RCI Tabung Haji: Beberapa individu bakal didakwa esok, lusa
RCI Tabung Haji: Beberapa individu bakal didakwa esok, lusa
PUTRAJAYA: Beberapa individu yang pernah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan berkaitan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) dijangka berdepan pertuduhan di mahkamah bermula esok.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, berdasarkan maklumat diterimanya, pertuduhan akan dibuat di mahkamah di Shah Alam, Kuala Lumpur dan Kelantan pada esok serta lusa.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM, Rabu.
Menurutnya, dua pertuduhan berkenaan membabitkan kesalahan penyalahgunaan kuasa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 serta kesalahan menipu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Dalam perkembangan sama, Abd Halim berkata, terdapat satu lagi kertas siasatan yang akan dikemukakan kepada pihak Peguam Negara dalam masa terdekat untuk pertimbangan pertuduhan.
“Ia membabitkan perkara pelaburan dan pajakan Lembaga Tabung Haji dalam Al-Rawda Real Estate Development and Project Management Company Limited iaitu pajakan hotel di Makkah dan Madinah.
“Ia membabitkan jumlah 2.49 bilion riyal Saudi,” katanya.
Beliau turut tidak menolak kemungkinan kertas siasatan yang dijangka membawa kepada pertuduhan pada minggu hadapan membabitkan golongan kenamaan yang pernah direman SPRM sebelum ini.
Secara keseluruhan, SPRM membuka 14 kertas siasatan berkaitan RCI Tabung Haji dengan empat daripadanya diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut.
Setakat ini, seramai 18 individu ditahan bagi membantu siasatan dengan 11 daripada mereka direman.
SPRM turut memanggil 245 saksi bagi membantu siasatan selain memeriksa dan menggeledah 60 premis untuk mendapatkan dokumen berkaitan.
Antara 11 individu yang pernah direman ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif TH Plantation, bekas Ketua Pegawai Kewangan TH Plantation, bekas pengarah Putra Perdana Construction, bekas pengarah Putrajaya Perdana Berhad serta bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: SPRM, Lembaga Tabung Haji, RCI Tabung Haji, Abd Halim Aman, rasuah, penyalahgunaan kuasa, Seksyen 420, TH Plantation, Al-Rawda
