PKR Cabang Jerantut berlaku persaingan empat penjuru Ketua Cabang
JERANTUT – Pertandingan empat penjuru berlaku untuk jawatan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Jerantut yang bakal diadakan pada 19 April ini.
Persaingan untuk jawatan ketua cabang berlaku di antara penyandang jawatan itu, Mohd Rafly Mohd Satar akan berdepan calon Hassan Awang Mat Dahan, Mohd Hasnizam Md Daud dan Muhammad Khairul Asri Badrun.
Turut berlaku persaingan empat penjuru untuk jawatan Timbalan Cabang di antara calon, Ahmad Daud, Wan Ahmad Asmawi Wan Mohd, Aw Kah Thim dan Sinnappan a/l Palanisamy.
Pertandingan empat penjuru turut berlaku antara Amutha a/p Narayan, Rosmariana Zulkifli Endar Singh, Narrul Akma Kamaruddin dan Norizan Muhammad untuk perebutan jawatan Ketua Wanita Cabang Jerantut.
Timbalan Wanita Cabang akan berlaku pertandingan tiga penjuru antara Suganeswary a/p Subramanian, Ho Sook Yin dan Dayang Sen Mat Derus.
Jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Jerantut memperlihatkan tiga calon iaitu, Wan Solehhudin Wan Abdullah, Muhammad Hafami Jaafar dan Roymi Rosli.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PEMILIK KEDAI DIDENDA RM5,000 IKLAN PRODUK ROKOK – KES PERTAMA DI PAHANG BAWAH AKTA 852
BENTONG – Seorang pemilik perniagaan lelaki berusia 35 tahun menjadi individu pertama di Pahang yang didakwa di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) selepas didapati bersalah mengiklankan produk merokok di premisnya, awal Januari lalu.
Kes tersebut dibicarakan di Mahkamah Majistret Bentong pada 7 April 2025 dan dikendalikan oleh Ketua Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran selaku Pegawai Pendakwa Pejabat Kesihatan Daerah Bentong.
Tertuduh atau Orang Kena Saman (OKS) mengaku bersalah atas kesalahan menyebabkan penerbitan iklan mengandungi pelawaan untuk membeli produk merokok melalui satu papan iklan besar yang dipasang di atas bumbung luar kedainya di Genting Permai.
Tindakan itu dikesan semasa Operasi Bersepadu Undang-undang Kesihatan Awam (OSKA) Peringkat Negeri Pahang pada Januari lalu.
Majistret kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM5,000 atau tiga bulan penjara sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Menurut kenyataan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), kesalahan tersebut adalah mengikut Seksyen 7(1)(c) Akta 852 yang memperuntukkan denda maksimum RM20,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali bagi pesalah individu yang pertama kali.
“JKNP memandang serius isu pengiklanan produk merokok kerana ia boleh menggalakkan pembelian dalam kalangan masyarakat terutamanya kanak-kanak dan remaja,” menurut kenyataan itu.
Jabatan itu turut menegaskan bahawa hukuman berkenaan harus dijadikan pengajaran dan peringatan kepada semua pemilik serta pengusaha perniagaan agar tidak mengambil mudah isu pengiklanan produk merokok yang telah dilarang sepenuhnya sejak 1 Oktober 2024.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Tebang pokok durian: MP Raub, petani bertelagah dengan penguat kuasa Pahang
RAUB – Suasana tegang menyelubungi sebuah kawasan ladang durian di Raub pagi tadi apabila ratusan petani bertindak berkumpul bagi menghalang operasi penebangan pokok yang dijalankan oleh Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP).
Insiden itu turut menyaksikan kehadiran Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui yang turun padang menyokong para petani dan menegur tindakan UPNP yang didakwa melanggar perintah mahkamah.
Menurut Chow, Mahkamah telah mengeluarkan arahan pada Mei 2023 yang secara jelas melarang sebarang pemusnahan ladang durian sementara proses rayuan kes masih berjalan.
“Kita tidak menentang undang-undang, tetapi apa yang berlaku hari ini jelas mencabuli keputusan mahkamah.
Tindakan ini bukan sahaja menindas petani kecil, tetapi juga memberi imej buruk kepada pentadbiran negeri,” katanya kepada media di lokasi kejadian.
Difahamkan, operasi yang dijalankan itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri Pahang untuk mengambil semula tanah hutan simpan yang dikatakan telah diceroboh oleh petani sejak beberapa dekad lalu.
Namun, bagi para petani, mereka sudah lama mengusahakan tanah tersebut dan berharap satu penyelesaian adil dapat dicapai tanpa merugikan sesiapa.
Walaupun rundingan secara aman telah diusahakan, kerja-kerja penebangan tetap diteruskan.
Beberapa petani dilihat cuba menghalang jentera daripada memasuki ladang, menyebabkan suasana menjadi sedikit tegang. Namun tiada tangkapan dilaporkan setakat ini.
Chow turut diminta oleh pegawai penguat kuasa untuk mengadakan rundingan terus dengan kerajaan negeri, namun beliau menyifatkan perkara itu hanya akan melewatkan keadilan untuk petani yang terjejas.
“Saya akan terus bersama mereka. Ini bukan hanya soal tanah, tapi soal keadilan dan kehidupan,” katanya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Pemandu Bezza Maut Tersepit, Lori Rempuh di LPT Kuantan–Segamat
Muadzam Shah-“Saya terdengar dentuman kuat sebelum nampak asap berkepul dari arah jalan,” kata saksi kejadian kemalangan maut melibatkan sebuah lori dan kereta Perodua Bezza di Kilometer 125, Lebuhraya Kuantan – Segamat, di sini, petang semalam.
Dalam insiden jam 2.14 petang itu, pemandu kereta Perodua Bezza disahkan maut di lokasi selepas tersepit di tempat duduk pemandu, manakala pemandu lori dilaporkan selamat.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Salahuddin Isa berkata, sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muadzam Shah bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan.
“Pasukan tiba di lokasi pada jam 2.24 petang, kira-kira 10 kilometer dari balai. Komander Operasi, PBK II KUP Mohd Fadli Musa bersama anggota bertindak menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di bahagian tempat duduk pemandu.
“Mangsa yang berjaya dikeluarkan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat polis dan punca kejadian masih dalam siasatan.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto : Muhammad Hanafi (tengah) bersama-sama pemimpin Cabang KEADILAN Hulu Langat dari kiri, Levinraj Nesarajan bertanding untuk calon jawatan Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Kogilavaani Thangavelu (Ketua Wanita), Md Gadapin (Naib Ketua Cabang), S Muraly Sinnaiah (Timbalan Ketua Cabang), Nanthakumar Panisalbon (Ahli Jawatankuasa Cabang) dan Arba’atun calon jawatan Timbalan Ketua Wanita Cabang pada sidang media, semalam.
Muhammad Hanafi rebut jawatan Ketua Cabang Hulu Langat kukuh kerajaan pusat
Muhammad Hanafi bakal merebut jawatan Ketua Cabang KEADILAN Hulu Langat pada pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025, 12 April 2025 ini.
Beliau meletakkan lima teras komitmen yang berpaksikan keperluan semasa seperti Pembangunan Cabang yang Profesional dan Responsif dengan KEADILAN Hulu Langat bukan hanya tersusun dari segi struktur, tetapi juga responsif terhadap keperluan rakyat.
Katanya, beliau mahu mengukuhkan Jentera Pilihan Raya sebagai satu strategi yang penting memandangkan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang memerlukan persediaan yang mantap dari semua peringkat parti.
“Dasar Akar Umbi dan Inklusif sebagai langkah yang boleh memastikan suara masyarakat pelbagai latar belakang benar-benar diambil kira dalam pembentukan dasar dan program parti.
“Selain itu, Penglibatan Aktif Anak Muda, Wanita dan Aktivissebagai satu pembaharuan sebenar hanya boleh berlaku jika semua lapisan masyarakat diberikan peranan yang adil dan seimbang,” katanya.
Katanya, bertemakan “Hulu Langat Maju Bersama” adalah satu visi yang bersifat menyatu dan menjangkau pelbagai kaum dan komuniti selaras dengan Kerajaan Perpaduan.
“Sokongan Md Gadapin Ahmad Harmain dan Arba’atun Mohd Hazemi yang sudah pun lama terbabit dalam kerja-kerja kebajikan bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO), menjadikan barisan calon ini kelihatan serasi dan bersedia untuk bekerja secara kolektif.
“Cabang Hulu Langat adalah antara cabang yang paling penting, kerana ia adalah sebuah kawasan strategik yang menyumbang besar dalam memperkukuh kekuatan parti dan memperluaskan dukungan rakyat,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
1,000 keluarga Shukor dan Kardinah berkumpul hari keluarga
Foto : Sebahagian 1,000 ahli keluarga dan waris Allahyarham Shukor serta Allahyarhamah Kardinah merakamkan kenangan selepas menyertai program Hari Keluarga baru-baru ini.
Sambutan Aidilfitri 2025 di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) RKT Sri Ledang, Tangkak, Johor mencatatkan sejarah yang amat bermakna bagi ahli keluarga dan waris Allahyarham Shukor Abdullah dan Allahyarhamah Kardinah Partisan bertema “Eratkan Silaturahim dengan Kasih Sayang.”
Seribu ahli keluarga berkumpul dalam Hari Keluarga, program ini merupakan inisiatif keluarga untuk menyatukan semua generasi pertama hingga ketujuh, mengeratkan hubungan silaturahim dan memanfaatkan bulan Ramadan yang penuh barakah.
Ahli keluarga dan waris memenuhi Dewan Sekolah Kebangsaan RKT Sri Ledang, di Tangkak, Johor untuk mengaminkan doa.
Pengerusi program, Suhaimi Ariffin, menyatakan bahawa untuk mengadakan acara sebesar ini bukanlah perkara mudah.
“Sebuah jawatankuasa khas terpaksa dibentuk untuk memastikan kelancaran acara, melibatkan pelbagai tugasan dari persediaan tempat hinggalah kepada protokol dan kebersihan.
“Cabaran terbesar adalah memastikan semua ahli keluarga dapat dihubungi, terutama mereka yang berada jauh, menggunakan teknologi seperti WhatsApp dan Telegram untuk memaklumkan mengenai acara ini,” katanya.
Katanya, berkat kerjasama ahli keluarga, program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dan jemputan khas diberikan kepada ahli keluarga dari pihak isteri Allahyarham (Buyut) seramai 40 orang.
Suhaimi menyerahkan sumbangan hari raya kepada salah seorang waris kurang upaya.
“Mereka diberi layanan istimewa sebagai tanda penghargaan, selain menjamu selera dengan pelbagai hidangan hari raya, acara ini turut dimeriahkan dengan penyampaian sumbangan dan majlis bacaan Yasin, tahlil, doa selamat, serta marhaban.
“Kejayaan program ini amat menggembirakan kerana ia memberi peluang kepada ahli keluarga untuk berkenalan lebih rapat, berkongsi pengalaman hidup, dan mempereratkan ikatan kekeluargaan,” katanya.
Kata Suhaimi, program ini bukan sahaja memberi kesan yang besar kepada mereka yang hadir tetapi juga memberi impak positif kepada generasi yang akan datang dengan harapan acara serupa dapat diteruskan bagi memastikan hubungan silaturahim sentiasa kukuh.
“Program ini menekankan pentingnya menjaga hubungan kekeluargaan dan kasih sayang dalam kehidupan, serta mengingatkan tentang nilai-nilai murni yang membawa kebahagiaan di dunia dan akhirat,” katanya. – SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Tiga Mangsa Ribut Terima Bantuan Segera, Pegawai Daerah Turun Padang
TEMERLOH – Sebanyak tiga lokasi di sekitar daerah Temerloh menjadi tumpuan dalam program Santuni Mangsa Bencana Daerah Temerloh yang berlangsung hari ini.
Program yang dijalankan dengan penuh keprihatinan ini diketuai oleh Pegawai Daerah Temerloh, YH Datuk Khairur Rizal Ramli yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) serta Tabung Malapetaka Daerah (TMD) Temerloh.
Turut hadir dalam ziarah tersebut ialah Encik Muhammad Aizuddin Rupawon (Ketua Penolong Pegawai Daerah, Pembangunan), Encik Mohd Hafizul Abd Ghani (Pegawai JKM Temerloh), serta barisan penghulu mukim dan Pengerusi JPKK kampung terlibat.
Program ini memberi fokus kepada penyerahan bantuan kewangan serta keperluan asas kepada mangsa yang terkesan dengan kejadian ribut dan pokok tumbang yang berlaku sepanjang hujung Mac hingga awal April lalu.
Lawatan pertama dimulakan di Kampung Ulu Ketam, Kerdau melibatkan rumah Encik Mohammad Rahimi Mat Nor yang mengalami kerosakan pada bahagian bumbung akibat pokok tumbang pada 27 Mac lalu.
Lawatan kedua pula di Kampung Baru Paya Raja Tekal melibatkan rumah Encik Abd Halim Muda yang turut mengalami kerosakan struktur bumbung selepas insiden serupa pada 30 Mac.
Manakala lawatan terakhir dijalankan di Kampung Teluk Sentang membabitkan Encik Jemmizam Luhari yang terjejas pada 6 April apabila ribut kuat merosakkan 10 keping atap serta kayu alang rumahnya.
Menurut Datuk Khairur Rizal, program ini bukan sahaja bertujuan membantu meringankan beban mangsa bencana, malah sebagai satu bentuk sokongan moral dan tanda keprihatinan pihak kerajaan negeri kepada rakyat.
“Terima kasih kepada YAB Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Kerajaan Negeri atas sokongan tidak berbelah bahagi dalam memastikan nasib mangsa bencana terus dibela,” katanya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
TIGA KELUARGA TERIMA RUMAH BAHARU, HADIAH RAYA LEBIH BERMAKNA
TEMERLOH– Tiga keluarga dari Kampung Tanjung Kerayong dan Sungai Ketapa, Mentakab menerima ‘hadiah lebaran’ apabila menerima rumah baharu hasil penempatan semula Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Semantan, Fasa 1.
Majlis penyerahan rumah itu disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Sri Zulkifli Yaacob bersempena Program Ziarah Kasih ke daerah ini.
Rumah berkenaan dibina di atas tanah rizab Seksyen 62 Kanun Tanah Negara 1965 di Taman Bukit Cermin, Mentakab, dengan kos RM80,000 sebuah.
Ia dibiayai melalui peruntukan Projek Infrastruktur MADANI (PRISMA) Tahun 2024 oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri.
Tiga penerima yang terlibat ialah Puan Roslaili Alias (Kg Sg Ketapa), Fahrudin bin Samsudin dan Puan Noryana Abd Manap (Kg Tg Kerayong). Mereka merupakan sebahagian daripada 13 penduduk yang terjejas akibat projek PLSB ini.
Selain itu, lima lagi keluarga dipindahkan ke Rumah UAE (Bantuan Banjir) di Bukit Bendera, manakala dua lagi menerima rumah melalui Rumah Rakyat Pahang (RRP) di lokasi sama.
Baki tiga keluarga yang masih belum dipindahkan akan menerima rumah masing-masing selepas pembinaan siap di Kg Bongsu, Lanchang – hasil kelulusan di bawah Program Pemajuan Kawasan (PPK) oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Penempatan semula ini merupakan antara langkah penyelesaian jangka sederhana dan panjang dalam menangani masalah banjir di Mentakab, khususnya di sepanjang jajaran Sungai Semantan.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengarah Pembangunan Negeri Pahang, Datuk Fadzilla Salleh dan Pegawai Daerah Temerloh, Datuk Khairur Rizal Ramli.
Program PLSB Sungai Semantan bakal diteruskan ke Fasa 2 dan seterusnya hingga ke Sungai Pahang, demi kesejahteraan rakyat di kawasan berisiko banjir.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Lapan Buah Rumah Rakyat Pahang Diserahkan di Kg. Paya Luas
KUALA KRAU– Sebanyak lapan buah Rumah Rakyat Pahang (RRP) Fasa 4/2023 diserahkan kepada penerima di Kg. Paya Luas, Kuala Krau, dalam satu majlis ringkas petang ini yang disempurnakan oleh YB Dato’ Rodzuan Zaaba, Ahli Dewan Negeri (ADN) Jenderak.
Majlis penyerahan itu turut dihadiri oleh beberapa pegawai kanan kerajaan termasuk YH. Dato’ Khairur Rizal Ramli, Pegawai Daerah Temerloh; Encik Rizuwan Said, Pegawai Pertanian Daerah; Encik Muhammad Aizuddin Rupawon, Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan); dan wakil dari Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP), Encik Muhammad Ikmal Shaharul Azhar.
Turut hadir, Penghulu Mukim Jenderak 2 yang juga Menanggung Kerja Penghulu Mukim Jenderak 1, Encik Shamsul Nahar Mat Aziz, serta Pengerusi JPKK Kg. Paya Luas dan Kg. Tanjung Kubu.
Program RRP yang mula diperkenalkan pada tahun 2020 telah menyaksikan sebanyak 18 buah rumah diluluskan di bawah Dewan Negeri Jenderak sehingga Fasa 4, menjadikannya antara kawasan yang menerima manfaat terbesar di bawah Parlimen Kuala Krau, iaitu sebanyak 45 peratus daripada jumlah keseluruhan 40 buah rumah.
Untuk tahun 2025, Dewan Negeri Jenderak sekali lagi menerima lapan buah rumah di bawah RRP Fasa 5.
Temerloh merupakan antara lima daerah yang dipilih LPHP untuk meneruskan pembinaan rumah bagi fasa ini susulan kejayaan menyiapkan projek fasa-fasa terdahulu.
Menurut rekod Jawatankuasa Pembasmian Kemiskinan Focus Group (FGD) Temerloh, sebanyak 204 rumah bina baru dan 506 rumah baik pulih telah dilaksanakan dari tahun 2022 hingga 2024 melalui pelbagai agensi termasuk KKDW, ICU JPM/SDO Pahang dan MUIP.
Namun, seramai 345 orang masih menunggu bantuan perumahan di daerah ini, termasuk 110 orang dari Parlimen Kuala Krau dan 54 orang dari Dewan Negeri Jenderak.
Kerajaan komited untuk terus menyalurkan bantuan melalui pelbagai saluran bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terbela.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Kanak-kanak Jatuh Keluar Tingkap Kereta, Cedera di Muka
LIPIS – Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun cedera di muka selepas dipercayai terjatuh keluar dari tingkap sebuah kereta yang sedang berhenti di KM5 Jalan Lipis–Merapoh, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi ketika kanak-kanak terbabit berada dalam kenderaan bersama bapanya yang berusia 36 tahun, dalam perjalanan dari sebuah kedai hardware di Tempoyang menuju ke Simpang Tempoyang untuk membuat pusingan U.
“Selepas membuat pusingan U, lelaki itu berhenti di tepi jalan untuk menjawab panggilan telefon. Siasatan awal mendapati, tingkap belakang kenderaan jenis Proton Saga itu dipercayai terbuka di sebelah kiri semasa kejadian,” katanya.
Menurutnya, selepas meneruskan perjalanan, lelaki berkenaan hanya menyedari anaknya tiada di dalam kenderaan sebaik tiba di KM7. Dia kemudian berpatah balik dan cuba mencari anaknya namun gagal sebelum tampil membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Lipis.
Dalam masa sama, orang awam yang melalui jalan tersebut menemui kanak-kanak berkenaan dalam keadaan cedera di muka dan berseorangan di tepi jalan.
Mereka segera membawa mangsa ke Balai Polis Padang Tengku sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Padang Tengku untuk rawatan awal.
“Pemandu terbabit dimaklumkan mengenai keberadaan anaknya dan seterusnya mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk rawatan lanjut,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 337 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan akibat perbuatan cuai.
Pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang menyaksikan kejadian untuk tampil membantu siasatan.
“Orang ramai diingatkan supaya sentiasa memandu dengan berhemah dan memastikan keselamatan penumpang, terutamanya kanak-kanak, diberi perhatian sewajarnya,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!