BIDEN DIJANGKA KAJI SEMULA SEKATAN ANTI-IRAN
NEW YORK: Seorang pakar politik Amerika Syarikat (AS) menyifatkan kenyataan terbaharu Presiden Iran, Hassan Rouhani mengenai perjanjian nuklear 2015 sebagai positif, dan yakin pentadbiran baharu AS bersedia memulihkan perjanjian berkenaan.
Pengerusi Persatuan Pengendalian Senjata, Daryl Kimball, dalam temu bual eksklusif bersama IRNA, berkata presiden AS baharu yang bakal masuk ke Rumah Putih adalah penyokong perjanjian nuklear itu.
Penganalisis berpusat di Washington itu berpandangan pentadbiran AS di bawah Presiden yang dipilih, Joe Biden adalah peluang penting untuk Iran dan AS melaksanakan komitmen masing-masing di bawah perjanjian itu, yang dikenali sebagai Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA).
Kenyataan terkini oleh Hassan berhubung kesediaan Iran mematuhi JCPOA dialu-alukan AS, khususnya pentadbiran baharu Biden, kata Kimball.
Menurut penganalisis politik itu, Biden memiliki kuasa eksekutif untuk membatalkan semua sekatan anti-Iran, yang pernah dibatalkan bekas Presiden AS, Barack Obama pada Januari 2016.
Kimball percaya, pentadbiran Biden mungkin membatalkan sekatan yang tidak berkaitan dengan nuklear yang dilaksanakan oleh Presiden AS, Donald Trump, dan percaya itu adalah antara yang akan dibincangkan perunding Iran dan AS.
Beliau juga berpandangan, JCPOA bukanlah perjanjian yang sempurna dan bersifat kekal, sekali gus Eropah, Russia dan China sedar bahawa beberapa isu lain perlu dirangkumkan dalam rundingan akan datang.
JCPOA adalah asas untuk memulakan rundingan dan cuba menyelesaikan perbezaan antara pihak AS-Eropah dengan Iran, katanya.
Mengenai alasan kuasa Barat mahu berunding dengan Iran mengenai senjata nuklear, Kimball berkata, masanya sudah tiba untuk kerajaan di rantau Asia Barat memulakan rundingan serius memperlahankan perlumbaan senjata itu, lapor AGENSI.