Bekas COO TH dirawat kerana masalah jantung, pertuduhan rasuah ditangguh
Bekas COO TH dirawat kerana masalah jantung, pertuduhan rasuah ditangguh
KUALA LUMPUR: Masalah kesihatan berkaitan jantung menyebabkan prosiding pertuduhan terhadap bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) Lembaga Tabung Haji (TH) yang dijadualkan hari ini terpaksa ditangguhkan ke 24 September depan.
Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud membuat keputusan itu selepas peguam Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin yang mewakili bekas COO berkenaan memaklumkan anak guamnya dimasukkan ke UM Specialist Centre (UMSC) sejak 31 Ogos lalu.
Wan Azwan Aiman berkata, berdasarkan nasihat pakar kardiologi UMSC, anak guamnya kini menjalani serial ECG recording dan perlu terus berada di hospital bagi tujuan pemeriksaan serta rawatan.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muaz Ahmad Khairuddin kemudian menyerahkan kepada budi bicara mahkamah sama ada pertuduhan terhadap bekas COO berkenaan perlu dibacakan hari ini.
Bagaimanapun, Awang Kerisnada berpandangan keadaan semasa tidak memungkinkan tertuduh hadir ke mahkamah kerana sedang menjalani pemeriksaan dan rawatan berkaitan masalah jantung.
Mahkamah kemudian menetapkan 24 September ini bagi prosiding selanjutnya.
Sementara itu, Wan Azwan Aiman ketika ditemui di luar mahkamah berkata, anak guamnya dijangka berdepan tiga pertuduhan membabitkan kesalahan menerima rasuah mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
“Seksyen 165, tiga pertuduhan, kesalahan didakwa menerima rasuah. Kami hanya menerima kertas pertuduhan… we have to go through. Pertuduhan tak dibacakan, kami ada salinan, kami tunggu dokumentasi.”
Sebelum ini, SPRM memperoleh perintah reman terhadap 11 individu bagi membantu siasatan berkaitan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai TH.
Antara individu yang direman ialah bekas pengerusi TH, bekas ketua pegawai eksekutif (CEO), bekas menteri serta beberapa pegawai pengurusan kanan dan individu berkaitan syarikat terbabit.-SAHIH
Sumber :BERNAMA
#kw: Tabung Haji, TH, bekas COO, rasuah, SPRM, mahkamah, UMSC, masalah jantung, Seksyen 165 Kanun Keseksaan, RCI Tabung Haji
