Pindaan Akta TH lebih 90 peratus siap, tunggu laluan ke Kabinet
Pindaan Akta TH lebih 90 peratus siap, tunggu laluan ke Kabinet
KUALA LUMPUR: Usaha memperkukuh tadbir urus Lembaga Tabung Haji (TH) memasuki fasa akhir apabila proses pindaan Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) kini melepasi 90 peratus di peringkat dalaman institusi itu.
Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, pindaan berkenaan adalah antara baki tindakan utama susulan 25 syor yang dikemukakan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai TH.
Menurutnya, daripada keseluruhan syor berkenaan, sebanyak 19 tindakan sudah dilaksanakan manakala baki enam lagi masih dalam proses.
“Daripada 25 syor, 19 sudah diambil tindakan dan baki enam lagi sedang dalam proses.
“Satu yang paling utama ialah pindaan kepada Akta 535. Saya boleh maklumkan kita sudah lebih 90 peratus dalam tindakan, tetapi masih perlu ada pengakhiran sebelum kita bawa perubahan polisi itu ke Kabinet dan seterusnya ke Parlimen,” katanya.
Mustakim berkata, antara baki tindakan berkenaan termasuk pindaan Akta 535, mengehadkan skop pengawasan Bank Negara Malaysia terhadap TH serta memperkukuh proses tatatertib.
Sementara itu, Pengerusi TH, Tan Sri Rashid Hussin berkata, pihaknya sudah mengusahakan pindaan berkenaan secara intensif sejak kira-kira setahun lalu.
Katanya, proses itu turut membabitkan beberapa siri libat urus dengan badan kawal selia dan pihak berkepentingan bagi memastikan pindaan yang dicadangkan benar-benar memenuhi keperluan semasa.
Menurut beliau, sebarang pindaan akta perlu melalui beberapa peringkat termasuk penelitian serta pertimbangan di peringkat menteri, Kabinet dan Jabatan Peguam Negara sebelum boleh dibentangkan di Parlimen.
“Proses ini perlu melalui Jabatan Peguam Negara untuk mendapatkan pandangan akhir sebelum langkah seterusnya diambil,” katanya.
Pindaan Akta 535 dilihat sebagai antara langkah penting dalam usaha memastikan struktur tadbir urus dan pengawasan TH lebih jelas, kukuh serta selari dengan penambahbaikan yang disyorkan RCI.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: Tabung Haji, TH, Akta 535, Mustakim Mohamad, Tan Sri Rashid Hussin, pindaan akta, RCI Tabung Haji, Kabinet, Parlimen, Bank Negara Malaysia
