SUSPEK ADA 22 REKOD JENAYAH LAMPAU DITAHAN MENCURI
SLIM RIVER: Seorang lelaki tidak sempat merasa wang jualan barangan yang dicurinya apabila dia ditahan polis kurang lapan jam selepas melakukan kegiatan itu di sebuah kedai besi dan kimpalan di sini awal pagi Isnin.
Lelaki berusia 42 tahun yang merupakan bekas tahanan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) itu dikesan memecah masuk kedai terbabit sekitar jam 1.30 pagi.
Bagaimanapun, perbuatannnya disedari pemilik premis yang melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menerusi telefon bimbit sebelum membuat laporan polis, lapor SINAR HARIAN.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, rakaman CCTV itu menunjukkan suspek yang pernah bekerja di situ telah memotong mangga kunci dan memecah masuk kedai berkenaan.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati suspek membawa lari beberapa barangan; antaranya mesin dan kabel kimpalan, gerudi, wayar tembaga, ‘sleeve anchors’, ‘inox’, ‘angle grinder’, mesin bulat mata grinder, mata gerudi dan besi.
“Berdasarkan maklumat diperoleh itu, polis berjaya menjejaki dan menangkap suspek di sebuah rumah di Bandar Baru Slim River pada jam 8.45 pagi pada hari yang sama.
“Semua barangan yang dicuri juga dapat dirampas semula. Suspek meletakkan sebahagian barangan dicuri itu di rumah berkenaan, manakala sebahagian lagi disorok di sebuah rumah lain yang berdekatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.
Beliau berkata, tindakan pantas polis menyebabkan suspek tidak sempat menjual semua barangan yang dicuri itu.
Menurutnya, semakan turut mendapati lelaki terbabit mempunyai 22 rekod lampau pelbagai kesalahan dan pernah dihukum.
“Suspek telah direman selama empat hari sehingga 1 Januari depan bagi siasatan kes di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Berpegang prinsip tiada golongan tersisih daripada bantuan kerajaan dalam berdepan pandemik COVID-19, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengagihkan bantuan kepada 100 artis veteran.
Program penyerahan bantuan hasil inisiatif Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM) di Dewan Perdana Nur, KPWKM di Putrajaya, semalam, mengagihkan barangan keperluan harian, makanan, ubat-ubatan, fabrik dan wang kepada penerima.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun, berkata elemen seni dan tenaga penggeraknya selama ini menjadi suatu bentuk terapi kepada setiap insan.
“Sejajar prinsip tiada yang ketinggalan menikmati kemudahan kerajaan selain memahami artis veteran terjejas akibat pandemik COVID-19, kementerian bersetuju menyampaikan bantuan berupa makanan dan wang tunai sumbangan Yayasan Kebajikan Negara kepada ahli PKAVM.
“Saya dimaklumkan penerima adalah pelakon, penyanyi, pelawak dan pemuzik. Ada dalam kalangan mereka hilang punca pendapatan kerana tidak berupaya memenuhi undangan seperti tawaran berlakon dan menyanyi akibat COVID-19 selain faktor kesihatan,” katanya pada majlis penyerahan bantuan itu, semalam.
Rina berkata, kementerian berminat menjalin kerjasama strategik dengan PKAVM untuk menganjurkan program demi manfaat ahli.
“Semua artis veteran yang hadir ini pernah mewarnai industri seni. Menghiburkan kami di kala suka dan duka serta menceriakan hari kami melalui kaca televisyen (TV) dan radio dengan karya serta bakat masing-masing.
“Jadi, tiba masanya, kementerian menceriakan hari mereka.
“Disebabkan artis adalah figura dan personaliti yang sangat dekat dengan rakyat, kementerian berhasrat menjalin kerjasama erat dengan persatuan terutama dalam membantu penyampaian perkhidmatan KPWKM kepada rakyat,” katanya.
Rina berkata, pelbagai aktiviti boleh dirancang antara PKAWM melalui pembabitan artis veteran dalam Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE).
“Sehingga kini, ada 143 PAWE di seluruh negara. Saya percaya pembabitan artis veteran memantapkan lagi pelaksanaan PAWE dan mampu menarik lebih ramai lagi warga emas menyertainya,” katanya.
Rina juga mengalukan ahli PKAVM menjadi ‘mata’ dan ‘telinga’ KPWKM melalui aktiviti sukarelawan JKM.
“Ini selari dengan pelaksanaan Kembara Prihatin Negara (KPN) 2020 yang berkonsepkan turun padang membantu mereka yang memerlukan. Kita sasar seramai sejuta rakyat bakal menerima manfaat daripada pelbagai aktiviti.
“Ahli PKAVM boleh bertindak menyalurkan maklumat kepada JKM atau mana-mana agensi di bawah kementerian jika tahu ada pihak yang memerlukan bantuan,” katanya.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun bermesra dengan sebahagian artis pada majlis penyampaian bantuan kepada ahli PKAVM di Putrajaya.
BH Online melaporkan , Presiden PKAVM, Datuk Tomiran Mohd Kasdi, berkata pandemik COVID-19 memberi kesan kepada artis veteran yang terjejas pendapatan.
“Ada dalam kalangan mereka bergantung dengan lakonan semata-mata. Tawaran lakonan tidak ‘sekencang’ dahulu.
“Alhamdulillah, melalui usaha ahli jawatankuasa penyelaras PKAVM yang bertemu dengan JKM, ada sinar datang termasuk kerjasama lain pada masa depan,” katanya.
Tomiran berharap artis veteran usah dipinggirkan.
“Selama ini, artis veteran ini mewarnai persada seni. Malah, ada antara mereka terus kental berjuang di liga seni.
“Mereka berlakon atau menyanyi bukan untuk mengejar populariti. Sebaliknya, demi kelangsungan hidup,” katanya.
Sementara itu, penyanyi era 1960-an, Datuk Jeffrydin, 75, bersyukur kerajaan, kementerian dan persatuan anak seni tidak melupakan artis lama.
“Kecil atau besar sumbangan tetap bermakna bagi artis veteran. Apatah lagi senario semasa pandemik COVID-19 ramai yang terjejas dan putus rezeki.
“Artis veteran meningkat usia dan tidak boleh aktif macam dahulu. Namun, minat mereka terhadap dunia seni tidak pernah berkubur,” katanya.
Mak Jah, 72, atau nama penuh, Maimunah Ahmad menganggap diri bertuah kerana masih mendapat perhatian dan dihargai.
“Kami tidak ramai… Nasi pun makan sedikit sahaja. Jadi, kecil atau besar sumbangan tetap bermakna.
“Alhamdulillah, saya masih meneruskan kelangsungan hidup dengan berlakon dan penyakit kanser rahim saya semakin pulih,” katanya.
Selain Mak Jah, antara artis veteran yang menerima bantuan adalah Hamid Gurkha, Hamidah Wahab, Wan Maimunah, Razak Ahmad dan Sofia Ibrahim.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PARIS: Sejumlah 50 wartawan dan pengamal media dibunuh kerana isu berkaitan pekerjaan mereka sepanjang tahun ini, dengan majoritinya berlaku di negara yang tidak berlaku peperangan, kata Wartawan Tanpa Sempadan (RSF), hari ini.
Jumlah itu menunjukkan peningkatan kes wartawan yang menyiasat jenayah terancang, rasuah atau isu alam sekitar menjadi sasaran, lapor RSF yang menyenaraikan Mexico, India dan Pakistan mencatatkan pembunuhan tertinggi.
Menurut laporan tahunan RSF, 84 peratus pembunuhan tahun ini adalah ‘sengaja disasarkan’ kerana tugas mereka, berbanding hanya 63 peratus tahun lalu.
Ketua Pengarang RSF, Pauline Ades-Mevel, berkata sejak beberapa tahun lalu, pihaknya mendapati wartawan penyiasatan menjadi sasaran kerajaan atau kartel jenayah.
“Mexico menjadi negara paling berbahaya untuk wartawan dengan merekodkan lapan pembunuhan.
“Kaitan antara penyeludup dadah serta politik adalah jelas dan wartawan yang berani membuat liputan mengenai perkara ini atau isu berkaitan lazimnya menjadi sasaran pembunuhan,” jelas laporan itu.
Tiada satu pun kes pembunuhan wartawan di Mexico menyaksikan pelakunya dihukum, kata RSF yang mengumpul data tahunan mengenai keganasan terhadap wartawan di seluruh dunia sejak 1995.
Menurut RSF lagi, lima wartawan dibunuh di Afghanistan selain terdapat peningkatan serangan terhadap petugas media sejak beberapa bulan ini, meskipun rundingan damai antara kerajaan dan Taliban sedang berjalan.
RSF turut mengetengahkan kes tokoh pembangkang Iran, Ruhollah Zam, pemilik saluran media sosial popular menghimpunkan rejim pembangkang, yang dihukum bunuh bulan ini.
RSF menyifatkan hukuman itu mengesahkan rekod Iran sebagai negara yang secara rasmi paling banyak menjatuhkan hukuman mati terhadap wartawan dalam tempoh setengah abad ini.
Tempoh setahun lalu juga menyaksikan 387 wartawan dipenjarakan termasuk 14 kerana leporan berkaitan penularan COVID-19, AFP melaporkan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SUSPEK CURI KABEL ELEKTRIK DITAHAN: SUSPEK TERBABIT DALAM PENAGIHAN DADAH
KLANG: Dua sekawan yang aktif melakukan jenayah curi kabel elektrik untuk membeli bekalan dadah akhirnya dicekup di sekitar daerah ini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kedua-dua suspek lelaki berusia 40 dan 44 tahun itu ditahan kira-kira jam 3 petang susulan laporan yang dibuat oleh seorang kontraktor Telekom Malaysia pada Rabu lalu.
ASISTEN KOMISIONER SHAMSUL AMAR RAMLI
Menurutnya, kegiatan suspek terbongkar selepas pemeriksaan pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan dua lelaki memanjat pagar dan mencuri kabel di sebuah rumah di Bukit Tinggi Klang.
“Susulan tertangkapnya suspek terbabit, polis merampas sebuah motosikal Modenas Kriss, sebuah Proton Wira dan beberapa kabel yang telah dibakar.
“Semakan juga mendapati kedua-dua suspek masing-masing memiliki rekod lampau bersabit kes judi dan dadah,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
SEBAHAGIAN KABEL ELEKTRIK DITEMUI BERSAMA SUSPEK/IHSAN PDRM
Beliau berkata, soal siasat kedua-dua suspek mengaku terlibat dalam kes terbabit bersama seorang lagi rakan sejenayah yang masih bebas dikenali sebagai ‘Panjang’.
Katanya, siasatan turut mendapati suspek yang positif dadah itu mula aktif mencuri kabel sejak awal bulan ini. Hasil curi itu dipercayai akan dijual dengan harga RM20 untuk sekilogram sebelum mendapatkan bekalan dadah.
Tegasnya, kedua-dua suspek kini direman empat hari sehingga Khamis untuk disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SIMPAN AIR KETUM DALAM BILIK GAS: RAMPASAN DILAKUKAN HASIL PEMERIKSAAN DI PANGSAPURI PENJAWAT AWAM
PUTRAJAYA: Sebanyak 61 botol membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak 91.5 liter air ketum dirampas polis di pangsapuri penjawat awam di Presint 5 dekat sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali berkata, air ketum yang bernilai RM1,525 itu ditemui di dalam tong berwarna oren yang disorokkan di bilik saluran gas.
SEBAHAGIAN AIR KETUM YANG BERJAYA DIRAMPAS PIHAK POLIS HASIL PEMERIKSAAN DI PANGSAPURI AWAM DEKAT PUTRAJAYA/IHSAN PDRM
“Atas maklumat awam pada jam 12.30 tengah hari tadi, sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Putrajaya menuju ke bilik saluran gas yang terletak di salah satu blok pangsapuri itu,” katanya ketika dihubungi SINAR HARIAN pada Selasa.
Beliau berkata, setakat ini tiada tangkapan dibuat dan siasatan lanjut sedang dilakukan.
“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan boleh didenda maksimum RM10,000 atau dipenjara tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KELUARGA BERI KENYATAAN PIERRA CARDIN MENINGGAL DUNIA
PARIS: Pereka fesyen tersohor dunia, Pierre Cardin meninggal dunia pada usia 98 tahun, di sini hari ini.
Cardin yang dilahirkan dalam keluarga berpendapatan rendah di utara Itali meninggal dunia di sebuah hospital di Neuilly di barat Paris.
“Hari ini merupakan hari paling sedih untuk kami sekeluarga. Pierre Cardin sudah tiada,” menurut kenyataan yang dikeluarkan keluarga pereka fesyen tersebut yang disiarkan AFP.
Cardin yang dilahirkan pada 1922 berhijrah bersama keluarganya ke Perancis ketika beliau masih kecil.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MESYUARAT UMNO SEREMBAN KECOH: PROVOKASI ANTARA KETUA PEMUDA UMNO DAN AJK UMNO BAHAGIAN
SEREMBAN: Mesyuarat Jawatankuasa UMNO Bahagian Seremban pada malam Isnin yang diadakan di Bangunan UMNO Negeri Sembilan kecoh apabila berlaku pertengkaran mulut membabitkan beberapa ahli jawatankuasa, termasuk Ketua Pemuda UMNO Seremban, Zool Amali Hussain.
Kekecohan dikatakan bermula apabila Ketua UMNO Bahagian, Mustafa Salim secara tiba-tiba menangguhkan mesyuarat tanpa memberi peluang kepada jawatankuasa yang hadir untuk memberikan pandangan.
RAKAMAN VIDEO KEKECOHAN MEMBABITKAN AHLI UMNO BAHAGIAN SEREMBAN TERSEBAR DI MEDIA SOSIAL LEWAT PETANG SEMALAM
Keadaan menjadi lebih tegang apabila muncul sekumpulan individu lain yang bukan dalam kalangan ahli mesyuarat.
Zool Amali berkata, mesyuarat khas berkenaan diadakan bagi menentukan pelaksanaan Persidangan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian minggu ini sama ada dibuat secara maya atau bersemuka, lapor SINAR HARIAN.
“Tapi baru lima minit mesyuarat, ia ditangguhkan. Saya selaku Ketua Pemuda UMNO bahagian cuba mendapatkan penjelasan daripada Mustafa, tapi telah dihalang oleh beberapa individu.
“Tiba-tiba sahaja mereka datang, mereka bukan ahli mesyuarat, ahli jawatankuasa semua tidak tahu siapa mereka jadi memang berlaku pertengkaran dan saya memang ada menengking dan tegas kerana mempertikaikan kehadiran mereka.
“Mereka juga cuba memprovokasi saya dan dari situ bermula pertengkaran. Lagipun mesyuarat dilakukan pada waktu malam, tiada kehadiran orang awam lain dibenarkan selepas waktu pejabat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban berhubung kejadian pada hari yang sama.
Sementara itu video kekecohan tersebut turut tular di media sosial sejak malam Isnin yang menyaksikan beberapa individu bertengkar dan menengking di antara satu sama lain.
“Tapi baru lima minit mesyuarat, ia ditangguhkan. Saya selaku Ketua Pemuda UMNO bahagian cuba mendapatkan penjelasan daripada Mustafa, tapi telah dihalang oleh beberapa individu,” kata Zool Amali Hussain.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PETUGAS LEBUH RAYA PANTAI TIMUR SIAP SEDIA: ALIRAN TRAFIK DIJANGKA MENINGKAT SEMPENA CUTI HUJUNG TAHUN
KUALA LUMPUR: Seramai 1,160 petugas lebuh raya termasuk anggota Ronda, pasukan penyelenggaraan lebuh raya serta Pusat Kawalan Trafik bersedia membantu pengguna lebuh raya ketika menggunakan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2).
Bagi lebuh raya KLK dan LPT1, ia dikendalikan oleh ANIH Berhad, manakala LPT2 dikendalikan oleh LPT 2 Sendirian Berhad, ketiga-tiga komponen lebuh raya ini menghubungkan Lembah Klang melalui Gombak ke pantai timur seperti Gambang dan Kuantan di Pahang dan Kuala Terengganu di Terengganu.
Pengendali rangkaian lebuh raya E8 iaitu ANIH Berhad dan LPT 2 Sendirian Berhad memaklumkan, petugas akan bersiap sedia kerana bakal berlaku peningkatan trafik sempena cuti akhir tahun serta diramalkan laluan jalan pesisir negeri dan persekutuan yang dijangka ditenggelami air di beberapa kawasan rendah ketika musim tengkujuh ini.
Pengarah Eksekutif ANIH Berhad, Datuk Nik Fauzi Tan Sri Nik Hussein berkata, pengguna lebuh raya dapat menikmati perjalanan yang lancar dan menjimatkan masa, malah menikmati kemudahan Kawasan Rehat dan Rawat (R&R), hentian sebelah, bantuan kecemasan dan perkhidmatan rondaan 24 jam yang disediakan di rangkaian lebuh raya E8 kendalian ANIH Berhad sepanjang 234 kilometer.
LPT Ronda akan membantu pengguna lebuh raya sekiranya berlaku kecemasan- Foto ANIH
“Berikutan musim tengkujuh yang melanda dan menyebabkan banjir di beberapa tempat terutamanya di jalan pesisir negeri dan persekutuan, maka lebuh raya E8 menjadi pilihan yang terbaik untuk pengguna tiba ke destinasi yang dituju dengan selamat.
“Secara keseluruhan, lebuh raya E8 menyediakan kemudahan dan keselesaan di kawasan rehat yang sedia ada seperti Hentian Sebelah Gombak, Lanchang, Maran dan Kuantan serta R & R Genting Sempah, Temerloh serta Gambang bagi LPT1, manakala R & R Ajil, Paka dan Perasing bagi LPT2,” katanya.
Plaza Tol Gombak, pintu masuk ke Pantai Timur
Sementara itu, Pengarah LPT 2 Sdn. Bhd, Zakaria Ahmad Zabidi berkata, kedua-dua lebuh raya LPT 1 dan LPT 2, menempatkan seramai 1,160 petugas di sepanjang eko-sistem lebuh raya bagi membantu pengguna lebuh raya sekiranya berlaku sebarang kecemasan.
“Jumlah ini meliputi kakitangan di plaza tol, pasukan rondaan, penyelenggaraan lebuh raya serta Pusat Kawalan Trafik bagi membantu pengurusan trafik di kawasan R & R, hentian sebelah dan plaza tol sempena musim cuti akhir tahun ini.
“Lebuh raya LPT2 yang merangkumi laluan sepanjang 184 kilometer yang bermula dari Jabor hingga Kuala Terengganu dilengkapi dengan 5 buah R&R serta 4 hentian sebelah yang memberi kemudahan kepada pengguna untuk berhenti rehat dengan selesa sebelum menyambung semula perjalanan mereka,”katanya.
Pengendali lebuh raya tersebut menasihat pelanggan lebuh raya untuk terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan bagi melandaikan lekuk jangkitan Covid-19, terutamanya apabila menggunakan kemudahan di hentian sebelah dan R&R.
Kawasan Rehat dan Rawat (R & R) Genting Sempah.
Selain itu terdapat kemudahan gerai makanan dan minuman, surau, wakaf, stesen minyak, tandas awam dan tempat letak kenderaan yang mencukupi serta menasihati pengguna memastikan kad Touch ‘n Go mempunyai baki yang mencukupi sebelum memasuki lebuh raya.
Sekiranya berlaku kecemasan, terdapat kira-kira 60 anggota pasukan Rondaan LPT2 yang boleh membantu pelanggan 24 jam sehari dan boleh menghubungi talian 24 jam LPT Line di 1-700-818-700 bagi KLK & LPT1, manakala LPT2 Line di 1-800-88-0220.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA KUBU BARU: Seorang lelaki maut manakala empat lagi individu cedera selepas terlibat dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta dan dua buah treler tanpa muatan di Kilometer 399.9 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara di sini awal pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.11 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan penyelamat Tanjung Malim bergegas ke lokasi kejadian.
“Tiba di lokasi, anggota mendapati kemalangan melibatkan sembilan individu dari kereta jenis Perodua Bezza dan dua buah treler tanpa muatan.
“Tiada mangsa yang tersepit namun seorang daripada mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala empat yang lain termasuk dua wanita mengalami cedera,” katanya ketika dihubungi hari ini.
KOSMO! ONLINE melaporkan, PLUS dalam kenyataan melalui Twitter Plusline 1800880000 memaklumkan semua lorong terhalang akibat kemalangan tersebut dan semua pengguna dilencong keluar ke Plaza Tol Tanjung Malim.
“Kesesakan berlaku sehingga dua kilometer dari lokasi kejadian,” katanya.
Bagaimanapun, lorong tengah dan lorong kanan laluan tersebut mula dibuka sejak pukul 7.37 pagi.
Video/gambar: Media sosial
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SEBERANG PERAI: Seorang penunggang motosikal maut selepas dirempuh sebuah kereta dalam satu kemalangan di Jalan Berapit, Bukit Mertajam di sini hari ini.
KOSMO! ONLINE melaporkan, dalam kejadian kira-kira pukul 8.40 pagi itu, mangsa, Muhamad Zahid Azali, 25, meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat kecederan parah.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad berkata, kemalangan berlaku apabila sebuah kereta dari arah Bukit Mertajam menuju ke Berapit dipercayai cuba memintas sebuah kenderaan lain sebelum terbabas ke laluan bertentangan.
Kata Shafee, kereta yang terbabas itu kemudian bertembung dan melanggar motosikal mangsa dari arah bertentangan serta sebuah lagi kereta yang datang dari arah sama dengan motosikal.
“Akibat kemalangan tersebut, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC cedera parah serta meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mayatnya kemudian dibawa ke Hospital Bukit Mertajam untuk bedah siasat,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Ujar Shafee, ketika kejadian, cuaca berada dalam keadaan baik dan tiada kesan brek tayar dikesan di atas jalan raya yang lurus itu.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” kata beliau.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!