Herba sacha inchi di Bera potensi tembus pasaran antarabangsa
BERA – Sebuah ladang kacang sacha inchi dengan nama sainstifiknya Plukenetia Volubilis, seluas 50 ekar dengan penghasilan pelbagai produk yang mengandungi Omega 3, 6, dan 9 dibuka di Kemayan dekat sini.
Tumbuhan berasal dari negara Peru ini juga dipanggil sebagai ‘Sacha Peanut’, ‘Inca Peanut’, ‘Mountain Peanut’ dan ‘Sacha Inci’.
Selain itu ladang itu sekaligus turut menawarkan tenaga kerja untuk memenuhi permintaan pasaran semasa kerana ladang itu merupakan antara lokasi yang mempunyai keluasan terbesar yang membolehkan pengeluaran herba yang berskala besar.
Azrie Mat Nor
Pengusaha Ladang Sacha Inchi Bera, Azrie Mat Nor berkata, kalau perancangan sekarang ini, ia masih lagi di fasa pertama di mana kami menanam kira-kira 50 ekar kacang sacha inchi.
“Kami merancang membuka ladang sehingga 250 ekar dan mensasarkan mampu mengeluarkan kacang sacha inchi dan produk yang bermutu setanding dikeluarkan di peringkat antarabangsa,” katanya.
Pokok sancha inci. – Foto hiasan.
Katanya, selain itu, pihaknya turut berkerjasama dengan penduduk setempat dengan membuka peluang pekerjaan di ladang dan penanaman bersama di rumah masing-masing.
“Penduduk setempat yang menanam kacang ini di rumah akan dibeli oleh pihak kami untuk dihasilkan di bawah satu produk satu jenama.
“Pembukaan ladang ini sekali gus memberi peluang pekerjaan khusus kepada anak muda tempatan,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
600 pesalah jalani PKW di Pahang berjaya harungi kehidupan
TEMERLOH – Seramai 600 pesalah telah menjalani Perintah Kehadiran Wajib (PKW) di Negeri Pahang termasuk seorang pesalah syariah mendapat reaksi positif daripada masyarakat untuk menerus dan membina kehidupan seperti biasa.
Dalam memastikan kejayaan Orang Diparol (ODP) mengharungi pemulihan dalam komuniti, pelbagai program intervensi yang diaturkan turut melibatkan pelbagai agensi kerajaan, swasta dan badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Program Smart Internship (CSI) yang bermula sejak tahun 2016.
Datuk Seri Dr. Ismail Mohamed Said mellihat hasil kerja tangan banduan.
Timbalan Menteri 1, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Dr. Ismail Mohamed Said berkata, ternyata program dan kerjasama ini telah mendatangkan kesan positif terhadap ODP terutama di dalam membina masa hadapan mereka yang lebih baik.
“Program yang dilaksanakan oleh pihak penjara Malaysia memberi kesan yang terbaik dan dipuji terutama penerimaan majikan yang menerima mereka bekerja di tempat masing-masing.
“Malah, masyarakat turut menerima penglibatan ODP dan PKW bersama masyarakat secara tidak langsung membantu golongan ini membina kehidupan dengan baik,” katanya kepada media di Majlis Program Outreach bersama Timbalan Menteri Dalam Negeri 1 di Kerdau, Temerloh , hari ini.
Katanya, program yang diadakan adalah salah satu program yang berkala dan sentiasa diadakan dengan melibatkankan kakitangan, ODP, Orang Bebas Berlesen (OBB), Pesalah PKW, majikan, pemimpin masyarakat, keluarga dan masyarakat setempat.
“Dalam mengintegrasikan ODP dan OBB ke dalam masyarakat terdapat banyak cabaran dan dugaan yang perlu dilalui oleh golongan ini sendiri dan sewajar memerlukan peranan pelbagai pihak.
“Cabaran yang paling besar untuk mereka ialah untuk menyesuaikan diri dan mendapatkan penerimaan masyarakat, maka pihak pengurusan parol negeri dan daerah sentiasa bekerja keras untuk meyakinikan orang ramai,” katanya.
Katanya, untuk memastikan statistik kejayaan pematuhan perintah parol ini terus ditingkatkan dan dapat memberi keyakinan bagi mengurangkan stigma negatif masyarakat terhadap ODP dan OBB.
“Hebahan dan pendidikan komuniti sentiasa digerakkan agar masyarakat memahami dengan memberi sokongan dan kerjasama bagi membantu menjayakan sistem parol dan pelepasan secara berlesen ini.
“Sokongan ini juga dapat membantu ODP dan OBB agar mereka diterima dan diberi peluang untuk berubah dengan menjadi warga yang produktif dengan tidak mengulangi kesalahan yang lampau,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Komisioner Jeneral Penjara, Datuk Ibrisam Abdul Rahman, Pengarah Penjara Pahang, Datuk Abu Hasan Hussain dan Pegawai Daerah Temerloh, Datuk Ali Syahbana Sabaruddin.
Sementara itu, seorang OBB, Mohamad Fadzrul Hakim Lokman (35) telah berjaya mengusahakan kebun halia seluas seekar di Pekan dan menjana pendapatan kira-kira RM10,000 sebulan.
Seorang OBB, Mohamad Fadzrul Hakim Lokman (35) telah berjaya mengusahakan kebun halia seluas seekar di Pekan dan menjana pendapatan kira-kira RM10,000 sebulan.
“Sebagai orang yang pernah masuk penjara, saya perlu menunjukkan contoh terbaik dengan menjalankan kerja yang boleh membantu saya meneruskan kehidupan seperti biasa.
“Awalnya memang sukar untuk ‘masuk’ dalam masyarakat tetapi kini masyarakat sudah mula boleh menerima orang seperti saya, malah ada kawan-kawan yang berjaya dengan kerja masing-masing,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Penyelidik temui batu kristal di Ulu Cheka, Jerantut.
Jerantut – Empat penyelidik Fakulti Sains Bumi Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang menyertai Ekspedisi Kepelbagaian Biologi Hutan di Hutan Simpan Jerantut (Tambahan) Ulu Cheka terkejut dengan penemuan batu kristal kuarza tanpa warna.
Batu kristal sebesar 4 hingga 4.5 sentimeter dan seberat kira-kira 150 gram itu kelihatan menarik walaupun belum melalui proses pembersihan.
Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) , Dr Elvaene James berkata, dia dan pasukannya tidak menyangka terjumpa batu kristal dalam kawasan hutan tadahan air itu.
Antara anggota yang menyertai Ekspedisi Kepelbagaian Biologi Hutan di Hutan Simpan Jerantut (Tambahan) Ulu Cheka terkejut dengan penemuan batu kristal kuarza tanpa warna.
“Saya dan tiga penuntut iaitu Shuhada Farhana Roslan, Nur Ain Wahidah Mohammad Razali dan Muhammad Aiman Fikri Mohd tidak menyangka menemui batu kristal dalam kawasan hutan tadahan air itu bersama.
“Kami yang berjalan kaki kira-kira sejam di kawasan hutan laluan enam yang banyak batu-bata yang besar serta menghadapi kesukaran untuk sampai ke kawasan terjumpa batu kristal itu dan didakwa penduduk tempatan tempat itu pernah berlaku kejadian kepala air sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Penutup Ekspedisi Kepelbagaian Biologi Hutan di Hutan Simpan Jerantut (Tambahan) Ulu Cheka yang disempurnakan Ketua Penolong Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Rosilan Said di sini, hari ini.
Seramai 30 penyelidik menyertai ekspedisi itu anjuran JPNP dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan turut disertai pensyarah dan penuntut universiti termasuk pegawai agensi kerajaan dalam bidang tumbuhan, haiwan, kualiti air, flora, mamalia, sektor pelancongan, geologi dan serangga.
Sementara itu, Timbalan Pengarah JPNP, Datuk Samsu Anuar Nawi berkata, ekspedisi kajian akan dibukukan seterusnya menjadi rujukan kepada kerajaan Pahang untuk tindakan pada masa akan datang.
“Dijangka beberapa penemuan baharu hasil ekspedisi kali ini dapat ditemui terutama membabitkan tumbuhan Rafflesia dan batu batan,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Koperasi KGMMB sasar untung RM5 juta dengan anggota 30,000 orang menjelang 2024
KOPERASI Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat Berhad (KOPKGMMB) mensasarkan keuntungan bersih RM5 juta menjelang tahun 2024 dan meningkatkan bilangan keanggotaan koperasi kepada 30,000 orang.
Pengerusi KOPKGMMB, Ibrahim Marlan berkata, sasaran itu sebagai penentuan indeks prestasi ahli lembaga koperasi (ALK) KOPKGMMB menjelang tahun tersebut.
Katanya, koperasi mensasarkan keahlian kesatuan dalam kalangan guru muda serta guru yang belum menyertai mana-mana kesatuan guru dan koperasi.
“Bilangan ahli Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) ketika ini seramai 60,000, manakala anggota koperasi seramai 18,000 orang.
“Oleh itu, koperasi cuba menarik ahli kesatuan KGMMB yang belum menyertai sebagai anggota koperasi sebagai sasaran utama,”katanya ketika dihubungi.
Pengerusi KopKGMMB, Ibrahim Marlan menyampaikan cenderamata kepada Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Tengku Mohd Hamzah (kanan).
Katanya, KOPKGMMB juga meningkatkan pinjaman pembayaran khas patuh syariah daripada RM10,000 ke RM20,000 kepada anggota tanpa faedah dan anggota hanya membayar wang proses dan insuran pinjaman dan tempoh pinjaman antara setahun ke 10 tahun dengan kelulusan segera.
“ Koperasi juga memberi pinjaman peribadi serta turut memberi pinjaman untuk membeli insuran kenderaan sehingga RM5,000.
“Selain itu, mengadakan persefahaman perniagaan dengan syarikat lain bagi kemudahan anggota dan juga memiliki hartanah,” katanya.
Ibrahim berkata, koperasi juga memiliki hotel di Melaka dan sekarang mula beroperasi dengan baik sejak ditutup kira-kira dua tahun akibat serangan Covid-19.
“Sebuah pusat hemodialisis Koperasi KGMMB akan beroperasi di Terengganu dengan peralatan bernilai kira-kira RM500,000 dan hanya menunggu kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia.
“KopKGMMB yang ditubuhkan pada tahun 1974, memiliki aset berjumlah RM80 juta, koperasi telah berjaya memperolehi pendapatan pada 31 Disember 2020 sebanyak RM3,637,826 dengan keuntungan berjumlah RM 1,824,380,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SK Sungai Sireh jamu ubi kayu rebus sambut kemerdekaan, Guru Besar SKeSS, Nor Mahali Mohamad Torman menyuapkan ubi kayu rebus dicicah kelapa parut kepada murid pada Sambutan Bulan Kemerdekaan Ke-65.
TANJUNG KARANG – Guru dan murid Sekolah Kebangsaan Sungai Sireh (SKeSS), Tanjung Karang, Selangor menjamu ubi rebus bersama kelapa parut sebagai acara kemuncak menyemarakkan Sambutan Bulan Kemerdekaan Ke-65 yang diadakan baru-baru ini.
Warga sekolah itu yang tidak biasa dengan makanan itu terpaksa mencuba sebagai usaha mengimbau santapan rutin penduduk pada zaman Jepun yang menjadi gimik menarik yang dicadangkan Panitia Sejarah SKeSS.
Seorang guru wanita turut menyuap makanan ubi rebus kepada muridnya.
Guru dan ibu bapa menyambut baik idea tersebut bertepatan dengan matlamat Bulan Kemerdekaan iaitu menyemai rasa cinta kepada negara dan semangat untuk mempertahankan tanah air daripada penjajahan di samping bersesuaian dengan temanya Keluarga Malaysia Teguh Bersama.
Guru Besar SKeSS, Nor Mahali Mohamad Torman berkata, Panitia Sejarah merancang untuk membuat satu program yang berfokus pada zaman sebelum kemerdekaan terutama tentang cara hidup masyarakat semasa penjajahan Jepun.
“Salah satu perkara yang paling diingati tentang zaman berkenaan ialah sumber makanan yang sangat terhad disebabkan masyarakat pada ketika itu terpaksa menyerahkan hasil padi kepada penjajah dan hanya mengalas perut dengan ubi kayu rebus.
“Bagi menjayakan hasrat itu guru-guru mengambil bahagian dengan menyediakan bahan masakan beberapa hari sebelum program berlangsung dan pada hari kejadian mereka bergotong -royong untuk merebus, memasak dan menyediakan semua makanan bersama-sama,” katanya ketika dihubungi.
Murid cuba menikmati makanan ubi rebus yang jarang dimakan.
Katanya, antara makanan yang diperkenalkan ialah ubi kayu rebus yang dijamah bersama kelapa parut, ikan masin goreng, sambal tumis ijo berserta lempeng, keledek dan cucur pisang serta stewol yang ternyata asing bagi sesetengah guru dan murid.
Nor Mahali berkata, reaksi yang diterima daripada murid sangatlah positif dan rata-rata mereka menyukai makanan itu walaupun mereka belum pernah merasa ubi kayu yang direbus serta dicicah bersama kelapa dan sambal untuk dimakan.
“Keadaan menjadi gamat dengan riuh rendah suara murid apabila apabila ramai antara mereka menambah ubi kayu untuk dimakan beramai-ramai seperti satu komuniti kampung yang terdiri daripada murid, guru dan seluruh warga sekolah.
Ubi rebus yang disediakan untuk dijamu di hari sambutan kemerdekaan.
“Ada segelintir murid yang pada awalnya dipelawa untuk menjamah ubi kayu tetapi tidak mahu yang mungkin kerana kali pertama melihat makanan itu namun apabila dipujuk dan selepas sekali mencuba mereka sangat menyukainya,” katanya.
Sementara itu, Guru Penyelaras sambutan itu, Ramnah Hassim, berkata ada sesetengah murid minta disuapkan berulang-ulang kali manakala murid tahap 1 dan prasekolah pula banyak bertanya kepada guru nama makanan yang dihidangkan berikutan mereka tidak pernah melihat makanan berkenaan.
Menurutnya, ada juga murid yang tidak menyukai kerana mereka tidak biasa dengan makanan yang direbus tetapi menyifatkan program itu satu pengalaman berharga serta menyuntik semangat untuk tidak membenarkan negara kita dijajah lagi.
“Paling menarik sesi suap-menyuap makanan zaman pendudukan Jepun ini ibarat satu kolaborasi dengan program Guru Penyayang apabila ikatan kasih sayang serta saling hormat-menghormati tersemai antara guru dan murid,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT – Anggota masyarakat perlu berperanan membantu dalam pencegahan membunuh diri agar angka membunuh diri negara dapat disifarkan.
Masyarakat sekiranya melihat tingkah laku yang luar biasa atau mengetahui terdapat kecenderungan pelaku untuk membunuh diri perlu bertindak segera sebagai pencegahan awal bagi menghindari kes bunuh diri berlaku di negara ini.
Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus (tengah) dan Pegawai Daerah Jerantut, Khairun Nissa Aris (kanan sekali)
Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, kes membunuh diri dipercayai banyak berpunca isu psikososial dan persekitaran.
“Selain itu, mengalami isu kekeluargaan, penyakit mental seperti kemurungan, kurang sokongan sosial dan penyalahgunaan bahan terlarang, “ katanya di Majlis Sambutan Pencegahan Bunuh Diri Sedunia Peringkat Negeri Pahang di Pusat Latihan Teknologi (ADTEC) Jerantut, hari ini.
Katanya, kes bunuh diri merupakan antara 10 penyebab utama kematian di dunia dan penyebab ke-4 kematian bagi berumur antara 15 hingga 29 tahun berdasarkan laporan Pertubuhan kesihatan Sedunia (WHO).
“Kita perlu membantu individu yang dipercayai merangkumi idea membunuh diri (suicidal ideation),
rancangan bunuh diri (suicidal plan) dan cubaan membunuh diri (suicidal attempt) dengan membawa kepada
pihak berkaitan seperti konselor sekolah, daerah atau kepada pakar psikologi berdekatan.
“Pihak Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan kerajaan telah mengadakan pelbagai aktiviti dan program bagi memberi kesedaran kepada masyarakat berkaitan sindrom membunuh diri,” katanya.
Katanya, sejak berlaku pandemic Covid-19, pihak JKN menerima kehadiran orang ramai untuk mendapat khidmat nasihat daripada pegawai psikologi dan kaunseling terutama mereka yang terkesan dengan kehidupan akibat kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan.
“Kes sebegini banyak diperbincangkan dan pintu pusat rawatan jabatan psikologi sentiasa terbuka untuk membantu,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
LIPIS – Malang tidak berbau, dua orang lelaki dan seorang wanita mengalami kecederaan dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 4 Jalan Lipis – Benta berdekatan Dewan Orang Ramai Kampung Baharu, Penjom di sini.
Superintenden Azli Mohd Noor
Ketua Polis Daerah, Superintenden Azli Mohd Noor berkata, dalam kejadian pada pukul 6.30 petang semalam, sebuah kereta jenis Toyota Altis berwarna daripada arah bandar Kuala Lipis ke pekan Benta telah terbabas di kiri jalan lalu masuk ke dalam gaung.
“Kemalangan ini cuma melibatkan kecederaan ringan pemandu, dan dua penumpang. Mangsa telah dihantar ke Hospital Lipis oleh ambulans bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Anggota Bomba dan Penyelamat Kuala Lipis di lokasi.-Foto JBPM Lipis.
Menurut Azli, ketika kejadian bentuk jalan jalan berselekoh dan berturap, manakala cuaca berkabus.
Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba Kuala Lipis, Burham Daud mengesahkan ketika tiba di lokasi terdapat kemalangan sebuah kereta terbabas ke dalam gaung.
“Anggota bomba dan penyelamat terdiri seramai lapan orang dan dibantu dua jentera mula membuat tugasan turun ke gaung untuk menyelamatkan mangsa.
“Anggota bomba mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan penyelamat dan dibawa naik ke atas kemudiannya diserahkan kepada ambulans,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KPLB belanja RM5.96 juta Program Pasang Lampu Kampung
KOTA KINABALU – Kementerianmemperuntukkan sebanyak RM 8.26 juta bagi tujuan lampu jalan kampung dan bekalan elektrik luar bandar dapat dilaksanakan sekaligus memberi manfaat kepada 1.24 juta orang penduduk di negeri Sabah.
Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun berkata, menerusi peruntukan tersebut, sebanyak RM 5.96 juta diperuntukkan bagi Program Pemasangan Lampu Kampung (LJK) dan RM 2.30 juta bagi pembaikan Stesen Janakuasa Diesel Penyusunan Semula Kampung (PSK) Kampung Balat dan Kampung Litang di Daerah Kinabatangan, Sabah dengan Sabah Electricity Sdn. Bhd (SESB) dilantik sebagai kontraktor projek.
“Program Pemasangan Lampu Jalan Kampung (LJK) Fasa 10 di Sabah ini secara keseluruhannya melibatkan pemasangan sebanyak 5,000unit lampu dengan pecahan 4,000unit lampu jenis HPSV dan 1,000unit lampu jenis LED.
Ramlan berkata demikian pada Majlis Penyerahan Program Pemasangan Lampu Jalan Kampung (LJK) Tahun 2019/2022 Fasa 10 dan Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Janakuasa Diesel Secara Berpusat PSK Kampung Litang dan Kampung Balat di Kota Kinabalu, Sabah.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity Sdn Bhd, Ir. Ts. Mohd Yaakob Jaafar dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Encik Mas Rizal Mohd Hilmi.
“Projek LJK ini dimulakan pada 7 Januari 2020 dan siap sepenuhnya pada 8 Disember 2021 manakala projek stesen janakuasa pula dimulakan pada 9 Mac 2022 dan berjaya disiapkan lebih awal iaitu 28 Julai 2022 berbanding tarikh siap asal iaitu pada 8 September 2022.
Bagi Projek BELB Janakuasa Diesel pula, setelah 6 tahun projek siap, terdapat beberapa kerosakkan yang berlaku berikutan dengan wear and tear dan kerosakan berikutan gangguan hidupan liar. Justeru itu, pihak SESB telah melaksanakan pembaikan dengan kos kontrak sebanyak RM 2.3 juta”, ujar beliau.
Beliau menambah pelaksanaan program ini juga dilaksanakan secara berperingkat-peringkat berdasarkan keperluan, keutamaan dan kos operasi serta penyenggaraan yang akan ditanggung oleh kerajaan secara berterusan.
“Kita tahu terdapat cabaran dan halangan dalam menyiapkan projek ini terutamanya dari segi geografi dan keluasan memandangkan Sabah merupakan sebuah negeri yang luas dan mempunyai 24 buah parlimen serta kawasan luar bandar yang banyak”, ujar beliau.
Tambah beliau, kerajaan amat prihatin terhadap kelangsungan kehidupan masyarakat luar bandar. Justeru itu, menerusi penyempurnaan kedua-dua projek ini sekaligus mampu meningkatkan keselesaan dan keselamatan penduduk selain perniagaan setempat bagi meningkatkan pendapatan penduduk pada waktu malam dapat dilaksanakan”, ujar beliau.
“KPLB juga akan meneruskan perancangan dan pelaksanaan projek-projek prasarana yang lain untuk dilaksanakan di Sabah menerusi projek-projek sambungan di bawah RMK-12 dan projek baharu menerusi Bajet 2023 yang akan dibentangkan pada Oktober nanti.
Sabah akan senantiasa mendapat perhatian daripada Kerajaan Persekutuan untuk pelbagai manfaat penduduk terutama bagi masyarakat luar bandar”, ujar beliau lagi.
Sumber – SM
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Video tular : Cubaan culik kanak-kanak di Genting Highlands
BENTONG – Sebuah video berdurasi 1 minit 20 saat melalui sebuah akaun Tik Tok menunjukkan seorang kanak-kanak nyaris menjadi mangsa culik didakwa dilakukan oleh warganegara asing di Taman Tema Genting Highland, semalam.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Zaiham Mohd Kahar menjelaskan, polis mengesahkan sehingga ini tidak ada menerima laporan daripada pihak yang terlibat.
“Bagaimanapun, pihak keselamatan Genting Highlands telah menerima aduan berkaitan kejadian itu dipercayai oleh bapa mangsa kejadian pada jam 8.16 malam tadi.
“Video yang dimuatnaik dalam laman sosial Facebook ‘DAILY TRAFFIC REPORT’ yang menguarkan-uarkan kejadian ini melalui akaun ‘@alfitry_azmi52’,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, pihak Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Bentong akan menjalankan siasatan dan bakal menghubungi pemilik akaun berkenaan bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung kejadian tersebut.
“Mohon kerjasama orang ramai dan pihak berkaitan tidak membuat sebarang spekulasi dan beri ruang kepada kami untuk menjalankan siasatan lanjut,” katanya.-SAHIH.
Video yang ditular berkaitan kejadian.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
TEMERLOH – Badan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) JABAT menggalakkan ahli mengenakan busana Melayu bertujuan memperkasakan budaya warisan Melayu dalam konteks berpakaian.
Pemakaian busana tradisional itu mendapat sambutan yang baik dalam kalangan ahli termasuk lelaki dan perempuan yang sanggup menempah busana masing-masing untuk menghadiri program-program rasmi.
Antara ahli JABAT berpakaian tradisional
Pengerusi JABAT, Azril Ramli berkata, NGO itu ditubuhkan untuk menjaga kebajikan ahlinya, selain berperanan menjadi sebuah NGO sukarela apabila berlaku keadaan memerlukan seperti membekalkan tenaga kerja ketika banjir bagi membantu kerja-kerja pembersihan dan sebagainya.
“JABAT mempunyai misi untuk menjadi salah sebuah badan berperanan untuk membantu ekonomi bangsa Melayu dengan membuat beberapa kerjasama dengan NGO yang mempunyai keupayaan untuk mengadakan latihan dan kursus kemahiran bagi usahawan dan bakal usahawan.
“Selain itu, program seperti ziarah kasih untuk meringankan beban pesakit kronik, warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU),” katanya.
Katanya, program ekonomi dinamakan Jihad Ekonomi dan program latihan dan kursus diberi secara percuma bagi melahirkan usahawan dan bakal usahawan untuk meningkatkan jualan sedia ada dan melatih mereka yang belum pernah berniaga sebagai usahawan.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!