PENUNGGANG MAUT NAHAS TIGA KENDERAAN
PENUNGGANG MAUT NAHAS TIGA KENDERAAN
SEBERANG PERAI: Seorang penunggang motosikal maut selepas dirempuh sebuah kereta dalam satu kemalangan di Jalan Berapit, Bukit Mertajam di sini hari ini.
KOSMO! ONLINE melaporkan, dalam kejadian kira-kira pukul 8.40 pagi itu, mangsa, Muhamad Zahid Azali, 25, meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat kecederan parah.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad berkata, kemalangan berlaku apabila sebuah kereta dari arah Bukit Mertajam menuju ke Berapit dipercayai cuba memintas sebuah kenderaan lain sebelum terbabas ke laluan bertentangan.
Kata Shafee, kereta yang terbabas itu kemudian bertembung dan melanggar motosikal mangsa dari arah bertentangan serta sebuah lagi kereta yang datang dari arah sama dengan motosikal.
“Akibat kemalangan tersebut, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC cedera parah serta meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mayatnya kemudian dibawa ke Hospital Bukit Mertajam untuk bedah siasat,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Ujar Shafee, ketika kejadian, cuaca berada dalam keadaan baik dan tiada kesan brek tayar dikesan di atas jalan raya yang lurus itu.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” kata beliau.
Gambar : Media sosial