PERHILITAN rampas spesies hidupan liar dalam pemeriksaan termasuk ‘trofi’ babi hutan
KUALA LUMPUR – Jabatan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia telah merampas beberapa spesies hidupan liar dalam satu pemeriksaan penguatkuasaan ke atas sebuah premis terletak di sekitar Kuala Lumpur pada 25 November lalu.
Hasil pemeriksaan tersebut PERHILITAN telah merampas beberapa spesies hidupan liar disyaki Alligator Snapping Turtle, Iguana, Red Footed Tortoise, Leopard Tortoise, Sulcata Tortoise dan Yellow Pond Turtle.
Antara yang dirampas oleh PERHILITAN.-Foto PERHILITAN
Dipercayai nilai penyu yang ditemui oleh pihak PERHILITAN boleh mencecah harga RM1,500 seekor di laman niaga dalam talian tempatan manakala kura-kura berkenaan pula mampu melepasi RM2,200 seekor, ini termasuk bahagian hidupan liar disyaki kulit, daging dan ‘trofi’ babi hutan.
Seorang warga emas turut ditahan dalam pemeriksaan itu bagi membantu siasatan berkaitan kesalahan menyimpan hidupan liar dan bahagian hidupan liar tanpa sebarang kebenaran daripada Jabatan PERHILITAN.
Satu laporan polis telah dibuat berkaitan pemeriksaan ini dan kesemua barang rampasan telah dibawa ke Balai Polis untuk tindakan selanjutnya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PORT DICKSON – Dua lelaki termasuk seorang ahli perniagaan berpangkat Datuk yang terlibat dalam rakaman aksi ‘marshal’ di Port Dickson pada Ahad lepas, menyerah diri di Balai Trafik Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Port Dickson hari ini.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata mereka berusia 45 dan 49 itu, tiba di IPD terbabit secara berasingan iaitu masing-masing pada jam 12.45 tengah hari dan 2.30 petang.
“Mereka hadir ke Balai Trafik Port Dickson sejurus mengetahui aksi mereka yang dirakam dan ditularkan secara meluas di media sosial. Kedua-duanya ditahan sebaik mereka menyerah diri di Balai Polis Trafik Port Dickson,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Konvoi bermotosikal berkuasa tinggi yang dirakam dan ditularkan berlaku di Port Dickson, baru-baru ini
Menurut Aidi Sham polis turut merampas dua motosikal berkuasa tinggi dan beberapa barangan lain milik individu yang digunakan kedua-dua marshal berkenaan.
Media sebelum ini melaporkan polis mengesan individu yang bertindak sebagai marshal dengan memberi arahan kepada kenderaan awam supaya memperlahankan kenderaan seperti video berdurasi tiga minit tular di Facebook pada Ahad lepas.
SUMBER: Bernama
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Musnah 600 pokok durian Musang King dalam hutan simpan
RAUB – PAHANG: Pejabat Hutan Daerah (PHD) Raub bertindak tegas dengan memusnahkan lebih 600 pokok durian klon Musang King yang ditanam secara haram di Hutan Simpan Teras di sini, hari ini.
Operasi Teras dilakukan di kawasan ceroboh seluas empat hektar yang diteroka secara haram oleh pihak tidak bertanggungjawab dipercayai sejak lebih dua tahun lalu.
Pegawai PHD Raub, Shahril Mohamad berkata, operasi selama lima jam bermula 9 pagi itu disertai 25 kakitangan dengan pengawasan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub.
Menurutnya, pihaknya berjaya mengesan kawasan berkenaan selepas melakukan rondaan serta semakan menggunakan Sistem e-Geoformatik Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) pada 26 November lalu.
Katanya, hasil siasatan dilakukan mendapati kegiatan penerokaan kawasan berkenaan dilakukan oleh seorang lelaki yang menggunakan beberapa pekerja warga asing,
“Pokok durian Musang King berusia setahun hingga dua tahun itu ditebang membabitkan nilai dianggarkan lebih RM30,000,” katanya selepas menyertai operasi berkenaan.
Katanya, Operasi Pamah Hutan Simpan Batu Talam pada Julai lalu adalah kemuncak ketegasan kerajaan negeri, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dan PHD Raub apabila memusnahkan 15,000 pokok durian Musang King membabitkan kawasan seluas 101 hektar yang turut diwartakan sebagai kawasan tadahan air.
Katanya, kawasan lain yang turut terbabit operasi musnah tahun ini ialah Hutan Simpan Sempam, Hutan Simpan Kelau, Hutan Simpan Tersang dan Hutan Simpan Teras, lapor HM ONLINE
“Operasi Teras hari ini adalah yang ke enam dilakukan tahun ini, tindakan sama akan dilakukan secara berterusan tahun depan dalam memastikan kegiatan menceroboh hutan simpan secara haram tidak terus berulang.
“Kita akan mengadakan program menanam pokok balak di kawasan terbabit bermula esok, sebanyak 1,500 pokok pelbagai akan di tanam yang mengambil masa beberapa hari,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR – Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TBP 2030) adalah hala tuju pemerkasaan yang bakal menjadi rujukan bagi mencapai agenda besar bumiputera.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hala tuju berkenaan berperanan memastikan kesinambungan kepada pelbagai dasar dan rancangan bumiputera terdahulu dengan penyesuaian semasa.
Kata beliau , TBP 2030 menggariskan strategi jelas melalui program pembangunan dan inisiatif yang diselaraskan dengan wawasan kemakmuran bersama 2020 dan didukung oleh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) serta terangkum konteks Keluarga Malaysia.
Secara amnya, TBP 2030 telah mengenal pasti enam sasaran utama untuk dicapai menjelang 2030.
Sasaran ini bakal dicapai melalui tujuh aktiviti pertumbuhan ekonomi utama yang terdiri daripada pertanian dan komiditi, ekonomi digital, halal dan makanan, kewangan Islam 2.0, pengangkutan dan mobiliti lestari, pembuatan dan pelancongan
Beliau berkata demikian dalam majlis pelancaran TBP 2030 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pada Isnin
Ismail Sabri berkata, Bumiputera perlu di bantu dengan cara baharu dan lebih berstruktur serta inklusif dari perlis ke Sarawak hingga Sabah termasuk golongan Bumiputera minorities.
Oleh itu , kata Perdana Menteri, pendekatan TBP 2030 sesuai dengan abad ke-21 mesti diutamakan agar pelaksanaan tidak sekali lagi gah dalam ucapan dan pelan di atas tetapi tidak dapat merealisasikan keberhasilan yang benar-benar mengubah nasib bumiputera.
Jelas beliau , semua pihak mesti mengambil ikhtiar daripada segala program Bumiputera yang telah diusahakan selama ini tetapi masih gagal mencapai objektif asal.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Kejayaan bumiputera bukan hanya agenda bumiputera semata-mata, tetapi membawa pulangan kepada negara secara keseluruhannya.
Kita turut mampu memacu agenda bumiputera ke peringkat global dengan pemerkasaan bidang berteknologi tinggi, mempertingkat kualiti lulusan bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dan pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET).
Justeru itu , Ismail Sabri menjelaskan , unit penerangan agenda Bumiputera (Teraj) mestilah moden dalam pendek atan dalam menjayakan agenda Bumiputera apabila mempraktikkan tadbir urus yang tinggi dan mengutamakan kualiti piawaian.
Beliau menambah, peranan teraju diyakini dapat memastikan pembangunan TBP 2030 yang sekali gus dapat menjadi pemangkin kepada kewujudan ekosistem bumiputera berkembang selaras kepesatan teknologi dan pembangunan global.
Menurutnya, generasi yang berkebolehan, kelayakan serta mempunyai pengiktirafan agar berupaya merebut peluang di dalam dan luar negara, seterusnya melonjakkan kedudukan bumiputera sebagai kaum yang terbilang dan bermaruah.
Generasi kita hari ini akan mempertaruh TBP 2030 sebagai pusaka warisan, penebus maruah dan pembela martabat Bumiputera 10 tahun akan datang- SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Lelaki tempatan dan isterinya ditahan lakukan kes jenayah pecah kedai dan kenderaan
BENTONG- Sepasukan pegawai dan anggota polis dari Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Bentong telah menahan seorang lelaki warganegara tempatan berusia 31 tahun di sebuah stesen minyak di Klang, Selangor, jam 12.35 pagi, pada 2 Disember lalu.
Kejayaan tangkapan itu berkaitan dengan kejadian pecah kenderaan dan kedai di Genting Highlands, setelah menerima maklumat daripada orang ramai.
Zaiham (dua dari kiri) bersama dua pegawainya mempamerkan hasil rampasan barang curi di premis dan kenderaan kawasan Genting Highlands di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong, Pahang hari ini. – Foto IPD Bentong.
Ketua Polis daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar, berkata, setelah pemeriksaan ke atas lelaki tersebut dan kenderaan yang dipandunya menjumpai barang-barang yang dilaporkan dicuri bersangkut dengan beberapa laporan polis yang dibuat di Balai Polis Genting Highlands.
“Hasil soal siasat suspek membuat pengakuan terlibat dengan dua kejadian curi dalam bangunan dan tiga kejadian pecah kenderaan di kawasan peranginan Genting Highlands.
“Ujian air kencing ke atas suspek juga mendapati positif dadah jenis methapethamine dan ganja serta mempunyai lima rekod jenayah lampau,” katanya melalui kenyataan media.
Katanya, suspek mempunyai tiga kes ragut, satu kes imigresen dan satu kes dadah dan menjumpai barang rampasan, wang tunai not RM 1 berjumlah RM 400; perkakasan audio kenderaan seperti stereo bluetooth speaker dan android player , 5 buah telefon bimbit pelbagai jenama.
“Terdapat 3 buah beg rangkaian kunci, sebuah walkie talkie, sebuah beg kulit berwarna coklat dan beberapa peralatan seperti pemotong wayar, test-pen, pisau, pengerudi , lampu suluh yang dipercayai digunakan untuk pecah kedai dan kenderaan.
“Sebuah kenderaan jenis Perodua Bezza berwarna silver yang digunakan oleh suspek turut disita, kenderaan itu dipercayai disewa oleh suspek mulai 29 November 2021 sehingga 27 Januari 2022, “ katanya.
Zaiham berkata, pihak polis turut menemui dadah pada tubuh saspek iaitu, tiga plastik lutsinar dan setiap satu plastik mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu anggaran berat 1.88 gram, satu plastik lutsinar yang didalam terdapat ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja, anggaran berat 3.25 gram.
“Hasil siasatan pihak polis juga dapati suspek mengaku melakukan kegiatan jenayah itu bersama isterinya.
“Selain daripada itu, pihak polis turut memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian dan mendapati kejadian itu dilakukan bersama seorang wanita pada 4 Disember 2021 kira-kira jam 10.35 pagi,” katanya.
Katanya, seorang wanita warganegara tempatan berusia 33 tahun telah ditahan di perkarangan IPD Bentong untuk membantu siasatan.
“Suspek lelaki ditahan reman selama 7 hari bermula 2 Disember 2021 sehingga 8 Disember 2021, manakala isterinya ditahan reman selama 4 hari mulai 5 Disember 2021 sehingga 8 Disember 2021 untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 379 kanun keseksaan.
“Sekiranya disabit kesalahan suspek akan dikenakan hukuman penjara selama 7 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,’ katanya.
Katanya, selain itu, suspek lelaki turut dikenakan tiga pertuduhan tambahan di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, sekiranya didapati bersalah denda dikenakan tidak melebihi RM 10,000.00 atau penjara tidak melebihi 4 tahun atau kedua-dua sekali, di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Sekiranya disabit kesalahan denda tidak melebihi RM100,000.00 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali dan Seksyen 15 (1)(a) ADB 1952, sekiranya didapati bersalah denda tidak melebihi rm 5000.00 atau penjara tidak lebih 2 tahun dan boleh dikenakan pengawasan tidak kurang dari 2 tahun dan tidak lebih dari 3 tahun.
“Setakat ini, tertangkap suspek berkenaan, pihak IPD Bentong berjaya menyelesaikan 7 kes pecah kedai dan pecah kenderaan di kawasan pentadbiran IPD Bentong,” katanya.
Beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada masyarakat khususnya di bawah pentadbirannya menyalurkan maklumat dengan tepat kepada pihak polis. Orang ramai boleh menyalurkanmaklumat di talian 09-2222222 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
RM580 Juta Diagih PERKESO Untuk Majikan di Pahang Melalui PSU
KUANTAN – Majikan di Pahang sudah menerima peruntukan berjumlah kira-kira RM580 juta melalui program subsidi upah (PSU) dikendalikan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sejak April tahun lalu.
Timbalan Menteri Kewangan I, Mohd Shahar Abdullah berkata, program berkenaan memberi manfaat kepada lebih 95,000 pekerja dan membantu mengurangkan beban pengurusan ditanggung kira-kira 13,000 majikan yang terkesan akibat COVID-19.
“Secara keseluruhan, Kementerian Kewangan melalui PERKESO sudah mengagihkan RM19.59 bilion kepada majikan di seluruh negara melalui PSU dan majikan di Pahang juga turut menerima peruntukan terbabit, ini adalah antara usaha yang sudah dan sedang berjalan bagi membantu golongan pekerja dan majikan.
“Selain itu, kita juga memperkenalkan pelbagai lagi inisiatif antaranya Geran Khas Prihatin (GKP) dan Danajamin Prihatin Guarantee Scheme (DPSG) melalui pakej rangsangan ekonomi bagi menyokong sektor perniagaan dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Karnival Kerjaya MyFutureJobs Keluarga Malaysia di sini, hari ini.
Sebanyak 5,000 peluang pekerjaan ditawarkan dalam karnival anjuran bersama PERKESO dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) yang disertai 28 majikan dari seluruh Pahang.
Turut hadir Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Pengurus Besar ECERDC, Datuk Mohd Mazlan Sharudin.
Mohd Shahar turut memaklumkan kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM1.1 bilion melalui Bajet 2022 yang dibentangkan Oktober lalu bagi menyediakan latihan untuk memastikan isu skop kerja ditawarkan tidak menepati kemahiran dimiliki pekerja atau pencari kerja dapat diatasi.
“Penting juga untuk ditawarkan latihan kepada pencari kerja kerana memang berlaku masalah ‘miss match’ antara pekerjaan ditawarkan dan kemahiran dimiliki (pencari kerja), jadi perkara ini (latihan) akan disediakan oleh pihak Human Resources Development Corporation (HRD Corp) atau pihak yang diiktiraf kerajaan.
“Peruntukan besar bagi memberikan latihan ini dijangka dapat memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 22,000 pekerja atau pencari kerja sebaik sahaja ia dimulakan,” katanya.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Kejadian tanah runtuh, dua buah kenderaan tertimbus dan rosak di Brinchang
Foto atas: Anggota APM dan JKR memotong dan membersihkan laluan untuk mengeluarkan kenderaan yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Brinchang, Cameron Highlands, malam tadi.
CAMERON HIGHLANDS – Hujan lebat berterusan beberapa jam mengakibatkan satu kejadian tanah runtuh membabitkan kerosakan dua buah kenderaan berlaku di Jalan Sultan Abu Bakar, Brinchang di sini malam tadi.
Kejadian berlaku pada jam 11.30 malam semalam berdekatan bengkel kenderaan di situ tidak melibatkan kecederaan penduduk dan kerosakan premis.
Sebuah kenderaan tertimbus dalam kejadian tanah runtuh.-Foto APM
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APAM) Cameron Highlands, Md Hazli Hanifah Mohd Hanafi berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian berkenaan pada pukul 12.50 pagi dan anggota terus bergegas ke lokasi tanah runtuh di Jalan Sultan Abu Bakar, Brinchang.
“Anggota APAM terus melaksanakan operasi memotong pokok yang tumbang serta mengalihkan runtuhan bagi mengeluarkan kenderaan yang terperangkap di bawah runtuhan.
“Bagaimanapun tiada mangsa di lokasi kerana kenderaan terlibat sedang dibaiki oleh bengkel berkenaan. Kes ini diserahkan kepada agensi berkaitan untuk tindakan selanjutnya,” katanya di sini hari ini.
Katanya, operasi di tempat kejadian juga melibatkan anggota bomba dan penyelamat, Polis di Raja Malaysia dan Jabatan Kerja Raya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Akta Kesatuan Sekerja sudah ‘lapuk’, bekas presiden NUTP gesa kerajaan pinda segera
Foto atas: Kamarozaman Abd Razak, seorang bekas presiden NUTP menyifatkan Akta Kesatuan Sekerja 1959, yang tidak membenarkan mereka yang menduduki gred atas DG48 memegang jawatan, sudah lapuk.
PETALING JAYA – Bekas pemimpin Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menyarankan kerajaan meminda Akta Kesatuan Sekerja 1959, yang tidak membenarkan mereka yang menduduki gred atas DG48 memegang jawatan.
Kamarozaman Abd Razak, yang pernah menjadi presiden kesatuan, menyifatkan akta yang masih diguna pakai itu sudah lapuk.
“Isu (DG48 ke atas tidak dibenarkan memegang jawatan) adalah isu lapuk yang tidak ditangani kerajaan sejak 1959. Sedangkan akta lapuk lain sudah dipinda, tetapi tidak Akta Kesatuan Sekerja 1959 ini,” katanya kepada FMT.
“Pada pendapat saya, kerajaan perlu pinda segera akta ini, dan selagi ia tidak dilakukan, kerajaan mesti benarkan mereka yang menduduki gred DG48 ke atas pegang jawatan, kecuali bagi Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA).
“Ini kerana guru-guru khasnya dinaikkan pangkat dengan cepat, berbeza dengan penjawat awam yang lain.”
Beliau turut berkongsi pengalamannya menangani isu sama ketika penggalnya menjadi presiden NUTP.
“Isu ini jadi panas kerana saya menduduki gred DG48 dan bertugas di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD),” katanya.
“Pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) bertegas minta saya lepaskan jawatan presiden, tetapi saya dan pasukan NUTP berusaha atasi isu ini, termasuk berjumpa Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan JPA.
“JHEKS akhirnya keluarkan surat benarkan saya dan rakan kesatuan lain pegang jawatan sehingga pemilihan baru kesatuan pada 2020.”
Beliau turut mencadangkan supaya isu ini dibawa ke mahkamah perusahaan kerana perlembagaan NUTP tidak menyatakan dengan khusus gred bagi pemegang jawatan dalam kesatuan.
“KSN berkuasa membenarkan mereka yang bergred DG48 hingga 54 untuk pegang jawatan dalam kesatuan dengan mengeluarkan surat secara individu berikutan permohonan oleh kesatuan.
“Ahli Parlimen juga perlu mendesak kerajaan untuk pinda akta lapuk ini dengan segera demi menjaga kebajikan pekerja mengikut aturan Protokol 29 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO),” katanya.
Terdahulu, dilaporkan seorang sumber mendakwa, kebanyakan pemegang jawatan NUTP di peringkat kebangsaan menduduki gred atas DG48.
Mengikut Akta Kesatuan Sekerja dan pekeliling yang dikeluarkan oleh KSN dan JHEKS, pemegang jawatan yang turut memegang jawatan pentadbiran mesti melepaskan jawatan mereka.
SUMBER: FMT
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Beri kepercayaan kepada gerakan koperasi memasar barangan untuk menghindari kenaikan harga barangan
Foto: Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah (2 dari kanan) meninjau kolam Projek Pembenihan Ikan Air Tawar Koperasi Tunas Lada Jerantut di Dusun Kalong Ulu Cheka dekat sini hari ini.
JERANTUT: Koperasi di seluruh negara wajar mempelbagaikan perniagaan dan melibatkan diri dalam sektor pemborongan serta peruncitan sebagai usaha menggalakkan perniagaan berasaskan pendigitalan serta dapat mengimbangi harga barangan keperluan yang semakin mendesak.
Selain itu, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) memohon kerajaan supaya jangan pilih kasih dengan memberikan peluang serta tanggungjawab kepada gerakan koperasi khususnya dalam pengeluaran serta pemasaran barang.
Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, kerajaan seolah-olah kurang yakin dengan pengurusan koperasi walaupun sudah menghampiri usia 100 tahun, tetapi gerakan itu mampu dalam bidang pengeluaran dan pemasaran barang khususnya ketika berdepan tempoh pandemik Covid-19.
Lawatan ke kolam Projek Pembenihan Ikan Air Tawar Koperasi Tunas Lada Jerantut, hari ini
“Sebagai contoh dasar pengeluaran makanan dalam tempoh pandemik ini, kerajaan masih memberikan peluang syarikat besar dan pihak tertentu sebagai pemasar sehingga wujudnya kartel yang memanipulasi harga sehingga menyebabkan kenaikan harga barang seperti hasil pertanian dan ternakan.
“Kerajaan seolah masih tidak melihat peranan atau menggunakan koperasi bagi tujuan tersebut sehingga kebanyakan gerakan koperasi yang terbabit tersisih kerana semata-mata memberikan peluang kepada syarikat dan pihak tertentu mendominasi peluang berkenaan,” katanya di Kampung Hulu Cheka dekat sini hari ini.
Abdul Fattah mengeluarkan kenyataan demikian selepas melawat Projek Pembenihan Ikan Air Tawar Koperasi Tunas Lada Jerantut di Dusun Kalong Ulu Cheka dekat sini hari ini.
“Sepatutnya seramai 6.5 juta orang ahli dan 14,629 yang bernaung di bawah Angkasa kebanyakan Bumiputera wajar diberi peluang menerusi gerakan koperasi masing-masing melebarkan lebih banyak pemasaran serta menerima kemudahan inisiatif kerajaan dalam tempoh pemulihan Covid-19 dan selepas ini.
“Apabila gerakan koperasi diberi pelbagai peluang oleh jentera kerajaan bermakna sekurang-kuranya kita boleh menghindarkan kenaikan harga barang serta tidak wujud kartel sebagai orang tengah yang boleh memanipulasi harga barangan,” katanya.
Beliau yang juga Naib Presiden Ikatan Koperasi Antarabangsa Asia Pasifik (ICA-AP) selanjutnya menjelaskan berasaskan jumlah perolehan yang disumbangkan oleh gerakan koperasi pada tahun 2021, iaitu RM41.5 Bilion dan RM45.8 bilion tahun sebelum ini menunjukkan gerakan koperasi masih berdaya tahan serta mampu terlibat sepenuhnya dalam kegiatan pemasaran.
Katanya, Program Pembiayaan Intervensi Pemulihan Ekonomi Koperasi yang diperuntukkan bernilai RM20 juta bagi menggalakkan usahawan yang terjejas untuk menjalankan aktiviti ekonomi secara berkumpulan amat bertepatan bagi mempergiatkan semula perniagaan khususnya menguurangkan tekanan kenaikan harga barang.
“Matlamat perniagaan gerakan koperasi tidak akan tercapai sepenuhnya sekiranya kerajaan masih memfokuskan syarikat dan kumpulan tertentu sahaja sebagai ejen atau pemasar barang makanan walaupun koperasi sama ada besar atau kecil mampu melaksanakan tanggungjawab berkenaan.
“Kerajaan perlu memandang semula peranan koperasi yang selama ini diwujudkan untuk memberikan peluang perniagaan kepada Bumiputera dan bukannya kedudukan masih di takuk lama yang hanya memperoleh pulangan kecil berbanding syarikat besar dan kumpulan tertentu,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Mayat seorang guru ditemui di kawasan semak di Kampung Daling, Padang Tengku, Lipis
LIPIS – Seorang guru lelaki ditemui mati oleh orang awam di kawasan semak di Kampung Daling, Padang Tengku, dekat sini pada jam 12.40 tengah hari, pada Khamis lalu.
Mayat guru tersebut, Tengku Suhaimi Tengku Yusoff berusia 54 tahun, ditemui terbaring dalam kereta dan tiada sebarang kesan kecederaan atau kesan darah serta tiada sebarang senjata dijumpai dalam kereta atau di kawasan berhampiran.
Mayat Tengku Suhaimi (gambar kecil) ditemui orang awam tersandar di tempat duduk pemandu
Ketua Polis Daerah Lipis, Superitenden Azli Mohd Noor berkata, anggota polis dari Balai Polis Padang Tengku telah bergegas ke tempat kejadian untuk pemeriksaan dan mayat mangsa dibawa keluar dari kawasan itu pada jam 8.15 malam hari yang sama.
Katanya, kejadian itu dimaklumkan oleh orang awam yang tidak dikenali melalui panggilan telefon memberitahu telah menemui sebuah kereta pacuan empat roda jenis Hilux dan terdapat seorang pemandu telah tersandar di tempat duduk pemandu kenderaan itu yang diletakkan di kawasan semak di situ.
“Hasil siasatan awal mendapati model kereta yang dijumpai sebenarnya adalah sebuah Ford Ranger berwarna kelabu metalik, setelah pemeriksaan ke atas nombor plet kenderaan tersebut ia dimiliki oleh seorang wanita.
“Semakan turut berjaya memperolehi nombor telefon pemilik kenderaan tersebut dan pihak polis menghubungi telefon pemilik kenderaan itu, kenderaan itu adalah milik isteri mangsa,” katanya melalui kenyataan media.
Katanya, mangsa adalah seorang guru yang bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Indra Petra, Gua Musang, selepas dimaklumkan kejadian tersebut kepada wanita itu, kenderaan itu milik isterinya dan turut membuat panggilan telefon berkali-kali tetapi tidak dapat menghubungi suaminya (mangsa).
Azli berkata, pihak Forensik Cawangan D10 Ibupejabat Polis Kontigen Pahang telah dimaklumkan berkaitan kejadian itu untuk mendapat bantuan.
“Hasil bedah siasat telah mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat serangan jantung, siasatan lanjut masih dijalankan, jenazah mangsa dituntut oleh isterinya untuk dikebumikan, semalam,” katanya.
Jenazah Allahyarham Tengku Suhaimi tiba di Masjid Kampung Lebu pada waktu Isyak dan dikebumikan di tanah perkuburan di situ, semalam.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!