KLANG: Bayi perempuan dipercayai baru dilahirkan beberapa jam ditemukan di belakang sebuah rumah di Kampung Delek Kanan dekat sini, tengah hari tadi.
Bayi yang dibungkus dengan kain batik dan tuala itu masih bertali pusat serta uri.
Ketua Polis Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, berkata pihaknya menerima panggilan daripada seorang lelaki sekitar jam 12 tengah hari mendakwa menemui bayi perempuan di belakang sebuah rumah.
Katanya, siasatan awal mendapati bayi berkenaan dijumpai lelaki itu selepas diberitahu oleh kanak-kanak yang bermain di hadapan rumahnya.
“Tiada maklumat atau sijil kelahiran ditemui bersamanya.
“Pemeriksaan awal pegawai perubatan Hospital Tengku Ampuan Rahimah di tempat kejadian mendapati fizikal bayi dalam keadaan normal serta stabil.
“Usia bayi dipercayai baru beberapa jam berdasarkan uri dan tali pusat masih basah. Bayi itu kemudian dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata usaha mengesan suspek giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Seorang paderi warga Korea dari gereja Persatuan Orang Pekak, ditahan pada 23 November lalu, kerana disyaki mencabul kehormatan lima lelaki Orang Kelainan Upaya (OKU) warga tempatan.
Kesemua mangsa yang juga penganut Kristian berusia antara 27 hingga 40 tahun yang pekak dan bisu kerap menghadiri kelas keagamaan di sekitar Pulau Pinang dan Selangor termasuk dikendalikan oleh suspek terbabit.
Menurut laporan BHOnline, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata setakat ini, pihaknya menerima lima dan satu laporan masing-masing di Pulau Pinang dan Selangor berhubung kes berkenaan membabitkan suspek berusia 54 tahun.
GAMBAR HIASAN
“Kita terima laporan pertama pada 12 November lalu dan susulan itu, lima lagi laporan kes sama diterima. Suspek sudah berkahwin dan mempunyai dua anak di mana keluarganya berada di Korea dan dia datang ke Malaysia atas pelawaan oleh pengasas Persatuan Orang Pekak untuk menjadi paderi dan mengajar di gereja itu sejak 1998.
“Mereka adalah penganut Kristian dan ahli Persatuan Orang Pekak. Mangsa kerap hadir kelas keagamaan dan aktiviti gereja di sekitar Pulau Pinang dan Selangor,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Huzir berkata modus operandi suspek adalah berkenalan dengan mangsa ketika menghadiri kelas keagamaan dan aktiviti di gereja.
“Suspek mencabul mangsa dengan memeluk, mencium bibir dan menggeselkan kemaluannya dan kejadian dikatakan berlaku di gereja, dalam kereta dan rumah sewa suspek antara 2011 hingga 2016.
“Mangsa lewat membuat laporan polis kerana sebelum ini suspek sering mempengaruhi mangsa dengan mengatakan dia seorang pemimpin dan mereka perlu menuruti setiap arahannya,” katanya.
GAMBAR HIASAN
Beliau berkata siasatan lanjut mendapati terdapat empat cawangan persatuan itu di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Melaka dan Perak manakala dua cawangan di Sarawak iaitu di Sibu dan Kuching.
“Suspek direman selama tujuh hari berakhir 30 November lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara l, Pulau Pinang, sebelum dikuarantin hingga 8 Disember kerana mempunyai kontak rapat dengan seorang tahanan yang disahkan positif COVID-19 di lokap.
“Suspek ditangkap semula bersabit laporan polis dibuat di Kepala Batas dan direman selama empat hari bagi siasatan dua kes di Pulau Pinang,” katanya.
Suspek direman selama enam hari bermula 13 Disember hingga esok bersabit laporan polis di Petaling Jaya, sebelum bakal berhadapan dengan dua tuduhan di Mahkamah Butterworth Pulau Pinang pada 21 Disember ini.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BUKIT MERTAJAM: Empat lelaki dipercayai anggota geng curi lembu dan kerbau berpura-pura memancing ikan di Sungai Kulim, di sini sebelum menyumpit kerbau milik penduduk yang ditambat di tepi sungai berkenaan di Kubang Semang, di sini hari ini.
Bernama melaporkan, geng itu yang dipercayai aktif dalam kegiatan berkenaan di sekitar daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT) menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda Odyssey untuk mencuri haiwan peliharaan penduduk.
Anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kubang Semang Saidin Yaakob berkata, sambil memancing, mereka menyumpit kerbau dipercayai dengan ubat pelali bagi melemahkan haiwan itu sebelum disumbat ke dalam MPV berkenaan untuk melarikannya.
Bagaimanapun, katanya gelagat empat lelaki berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun itu dilihat seorang remaja yang kemudiannya memaklumkan kepada penduduk kampung sebelum mereka cuba menahan geng berkenaan.
“Mereka yang bersenjatakan parang itu panik selepas melihat penduduk kampung, bertindak melarikan diri dengan meninggalkan kerbau dalam MPV yang digunakan geng itu.
Empat lelaki itu bagaimanapun bertindak mencuri dua motosikal penduduk ketika cuba melarikan diri. Kerbau yang cuba dilarikan tersebut berharga antara RM7,000 hingga RM8,000,” katanya di sini.
Saidin berkata pemilik kerbau yang berusia 50-an itu membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan dan dia juga pernah kehilangan tiga ekor lembu dalam kejadian Ramadan lepas.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan katanya polis juga menerima laporan daripada pemilik kerbau berkenaan.
Katanya siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan mereka yang terlibat dalam kegiatan itu dan polis percaya empat lelaki itu merupakan anggota sindiket mencuri lembu dan kerbau.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BANDAR BAHARU: Seorang lelaki maut selepas terkena percikan kilat ketika melakukan kerja memotong rumput di sebuah kebun durian di Bukit Limau, Permatang Kerat Telunjuk dekat Bandar Baharu, Kedah pada petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa, Mohd Isa Abdul Rani, 50, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
GAMBAR HIASAN
Ketua Polis Daerah Bandar Baharu, Deputi Superintenden Akmal Hizam Abd Khupur berkata, polis menerima panggilan daripada orang awam kira-kira pukul 5 petang kelmarin.
Katanya, hasil siasatan awal dipercayai mangsa bersama dua orang rakannya sedang memotong besi di bawah pondok rehat di kawasan kebun itu.
“Memandangkan keadaan cuaca yang gelap kerana mahu hujan selain disertai kilat dan guruh, mangsa kemudian menghentikan kerja dan berbual bersama rakannya.
“Sambil berbual, mangsa berbaring di bawah pondok itu dan pada ketika itu berlaku hujan lebat serta petir,” katanya seperti dilapor UtusanMalaysia, hari ini.
Beliau berkata, seorang rakan mangsa kemudian ternampak percikan api kilat meletup dan memanah ke arah kawasan yang berlopak di kawasan pondok tersebut.
“Rakannya terkejut sambil menjerit dan terus berlari menyelamatkan diri ke tepi pondok,” jelasnya.
Akmal Hizam berkata, rakannya itu kemudian memanggil mangsa beberapa kali tetapi tiada respons dan hanya kaki mangsa bergerak sedikit.
“Rakan mangsa kemudian menghubungi penyelia kebun untuk bantuan sebelum pegawai perubatan yang tiba mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya.
Tambahnya, kedudukan mangsa dengan tempat panahan petir adalah kira-kira tiga meter.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat dan punca kematian mangsa adalah disebabkan panahan petir,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JOHOR BAHRU: Dua lelaki berputih mata apabila barangan rokok seludup yang dibawa mereka bernilai RM138,720 dipintas polis di Taman Cendana, Pasir Gudang, dekat sini semalam.
Memetik laporan BHOnline, kegiatan dua lelaki berusia 26 tahun itu terbongkar selepas dua buah kenderaan, iaitu Perodua Alza dan Suzuki Swift yang dinaiki mereka ditahan di jalan berkenaan pada jam 1.45 petang.
Pegawai Pemerintah Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Dimin Awang berkata, hasil pemeriksaan ke atas Perodua Alza telah menemukan sebanyak 242 karton rokok seludup pelbagai jenama.
“Anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah lebih RM138,000.
“Lelaki menaiki Perodua Alza dipercayai bertindak sebagai penghantar rokok, manakala sorang lagi adalah tonto,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Dimin, tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat dibawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KEDAH: Kanak-kanak berusia 12 tahun dari Sekolah Kebangsaan (SK) Uda di sini mendapat perhatian netizen apabila berjaya menghasilkan lakaran pelan bangunan yang kemudiannya digunakan untuk mengubah suai dapur di rumah ibu dan bapanya.
Malah video yang dikongsikan bapanya, Mohd Hardy di media sosial turut mendapat perhatian vlogger luar negara yang kagum dengan kemahirannya.
Hasil lakaran Airiel seperti seorang profesional biarpun baru berusia 12 tahun
Menurut Mohd Hardy, anak sulongnya Airiel Haziq sememangnya meminati bidang tersebut dan mereka sedaya upaya memberikan yang terbaik untuk mengembangkan bakatnya.
Katanya, biarpun bidang tersebut amat berbeza memandangkan beliau merupakan penyelaras insurans manakala isterinya merupakan seorang jururawat namun mereka sentiasa menyokong minat Airiel.
“Saya suka sangat layan pertanyaan anak-anak.
“Kadang-kadang saya terpaksa ambil tahu benda yang saya tak tahu untuk jelaskan.
“Kadang-kadang kena jadi jurutera, kadang-kadang jadi cikgu, ahli sukan… macam-macam lah,” katanya.
Airiel sedang membuat model rumah mini seperti yang direkanya.Gambar ini perkongsian theklasik.comdan I Network Muslim
Beliau turut menasihatkan ibu bapa agar tidak boleh sesekali mematahkan impian anak-anak, sebaliknya, cuba memenuhi impian mereka.
Menceritakan perihal anak sulungnya yang gemar bertanya, kata Mohd Hardy, beliau mencari jawapan dengan merujuk rakan-rakan dalam bidang seni bina dan internet untuk membantu anaknya.
“Soalan anak-anak mesti dijawab. Walaupun tak ada jawapan, mesti kena cari.
“Sekurang-kurangnya dia ada jawapan yang logik. Memori anak-anak masih segar. Dapat, terus simpan. Bila dah besar, sayang masa tu dah berlalu. Tak ada input yang otak perlukan,” katanya.
Kongsi Mohd Hardy lagi, mereka turut membelikan buku-buku berkaitan kejuruteraan buat anaknya.
Antara buku rujukan yang dibeli Hardy untuk anak sulongnya itu bagi memenuhi minat Airiel
“Saya tak adalah pandai sangat. Saya dan isteri anak orang susah. Semuanya kami survive sendiri. InsyaAllah ada jalannya.
“Saya belikan buku-buku yang agak advance berbanding umurnya yang baru darjah enam,” kongsi beliau.
Airiel bakal menyertai pertandingan Science, Technology, Engineering & Mathematic di mana dia dan pasukannya akan mewakili sekolahnya membentangkan pelan dan model seni bina.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
IPOH: Wanita yang kematian tiga anak dalam nahas di Kilometer 272.5 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, petang semalam, masih berada dalam keadaan koma tetapi stabil.
Mangsa, Nur Aimi Nadiah Abdul Rahim, 27, dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun, pagi tadi.
Sehingga kini, ahli keluarganya belum berpeluang melihat sendiri keadaan mangsa, sebaliknya sekadar mendapat maklumat daripada doktor yang merawat.
Menurut Berita Harian, abang mangsa, Muhd Jazli Aiman, 31, berkata mereka dimaklumkan doktor yang adiknya berada dalam keadaan stabil.
“Saya pun belum berkesempatan melihat adik kerana tidak dibenarkan berbuat demikian dan tidak tahu keadaannya macam mana.
“Kami dimaklumkan doktor, yang adik saya stabil cuma belum sedarkan diri,” katanya ketika ditemui menguruskan jenazah tiga anak saudaranya yang terbunuh dalam nahas itu di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini hari ini.
Muhd Jazli berkata, ketika nahas berlaku, adiknya dalam perjalanan ke Pulau Pinang untuk bekerja sebagai kerani sebuah syarikat swasta di sana.
Beliau berkata, Nur Aimi bersama ketiga-tiga anaknya memang tinggal berasingan dengan suami.
Katanya, jenazah tiga anak saudaranya itu dijangka akan dikebumikan di Kampung Sungai Putat, Melaka, hari ini.
Dalam nahas jam 3 petang itu, Nur Aimi Nadiah, 27, cedera parah manakala tiga anaknya, Muhammad Adam Hakimi Muhammad Alhafis, 7; Muhammad Lutfi Hakim, 3, dan Muhammad Affan Hafiy, 1, maut di lokasi.
Kejadian berlaku apabila Perodua Axia dipandu Nur Aimi terbabas sebelum melanggar belakang treler yang berada di laluan kecemasan.
Kemalangan membabitkan kereta dan dua lori itu berlaku di Kilometer 272.5 PLUS arah utara berhampiran Taman Rekreasi Gunung Lang dekat Ipoh, Perak.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Perkhidmatan feri Pulau Pinang akan diteruskan seperti mana dinyatakan dalam syarat bagi pembiayaan kerajaan kepada Pelabuhan Pulau Pinang.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata kerajaan meluluskan RM30 juta kepada Pelabuhan Pulau Pinang bagi mengambil alih perkhidmatan feri.
“Saya mengesahkan peruntukan itu seperti yang diluluskan akan dibayar secara dua ansuran tahunan yang mana RM15 juta untuk 2021 akan dibayar pada 2021 sebagaimana diluluskan dalam Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021.
“Baki RM15 juta akan disediakan kerajaan. Kerajaan akan memastikan Pelabuhan Pulau Pinang disyaratkan untuk meneruskan perkhidmatan feri Pulau Pinang yang ikonik dan berwarisan,” katanya seperti dilaporkan BH Online.
Beliau berkata demikian dalam sesi penggulungan RUU Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit COVID-19) 2020, di Dewan Rakyat, hari ini.
Isu berkenaan dibangkitkan Lim Guan Eng (PH-Bagan) pada sesi perbahasan sebelum itu.
Sebelum ini, Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang mengumumkan perkhidmatan feri Pulau Pinang yang menghubungkan tanah besar di Seberang Perai dengan bahagian pulau negeri itu sejak 126 tahun lalu, akan diganti dengan bot penumpang laju bermula 1 Januari depan.
Feri sedia ada pula hanya akan digunakan sebagai medium pengangkutan kepada pengguna basikal dan motosikal bermula tarikh sama.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
NEW YORK: Seorang pakar politik Amerika Syarikat (AS) menyifatkan kenyataan terbaharu Presiden Iran, Hassan Rouhani mengenai perjanjian nuklear 2015 sebagai positif, dan yakin pentadbiran baharu AS bersedia memulihkan perjanjian berkenaan.
Pengerusi Persatuan Pengendalian Senjata, Daryl Kimball, dalam temu bual eksklusif bersama IRNA, berkata presiden AS baharu yang bakal masuk ke Rumah Putih adalah penyokong perjanjian nuklear itu.
Penganalisis berpusat di Washington itu berpandangan pentadbiran AS di bawah Presiden yang dipilih, Joe Biden adalah peluang penting untuk Iran dan AS melaksanakan komitmen masing-masing di bawah perjanjian itu, yang dikenali sebagai Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA).
Kenyataan terkini oleh Hassan berhubung kesediaan Iran mematuhi JCPOA dialu-alukan AS, khususnya pentadbiran baharu Biden, kata Kimball.
Menurut penganalisis politik itu, Biden memiliki kuasa eksekutif untuk membatalkan semua sekatan anti-Iran, yang pernah dibatalkan bekas Presiden AS, Barack Obama pada Januari 2016.
Kimball percaya, pentadbiran Biden mungkin membatalkan sekatan yang tidak berkaitan dengan nuklear yang dilaksanakan oleh Presiden AS, Donald Trump, dan percaya itu adalah antara yang akan dibincangkan perunding Iran dan AS.
Beliau juga berpandangan, JCPOA bukanlah perjanjian yang sempurna dan bersifat kekal, sekali gus Eropah, Russia dan China sedar bahawa beberapa isu lain perlu dirangkumkan dalam rundingan akan datang.
JCPOA adalah asas untuk memulakan rundingan dan cuba menyelesaikan perbezaan antara pihak AS-Eropah dengan Iran, katanya.
Mengenai alasan kuasa Barat mahu berunding dengan Iran mengenai senjata nuklear, Kimball berkata, masanya sudah tiba untuk kerajaan di rantau Asia Barat memulakan rundingan serius memperlahankan perlumbaan senjata itu, lapor AGENSI.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BEIJING: Kapsul kapal angkasa China, Chang’e-5 selamat mendarat di bumi awal pagi tadi, membawa sampel tanah dan batu dari bulan, yang juga sampel bulan terbaru di dunia dalam tempoh lebih 40 tahun.
Kapsul pesawat angkasa lepas itu mendarat di Siziwang Banner di Wilayah Autonomi Inner Mongolia pada jam 1.59 pagi (waktu Beijing), menurut Pentadbiran Angkasa Lepas Nasional China (CNSA).
Ketua CNSA, Zhang Kejian, mengisytiharkan misi Chang’e-5 adalah sebagai berjaya, yang memuktamadkan kejayaan program eksplorasi bulan membabitkan tiga fasa itu mengorbit, mendarat dan membawa pulang sampel, yang bermula pada 2004.
Kapsul itu berpisah daripada pengorbit kira-kira 5,000 kilometer (km) di atas lautan Atlantik. Ia memasuki atmosfera bumi pada altitud 120 km dengan kelajuan sekitar 11.2 km sesaat pada jam 1.33 pagi, menurut laporan agensi berita Xinhua.
Sekitar 10 km dari bumi, payung terjun dilepaskan. Kapsul itu selamat mendarat di kawasan yang ditetapkan, dan pasukan pencarian berjaya mendapatkan kapsul berkenaan.
Kapsul itu kemudian akan diterbangkan ke Beijing dan sampel bulan itu akan dihantar kepada pasukan penyelidik untuk dianalisis, kata CNSA.
AGENSI melaporkan, China akan membenarkan sebahagian sampel itu diberikan kepada saintis luar negara, kata Timbalan Pengarah Pusat Program Angkasa Lepas dan Eksplorasi Lunar CNSA, Pei Zhaoyu.
Chang’e-5 adalah antara misi paling rumit dan mencabar dalam sejarah eksplorasi angkasa lepas China. Kapsul itu dilancarkan pada 24 November lalu dan mendarat di utara Mons Rumker di Oceanus Procellarum, yang turut dikenali sebagai Lautan Ribut pada 1 Disember.
Lokasi itu dipilih kerana memiliki usia geologi yang masih muda berbanding kawasan sampel Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Soviet lebih 40 tahun lalu, selain tidak pernah disampel. Penyelidik percaya sampel baharu itu amat bernilai secara saintifik.
Kejayaan itu membolehkan China muncul negara ketiga memperoleh sampel dari bulan, selepas Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Soviet pada 1960-an serta 1970-an.
Misi itu adalah percubaan pertama untuk membawa pulang sampel dari bulan selepas Kesatuan Soviet melakukannya pada 1976.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!