Ketua Eksekutif Macao mulakan lawatan kerja empat hari ke Malaysia
Ketua Eksekutif Macao mulakan lawatan kerja empat hari ke Malaysia
KUALA LUMPUR: Hubungan Malaysia dan Wilayah Pentadbiran Khas (SAR) Macao dijangka terus diperkukuh menerusi lawatan kerja empat hari Ketua Eksekutifnya, Sam Hou Fai ke negara ini bermula Rabu hingga 5 September.
Sam bersama delegasinya tiba di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 7.15 malam menaiki pesawat komersial.
Lawatan itu merupakan kunjungan kerja pertama Sam ke Malaysia sejak beliau menyandang jawatan sebagai Ketua Eksekutif SAR Macao keempat pada 2024.
Ketibaan beliau bersama isterinya, Wong Sio Peng serta Setiausaha Ekonomi dan Kewangan, Lei Wai Nong disambut Ketua Protokol Kerajaan Malaysia, Datuk Rozainor Ramli.
Menurut kenyataan Wisma Putra, Sam dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sepanjang lawatan berkenaan.
Pertemuan itu dijangka memberi ruang kepada kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai hubungan dua hala antara Malaysia dan SAR Macao dalam konteks kerangka One Country, Two Systems.
Kedua-dua pihak turut dijangka menilai perkembangan semasa kerjasama dua hala selain membincangkan hala tuju hubungan pada masa depan.
Antara bidang yang dijangka menjadi tumpuan termasuk perdagangan dan ekonomi, pelancongan dan kebudayaan serta pertukaran rakyat antara kedua-dua wilayah.
Hubungan ekonomi Malaysia dan SAR Macao turut menunjukkan perkembangan positif apabila jumlah perdagangan dua hala pada 2025 mencecah RM367.7 juta atau AS$85.8 juta.
Jumlah itu meningkat 73.6 peratus berbanding nilai perdagangan yang direkodkan pada 2024.
Lawatan berkenaan dilihat menjadi platform penting untuk memperluas kerjasama sedia ada selain meneroka peluang baharu yang boleh memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: Sam Hou Fai, SAR Macao, Malaysia, Anwar Ibrahim, Wisma Putra, lawatan kerja, perdagangan, pelancongan, hubungan dua hala, One Country Two Systems
