Isu pajakan hotel TH di Arab Saudi, bekas menteri direman lima hari
Isu pajakan hotel TH di Arab Saudi, bekas menteri direman lima hari
PUTRAJAYA: Seorang bekas menteri direman selama lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu pajakan hotel berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) di Arab Saudi.
Perintah reman sehingga Ahad terhadap lelaki berusia lingkungan 60-an itu dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya.
Bekas menteri berkenaan ditahan kira-kira jam 4.30 petang, Selasa lalu, ketika hadir di SPRM bagi memberi keterangan berkaitan siasatan tersebut.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.
Menurut beliau, kes itu disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Siasatan berkenaan berkait isu pajakan hotel melibatkan TH di Arab Saudi yang turut menjadi antara perkara diberi perhatian menerusi Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan pengurusan dan operasi institusi berkenaan.
Laporan RCI TH yang didedahkan kepada umum pada 29 Julai lalu merekodkan pelbagai kelemahan dalam aspek pengurusan dan operasi TH sepanjang tempoh 2014 hingga 2020.
Laporan berkenaan turut menyenaraikan beberapa pelaburan bermasalah yang memerlukan audit forensik bagi meneliti transaksi dan urusan berkaitan dengan lebih terperinci.
Selain itu, laporan RCI berkenaan turut menyebut mengenai kewujudan transaksi yang mencurigakan serta penyembunyian maklumat.
Siasatan lanjut SPRM masih diteruskan bagi mengenal pasti pihak terbabit serta mendapatkan maklumat lanjut berhubung isu pajakan hotel berkenaan.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: SPRM, Lembaga Tabung Haji, bekas menteri, pajakan hotel, Arab Saudi, RCI Tabung Haji, Abd Halim Aman, reman
