SEREMBAN: Keputusan UMNO menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak dipengaruhi mana-mana individu.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata, lebih 100 bahagian menggesa supaya UMNO tidak meneruskan kerjasama dengan BERSATU dan itu bukannya keputusan perseorangan.
“UMNO satu parti yang matang. Penolakan itu bukan kerana sesiapa. UMNO tidak lagi bersama-sama BERSATU, semasa pilihan raya nanti.
“Ia bukan keputusan seorang dua tetapi keputusan daripada lebih 100 bahagian. Jadi, tidak timbul isu dipengaruhi sesiapa,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Muafakat Nasional Negeri Sembilan, yang turut dihadiri Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha.
Beliau mengulas kenyataan bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa yang mendakwa, UMNO kini seperti sudah berada di bawah pengaruh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam pada itu Mohamad berkata, UMNO kekal dengan pendirian bekerjasama dengan PAS untuk mengukuhkan Muafakat Nasional (MN), susulan gesaan lebih 100 bahagian untuk terus memperkasa MN.
Sementara itu Rafiei berkata, PAS berpegang pada prinsip memperkukuh MN dan mempertahan Perikatan Nasional, dan mengambil sikap sebagai pengantara sekali gus membentuk kerjasama dalam kalangan Melayu Islam, lapor BH ONLINE.
“Kami pada peringkat negeri akan melaksanakan apa yang diputuskan PAS pusat. Dalam mesyuarat tadi, kami bersetuju menubuhkan pasukan petugas bagi melaksanakan program bersama UMNO pada peringkat negeri, bahagian dan kawasan,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
REMBAU: Dua beranak cedera apabila kediaman pusaka berusia lebih 100 tahun yang didiami di Kampung Seberang Batu Hampar, dekat sini musnah dalam kebakaran petang semalam.
Dalam kejadian pada 6.40 petang itu, Maimunah Mohd Shah, 81, dikatakan cuba masuk ke dalam rumah yang sedang terbakar menerusi pintu dapur bagi menyelamatkan anaknya, Zaidi Zainuddin, 46, yang juga orang kurang upaya (OKU) fizikal.
Bagaimanapun, tindakannya sempat dihalang seorang anggota polis yang kebetulan melalui kawasan itu.
GAMBAR IHSAN JBPM
Anak mangsa, Hamdan Zainudin, 44, berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang selepas menjenguk ibu dan abangnya, sebelum mendapat panggilan daripada kawan yang memaklumkan rumah emak saya terbakar.
“Saya pun berpatah balik untuk melihat keadaan mereka dan sebaik tiba didapati api sudah marak.
“Alhamdulillah, emak dan abang saya berjaya diselamatkan seorang anggota polis yang kebetulan lalu di kawasan rumah kami,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Menurutnya, anggota polis berkenaan dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas habis bekerja.
“Mujur dia menyelamatkan emak yang uzur, malah dia juga berjaya menghalang emak daripada masuk ke dalam rumah kerana mahu menyelamatkan abang.
“Emak cedera di bahagian leher, muka dan tangan serta dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), manakala abang yang melecur di bahagian badan, kaki serta tangan masih kritikal dan dirawat di unit rawatan rapi (ICU) di hospital sama,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Mohd Fuad Majid berkata, pasukannya ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada 6.44 petang, lapor Harian Metro.
“Sebaik tiba, kedua-dua mangsa yang cedera dan melecur sudah dibawa keluar sebelum dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
GAMBAR IHSAN JBPM
“Api berjaya dikawal pada 7.25 malam dengan bantuan Balai Bomba dan Penyelamat Rantau.
“Rumah berstruktur separa kekal ini dianggarkan musnah 80 peratus. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JOHOR BAHRU: Suami yang didakwa membunuh isterinya angkara cemburu dipercayai menembak mangsa dengan senapang angin pada jarak dekat dalam kejadian di Taman Sri Saujana, Kota Tinggi dekat sini, Isnin lalu.
Suspek berusia 43 tahun bekerja sebagai pemandu jengkaut disyaki membunuh isterinya, berusia 38 tahun, kira-kira pukul 2.30 pagi ketika mangsa sedang nyenyak tidur.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, suspek kemudian bertindak memasukkan mayat isteri ke dalam tong air berwarna biru.
“Polis menerima laporan berkaitan orang hilang pada 1 Mac yang memaklumkan mangsa keluar rumah pada pukul 2 pagi selepas berlaku perselisihan faham dengan suaminya.
“Susulan laporan, polis membuat dua tangkapan ke atas lelaki berusia 43 dan 32 tahun yang juga kepada rakan suspek untuk membantu siasatan.
“Siasatan awal, suspek mengaku membunuh isteri sedang tidur dengan menggunakan senapang angin, selepas itu memasukkan mayat isterinya ke dalam tong air berwarna biru bersama kain cadar,” katanya, lapor KOSMO! Online.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Hadir sama ialah, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah IPK Johor, Datuk Md. Yusof Ahmad.
Ayob Khan berkata, mayat mangsa dibawa suspek ke kawasan ladang kelapa sawit di Bandar Penawar, Kota Tinggi untuk ditanam
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
Jarak rumah mereka dari Taman Sri Saujana ke Bandar Penawar terletak kira-kira 30 kilometer.
Jelasnya, dengan dipandu arah oleh suspek pada pukul 10.30 pagi semalam, mayat mangsa ditemui ditanam dalam kawasan ladang.
Motif pembunuhan dipercayai akibat cemburu.
Suspek tidak memiliki permit dan lesen untuk menggunakan senjata api.
Menurut Ayob Khan, polis merampas selaras senapang angin, senapang patah, 54 butir peluru penabur, sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero serta sebuah jengkaut.
Kedua-dua suspek direman enam hari bermula hari ini sehingga 10 Mac untuk membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
UMNO TIDAK PERLU SESIAPA UNTUK AJAR BUAT KEPUTUSAN
SEREMBAN: Keputusan UMNO menolak kerjasama dengan BERSATU pada PRU ke-15 tidak dipengaruhi mana-mana individu, kata Timbalan Presiden Mohamad Hasan.
Mohamad berkata, lebih 100 bahagian menggesa supaya UMNO tidak meneruskan kerjasama dengan BERSATU dan ia bukannya keputusan perseorangan.
MOHAMAD HASAN
“UMNO satu parti yang matang. Penolakan itu bukan kerana sesiapa. UMNO tidak lagi bersama-sama BERSATU semasa pilihan raya nanti.
“Ia bukan keputusan seorang dua tetapi keputusan daripada lebih 100 bahagian, jadi tidak timbul isu dipengaruhi sesiapa,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Muafakat Nasional Negeri Sembilan, yang turut dihadiri Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan Rafiei Mustapha.
Dia mengulas kenyataan bekas Setiausaha Agung BN Annuar Musa yang mendakwa UMNO kini seperti sudah berada di bawah pengaruh Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.
GAMBAR HIASAN
Dalam pada itu Mohamad berkata, UMNO kekal dengan pendirian bekerjasama dengan PAS untuk mengukuhkan Muafakat Nasional (MN), susulan gesaan lebih 100 bahagian untuk terus memperkasakan MN.
Sementara itu Rafiei berkata, PAS berpegang pada prinsip memperkukuh MN dan mempertahankan Perikatan Nasional, dan mengambil sikap sebagai pengantara sekali gus membentuk kerjasama dalam kalangan Melayu Islam.
“Kami di peringkat negeri akan melaksanakan apa yang diputuskan PAS pusat, dalam mesyuarat tadi, kami bersetuju menubuhkan pasukan petugas bagi melaksanakan program bersama UMNO di peringkat negeri, bahagian dan kawasan,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KOTA TINGGI: Gara-gara menuntut cerai secara fasakh, seorang wanita maut selepas dipercayai ditembak suaminya secara dekat, menggunakan senapang angin ketika sedang tidur di rumahnya di Taman Saujana, Kota Tinggi, Isnin lepas.
Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata dalam kejadian pada 2 pagi itu, berlaku perselisihan faham antara pasangan tersebut sebelum suspek berumur 43 tahun itu, menembak isterinya dan kemudiannya memasukkan mangsa ke dalam tong air berwarna biru bersama kain cadar.
“Mayat isterinya berumur 38 tahun itu kemudiannya dibawa ke kawasan ladang di Bandar Penawar, iaitu kira-kira 10 kilometer jaraknya dari rumah untuk ditanam, lapor Bernama.
GAMBAR HIASAN
“Selain suspek yang bekerja sebagai pembawa jengkaut, turut ditahan rakan lelakinya berumur 32 tahun, untuk membantu siasatan.
“Pasangan yang sudah berkahwin lapan tahun itu mempunyai dua anak berumur tiga dan empat tahun. Kejadian berlaku ketika anak-anak mereka masih tidur. Dua anak mereka kini di bawah jagaan keluarga mangsa,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru hari ini.
Beliau berkata polis menerima laporan daripada jiran pasangan itu pada 1 Mac, yang menyatakan ternampak suami mangsa membawa tong air masuk ke dalam sebuah kereta kira-kira 4.30 pagi.
Mengulas lanjut beliau berkata, hasil siasatan mendapati suami mangsa mengaku membunuh isterinya dan dengan dipandu arah oleh suspek, mayat mangsa ditemui di kawasan ladang serai kira-kira 10.30 pagi, semalam.
GAMBAR HIASAN
Ayob Khan berkata proses bedah siasat mangsa masih berjalan di Hospital Sultanah Aminah di Johor Bahru dan dua suspek itu direman enam hari bermula hari ini sehingga 10 Mac depan, dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.
“Kes berkenaan turut disiasat di bawah Seksyen 36 Akta Senjata 1960, kerana selain memiliki satu senapang angin, suami mangsa turut mempunyai satu lagi senapang patah,” katanya sambil menambah suami mangsa mempunyai dua rekod jenayah iaitu mencederakan orang dan senjata api.
Pada Rabu lepas, tular di media sosial aplikasi WhatsApp yang mendakwa seorang wanita yang dilaporkan hilang pada 1 Mac lepas di Kota Tinggi telah meninggal dunia disyaki dibunuh suaminya, kerana cemburu.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PEKEBUN MUSANG KING DAPAT NOTIS TANGGUH KOSONG TANAH
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini membenarkan permohonan 204 pekebun durian Musang King di sekitar Raub untuk menangguhkan notis arahan pengosongan tanah yang dikeluarkan oleh kerajaan Pahang sehingga rayuan mereka diselesaikan.
Panel tiga hakim, dianggotai Datuk Yaacob Md Sam, S Nantha Balan dan Datuk M Gunalan, membuat keputusan tersebut pada prosiding yang dijalankan menerusi aplikasi Zoom.
“Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan untuk menangguhkan semua prosiding berhubung notis pengosongan sementara menunggu rayuan selesai terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak kebenaran untuk semakan kehakiman,” jelas peguam, Siew Choon Jern yang mewakili semua plaintif berkenaan.
GAMBAR HIASAN
Choon Jern juga berkata, tiada tarikh ditetapkan untuk mendengar rayuan itu.
Selain beliau, plaintif juga diwakili peguam, Brendan Navin Siva, Chua Pei Nee dan Lim Pit Feng.
Pada 23 Disember tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan, Datuk Zainal Azman Ab Aziz menolak permohonan pekebun untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap notis arahan pengosongan tanah terbabit.
Hakim berpendapat, pekebun berkenaan tidak seharusnya membuat permohonan itu kerana notis pengosongan yang dikeluarkan oleh pentadbir tanah bukanlah satu keputusan atau tindakan yang boleh disemak di mahkamah.
Selain itu, mahkamah juga mendapati pekebun terbabit adalah penceroboh di tanah berkenaan dan tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk memfailkan permohonan semakan kehakiman.
Pekebun memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran menyemak notis pengosongan tanah yang ditanam pokok durian Musang King di sekitar Raub, lebih kurang 96 kilometer dari sini, termasuk di Sungai Ruan, Sungai Chalit, Sungai Klau yang dianggarkan seluas 2,167 hektar.
Seramai 110 pekebun memfailkan permohonan itu pada 28 Ogos tahun lalu, manakala bakinya membuat permohonan yang sama pada 9 September.
Mereka menamakan Pentadbir Tanah Daerah Raub, Pengarah Perhutanan Pahang, pihak berkuasa negeri, kerajaan Pahang, Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) dan Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd sebagai responden, laporBernama.
Semua responden diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Noor Fadzila Ishak dan Farahah Mohd Nazari.
Selain untuk menyemak arahan pengosongan tanah di bawah Kanun Tanah Negara dan Akta Perhutanan Negara 1984, mereka juga mahu mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan negeri yang didakwa memberikan pajakan dan hak penggunaan tanah kebun tersebut kepada Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd.
Pemohon juga mahu menyemak keputusan pemberian subpajakan tanah berkenaan kepada mereka dan kewajipan mandatori untuk menjual durian itu kepada satu-satu entiti yang dicalonkan oleh Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SETIU: Tiga juruukur Pejabat Tanah dan Daerah Setiu cemas tersesat hampir 16 jam sebelum ditemui selamat di kawasan berhampiran Kilang Sawit Chalok di sini hari ini.
Rosli Abd. Razak, 53; Muhd. Firdaus Zazumuddin, 21, dan Zuki Mamat, 50, ditemui dalam keadaan keletihan pada pukul 10.50 pagi.
Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, sebelum kejadian, ketiga-tiga kakitangan PTG Setiu berkenaan melakukan kerja-kerja mengukur tanah lot bagi Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Kampung Rahmat dan RTB Pak Kancil Toman di sini, lapor KOSMO! Online.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
“Mereka melakukan kerja-kerja mengukur tanah itu dari pukul 9 pagi semalam sebelum tugas tersebut selesai pada lewat petang.
“Kesemua mangsa tersesat dan gagal mencari jalan keluar sebelum Rosli bertindak menghubungi seorang rakannya pada pukul 8.15 malam semalam untuk meminta pertolongan,” katanya di sini hari ini.
Afandi berkata, pasukan mencari dan menyelamat terdiri daripada anggota polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam dan penduduk kampung telah ditubuhkan bagi menjejaki ketiga-tiga mangsa tidak lama selepas itu.
Ujar beliau, pada awalnya, operasi mencari dan menyelamat dilakukan pada radius satu kilometer dari lokasi mereka dilaporkan tersesat.
“Kesemua mangsa akhirnya berjaya mencari jalan keluar berhampiran Kilang Sawit Chalok,” katanya.
Jarak Kilang Sawit Chalok dengan lokasi tapak RTB Kampung Rahmat dianggarkan kira-kira 5.4 kilometer.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Bekas Setiausaha Agung BN, Annuar Musa mendakwa UMNO kini berada di bawah pengaruh ketua pembangkang, Anwar Ibrahim apabila kedua-dua gabungan parti itu mengeluarkan kenyataan yang sangat mirip semalam.
Annuar merujuk kepada kenyataan media berhubung desakan mengadakan sidang Parlimen ketika pengisytiharan darurat apabila kedua-dua kenyataan itu menyentuh mengenai keberkesanan membendung Covid-19, pelaksanaan Bajet 2021 dan pemulihan ekonomi ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) berlangsung.
“Viral di media sosial perihal kenyataan media pengerusi BN yang hampir sama dan bersifat copy and paste (salin dan tampal) kenyataan media Anwar Ibrahim.
“Ia satu lagi bukti pemimpin (BN) kini sudah dikuasai Pakatan Harapan (PH). Ini jelas membelakangi dasar parti tidak menyokong Anwar dan DAP.
“Selepas tersebar surat sokongan dan ikrar setia presiden UMNO kepada Anwar yang disembah kepada Yang di-Pertuan Agong, kenyataan media ini merupakan satu lagi bukti pimpinan UMNO kini berada di bawah pengaruh Anwar Ibrahim,” katanya dalam kenyataan media, lapor Malaysiakini.
GAMBAR HIASAN
Untuk rekod, poin-poin dalam kenyataan tersebut turut ditulis dalam turutan yang sama.
Malah, kedua-dua kenyataan media itu turut menggunakan pendekatan sama untuk mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan petugas barisan hadapan di atas pengorbanan mereka membendung Covid-19.
Keputusan parti tak lagi dipatuhi
Semalam, melalui kenyataan media, Ahmad Zahid – atas kapasitinya selaku pengerusi BN – Agong menitahkan agar sidang parlimen diadakan segera.
Bagaimanapun MIC mendakwa kenyataan Zahid itu kurang tepat.
ANWAR IBRAHIM
Presiden MIC, SA Vigneswaran berkata dia terkejut dengan kenyataan itu dan mengatakan mesyuarat BN pada Rabu lalu memutuskan untuk tidak membuat sebarang andaian dengan titah Agong berhubung sidang parlimen.
Untuk rekod, hubungan antara UMNO dan BERSATU yang dipimpin presidennya, Muhyiddin Yassin kini bagaikan telur di hujung tanduk.
Keadaan ini bertambah keruh apabila Ahmad Zahid dalam sepucuk surat bertarikh 26 Februari menyatakan kebersamaan Umno dengan kerajaan PN akan berakhir sebaik saja parlimen dibubarkan.
BERSATU pula malam tadi memutuskan untuk terus fokus memperkasakan gerak kerja bersama rakan-rakan dalam PN iaitu PAS, STAR, SAPP dan Gerakan.
SA VIGNESWARAN
Mengulas lanjut, Annuar berkata kenyataan Ahmad Zahid agar sidang parlimen diadakan dibuat kira-kira 24 jam selepas Dewan Tertinggi BN dalam mesyuaratnya memutuskan sekali lagi mereka mengekalkan dasar tidak menyokong atau bersama PKR dan DAP.
Annuar berkata, hal itu jelas menunjukkan segala keputusan UMNO tidak lagi dipatuhi, sebaliknya parti itu hanya cuba terus untuk menjayakan agenda peribadi pemimpin tertentu.
“Ahli dan akar umbi dipersendakan pemimpin. Hasrat ahli ingin melihat semangat kesatuan parti-parti berteraskan perpaduan Melayu semakin kabur.
“Peranan UMNO memperkasa muafakat bersama PAS semakin renggang – sedikit demi sedikit UMNO diheret ke arah Anwar dan DAP.
“Kita semakin jauh dari aspirasi rakyat, terutama orang Melayu dan umat Islam,” katanya.
Pada masa sama, dia turut mengulangi pendiriannya kepada keputusan parti untuk tidak menyokong Anwar dan tidak bersama DAP.
“Saya masih utuh mendukung setiap ayat dalam piagam Muafakat Nasional dan nota persefahaman UMNO-PAS yang saya turut terlibat menggubal dan membuat pengisytiharannya,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
IPOH: Dua Adun dari Perak yang dahulunya dengan DAP, kini secara rasmi menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Bekas Exco ketika kerajaan PH, Paul Yong Choo Kiong, yang juga ADUN Tronoh dan ADUN Buntong, A Sivasubramaniam, sebelum ini bertindak keluar DAP pada Mac tahun lalu.
ADUN Tronoh, Paul Yong Choo Kiong (kiri) dan ADUN Buntong, A Sivasubramaniam (kanan)
Mereka kemudian menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) Perak ketika Ahmad Faizal Azumu menjadi menteri besar.
Penyertaan kedua-dua ADUN berkenaan dalam BERSATU disahkan oleh Setiausaha BERSATU Perak, Zainol Fadzi Paharuddin.
“Kedua-dua mereka sudah pun menjadi Ahli Bersekutu BERSATU sejak Disember lalu,” katanya ketika dihubungi Free Malaysia Today.
“Yong mendaftar sebagai ahli bersekutu bahagian Batu Gajah, manakala Sivasubramaniam ahli bersekutu Ipoh Barat,” katanya.
Sivasubramaniam pada Jun mengumumkan menyertai Gerakan.
Penyertaan Sivasubramaniam ke dalam BERSATU mengakibatkan Gerakan kini hilang wakil dalam DUN Perak.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Jumlah penerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech di Malaysia kini menghampiri 100,000 orang, setakat semalam.
Data daripada Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) yang dikongsikan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham di Facebook, hari ini menunjukkan sejumlah 99,616 penerima dalam kalangan petugas barisan hadapan sudah menerima vaksin berkenaan.
Jumlah itu berjaya dicapai hanya dalam tempoh sembilan hari sejak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dilancarkan pada 24 Februari lalu, apabila Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama menerima suntikan vaksin berkenaan.
Data agihan vaksin mengikut negeri itu menunjukkan individu di Sarawak paling ramai menerima vaksin itu setakat ini dengan 14,134 dos, disusuli Kuala Lumpur (10,970) dan Kelantan (10,941).
Perak pula sudah memberikan 8,844 dos vaksin Pfizer-BioNTech, selain Pahang (8,546), Johor (8,470), Selangor (6,483), Kedah (5,171) dan Terengganu (4,570).
Selain itu, Negeri Sembilan sudah memberikan 4,332 dos vaksin, manakala Pulau Pinang dengan 4,034, Melaka (3,740), Sabah (3,492), Putrajaya (2,054), Labuan (1,939) dan Perlis (1,896).
Malaysia kini berada dalam fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, yang menyasarkan untuk memvaksin kira-kira 500,000 petugas barisan hadapan, antara hujung Februari hinga April depan, lapor BH Online.
Fasa 2 imunisasi, yang bakal membabitkan vaksin Pfizer-BioNTech dan Sinovac, dijadualkan bermula April hingga Ogos depan, untuk kira-kira 9.4 juta warga emas berusia 60 tahun ke atas dan golongan berisiko tinggi.
Fasa 3 pula akan bermula pada Mei hingga Februari tahun depan dan disasarkan untuk sekitar 13.7 juta penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas, sama ada rakyat tempatan atau warga asing.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!