Kuching: Seorang lelaki warga emas maut selepas van dipandunya terjatuh dalam runtuhan tebing di Jalan Kota Sentosa-Bau berdekatan lampu isyarat Kampung Haji Baki, malam tadi.
Mangsa, Chai Kian Fah, 63, yang tersepit di dalam van disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 12.39 tengah malam.
Sepasukan 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan itu.
“Setibanya di lokasi, didapati berlaku tanah runtuh di tepi jalan dan sebuah van jatuh di tebing dalam runtuhan itu dengan seorang mangsa berada di dalamnya.
“Keadaan struktur tanah yang tidak stabil dan masih berlaku runtuhan susulan menyukarkan operasi menyelamatkan mangsa dan dilakukan dengan penuh berhati-hati,” katanya.
Menurutnya, selepas berjaya menuju ke arah mangsa, anggota bomba menggunakan peralatan khas memotong bahagian pintu kenderaan bagi mengeluarkan mangsa.
“Mangsa berjaya dikeluarkan pada 1.59 pagi dan dibawa naik ke jalan raya untuk pengesahan statusnya., lapor BH ONLINE.
“Selepas diperiksa, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan yang turut hadir di lokasi dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Masjid Tanah: Jangkitan dan penularan virus Covid-19 di kalangan anggota polis menyebabkan Balai Polis Kuala Sungai Baru, di sini, terpaksa ditutup mulai semalam hingga 26 Julai hadapan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, segala urusan pengeluaran permit rentas daerah dan negeri diambil alih anggota di Balai Polis Lubok Cina dan Masjid Tanah.
“Khidmat polis kepada anggota masyarakat di bawah pentadbiran Balai Polis Kuala Sungai Baru seperti rondaan cegah jenayah tetap dijalankan seperti biasa menggunakan Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB),” katanya tadi.
Anggota komuniti di Kuala Sungai Baru yang memerlukan bantuan diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah di talian 06-5564153/06-5566573.
Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam kenyataannya berkata, mukim Kuala Sungai Baru mencatatkan tiga kes positif covid-19 kelmarin.
Dua kes dicatatkan di Taman Kuala Permai dan satu kes di Kampung Telok Gong kelmarin, tetapi tiada kluster dicatatkan di mukim berkenaan, lapor HM online.
Sebanyak 575 kes positif baharu dicatatkan kelmarin di seluruh negeri ini dengan tujuh kes kematian.
Selain itu, sebanyak 24,194 kes keseluruhan dicatatkan setakat kelmarin dengan daerah Melaka Tengah mencatatkan 13,742 kes dan diikuti Alor Gajah (5,435), Jasin (4,922) dan import (95).
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
336 MASJID DAN TEMPAT SEMBELIHAN KORBAN SUDAH DIKENALPASTI
KUANTAN: Sebanyak 336 masjid dan tempat penyembelihan di seluruh Pahang telah dikenalpasti bagi urusan penyembelihan untuk ibadah korban yang bermula Selasa ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, kebenaran itu diberikan dengan syarat pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat di lokasi terbabit.
“Seramai 1,335 penyembelih dan pembantu penyembelih sudah menerima kelulusan dan dibenarkan melakukan penyembelihan bagi ibadah korban.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad
“Kita juga sudah mendapat persetujuan mengadakan ibadah korban dengan SOP ketat iaitu hanya tempat diiktiraf dan diberikan lesen oleh pihak jabatan veterinar.
“Masjid ini juga perlu memiliki kelengkapan bersesuaian dan mencukupi bagi memastikan pematuhan SOP dapat dilakukan.
“Mereka yang dibenarkan melakukan kerja penyembelihan perlu membuat ujian saringan pengesanan Covid-19 terlebih dahulu sebelum sembelihan dilakukan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mengulas mengenai kebenaran melaksanakan solat Sunat Aidiladha pula, Syed Ibrahim berkata, semua masjid dan surau yang dibenarkan melaksanakan solat Jumaat serta fardu, turut dibenarkan melaksanakan solat sunat Aidiladha, tertakluk kepada SOP ditetapkan sebelum ini.
“Walaupun dapat kebenaran untuk menunaikan solat Aidiladha, tetapi mereka mestilah mengikut SOP sebagaimana yang telah ditetapkan, sebagai contoh masjid negeri boleh solat dengan jumlah 100 jemaah.
“Jika, mereka ada keupayaan dari segi ruang, jentera untuk bantu orang ramai dan memastikan SOP dipatuhi sepenuhnya, mereka boleh mengemukakan permohonan kepada Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) untuk menambah jumlah jemaah,” katanya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
2,000 KILOGRAM IKAN PELALING UNTUK PENDUDUK TERKESAN
KUANTAN: Jika sebelum ini kita biasa mendengar mengenai kewujudan Bank Makanan bagi membantu golongan terkesan akibat COVID-19, rangkaian pasar raya borong MO Wholesales beribu pejabat di sini, mencipta kelainan dengan memperkenalkan inisiatif ‘Fish Bank’.
Program itu dilaksanakan pagi tadi, bermula jam 8.30 pagi di perkarangan pasar raya berkenaan yang terletak di Kompleks Pasar Borong Baru Kemunting, Jalan Tanah Putih.
Pengarah Eksekutif Operasi MO Wholesales, Mohd Rofzan Mohd Latiff berkata, idea memperkenalkan ‘Fish Bank’ itu tercetus selepas mendapati masih belum banyak pihak menawarkan bantuan barangan basah kepada orang ramai, terutamanya yang berdepan masalah kehilangan punca pendapatan berikutan penularan COVID-19 sejak setahun lalu.
“Kalau sebut ‘Food Bank’ memang kita sudah biasa dengar dan ramai yang menawarkan pelbagai barangan keperluan asas kepada mereka (yang terkesan), cuma bantuan barangan basah seperti ikan, agak jarang kita dengar.
“Jadi, dari situ kami dapat idea untuk melancarkan program ‘Fish Bank’ ini dan hari ini, kami menyediakan kira-kira 2,000 kilogram (kg) ikan untuk diagihkan kepada penduduk sekitar bandar raya Kuantan.
“Memandangkan daerah ini masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), jadi kita melakukan pengagihan secara pandu lalu dan ini adalah bagi memastikan semua prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dipatuhi,” katanya ketika ditemui ketika program berkenaan berlangsung, pagi tadi.
Mohd Rofzan berkata, setiap penerima akan memperoleh dua kilogram ikan jenis Pelaling dan proses pengagihan 2,000 kg ikan berkenaan selesai sepenuhnya dalam masa kira-kira dua jam.
Ketika ditanya mengenai perancangan seterusnya pihak MO Wholesales bagi membantu kumpulan yang terdepan masalah kehilangan sumber pendapatan, Mohd Rofzan berkata, pihaknya akan melancarkan Bank Makanan di perkarangan pasar raya miliknya itu tidak lama lagi, di samping meneruskan pengagihan ikan percuma dari semasa ke semasa.
“Program hari ini adalah sebagai permulaan dan kita juga sedang merancang untuk menyediakan rak ‘Food Bank’ di pasar raya kami untuk memudahkan mereka (yang kehilangan kerja dan sumber pendapatan) mendapatkan bantuan barangan keperluan asas.
“Begitu juga dengan program ‘Fish Bank’ ini, kita akan teruskan dari semasa ke semasa, bergantung kepada bekalan ikan yang kita perolehi.
“Macam hari ini, kita agihkan ikan jenis Pelaling kerana stok yang banyak Ketika ini adalah ikan jenis itu, kalau selepas ini ada stok (banyak) ikan jenis lain, kita agihkan ikan (jenis) lain pula,” katanya yang memaklumkan program sama akan diperluaskan ke semua enam rangkaian pasar raya milik MO Wholesales secara berperingkat.
Katanya, program ‘Fish Bank’ sesi kedua akan diadakan di cawangannya di Kemaman, Terengganu, dalam masa terdekat. – SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
ANIH BERHAD PASTIKAN OPERASI LEBUHRAYA KLK DAN LPT FASA 1 KEKAL TERBAIK
WALAUPUN LARANGAN RENTAS NEGERI MASIH BERKUATKUASA
KUALA LUMPUR: Meskipun aktiviti rentas negeri tidak dibenarkan ketika ini, ANIH Berhad, pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), yang bermula dari Gombak, Selangor ke Jabor, Terengganu, terus peka dalam memastikan operasi dan kemudahan di sepanjang lebuh raya berada dalam keadaan terbaik.
Sudah menjadi tanggungjawab syarikat untuk memastikan keselesaan pengguna ketika menggunakan KLK dan LPT 1.
Pengarah Eksekutif ANIH Berhad, Datuk Nik Fauzi Tan Sri Nik Hussein berkata, syarikat mengambil maklum dan menghormati keputusan kerajaan mengenai larangan rentas negeri ketika ini.
Keadaan agak lengang di Plaza Tol Gombak, hari ini
“Bagaimanapun kami akan terus memastikan semua kemudahan lebuh raya termasuk di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R), Hentian Sebelah dan perkhidmatan tol serta trafik berada dalam keadaan terbaik dan bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan’’.
“Untuk tempoh musim perayaan Hari Raya Aidiladha bermula 16 Julai hingga 25 Julai 2021, ANIH Berhad menjangkakan jumlah trafik akan mengalami penurunan berbanding jumlah purata harian, masing-masing sebanyak 81.3 peratus bagi KLK dan 72.5 peratus bagi LPT 1, “ katanya melalui kenyataan media.
Katanya, bagi mengekang penularan wabak COVID-19, semua kemudahan di sepanjang KLK dan LPT 1 turut mempraktikkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang tinggi, sebagaimana ditetapkan oleh Kementerian Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Ia termasuk proses sanitasi berkala, serta penyediaan cecair pembasmi kuman, serta peralatan merekod butiran diri dan alat pengimbas suhu badan.
“Oleh itu, pengguna lebuhraya disarankan untuk sentiasa mematuhi SOP ketika menggunakan kemudahan lebuhraya,” katanya.
Kata Nik Fauzi, semasa mensyukuri nikmat Hari Raya Aidiladha yang bakal tiba, pengguna lebuh raya jangan alpa untuk terus mematuhi SOP yang disarankan dalam usaha menghentikan rantaian wabak Covid-19.
Keadaan di Plaza Tol Gombak pada jam 2.25 petang, hari ini
“Tanggungjawab ini perlu dipikul bersama, dalam memastikan Pelan Pemulihan Negara dapat dijayakan sebaiknya.
“Untuk perjalanan yang lancar, pengguna dinasihat untuk memastikan baki kad dan eWallet Touch ‘n Go adalah mencukupi sebelum memasuki lebuhraya,” katanya.
Katanya, urusan tambah nilai, pengguna boleh ke kiosk layan diri (SSK) yang disediakan di R&R Genting Sempah dan Hentian Sebelah Gombak bagi KLK ; R&R Temerloh Timur, R&R Temerloh Barat serta Plaza Tol Gambang bagi LPT1.
“Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai syarikat di laman web ANIH Berhad atau menerusi Twitter @LPTTrafik dan Facebook Lebuhraya Pantai Timur. Bagi bantuan kecemasan, pengguna disarankan untuk menghubungi talian 24 jam LPT Line di 1-700-818-700 atau 09-5479 111,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT: Jawatankuasa Bantuan Makanan Jalinan Ukhwah (food bank) Kampung Jerantut Feri menyumbang seekor ayam setiap keluarga untuk persediaan juadah menyambut sambutan Aidil Adha yang bakal disambut lusa.
Penyelaras program itu, Rozmizal Mat Lia berkata, sumbangan itu daripada kutipan belia tempatan, penduduk setempat, badan bukan kerajaan (NGO) dan penyumbang individu yang berhasrat memberi bantuan sambil bersedekah.
Penyelaras program itu, Rozmizal Mat Lia (kanan) menyampaikan sumbangan seekor ayam kepada penduduk di situ, hari ini
“Sumbangan yang diperolehi, kami belikan ayam siap proses yang didapati daripada pembekal ayam dengan harga ayam paling istimewa sambil menyumbang dan diedarkan kepada setiap keluarga di sini.
“Sebelum ini, bantuan makanan turut diberi kepada penduduk yang terkesan dan yang memerlukan termasuk lampin bayi pakai buang dan susu bayi akibat ancaman pandemik Covid-19,” katanya.
Katanya, jawatankuasa itu telah digerakkan kira-kira 3 minggu lalu dengan dana disumbangkan oleh golongan belia dan penduduk setempat kemudian baharu ada penyumbang individu lain yang prihatin.
Seorang penduduk di sini, Norjalalludin Mohd Daud (45) berkata, usaha yang dijalankan oleh penduduk di sini sangat baik untuk membantu golongan yang terkesan akibat wabak ini.
Seorang penduduk di sini, Norjalalludin Mohd Daud , 45 tahun (kiri) berkata, usaha yang dijalankan oleh penduduk di sini sangat baik untuk membantu golongan yang terkesan akibat wabak ini.
“Usaha membantu orang susah memang dituntut dalam agama agar semua merasa nikmat dan sentiasa bersyukur,”katanya.
Seorang lagi penduduk, Mohd Azizan Abdul Latif berkata, jawatankuasa Jalinan Ukhwah telah menjalankan usaha yang baik untuk memberi sumbangan berbentuk bantuan makanan kepada penduduk setempat.
“Sumbangan kecil seekor ayam segar kepada setiap keluarga amat dihargai sebagai tanda semangat kekeluargaan dan saling membantu antara penduduk setempat,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Mohd Azizan Abdul Latif berkata, jawatankuasa Jalinan Ukhwah telah menjalankan usaha yang baik untuk memberi sumbangan berbentuk bantuan makanan kepada penduduk setempat.
Jawatankuasa Jalinan Ukhwah Jerantut Feri, Mohd Nawawi Zulikifli berkata, asalnya kutipan bermula daripada golongan belia kampung di situ untuk membantu penduduk yang dikenal pasti sangat memerlukan bantuan bekalan makanan.
‘Selepas itu, terdapat Badan Bukan Kerajaan (NGO), orang perseorangan tempatan dan luar turut memberi sumbangan kepada jawatankuasa penyelaras “food bank” yang turut sama memberi sumbangan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Jerantut.
Jawatankuasa Jalinan Ukhwah Jerantut Feri, Mohd Nawawi Zulikifli
“Hari ini jawatankuasa menyalurkan sumbangan kepada hampir 200 keluarga di kampung ini dan sekitar, seekor ayam setiap keluarga untuk persediaan juadah sambutan hari raya Aidil Adha,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
LIPIS : Orang ramai yang terkesan dan memerlukan bantuan dinasihatkan menghubungi Ibupejabat Polis Daerah (IPD) atau balai polis berdekatan tempat tinggal masing-masing agar bantuan keperluan barangan dapur dapat disalurkan bagi meringankan kesukaran mereka.
Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, mereka yang memerlukan bantuan bekalan makanan boleh menghubungi talian tetap IPD yang tertera di laman sosial Facebook dan balai polis berdekatan tempat tinggal masing-masing.
Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri menyantuni salah sebuah rumah dalam Op Bantu PDRM, semalam.-Foto FB PDRM Lipis.
“Kita berharap penugasan ‘Op Bantu’ Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyalurkan bantuan kepada orang ramai yang terkesan dan telah terputus bekalan makanan.
“Skuad Amanita Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) akan segera turun ke lapangan bagi melakukan penugasan untuk menyampaikan bantuan berkenaan,” katanya di sini semalam.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Padang Tengku, Datuk Mustapa Long dan Ketua Polis Lipis, Suprintendan Azli Mohd Noor.
Sempena program itu, Mohd Yusri telah melawat sebanyak 26 buah keluarga yang terkesan dengan ancaman wabak Covid-19 dengan memberikan sumbangan bakul makanan yang disediakan oleh Kementerian Dalam Negeri dan IPD Lipis sempena Op Bantu di Kampung Mentara Baru, Merapoh dan Kampung Gua.
“Semoga bantuan ini dapat meringankan beban kesusahan yang dihadapi oleh penduduk berkenaan dan seluruh warga IPD Lipis mendoakan kesihatan yang sepenuhnya kepada mereka,” katanya.
Sementara itu, seorang penerima Op Bantu di Kampung Mentara Baru, Talhah Abdullah berkata, dia bersyukur dan berterima kasih kepada IPD Lipis atas sumbangan sangat bermanfaat meringankan sedikit perbelanjaan dalam tempoh PKP khususnya kebajikan keluarganya.
“Sejak penguatkuasaan PKP Penuh (lockdown), saya tidak dapat keluar bekerja menyebabkan kehilangan pendapatan serta langsung tidak mampu menyediakan barang keperluan dapur.
“Bantuan bakul makanan menerusi Op Bantu IPD Lipis amat diperlukan oleh penduduk yang terjejas pendapatan seperti saya sambil berdoa dengan harapan wabak pandemik Covid-19 segera pulih dalam masa terdekat,”katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
TAMAN CHENGAL TEMERLOH DAN 13 LOKALITI DI KUANTAN PKPD
KUALA LUMPUR: Sejumlah 13 lokaliti di Kuantan, Pahang akan dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), bermula Ahad ini hingga 31 Julai depan.
Ia membabitkan Tanjung Lumpur, Peramu, Anak Air, Sungai Derhaka, Kampadang, Sungai Soi, Kampung Pahang, Taman Seri Inderapura, Taman Tas dan Pandan, Sungai Isap, Lorong Seri Teruntum dan Taman Impianku.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata di Selangor pula, beberapa lokaliti akan dikenakan PKPD bagi tempoh sama iaitu Damai Apartment dan PJS 8, Mukim Damansara, daerah Petaling.
Selain itu, Jalan Pandan Indah, Mukim Ampang, daerah Hulu Langat; Jalan Batu Nilam, Bandar Bukit Tinggi, Mukim Klang, daerah Klang dan Taman Samudera, Mukim Batu, daerah Gombak.
“Di Sabah, Ladang Sawit KLK Lungmanis dan Perumahan Kilang, Mukim Silabukan, Lahad Datu serta Kampung Pinolobuh Bukid, Kota Belud dan PPR Taman Ehsan.
“Di Sarawak, tiga lokaliti di Kuching membabitkan Kampung Seratau, Kampung Astana Lot dan Kampung Sungai Bedil Besar,” katanya, lapor BH ONLINE
Beliau berkata, satu lagi lokaliti di Pahang iaitu Taman Chengal, Temerloh juga akan berada dalam PKPD.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MAYAT LELAKI HAMPIR REPUT DITEMUKAN TERAPUNG DI SUNGAI
Kuching: Mayat lelaki hampir reput ditemukan terapung di sungai tidak jauh dari sebuah kebun di kawasan perumahan Taman Lucy, di Kota Padawan, di sini, petang semalam.
Pemilik kebun yang terhidu bau busuk menemukan mayat berkenaan jam 3 petang sebelum menghubungi polis.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan berkata, sepasukan forensik dari Hospital Umum Sarawak (HUS) hadir di lokasi kejadian dan pemeriksaan fizikal mayat mengesahkan tiada kecederaan mencurigakan.
“Hanya terdapat kecederaan disebabkan gigitan serangga atau binatang. Identiti mangsa setakat ini masih tidak dapat disahkan, namun dipercayai seorang lelaki yang sudah berusia berdasarkan ketiadaan gigi,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor KOSMO online.
Katanya, pihak polis memohon sesiapa yang ada kehilangan ahli keluarga untuk tampil melaporkan di mana-mana balai polis berhampiran.
“Untuk pertanyaan lanjut dan mengecam mayat mangsa juga boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Sarjan Mejar Seli di talian 013-8467757.
“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik HUS untuk bedah siasat,” katanya kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara siasatan lanjut dijalankan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BALING BATU RUMAH KEKASIH SELEPAS ENGGAN BERKAHWIN
KLANG – Berang teman wanita enggan berkahwin membuatkan seorang lelaki membaling batu ke tingkap rumah kekasihnya itu sehingga pecah dalam kejadian di Taman Indah di sini kelmarin.
Kejadian berlaku 3.20 petang itu disedari mangsa berusia 20 tahun sebelum melaporkannya kepada ibunya yang bekerja sebagai eksekutif dokumentasi.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati wanita itu menyatakan melihat sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC warna kuning dinaiki dua lelaki di lorong belakang rumahnya.
Katanya, semakan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) rumah jiran mangsa mendapati suspek telah bertindak membaling batu ke arah tingkap bilik tingkat satu rumahnya sehingga pecah.
Ibu kepada wanita itu kemudiannya melaporkan kejadian itu kepada pihak polis.
“Bertindak hasil maklumat, tiga lelaki ditahan berusia 17 hingga 28 tahun ditahan di bawah bangunan sebuah flat di Pandamaran di sini.
“Kita turut merampas sebuah motosikal Yamaha 135LC yang digunakan suspek semasa kejadian untuk siasatan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Beliau menambah, siasatan awal dilakukan mendapati punca kejadian disebabkan rasa tidak puas hati salah seorang suspek berusia 23 tahun selepas teman wanitanya enggan berkahwin.
Ujar Shamsul Amar, hasil siasatan turut mendapati suspek dan kekasihnya itu telah bercinta lebih daripada tujuh tahun, lapor KOSMO online
“Semakan mendapati kesemua suspek tidak mempunyai rekod lampau dan negatif dadah. Mereka kini direman selama dua hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” jelasnya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!