TUNIS: Sekurang-kurang 39 pendatang lemas apabila dua bot dinaiki mereka terbalik, semalam, menurut Kementerian Pertahanan Tunisia.
Pasukan penyelamat berjaya menyelamatkan 165 mangsa dalam kejadian itu, setakat ini.
Jurucakap Kementerian Pertahanan, Mohamed Zekri, berkata operasi mencari dan menyelamat bagaimanapun terpaksa ditangguhkan sementara berikutan keadaan waktu malam dan cuaca buruk.
Hingga kini, belum dapat dipastikan punca dua bot berkenaan terbalik.
Namun, bot membawa pendatang yang meninggalkan pesisir Afrika Utara untuk ke Eropah lazimnya adalah buatan sementara dan padat dengan muatan berlebihan serta bertolak pada waktu malam, walaupun ketika cuaca buruk, bagi mengelak daripada dikesan pengawal pantai.
GAMBAR HIASAN
Kementerian Pertahanan memaklumkan, 39 mayat sudah ditemui, setakat ini.
Jurucakap Pengawal Nasional Tunisia, Houcem Eddine Jebabli, pula berkata sekurang-kurang sembilan wanita dan empat kanak-kanak terkorban, lapor AFP.
Menurut pihak berkuasa, bot terbabit membawa pendatang yang kebanyakannya dari sub-Sahara Afrika untuk menuju ke Eropah, namun dikesan oleh pengawal pantai di luar pelabuhan Sfax, Tunisia.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini memutuskan bahawa kerajaan telah melakukan kesilapan dalam mengeluarkan larangan penggunaan kalimah Allah pada tahun 1986 kepada masyarakat bukan Islam.
Justeru, mahkamah sama memutuskan seorang wanita Kristian yang berbangsa Melanau berhak menggunakan kalimah Allah untuk tujuan keagamaan dan pendidikan.
Hakim Nor Bee Ariffin hari ini membenarkan tindakan undang-undang oleh Jill Ireland dalam kemelut yang berlarutan hampir 13 tahun, lapor Malaysiakini.
GAMBAR HIASAN
Pada 11 Mei 2008, CD berjudul Cara Hidup Dalam Kerajaan Allah; Hidup Benar Dalam Kerajaan Allah dan Ibadah Yang Benar Dalam Kerajaan Allah telah dirampas daripada Jill Ireland sebaik dia tiba di Terminal Tambang Murah (LCCT) di Sepang.
Wanita Melanau itu kemudian memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 20 Ogos 2008 untuk menuntut pemulangan CD yang dirampas itu serta bayaran gantirugi.
Mahkamah Rayuan pada 23 Jun 2015, mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya CD itu dipulangkan kepada Ireland.
Mahkamah juga memerintahkan bahawa pengisytiharan yang dipohon oleh Ireland mengenai penggunaan kalimah Allah didengar semula.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Kerajaan bercadang untuk menaikkan kadar caruman mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dalam masa terdekat.
Menteri Sumber Manusia, M Saravanan, berkata pihaknya memberi jaminan bahawa jika berlaku peningkatan sekalipun, ia tidak akan membebankan pencarum.
Beliau berkata kenaikan itu perlu mengambil kira situasi semasa dan risiko yang dihadapi pekerja sekarang.
“Kita sedang mengkaji dalam masa terdekat. Tetapi saya bagi jaminan kepada rakyat Malaysia bahawa peningkatan itu tidak akan membebankan rakyat.
“Saya lihat, permintaan sudah meningkat daripada semua sektor. Rakyat pun sudah mula sedar kebaikan perlindungan PERKESO (Pertubuhan Keselamatan Sosial). Saya percaya permintaan sudah meningkat… saya percaya dengan keadaan ini kita perlu menaikkan caruman sedikit.
“Mungkin kenaikan dalam RM1 atau RM2 sebab kita sudah perluaskan perlindungan keselamatan,” katanya pada sidang media hari ini.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama strategik antara Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Yang turut hadir Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dr Wan Junaidi Tunku Jaafar; Timbalan Menterinya, Mas Ermieyati Samsudin dan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim.
Mengulas lanjut, Saravanan berkata, akta itu tidak pernah dipinda sejak penubuhan PERKESO pada 1971.
“Kali terakhir kita perkenalkan PERKESO pada 1971 sehingga hari ini dari segi sumbangan sudah meningkat… hampir 100 peratus tetapi kita tak pernah menaikkan caruman,” katanya, lapor BH Online.
Terdahulu, bercakap dalam majlis sama, Saravanan berkata melalui kerjasama bersama Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional), PERKESO akan memudahcara pendaftaran caruman bagi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) bagi penerima biaya di bawah agensi berkenaan.
Beliau berkata, melalui caruman bulanan serendah RM13.10 atau tahunan yang minimum, pencarum dapat menikmati pelbagai faedah termasuk perubatan, hilang upaya sementara dan orang tanggungan.
“Hari ini, kita sudah mula berikan perlindungan kepada sektor tidak formal yang saya percaya akan membabitkan kos yang lebih tinggi dan dari segi risiko pun memang tinggi,” katanya.
Selain memudahcara pendaftaran caruman, tiga MoU dimeterai hari ini, membabitkan usaha memperluaskan peluang pekerjaan, penyediaan program peningkatan kemahiran dan pemahiran semula bagi usahawan tempatan menerusi agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BENTONG: Geng Nuar Manchis yang aktif di sekitar daerah ini tumpas hasil kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang dan Cawangan Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong dan Brickfields, Kuala Lumpur.
Dalam operasi bersepadu itu turut menahan lima suspek berusia antara 21 hingga 35 tahun sejak 3 Mac hingga hujung minggu lalu.
Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya berjaya merampas dadah jenis heroin dianggarkan bernilai RM49,000 barangan kemas dan wang tunai sebanyak RM29,000 serta menyita empat kenderaan yang digunakan suspek.
“Tangkapan pertama membabitkan dua suspek ketika dilakukan di Batu 5, Jalan Lama Bentong-Kuala Lumpur pada 3 Mac lalu, kira-kira jam 6.30 petang.
“Ujian air kencing dilakukan terhadap suspek mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine dan seorang daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya dalam sidang media di IPD Bentong, di sini, hari ini.
Yusri berkata, hasil soal siasat dijalankan terhadap suspek membawa kepada penahanan tiga lagi suspek di ibu negara.
Katanya, semua suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan penyalahgunaan dadah.
“Semua suspek direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
“Berdasarkan siasatan awal, sindiket ini mendapat bekalan dadah jenis heroin itu dari Lembah Klang dan diedarkan kepada penagih di sekitar daerah Bentong,” katanya.
Antara barangan rampasan
Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang, Superintendan Mohd Azam Ab Razak dan Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar.
Difahamkan, jumlah dadah dianggarkan seberat 4,405.28 gram dirampas itu boleh dibekalkan kepada kira-kira 8,000 penagih.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PARIT BUNTAR: Tujuh buah rumah kedai musnah dijilat api dalam kebakaran di Kampung Simpang 3, Kuala Kurau di sini petang tadi.
Kejadian kira-kira pada pukul 2 petang itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kehilangan jiwa mahupun kecederaan kepada orang awam.
Pemangku Penolong Pengarah Kanan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Muhamad Syahrizal Aris berkata, pihaknya terus bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan dan anggota bertugas kemudiannya mendapati api sedang marak membakar tiga buah rumah kedai kelas C.
“Ketika anggota tiba, api sedang marak membakar tiga buah bangunan rumah kedai dan atas faktor cuaca panas serta tiupan angin di kawasan itu menyebabkan ia cepat merebak ke rumah kedai lain.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
“Seramai 24 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kurau, BBP Parit Buntar dan BBP Bagan Serai berusaha mengawal kebakaran daripada merebak dibantu enam pasukan bomba sukarewan (PBS),” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Tambah Muhamad Syahrizal, pihaknya mengambil masa selama 40 minit untuk mengawal api sepenuhnya.
“Kebakaran tidak melibatkan sebarang kehilangan nyawa serta kecederaan dan ketika kejadian kebanyakan premis ini tidak beroperasi kecuali sebuah kedai runcit, lapor KOSMO! Online.
“Lima buah rumah kedai musnah antara 60 hingga 80 peratus manakala dua unit lagi hanya musnah 10 peratus. Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
Sementara itu, Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad yang turut melawat lokasi kebakaran mengingatkan orang ramai agar menaik taraf pendawaian lama di premis masing-masing bagi mengelakkan litar pintas yang boleh mengakibatkan kebakaran.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
“Pendawaian yang lama adalah pendawaian yang jenis melekat ke dinding iaitu wayar elektrik berada di luar dan berkemungkinan pendawaian itu kini sudah reput.
“Jadi saya berharap agar orang ramai dapat menaik taraf pendawaian wayar elektrik yang terkini iaitu mengunakan salutan paip PVC agar lebih selamat,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BANGI: Seorang anggota polis terpaksa memanjat bahagian hadapan kenderaan pelbagai guna (MPV) selepas motosikal ditunggangnya dilanggar kenderaan itu dalam kejadian di tempat letak kereta restoran makanan segera di Bandar Baru Bangi, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu 3.04 pagi tadi.
“Siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku ketika sepasukan anggota Ronda Cegah Jenayah Balai Polis Bandar Baru Bangi melakukan rondaan di kawasan berkenaan 10.30 malam.
“Anggota bertugas kemudian terserempak dengan kenderaan dalam keadaan mencurigakan yang diparkir dengan enjin dihidupkan.
“Mereka menghampiri kenderaan berkenaan dan cuba membuat pemeriksaan dengan menyuluh ke dalam serta mengetuk cermin kenderaan yang dinaiki seorang lelaki serta seorang wanita,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Zaid berkata, sebaik pasangan itu menyedari kehadiran anggota polis yang mengarahkan mereka keluar, lelaki yang memandu kenderaan berkenaan cuba melarikan diri dan melanggar motosikal serta anggota yang berada di hadapan MPV terbabit.
GAMBAR IHSAN PDRM
“Ekoran itu, seorang anggota yang berada di hadapan kenderaan itu terpaksa berpaut dalam keadaan ia bergerak dengan jarak kira-kira 150 meter sebelum dia berjaya melepaskan diri.
“Anggota yang terbabit dalam kejadian ini sudah menggunakan segala usaha dan tindakan yang perlu untuk memberhentikan kenderaan berkenaan, namun suspek terus melarikan diri ke arah Jalan Persiaran Jaya Bandar Baru Bangi.
“Susulan itu, anggota terbabit mengalami cedera ringan dan motosikal yang ditunggangnya dilaporkan rosak,” katanya, lapor Harian Metro.
Beliau berkata, pihaknya mengesan suspek yang melarikan diri susulan anggota bertugas dapat mengecam nombor pendaftaran kenderaan berkenaan.
“Bertindak atas maklumat itu, kami menahan seorang lelaki dan seorang wanita masing-masing berusia 19 dan 20 tahun yang dipercayai terbabit dalam kejadian ini.
“Permohonan reman ke atas kedua-dua suspek akan dilakukan di Mahkamah Bandar Baru Bangi, hari ini, untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 186/307/332 Kanun Keseksaan serta Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Beliau turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Mu’az Mazlan di talian 017-9788804 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Terdahulu, satu video berdurasi 40 saat menunjukkan kejadian itu tular di media sosial.
Dalam rakaman itu, seorang anggota polis juga dilihat berpaut pada bahagian hadapan MPV terbabit yang sedang bergerak.
Pemandu MPV terbabit turut dilihat memecut kenderaan dan melanggar kon di laluan berkenaan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KEPUPUSAN HARIMAU TASMANIAN AKIBAT PERBUATAN MANUSIA
Para penyelidik Australia mengesahkan bahawa kepupusan Harimau Tasmanian yang juga dikenali sebagai Thylacine adalah kerana diburu oleh manusia bukannya disebabkan oleh wabak penyakit.
Spesies terakhir yang menyerupai anjing tetapi berbelang seperti harimau itu mati dalam kurungan di Zoo Hobart pada September 1936, lapor National Geography.
Ia diisytiharkan pupus secara rasmi pada tahun 1986 apabila para penyelidik berpuas hati tidak ada seekor pun ditemui lagi secara liar di hutan Pulau Tasmania.
Spesies itu hanya hidup di pulau berkenaan.
Ketika manusia pertama dari Eropah menjejakkan kaki di Pulau Tasmania pada 1803, binatang tersebut hidup secara liar di dalam hutan.
Walaupun ia menyerupai anjing atau serigala tetapi Thylacine sebenarnya adalah marsupial iaitu kumpulan binatang yang melahirkan anak di dalam uncang sama sepertimana kanggaroo dan beruang koola.
Ketua Penyelidik dari University of Adelaide, Thomas Prowse yang menjalankan kajian berhubung punca sebenar kepupusan Harimau Tasmanian itu mendedahkan mereka tidak menemui sebarang bukti yang menunjukkan spesies tersebut pupus diakibatkan oleh wabak tertentu.
Sebaliknya salah satu penyebab utama kepupusan Harimau Tasmanian adalah disebabkan kemunculan penternak kambing biri-biri yang memusnahkan habitat semulajadi binatang tersebut.
Populasi harimau berkenaan menjunam dengan mendadak selepas tahun 1905 apabila industri penternakan mengembang dengan pesat di Tasmania.
Sebab kedua ialah apabila kangaroo dan wallabies (kangaroo kecil) yang menjadi makanan semulajadi harimau ini semakin menguncup ekoran pembukaan ladang-ladang penternakan biri-biri, ia sekaligus menjejaskan populasi Harimau Tasmanian, kata Prowse lagi.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki disyaki menghina agama Islam serta menghasut untuk memurtadkan seorang wanita pada Selasa.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata lelaki berusia 29 tahun itu ditahan pada jam 12.05 tengah hari.
“Sepasukan polis dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman telah menahan lelaki itu serta merampas sebuah telefon bimbit dan kad SIM,” katanya dalam kenyataan pada Selasa, lapor Sinar Harian.
GAMBAR HIASAN
Huzir berkata permohonan reman ke atas suspek di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah akan dipohon pada Rabu bagi siasatan lanjut.
“Kita kini dalam usaha untuk mengenal pasti dan mengesan sama ada terdapat individu lain yang turut terlibat dalam kes itu,” katanya.
Huzir berkata, suspek telah memuat naik klip video berdurasi 3 minit 11 saat berkaitan kes itu melalui platform YouTube pada pertengahan Februari lalu.
GAMBAR HIASAN
“Kes disiasat mengikut Seksyen 441 Akta Hasutan 1948, Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
Huzir menggesa orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform berkenaan sehingga boleh mendatangkan kegusaran serta mengganggu gugat keharmonian negara.
“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja mengancam ketenteraman serta keselamatan awam,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
TUN SITI HASMAH PERJELAS SEBAB TERIMA VAKSIN FASA PERTAMA
SHAH ALAM – Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali menafikan dakwaan beliau menerima suntikan vaksin Covid-19 bagi fasa pertama atas kapasiti sebagai isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menerusi video di saluran YouTube, Dr Siti Hasmah memperjelaskan beliau menerima suntikan tersebut bersama Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi pada Ahad kerana beliau adalah seorang warga emas.
“Saya datang ke Pulau Langkawi menemani suami saya yang sebagai ahli Parlimen dan ketua bahagian memang berhak mendapat vaksin, lapor SINAR HARIAN.
“Yang saya ini sebagai warga emas. Saya bukan datang sini untuk dapatkan vaksin sebab saya isteri kepada ahli Parlimen, Tun M,” katanya menerusi video bertajuk Tun Siti Hasmah, Hari Wanita dan Vaksin.
Pada Ahad, Dr Mahathir Mohamad, 96, bersama Dr Siti Hasmah, 95, menerima suntikan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech di Pusat Pemberian Vaksin Covid-19 Daerah Langkawi di Kompleks Sukan Langkawi.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SEMAKAN TAWARAN KE TINGKATAN SATU, EMPAT MRSM 2021
KUALA LUMPUR – Keputusan berhubung kemasukan ke Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) sesi 2021 boleh disemak secara berperingkat mulai Rabu.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Azizah Mohd Dun berkata, bagi calon yang berjaya, mereka akan menerima permakluman menerusi Sistem Pesanan Ringkas (SMS) atau emel yang telah didaftarkan semasa permohonan.
“Pemohon juga boleh membuat semakan menerusi portal rasmi MARA di www.mara.gov.my. Pemohon atau ibu bapa perlu mengesahkan penerimaan tawaran kemasukan menerusi pautan sistem mymrsm di portal Mara dan sekiranya tidak berbuat demikian dalam tempoh tujuh hari, tawaran kepada calon dianggap terbatal,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Bagi permohonan rayuan, Azizah berkata, ia akan mula dibuka mulai 7 April hingga 30 Mei depan dan permohonan perlu dilaksanakan secara dalam talian.
Pada tahun ini, katanya MARA telah menerima 102,329 permohonan bagi kemasukan ke Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat dengan kapasiti kemasukan pelajar ke Tingkatan Satu adalah 7,783 orang pelajar manakala bagi Tingkatan Empat adalah 2,426 orang pelajar.
“Setakat Februari 2021, pelajar MRSM sedia ada berjumlah 28,087 orang di 53 MRSM,” katanya.
Sementara itu Azizah berkata, MARA masih meneruskan dasar sedia ada dengan 60 peratus pengambilan adalah daripada golongan berpendapatan rendah (B40), dengan keutamaan juga diberikan kepada pelajar luar bandar dan miskin bandar.
“Pelajar B40 yang mengikuti pengajian di MRSM tidak perlu bimbang kerana MARA menyediakan program bantuan di bawah program Budi MARA. Pelajar terpilih akan diberi bantuan wang tunai RM1,100 merangkumi yuran persekolahan, pembelian pakaian persekolahan, pakaian harian, keperluan asrama, peralatan persekolahan dan sebagainya.
“Melalui pendekatan ini, ia akan memberi peluang yang lebih besar kepada pelajar daripada kalangan B40 untuk mengikuti pengajian di MRSM,” katanya.
Sementara itu, Azizah turut memaklumkan dua MRSM baharu iaitu MRSM ATM Bera, Pahang dan MRSM Bagan Datuk, Perak akan mula beroperasi pada awal Jun depan, sekali gus memberi peluang pendidikan yang lebih besar kepada masyarakat.
MRSM menawarkan enam program iaitu MRSM International General Certificate of Secondary Education (IGCSE), MRSM International Baccalaureate-Middle Year Programme (IB-MYP), MRSM Ulul Albab, MRSM Program Khas Pendidikan (PKP), MRSM Premier dan MRSM Teknikal di bawah Sistem Pendidikan MRSM (SPMRSM), lapor Bernama
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!