan terbaik.
Sudah menjadi tanggungjawab syarikat untuk memastikan keselesaan pengguna ketika menggunakan KLK dan LPT 1.
Pengarah Eksekutif ANIH Berhad, Datuk Nik Fauzi Tan Sri Nik Hussein berkata, syarikat mengambil maklum dan menghormati keputusan kerajaan mengenai larangan rentas negeri ketika ini.
Keadaan agak lengang di Plaza Tol Gombak, hari ini
“Bagaimanapun kami akan terus memastikan semua kemudahan lebuh raya termasuk di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R), Hentian Sebelah dan perkhidmatan tol serta trafik berada dalam keadaan terbaik dan bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan’’.
“Untuk tempoh musim perayaan Hari Raya Aidiladha bermula 16 Julai hingga 25 Julai 2021, ANIH Berhad menjangkakan jumlah trafik akan mengalami penurunan berbanding jumlah purata harian, masing-masing sebanyak 81.3 peratus bagi KLK dan 72.5 peratus bagi LPT 1, “ katanya melalui kenyataan media.
Katanya, bagi mengekang penularan wabak COVID-19, semua kemudahan di sepanjang KLK dan LPT 1 turut mempraktikkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang tinggi, sebagaimana ditetapkan oleh Kementerian Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Ia termasuk proses sanitasi berkala, serta penyediaan cecair pembasmi kuman, serta peralatan merekod butiran diri dan alat pengimbas suhu badan.
“Oleh itu, pengguna lebuhraya disarankan untuk sentiasa mematuhi SOP ketika menggunakan kemudahan lebuhraya,” katanya.
Kata Nik Fauzi, semasa mensyukuri nikmat Hari Raya Aidiladha yang bakal tiba, pengguna lebuh raya jangan alpa untuk terus mematuhi SOP yang disarankan dalam usaha menghentikan rantaian wabak Covid-19.
Keadaan di Plaza Tol Gombak pada jam 2.25 petang, hari ini
“Tanggungjawab ini perlu dipikul bersama, dalam memastikan Pelan Pemulihan Negara dapat dijayakan sebaiknya.
“Untuk perjalanan yang lancar, pengguna dinasihat untuk memastikan baki kad dan eWallet Touch ‘n Go adalah mencukupi sebelum memasuki lebuhraya,” katanya.
Katanya, urusan tambah nilai, pengguna boleh ke kiosk layan diri (SSK) yang disediakan di R&R Genting Sempah dan Hentian Sebelah Gombak bagi KLK ; R&R Temerloh Timur, R&R Temerloh Barat serta Plaza Tol Gambang bagi LPT1.
“Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai syarikat di laman web ANIH Berhad atau menerusi Twitter @LPTTrafik dan Facebook Lebuhraya Pantai Timur. Bagi bantuan kecemasan, pengguna disarankan untuk menghubungi talian 24 jam LPT Line di 1-700-818-700 atau 09-5479 111,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT: Jawatankuasa Bantuan Makanan Jalinan Ukhwah (food bank) Kampung Jerantut Feri menyumbang seekor ayam setiap keluarga untuk persediaan juadah menyambut sambutan Aidil Adha yang bakal disambut lusa.
Penyelaras program itu, Rozmizal Mat Lia berkata, sumbangan itu daripada kutipan belia tempatan, penduduk setempat, badan bukan kerajaan (NGO) dan penyumbang individu yang berhasrat memberi bantuan sambil bersedekah.
Penyelaras program itu, Rozmizal Mat Lia (kanan) menyampaikan sumbangan seekor ayam kepada penduduk di situ, hari ini
“Sumbangan yang diperolehi, kami belikan ayam siap proses yang didapati daripada pembekal ayam dengan harga ayam paling istimewa sambil menyumbang dan diedarkan kepada setiap keluarga di sini.
“Sebelum ini, bantuan makanan turut diberi kepada penduduk yang terkesan dan yang memerlukan termasuk lampin bayi pakai buang dan susu bayi akibat ancaman pandemik Covid-19,” katanya.
Katanya, jawatankuasa itu telah digerakkan kira-kira 3 minggu lalu dengan dana disumbangkan oleh golongan belia dan penduduk setempat kemudian baharu ada penyumbang individu lain yang prihatin.
Seorang penduduk di sini, Norjalalludin Mohd Daud (45) berkata, usaha yang dijalankan oleh penduduk di sini sangat baik untuk membantu golongan yang terkesan akibat wabak ini.
Seorang penduduk di sini, Norjalalludin Mohd Daud , 45 tahun (kiri) berkata, usaha yang dijalankan oleh penduduk di sini sangat baik untuk membantu golongan yang terkesan akibat wabak ini.
“Usaha membantu orang susah memang dituntut dalam agama agar semua merasa nikmat dan sentiasa bersyukur,”katanya.
Seorang lagi penduduk, Mohd Azizan Abdul Latif berkata, jawatankuasa Jalinan Ukhwah telah menjalankan usaha yang baik untuk memberi sumbangan berbentuk bantuan makanan kepada penduduk setempat.
“Sumbangan kecil seekor ayam segar kepada setiap keluarga amat dihargai sebagai tanda semangat kekeluargaan dan saling membantu antara penduduk setempat,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Mohd Azizan Abdul Latif berkata, jawatankuasa Jalinan Ukhwah telah menjalankan usaha yang baik untuk memberi sumbangan berbentuk bantuan makanan kepada penduduk setempat.
Jawatankuasa Jalinan Ukhwah Jerantut Feri, Mohd Nawawi Zulikifli berkata, asalnya kutipan bermula daripada golongan belia kampung di situ untuk membantu penduduk yang dikenal pasti sangat memerlukan bantuan bekalan makanan.
‘Selepas itu, terdapat Badan Bukan Kerajaan (NGO), orang perseorangan tempatan dan luar turut memberi sumbangan kepada jawatankuasa penyelaras “food bank” yang turut sama memberi sumbangan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Jerantut.
Jawatankuasa Jalinan Ukhwah Jerantut Feri, Mohd Nawawi Zulikifli
“Hari ini jawatankuasa menyalurkan sumbangan kepada hampir 200 keluarga di kampung ini dan sekitar, seekor ayam setiap keluarga untuk persediaan juadah sambutan hari raya Aidil Adha,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
LIPIS : Orang ramai yang terkesan dan memerlukan bantuan dinasihatkan menghubungi Ibupejabat Polis Daerah (IPD) atau balai polis berdekatan tempat tinggal masing-masing agar bantuan keperluan barangan dapur dapat disalurkan bagi meringankan kesukaran mereka.
Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, mereka yang memerlukan bantuan bekalan makanan boleh menghubungi talian tetap IPD yang tertera di laman sosial Facebook dan balai polis berdekatan tempat tinggal masing-masing.
Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri menyantuni salah sebuah rumah dalam Op Bantu PDRM, semalam.-Foto FB PDRM Lipis.
“Kita berharap penugasan ‘Op Bantu’ Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyalurkan bantuan kepada orang ramai yang terkesan dan telah terputus bekalan makanan.
“Skuad Amanita Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) akan segera turun ke lapangan bagi melakukan penugasan untuk menyampaikan bantuan berkenaan,” katanya di sini semalam.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Padang Tengku, Datuk Mustapa Long dan Ketua Polis Lipis, Suprintendan Azli Mohd Noor.
Sempena program itu, Mohd Yusri telah melawat sebanyak 26 buah keluarga yang terkesan dengan ancaman wabak Covid-19 dengan memberikan sumbangan bakul makanan yang disediakan oleh Kementerian Dalam Negeri dan IPD Lipis sempena Op Bantu di Kampung Mentara Baru, Merapoh dan Kampung Gua.
“Semoga bantuan ini dapat meringankan beban kesusahan yang dihadapi oleh penduduk berkenaan dan seluruh warga IPD Lipis mendoakan kesihatan yang sepenuhnya kepada mereka,” katanya.
Sementara itu, seorang penerima Op Bantu di Kampung Mentara Baru, Talhah Abdullah berkata, dia bersyukur dan berterima kasih kepada IPD Lipis atas sumbangan sangat bermanfaat meringankan sedikit perbelanjaan dalam tempoh PKP khususnya kebajikan keluarganya.
“Sejak penguatkuasaan PKP Penuh (lockdown), saya tidak dapat keluar bekerja menyebabkan kehilangan pendapatan serta langsung tidak mampu menyediakan barang keperluan dapur.
“Bantuan bakul makanan menerusi Op Bantu IPD Lipis amat diperlukan oleh penduduk yang terjejas pendapatan seperti saya sambil berdoa dengan harapan wabak pandemik Covid-19 segera pulih dalam masa terdekat,”katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
WARGA EMAS TULAR KONONNYA BERJALAN KAKI UNTUK DIVAKSINKAN
MARAN: Seorang warga emas yang ditularkan kononnya berjalan kaki untuk mendapatkan vaksin di Program Mobilisasi Vaksin Komuniti di Klinik Kesihatan Kuala Wau menafikan berjalan kaki ke program itu, semalam.
Lelaki itu, Sheikh Ramly Sheikh Ahmad, 78, dari Kampung Kertau berkata, dia memang suka berjalan kaki, kebetulan hendak ke Kuala Wau tetapi ditumpangkan oleh individu dan menghantar ke klinik di situ.
Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsudin ketika menziarah warga emas yang ditularkan berjalan kaki ke porgram vaksinansi, semalam.-Foto Pahang Media.,
“Betul saya ada berjalan kaki, tetapi apabila di separuh jalan ada orang tumpangkan saya untuk mendapatkan vaskin ke klinik.
“Saya memang menunggu untuk mendapatkan vaksin dengan rela hati, pada Jun lepas saya telah ditawarkan untuk disuntik tetapi menolaknya kerana takut,”katanya.
Katanya, dia diberitahu untuk mendapatkan vaksin di Klinik Kesihatan Pekan Tajau, tetapi memilih ke Kuala Wau kerana mahu melihat klinik baharu di situ.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsudin berkata, penduduk setempat yang memerlukan bantuan agar mendapatkan khidmat disediakan di setiap kawasan.
“Kerajaan negeri melalui Majlis Pembangunan Wanita Pahang telah menyediakan perkhidmatan pengangkutan percuma di seluruh daerah dan parlimen di negeri ini melalui Program Suri Prihatin Covid-19,”katanya.
Beliau berkata di daerah Maran, penduduk yang memerlukan bantuan berhubung dengan dengan Noramiwati Harith (019-9877764 / Maran), Noor Zalila Ahmad (013-9611099 / Jengka), Siti Aiza Yahya (011-58525214), Mimi Syam Sungit (013-9644564 / Kuala Sentul), Hanida Mansor (019-9131562 / Luit dan Norsiah Idris (013-9988850 / Chenor).-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SUNGAI PETANI: Tiga sekeluarga melalui detik cemas selepas seekor ular tedung selar sepanjang kira-kira empat meter masuk ke dalam rumah mereka di Kampung Serukam di sini, semalam.
Nurhidayah Mohd. Shawal, 20, berkata, kehadiran ular tedung tersebut disedari neneknya, Che Basah Baharom, 74, yang sedang berbaring di ruang tamu rumah kira-kira pukul 5 petang.
Katanya, ketika kejadian dia baru selesai menunaikan solat Asar di dalam bilik sebelum neneknya datang dan memaklumkan tentang reptilia itu.
Katanya, dia segera mengajak neneknya untuk bersembunyi di dalam bilik selepas mendapati ular tersebut berada dalam rumah itu, selain mengejutkan sepupunya, Nur Murni Amani Amirhizam, 16, yang sedang tidur di dalam bilik tersebut.
“Badan saya menggigil melihat ular tedung selar sedang itu ‘berdiri’ setinggi kira-kira 0.6 meter di ruang tamu rumah,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Sementara itu, tambahnya, ketika kejadian datuknya, Abu Seman Ali, 75, berada di luar rumah.
“Saya cuba menghubungi beberapa ahli keluarga terdekat untuk meminta bantuan dan seorang bapa saudara saya kemudian menghubungi rakannya dari Skuad Sungai Petani Respone Team,” ujarnya.
Sementara itu, sukarelawan dari Skuad Sungai Petani Respone Team, Mohd Amir Faizal Mohd Zaki berkata, sebaik sahaja tiba, dia mendapati ular itu berlingkar di bawah tayar basikal di ruang tamu rumah mangsa, lapor KOSMO online
Katanya, dia mengambil masa selama 15 minit untuk menangkap ular berkenaan yang bertindak agresif sebelum diserahkan kepada Pejabat Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kuala Muda untuk tindakan lanjut.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!