KUALA LUMPUR: Seramai 29 orang wanita tukang urut dan disyaki pekerja seks warganegara Vietnam, Thailand, Indonesia dan 4 orang warga tempatan sebagai penjaga premis telah ditahan kerana dipercayai menjalankan aktiviti pelacuran.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), menerusi Jabatan Penguatkuasaan (JPK) dengan kerjasama Pasukan D7 Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dari Ibupejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur telah menjalankan Operasi Tindakan Khas terhadap premis yang menjalankan aktiviti pelacuran.
Serbuan yang dilakukan salah satu premis di ibukota, semalam
Dua buah lokasi berasingan itu terletak di Jalan Metro Perdana Barat Kepong dan Jalan Pudu Ulu Cheras, Kuala Lumpur diserbu pada lewat malam semalam.
Serbuan dilakukan menerusi aduan serta maklumat orang awam yang diterima, oleh itu DBKL telah bertindak melakukan risikan awal dan mendapati terdapat aktiviti tidak bermoral di lokasi berkenaan.
Hasil serbuan yang dijalankan terhadap dua lokasi tersebut mendapati sebuah premis tidak mempunyai lesen perniagaan rumah urut dan sebuah hotel melanggar syarat lesen dengan menjalankan aktiviti seks.
Tindakan penguatkuasaan mengeluarkan satu notis kompaun di bawah Seksyen 3(1) Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (W.P.K.L.) 2016, satu Notis Pemberitahuan Tentang Kesalahan di bawah Seksyen 29, Akta Hotel (W.P.K.L.) 2003 dan satu premis telah dibuat penutupan serta merta mengikut Seksyen 101(1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976.
DBKL turut meroboh 16 struktur dinding yang dijadikan bilik tanpa kelulusan dan tindakan sita terhadap 55 pelbagai peralatan di premis turut dilakukan seperti televisyen, monitor, CCTV Recoders, CCTV, kondom, minyak pelincir, amplifier dan lain-lain peralatan.
Tindakan penguatkuasaan dilakukan di bawah Akta Hotel (W.P.K.L.) 2003, Akta Jalan, Parit & Bangunan 1974, Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (W.P.K.L.) 2016 dan mengikut bidang kuasa serta S.O.P DBKL dan pihak PDRM.
Sebarang aduan, warga kota boleh menyalurkan kepada pihak DBKL secara atas talian seperti berikut: http://ispaaadbkl.dbkl.gov.my/eApps/system/index.do
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MARANG: Seorang remaja berusia 21 tahun yang menunggang motosikal secara merbahaya dengan mempamerkan aksi Superman berjaya ditahan oleh Unit Risikan Operasi (Skuad 42), Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Ibu pejabat Kontinjen Terengganu, semalam.
Remaja itu telah melakukan aksi merbahaya itu di kawasan Jambu Bongkok, Marang sebelum dikesan oleh pihak JSPT yang melakukan operasi di kawasan sama antara jam 7.00 petang dan tamat pada jam 9.30 malam.
Antara aksi bahaya yang dipamerkan oleh remaja yang ditahan itu adalah meniarap di atas motosikal dengan menunduk kepala selari dgn meter dan kedua-dua kaki melunjur ke belakang di mana aksi terbabit membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.
Operasi itu diketuai seorang pegawai dan 6 anggota, remaja yang ditahan itu dibawa ke Balai Polis Trafik Marang untuk tindakan lanjut dan disiasat di bawah Sek 42 APJ 1987.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PUTRAJAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) hari ini menafikan dakwaan pihaknya menjalankan kegiatan percukaian, seperti audit dan siasatan, dengan bermotif politik.
Penafian dibuat selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut membuat penafian serupa, susulan dakwaan parti Pakatan Harapan (PH) semalam bahawa ada agensi kerajaan persekutuan yang dijadikan senjata politik oleh pentadbiran Perikatan Nasional (PN), lapor Malaysiakini.
LHDN berkata, kegiatan pungutan cukai, termasuk terhadap ahli politik, adalah untuk memastikan pematuhan terhadap undang-undang percukaian dan ia dijalankan tanpa rasa takut atau pilih kasih.
“Sebagai makluman, sistem pemilihan kes untuk tindakan penguatkuasaan LHDN adalah berdasarkan kriteria dari sudut kegagalan mematuhi perundangan percukaian semata-mata.
“LHDN tidak menyimpan maklumat kaum, agama apatah lagi kecenderungan politik individu di dalam pangkalan datanya kerana maklumat sebegini tidak membantu penilaian risiko sesuatu kes,” kata LHDN dalam kenyataan.
Terdahulu, SPRM dalam kenyataan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa suruhanjaya itu dijadikan sebagai senjata politik dalam melaksanakan tindakannya.
SPRM juga menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak berasas dan tidak bertanggungjawab, serta boleh menjejaskan imej mereka.
Semalam, Majlis Presiden PH mendakwa pihaknya difahamkan ada usaha untuk menggunakan agensi kerajaan seperti polis, SPRM dan LHDN dalam memberi tekanan kepada ahli Parlimen pembangkang untuk menyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
“Pada waktu ini, kami difahamkan tindakan-tindakan masih terus dilakukan bersekali dengan tekanan untuk ahli-ahli Parlimen pembangkang menyatakan sokongan terhadap Muhyiddin,” kata mereka.
Mereka juga mendakwa tekanan tersebut telah diberikan kepada Lim dan isterinya, dua ahli Parlimen PKR yang keluar parti baru-baru ini iaitu Larry Sng (Julau) dan Steven Choong (Tebrau), dan kini “secara tidak langsung” Ahli Parlimen Kuala Langat Xavier Jayakumar.
Bagaimanapun, Choong hari ini menafikan bahawa dia ditekan untuk menyokong PN.
Dalam pada itu, LHDN menegaskan pihaknya sentiasa adil dan saksama kepada semua pembayar cukai serta bertindak berpandukan undang-undang percukaian negara.
“Pada masa yang sama, maklumat individu atau syarikat yang dikenakan tindakan autdit dan siasatan juga tidak didedahkan oleh LHDN kerana tertakluk kepada peruntukan kerahsiaan,” jelasnya.
Mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan taksiran yang dibuat boleh membuat rayuan, kata LHDN lagi.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BERA: Kementerian Pertahanan Malaysia memperuntukkan RM10 juta untuk membina dan membaik pilih kemudahan awam termasuk membina 50 unit rumah di seluruh negara melalui Projek Jiwa Murni Tentera Darat Malaysia (TDM).
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pembinaan dan membaik pulih itu akan dijangka bertambah berdasarkan keperluan semasa.
Datuk Seri Ismail Sabri (3 dari kiri) melakukan gimik perlancaran pembinaan rumah bantuan Jiwa Murni TDM di Kuala Triang, hari ini
“Projek ini adalah sebahagian daripada projek Jiwa Murni yang dirancang sempena Sambutan Hari Tentera Darat (TDM) dengan bertema Sinergi Tentera Darat dan Rakyat : Tunjang Kedaulatan Negara.
“Setakat ini, keseluruhan projek, sebanyak 40 peratus telah siap, 40 peratus dalam pembinaan dan bakinya bakal dilaksanakan bersempena dengan Hari Tentera Darat yang Ke-88,” katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Lawatan Tapak Projek Jiwa Murni di Kuala Triang, Bera, hari ini.
“TDM telah membina dan membaik pulih kemudahan awam seperti dewan, bekalan air, surau dan pembersihan tanah perkuburan Islam.
“Projek membina rumah yang dibina menelan belanja sebanyak RM65,000 sebuah, berkeluasan 70 meter persegi (750 kaki persegi) dengan ruang tamu, 3 bilik, ruang dapur dan satu bilik air,” katanya.
Katanya, projek pembinaan rumah mengambil masa 50 hari dengan menggunakan kepakaran seorang pegawai, 18 anggota pasukan Skuadron ke-11 Rejimen Askar Jurutera DiRaja (Mekanise) dan dibantu 10 orang anggota Pasukan Rejimen ke-34 Artileri Diraja.
“Kerajaan negeri Pahang turut membantu sebanyak RM155,000 untuk membina rumah kepada golongan yang dikenal pasti dan amat memerlukannya,” katanya.
Datuk Seri Ismail Sabri (2 dari kanan) bersama penerima bantuan rumah projek Jiwa Murni TDM, Mohd Tahir Nong Chik (2 dari kiri)
Sementara itu, penerima rumah di bawah projek Jiwa Murni, Mohd Tahir Nong Chik berterima kasih kepada Menteri Kanan Pertahanan yang juga Ahli Parlimen Bera yang prihatin kepadanya untuk menerima sebuah rumah baharu.
“Saya juga berterima kasih kepada kerajaan negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri dan pejabat daerah yang turut membantu.
“Saya bersyukur kerana rumah saya sudah dua kali dilanda banjir pada awal tahun ini dan 2014 dan memusnahkan sebahagian rumah dan barang-barang kelengkapan rumah,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
TEMERLOH: Sektor pelancongan di negeri ini dijangka pulih secara beransur ansur apabila Pahang berada dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin, berkata, apabila orangramai boleh merentas daerah ia akan memberi sedikit nafas kepada industri pelancongan di negeri ini.
Katanya kelonggaran itu sekurang kurang membolehkan rakyat negeri ini melancong ke daerah lain yang mempunyai tempat menarik serta bermalam di situ sekaligus merancak kembali aktiviti pelancongan.
Katanya kedatangan pelancong ke Pahang merosot dari tahun lalu dan pendapatan pengusaha pelancongan turun lebih dari 50 peratus.
Beliau berkata, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac tahun lalu Pahang kehilangan kehilangan kira-kira 1.05 juta pelancong setiap bulan kesan daripada penularan COVID-19 yang melanda negara.
MOHD SHARKAR SHAMSUDDIN
Katanya, berikutan pelaksanaan PKP, sektor pelancongan di Pahang tidak dapat beroperasi ketika rakyat diminta untuk kekal di rumah dalam usaha menyekat pandemik terbabit.
“Kesannya, sektor pelancongan terjejas teruk hingga memerlukan tempoh masa lama untuk kembali pulih dan menambah jumlah kedatangan pelancong, khususnya rakyat di negara ini.
“Sektor pelancongan Pahang terjejas dengan kehilangan 1.05 juta pelancong setiap bulan bermula tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata denikian selepas menyempurnakan penyerahan kunci rumah bagi Program Rumah Rakyat Pahang (RRP) kepada 5 orang penerima pertama terpilih di DUN Lanchang dan DUN Mentakab.
Katanya sebanyak 12 buah Rumah Rakyat Pahang akan diserahkan kepada penduduk yang layak membabitkan sebuah di Parlimen Temerloh, sebuah di Parlimen Kuala Krau, dan 2 buah rumah masing masing di Dewan Undangan Negeri ( DUN) Jenderak, Mentakab, Lancang, Semantan dan Kerdau.
Katanya rumah percuma dan berharga RM65,000 sebuah itu diberikan kepada penduduk miskin dibawah E Kasih, adalah komitmen Kerajaan Negeri Pahang untuk membantu golongan miskin yang amat memerlukan tempat tinggal.
Mohd Sharkar berharap dengan adanya inisiatif ini, ia dapat membantu golongan yang disasarkan.
Dalam masa yang sama beliau yakin Pahang akan kembali menjadi destinasi pelancongan yang popular selepas 70 hingga 80 peratus rakyat negara ini telah diimunisasikan dengan vaksin Covid 19 kelak.
“Pahang mempunyai banyak tempat menarik dari pantai, tasik, pulau, hutan sehingga kawasan tanah tinggi.
“Kalau kita tanya rakyat Malaysia, tiga tempat menarik yang ingin dilawati di negara ini, salah satu tempat itu pasti berada di Pahang, ” katanya.
Sehubungan itu, Mohd Sharkar berkata, sektor pelancongan di negeri itu memerlukan tempoh masa untuk menambah kembali jumlah kedatangan pelancong, khususnya rakyat di negara ini.
“Dalam fasa pemulihan ekonomi negara iaitu sektor pelancongan yang mula bergerak, adalah penting untuk negeri Pahang bekerjasama dengan semua pihak untuk membina semula industri pelancongan,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SYDNEY: Stesen penyiaran Australia, SBS hari ini menyatakan akan berhenti menggunakan kandungan daripada televisyen milik negara China, sementara menunggu penilaian semula mengenai hak asasi manusia yang serius.
Televisyen, radio dan laman web Australia yang mengkhususkan kandungan pelbagai bahasa, pelbagai budaya menyatakan pihaknya sedang menyiasat penyiaran CGTN dan CCTV yang menyiarkan puluhan pengakuan tahanan paksa, lapor AFP.
Menurut SBS, pihaknya sudah dihubungi oleh pertubuhan hak asasi manusia, Safeguard Defenders berhubung keputusan CGTN dan CCTV untuk menyiarkan mengenai sekurang-kurangnya 56 pengakuan tahanan yang ditahan di bawah tekanan atau penyiksaan daripada tahun 2013 hingga 2020.
“SBS telah menerima aduan yang sedang dikaji.
“Disebabkan kami mengambil perhatian secara serius dan kerumitan kandungan penyiaran terbabit, maka kami membuat keputusan menangguhkan penyiaran buletin berita CGTN dan CCTV yang berasal dari luar negara, sementara kami melakukan penilaian terhadapnya,” kata jurucakap stesen penyiaran itu.
Langkah itu kemungkinan akan merenggangkan lagi hubungan antara Australia dan China, yang sudah berada pada titik terendah dalam beberapa dekad.
Australia mengambil keputusan membataskan pengaruh individu, organisasi dan firma teknologi yang berkaitan China di negaranya.
Ia juga melarang syarikat berkaitan China untuk membeli dua syarikat tempatan dan menilai semula sejumlah pelaburan terdahulu.
China pula bertindak balas dengan sekatan terhadap sejumlah eksport Australia, dari gandum dan arang batu hingga kepada wain dan udang kara.
Tahun lalu, seorang wartawan China-Australia dipenjara dan dua wartawan Australia yang lain terpaksa meninggalkan China.
GAMBAR HIASAN
Pihak berkuasa Australia juga menyerbu rumah empat wakil media negara China bagi menyiasat operasi pengaruh tersembunyi.
SBS berkata, ia menyiarkan 15 minit penyiaran CGTN dalam bahasa Mandarin dan 30 minit CCTV dalam bahasa Inggeris sebagai sebahagian daripada program berita antarabangsa World Watch.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) mengekalkan Piala Sultan Ahmad Shah empat musim berturut-turut selepas mudah menewaskan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 2-0 pada aksi sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, malam tadi.
Jaringan ayam tambatan skuad Harimau Selatan, Safawi Rasid pada babak pertama dan Natxo Insa pada babak kedua sudah memadai buat pasukan itu mengutip tiga mata pertama dalam saingan pembuka tirai Liga Super sekali gus memastikan skuad Lang Merah terus kempunan dua musim berturut-turut membawa pulang piala itu.
GAMBAR HIASAN
Tuan rumah yang menguasai perlawanan mengundang cemas seawal minit keempat selepas bola rembatan Leandro Velazquez di luar kotak penalti sekadar singgah ke palang gol ketika penjaga gol KDA FC, Mohd Ifwat Akmal Che Kassim sudah tertewas.
Palang gol terus menjadi penghalang anak didik Benjamin Mora untuk meleraikan jaringan pada minit ke-10 selepas bola tandukan ke belakang Fernando Rodriguez disambar Gonzalo Cabrera yang merembat bola kencang di sebelah sudut kiri namun masih belum mampu menggegar jaring.
Giliran skuad Lang Merah pula terlepas mencipta gol pada minit ke-19 selepas sepakan lambung Kpah Sherman di luar kotak penalti hampir memerangkap penjaga gol JDT, Farizal Marlias namun palang menjadi penyelamat daripada gawang dibolosi.
Tuan rumah menanti sehingga minit ke-34 untuk memecah kebuntuan selepas gerakan menarik yang dimulakan Afiq Fazail mengumpan bola tepat kepada Safawi yang bertindak memusingkan badan sebelum merembat bola leret menewaskan Mohd Ifwat.
Skuad Lang Merah tampak gagal menguasai posisi tengah pada babak pertama apabila dua tenaga import, Rabih Ataya dan K Anumanthan gagal berfungsi dengan konsisten dan jarang memberi sokongan terhadap barisan serangan yang diterajui Sherman dan Kipre Tchetche yang terpaksa turun ke bawah untuk mendapatkan bola.
GAMBAR HIASAN
Bersambung babak kedua, skuad Harimau Selatan terus memberi tekanan terhadap benteng anak didik Aidil Shahrin Sahak sehingga memaksa Mohd Ifwat terpaksa dikeluarkan pada minit ke-50 apabila bertembung dengan Safawi dan digantikan dengan Mohd Shahril Sa’ari.
Tuan rumah menambah derita skuad Lang Merah pada minit ke-67 selepas bola umpanan Rodriguez membuka ruang buat Insa yang tidak dikawal merembat bola leret tepat ke penjuru kanan gol menewaskan Mohd Shahril untuk meletak juara liga tujuh musim berturut-turut selesa dengan jaringan 2-0, lapor BH Online.
Malah usaha Aidil Shahrin membawa masuk bekas pemain JDT II, Rozaimi Abd Rahman dan Syazwan Zainon bagi memperkuatkan jentera serangan tampak tidak membuahkan hasil selepas kedudukan 2-0 yang memihak JDT kekal sehingga tamat perlawanan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Kerajaan sedia ada kekal sah mentadbir negara walaupun jika UMNO menarik balik sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) kerana berdasarkan Ordinan Darurat, Perdana Menteri diberi kuasa oleh Yang di-Pertuan Agong untuk mentadbir kerajaan mengikut Perkara 150, Perlembagaan.
Pakar perlembagaan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Muhammad Fathi Yusof, berkata dalam tempoh darurat, kuasa pentadbiran adalah di bawah Yang di-Pertuan Agong dan baginda berhak memberikan kuasa kepada mana-mana pihak untuk mentadbir negara.
“Oleh itu, berdasarkan peruntukan undang-undang dan Perlembagaan itu maka kerajaan sedia ada sah mentadbir walaupun berlaku penarikan sokongan yang besar (daripada parti gabungan),” katanya kepada BH Online, hari ini.
Namun demikian, dalam keadaan sekarang, Muhammad Fathi berkata, Kabinet kerajaan PN juga masih kekal dan sah mentadbir kerana UMNO mengakui menyokong kerajaan hingga Parlimen dibubarkan.
“Ini bermakna selagi Parlimen tidak dibubarkan maka kerajaan sedia ada masih ada sokongan,” katanya.
Beliau mengulas kedudukan kerajaan PN selepas Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam surat kepada Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin memaklumkan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO untuk tidak bekerjasama dalam PRU-15.
MUHYIDDIN YASSIN
Bagaimanapun, surat bertarikh 26 Februari itu juga menyatakan kebersamaan UMNO dengan kerajaan PN boleh diteruskan hingga pembubaran Parlimen.
Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan dalam kenyataan semalam menyebut surat parti itu kepada Muhyiddin yang menyatakan pendirian menolak kerjasama dengan BERSATU dibuat selepas mengambil kira pandangan akar umbi.
Muhammad Fathi menjelaskan dalam konteks demokrasi, sesebuah kerajaan yang memerintah sepatutnya mempunyai mandat yang jelas dari sudut sokongan di Parlimen.
Katanya, dari segi moral pula adalah lebih baik Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk membincangkan kedudukan beliau dalam konteks semasa jika berlaku demikian.
Sementara itu, mengulas isu yang sama, seorang lagi pakar perundangan dan penganalisis politik, Prof Datuk Dr Abdul Halim Sidek, berkata Kabinet terbentuk hasil daripada pelantikan Ahli Parlimen sebagai Perdana Menteri dan Jemaah Menteri.
Katanya, berdasarkan Perkara 43, Perlembagaan Persekutuan, Perdana Menteri pula dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dalam kalangan Ahli Parlimen yang baginda berasa puashati mendapat kepercayaan majoriti dalam Dewan Rakyat.
Maka, katanya apabila UMNO menarik sokongan maka majoriti itu musnah.
“Perdana Menteri sekarang sepatutnya menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk meletakkan jawatan dengan semua Ahli Kabinet.
“Yang di-Pertuan Agong boleh melantik Perdana Menteri baharu. Perdana Menteri ini pula boleh pilih ahli Kabinet baharu.
“Perlu diingatkan tiada Pilihan Raya Umum perlu dibuat kalau tiada pembubaran Parlimen. Jadi, dalam waktu darurat ini maka dibenarkan perkara itu tanpa membubar Parlimen,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, akan mengadakan lawatan rasmi ke Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) bermula esok hingga 11 Mac ini dalam usaha memperkasa hubungan dua hala dengan negara Asia Barat berkenaan membabitkan pelbagai bidang terutama dalam hal ehwal Islam dan perdagangan.
Ini adalah lawatan rasmi pertama Perdana Menteri ke Arab Saudi sejak beliau dilantik pada 1 Mac 2020 atas jemputan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud pada April 2020.
Perdana Menteri dijangka diberikan sambutan rasmi di Istana Yamamah, Riyadh pada 9 Mac sebelum menghadap secara maya ke atas Raja Salman, pertemuan dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud; Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Arab Saudi selain hadir pada majlis menandatangani memorandum persefahaman serta majlis makan rasmi, lapor BH Online.
Di UAE pula, Perdana Menteri dijangka mengadakan pertemuan dengan Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohamad Zayed Al Nahyan; Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE, Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum dan Timbalan Panglima Tertinggi Angkatan Tentera UAE.
GAMBAR HIASAN
Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata atas dasar keakraban dan hubungan yang telah terjalin sekian lama di antara kedua-dua negara, Malaysia memenuhi jemputan daripada Arab Saudi itu.
Lawatan berkenaan dikendalikan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat yang dipersetujui oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan Arab Saudi dan Kementerian Kesihatan dan Pencegahan UAE.
“Perdana Menteri adalah ketua kerajaan pertama dijemput oleh Raja Salman Abdulaziz Al-Saud untuk mengadakan lawatan rasmi ke Arab Saudi susulan dari Persidangan Al-Ula pada 5 Januari 2021,” katanya.
Sebagai sebuah negara Muslim yang moden dan progresif, hubungan kedua-dua negara merangkumi spektrum kerjasama yang luas termasuk termasuk perdagangan, pelaburan, hal ehwal Islam, pendidikan dan hubungan sesama manusia.
“Justeru, lawatan ini bukan sekadar memberi peluang kepada kedua-dua negara untuk memperkukuhkan kerjasama sedia ada, malah turut memberi peluang untuk menjalin peluang kerjasama baharu di dalam pelbagai bidang seperti teknologi dan inovasi, serta kerjasama dalam bidang tenaga.
“Pengstrukturan semula ekonomi Arab Saudi yang sedang dilaksanakan berpandukan Visi 2030, telah memperluaskan lagi skop peluang kerjasama antara Malaysia-Arab Saudi,” katanya.
Lawatan Perdana Menteri ke Arab Saudi yang dianggap penting bakal memberi tumpuan kepada sembilan fokus dalam rangka memperkukuhkan lagi hubungan dua hala selain meneroka peluang kerjasama baharu ke peringkat lebih strategik.
Ini termasuk menubuhkan Jawatankuasa Strategik Peringkat Tertinggi (HLSC) peringkat Menteri Luar Negeri sebagai platform menyeluruh hubungan dua hala yang membuka ruang kepada perundingan berkala di antara Malaysia dan Arab Saudi dalam pelbagai bidang, antaranya, isu politik keselamatan antarabangsa, pemulihan ekonomi pasca COVID-19, urusan Haji dan Umrah, keselamatan makanan dan perdagangan minyak kelapa sawit.
Selain itu, lawatan Muhyiddin juga memberi tumpuan kepada pemacuan kerjasama dalam bidang sains dan teknologi yang akan menyumbang kepada kepentingan strategik dan ekonomi kedua-dua negara.
Ia termasuk cadangan penubuhan Pusat Inovasi Teknikal Malaysia–Arab Saudi yang akan menjadi platform bagi menggalakkan kolaborasi di antara kedua-dua negara dalam kerjasama pembangunan bandar pintar, kecerdasan buatan (AI) dan Revolusi Industri Keempat (IR 4.0).
Selain itu, aspek pengukuhan kerjasama dalam bidang Haji dan Umrah dengan pemeteraian inisiatif Mecca Road Service akan turut diberi perhatian yang akan memudahkan proses prapelepasan jemaah Haji dan Umrah Malaysia, seperti urusan penerbangan, semakan visa dan pasport, prosedur kastam dan urusan logistik lain.
Perbincangan itu akan turut membabitkan isu kuota Haji, serta prosedur Haji dan Umrah bagi jemaah dari Malaysia.
Aspek peningkatan perdagangan dan pelaburan dua hala dijangka turut disentuh termasuk dalam sektor minyak dan gas serta tenaga boleh diperbaharui yang akan membabitkan kerjasama dalam bidang teknologi baharu, seperti hidrogen, tenaga angin dan penangkapan karbon.
Kedua-dua negara akan turut berkongsi maklum balas berkaitan usaha menghadapi COVID-19 termasuk kesannya kepada sosioekonomi kepada kedua-dua negara.
Dalam aspek perdagangan, perbincangan dijangka bertumpu kepada meneroka pasaran baharu bagi eksport kelapa sawit di Arab Saudi, serta rantau Asia Barat dan Afrika selain pengukuhan kerjasama dalam bidang industri halal antara badan persijilan kedua-dua negara.
Selepas Arab Saudi, Perdana Menteri akan mengadakan lawatan rasmi ke UAE pada 9 Mac hingga 11 Mac yang mana akan menumpukan usaha peningkatan hubungan dagang kedua-dua negara selaras dengan kedudukan negara berkenaan sebagai rakan dagang terbesar Malaysia di Asia Barat.
“Kedudukan UAE yang juga hab perdagangan dan kewangan antarabangsa menjadikan UAE sebagai rakan yang penting bagi Malaysia untuk meneroka pasaran baharu, manakala Malaysia adalah negara pintu masuk yang penting bagi produk dan perkhidmatan dari UAE ke Asia Tenggara,” katanya.
Berikutan cabaran pandemik COVID-19, lawatan ini akan menjadi pemangkin kepada daya tahan dan pertumbuhan, terutamanya dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pertanian dan keselamatan makanan, kesihatan dan pertukaran diplomasi
Di UAE, Perdana Menteri akan menyentuh usaha memperkukuh hubungan dua hala sedia ada selain meneroka peluang kerjasama baharu dalam pelbagai bidang.
Ia termasuk berkaitan kerjasama dalam fasa pemulihan wabak menerusi teknologi, inovasi dan ekonomi.
Satu Memorandum Persefahaman mengenai Penubuhan Kerjasama Diplomasi Makanan Malaysia-UAE dijangka turut dimeterai.
Muhyiddin akan turut menyentuh mengenai pengukuhan kerjasama dalam industri minyak dan gas termasuk kerjasama antara peserta industri dari Malaysia dan UAE dalam kegiatan perniagaan sedia ada, serta potensi peluang dalam sektor huluran (upstream) dan hiliran (downstream).
Antara perkara lain yang akan turut diberi tumpuan ialah penubuhan Kursi Sheikh Zayed bin Sultan Al Nahyan di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS) yang diwujudkan bagi menggalakkan pemahaman dan hubungan antara kedua-dua negara di samping mempromosikan konsep tadbir urus baik, tanggungjawab terhadap alam sekitar dan toleransi antara agama.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Seekor Harimau Malaya mati hari ini di Hospital Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM) akibat komplikasi saraf, kegagalan sistem perkumuhan dan jangkitan kuman pada luka di kaki belakangnya.
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia memaklumkan, harimau jantan yang dinamakan Awang Rasau itu sebelum ini, menderita kesakitan akibat kecederaan terkena lapan butir peluru yang ditembak pemburu haram.
Kematian haiwan itu dilaporkan pada jam 12 tengah hari tadi.
“Selepas kesihatan Awang Rasau semakin merosot pada 3 Mac lalu, PERHILITAN sedaya upaya menyelamatkan Awang Rasau ini dengan mendapatkan rawatan susulan serta nasihat doktor pakar, di Hospital Veterinar UPM pada 4 Mac.
GAMBAR IHSAN PERHILITAN
“Bagaimanapun, Awang Rasau masih tidak dapat diselamatkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
PERHILITAN berkata, peluru yang ditembak ke arah harimau itu sebelum ini mengenai paru-paru dan sistem saraf haiwan itu, lapor BH Online.
“Ia menyebabkan harimau itu lumpuh separuh badan dan hanya boleh bergerak menggunakan kaki hadapannya saja.
“Luka kaki belakangnya akibat seretan juga amat serius,” katanya.
Harimau Malaya itu ditangkap PERHILITAN melalui tembakan ubat pelali pada 22 Februari lalu di Ladang FELDA Kerteh 2, Kemaman, Terengganu, selepas menerima aduan penduduk berhubung gangguan harimau yang menyerang ternakan sekitar ladang, sejak November tahun lalu.
GAMBAR IHSAN PERHILITAN
Haiwan itu ditemukan cedera dengan tiga kesan tembakan pada bahagian kaki belakangnya dan kemudian dipindahkan ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan, untuk rawatan susulan dan pemantauan lanjut.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!