BACHOK: Suspek yang dipercayai membunuh anak lelakinya berusia lapan bulan terpaksa diusung enam anggota polis ke Mahkamah Bachok untuk mendapatkan perintah tahanan reman.
Suspek berusia 40 tahun dikatakan enggan keluar dari kereta dan membaca beberapa surah al-Quran dengan alasan untuk berdoa.
Bagaimanapun, selepas 10 minit menunggu, anggota polis terpaksa mengusung suspek masuk ke mahkamah.
Suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan anaknya dalam kejadian di Kampung Sungai Dua di sini, semalam.
Perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Majistret Mohd Dinie Shazwan Ab Shukor mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membolehkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dalam kejadian semalam, bayi lelaki berusia lapan bulan ditemui mati dalam keadaan menyayat hati termasuk badan dilumur garam dipercayai dibunuh bapa kandung menggunakan objek tumpul.
Suspek juga dipercayai mengalami masalah gangguan mental.
Sumber: BHOnline
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR : Artis Nelydia Senrose hari ini diperintah membayar ganti rugi berjumlah RM89,144.03 kepada ChriszenMalaysiaSdnBhd selepas syarikat kosmetik itu memenangi kes saman terhadap heroin filem Jebat yang didakwa melanggar perjanjian sebagai duta jenama produk kecantikan Chriszen, tahun lepas.
Hakim Mahkamah Sesyen, Shamsudin Abdullah memerintahkan Nelydia atau nama sebenarnya Nik Zaris Nelydia Nik Sen, 26, membayar ganti rugi itu selepas membenarkan tuntutan saman difailkan ChriszenMalaysia selaku plaintif.
Hakim memerintahkan Nelydia selaku defendan kedua, membayar ganti rugi khas bagi penyediaan acara berjumlah RM16,869.03, ganti rugi am sebanyak RM10,000 dan pelakon itu juga diminta mengembalikan kos perkhidmatan sebanyak RM62,275 kepada ChriszenMalaysia serta membayar kos sebanyak RM10,000.
Mengenai kos perkhidmatan berjumlah RM102,275 yang sepatutnya dikembalikan semula kepada plaintif, mahkamah berpendapat defendan kedua hanya perlu membayar RM62,275 selepas mengambil kira pelakon itu telah membelanjakan RM40,000 bagi sesi fotografi.
Shamsudin, dalam penghakimannya berkata Nelydia tidak ikhlas dalam melaksanakan tugasnya sebagai duta jenama produk kecantikan itu.
“Mahkamah mendapati defendan lebih mengutamakan bulan madu perkahwinannya daripada mematuhi perjanjian duta jenama berkenaan. Oleh itu, mahkamah mendapati alasan sebenar mengapa beliau tidak menghadiri acara pelancaran produk Chriszen adalah kerana bulan madu dan bukan kerana plaintif (Chriszen) tidak memberi notis secukupnya,” kata hakim itu.
Shamsudin berkata plaintif telah memaklumkan kepada Nelydia sejak 8 Mac 2019 tentang acara yang akan diadakan pada 25 April 2019 dan tarikh tersebut turut dipersetujui oleh syarikat yang menyelia dan menguruskan Nelydia iaitu AlfieManagementSdnBhd bagi pihak selebriti berkenaan.
Bagaimanapun, hakim itu berkata pada 13 Ogos 2019 penghakiman ingkar telah dimasukkan terhadap AlfieManagement yang sebelum ini dinamakan sebagai defendan pertama dalam kes saman berkenaan.
Mahkamah juga berpuas hati bahawa Nelydia sendiri telah mengetahui bahawa beliau tidak dapat menghadiri acara itu sejak 24 Mac 2019, namun hanya menunggu 19 hari kemudian iaitu pada 12 April tahun sama untuk memaklumkan kepada plaintif mengenai ketidakhadirannya.
“Mahkamah berpuas hati bahawa mesyuarat yang diadakan pada 12 April 2019 adalah atas inisiatif plaintif dan jika tidak kerana mesyuarat itu, plaintif tidak akan tahu yang defendan kedua tidak dapat hadir pada acara tersebut.
“Mahkamah turut berpuas hati dengan keterangan yang menunjukkan defendan kedua (Nelydia) gagal mematuhi terma-terma perjanjian dan tindakan plaintif mengeluarkan notis 30 hari kepada defendan kedua untuk menjawab emel yang dihantar kepadanya adalah berasas.
“Atas imbangan kebarangkalian, mahkamah mendapati pihak plaintif berjaya membuktikan kes dan defendan kedua telah gagal untuk membuktikan pembelaannya. Oleh yang demikian, tuntutan saman plaintif dibenarkan,” kata hakim itu lagi.
Pada 7 Oktober 2019, ChriszenMalaysia menyaman AlfieManagement dan Nelydia sebagai defendan pertama dan kedua.
Dalam penyataan tuntutan, ChriszenMalaysia berkata Nelydia, yang membintangi drama BukanKeranaAkuTakCinta telah dilantik sebagai duta jenama Chriszen melalui satu perjanjian bertarikh 21 Disember 2018 dan berdasarkan perjanjian, kedua-dua defendan perlu mempromosikan produk syarikat termasuk membuat hantaran mengenai produk sebanyak 15 kali di media sosial.
Syarikat kecantikan dan penjagaan kulit itu mendakwa pada Mac 2019, Nelydia telah bersetuju untuk menghadiri satu acara pelancaran media MatchMatteSerumFoundation yang berlangsung pada 25 April 2019.
Bagaimanapun, dakwa plaintif pada 12 April tahun sama, pihaknya telah dimaklumkan bahawa Nelydia tidak akan menghadiri acara tersebut tanpa apa-apa penjelasan yang munasabah.
Syarikat itu mendakwa, defendan pertama iaitu AlfieManagement, yang menyelia dan menguruskan selebriti itu juga tidak mengambil apa-apa langkah untuk membetulkan ketidakhadiran artisnya atau memberi penjelasan yang munasabah.
Menurut ChriszenMalaysia, atas persetujuan Nelydia untuk menghadiri acara tersebut, plaintif telah membuat penyediaan bahan pemasaran dan promosi termasuk menyewa jurudandan serta model untuk demonstrasi pelancaran solekan.
Dakwa plaintif, ketidakhadiran Nelydia telah menyebabkan reputasi ChriszenMalaysia tercalar dan syarikat itu terpaksa menanggung kerugian berjumlah RM61,702.40 selain menuntut kedua-dua defendan memulangkan semula kos perkhidmatan berjumlah RM102,275 yang telah diberikan kepada mereka.
Dalam prosiding itu, Chriszen diwakili peguam Tan Eng Keat dan Lim Sin Yee, manakala Nelydia yang tidak hadir diwakili peguam Amirul Izzat Hasri dan Lim Zi-Han.
Sumber: BERNAMA
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan dalam kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, berhubung pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama, akan meminda dua daripada empat pertuduhan dihadapi bekas menteri kewangan itu.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin, ketika sebutan kes itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi, hari ini.
“Pihak kami akan mengemukakan pindaan tersebut pada tarikh sebutan semula kes 28 Oktober ini, apabila tertuduh hadir ke mahkamah,” katanya.
Wan Shaharuddin turut memohon tarikh perbicaraan kes itu ditetapkan ketika kehadiran tertuduh pada tarikh sama dan Azura membenarkan permohonan itu.
Terdahulu, Azura turut membenarkan permohonan peguam Gobind Singh Deo, yang mewakili Guan Eng, untuk mengecualikan beliau daripada menghadiri prosiding hari ini kerana tertuduh perlu ke mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.
Pada 7 Ogos lalu, Guan Eng, 60, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, telah secara rasuah meminta bagi pihak dirinya sendiri suatu suapan, iaitu balasan berharga berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh kelak daripada Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli yang juga Pengarah ConsortiumZenithConstructionSdnBhd.
Suapan itu adalah sebagai upah, bagi melakukan suatu perkara yang dicadangkan, iaitu membantu syarikat Zarul Ahmad dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.
Kesalahan itu didakwa dilakukan berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini pada Mac 2011 mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Hukuman itu memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pada 10 Ogos lepas pula, Guan Eng didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth atas pertuduhan menggunakan kedudukannya ketika menjawat jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk suapan bagi dirinya wang berjumlah RM3.3 juta, sebagai tindakan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik untuk melaksanakan projek itu yang bernilai RM6.3 bilion.
Pada 11 September lalu, Ahli Parlimen Bagan itu sekali lagi didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu.
Mengikut pertuduhan pertama, Guan Eng didakwa menyebabkan Pendaftar Tanah Pulau Pinang melupuskan harta milik kerajaan negeri Pulau Pinang iaitu, Lot Tanah No. H.S.(D) 18801, No. PT Lot 702 Seksyen 1, Bandar Tanjong Pinang, Daerah Timor Laut, Pulau Pinang, bernilai RM135,086,094 kepada syarikat EweinZenithSdnBhd.
Beliau juga dituduh menyebabkan Pendaftar Hakmilik Tanah Pulau Pinang melupuskan Lot Tanah No.H.S.(D) 19318, No. PT Lot 10012 Seksyen 1, Bandar Tanjong Pinang, Daerah Timor Laut, bernilai RM73,668,986 kepada syarikatZenithUrbanDevelopmentSdnBhd.
Guan Eng didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Tingkat 21, KOMTAR di sini, pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.
Pendakwaan terhadap Guan Eng dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.
Sumber: BERNAMA
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SEREMBAN: Dua pegawai polis berpangkat inspektor hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM3,500 pada 2015.
Bagi pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh, Mohd Ramdzan A Sukor, 33, dan Chang Jia Chee, 31, yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban didakwa menerima suapan daripada Tang Yee Choy, 37, sebagai dorongan untuk tidak meneruskan siasatan ke atas lelaki itu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menipu.
Bagi pertuduhan pilihan pula, Mohd Ramdzan dan Jia Chee didakwa menerima wang tunai berjumlah RM3,500 daripada individu sama untuk tidak meneruskan siasatan kes penipuan ke atas lelaki itu.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di lif tingkat 1, Kompleks Terminal One Plaza, 20B Jalan Lintang, Seremban pada 5.30 petang, 3 Ogos 2015.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 24 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan pilihan, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Negeri Sembilan, Zainab Yahaya manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Datuk Hanif Hassan dan P Purshotaman.
Terdahulu, Hanif yang mewakili Mohd Ramdzan memohon mahkamah membenarkan jaminan yang rendah atas alasan anak guamnya perlu menanggung isteri dan empat anak yang masih kecil, manakala Purshotaman yang mewakili Jia Chee juga memohon ikat jamin yang sama memandangkan anak guamnya perlu menanggung isteri serta ibu dan bapanya.
Hakim Surita Budin memerintahkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM8,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 11 November.
Sebagai syarat tambahan, kedua-dua tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri ke pejabat SPRM terdekat setiap bulan dan tidak mengganggu saksi.
Sumber: BERNAMA
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MARANG: Seorang buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini terhadap tuduhan menggunakan kekerasan jenayah dengan menumbuk kakitangan Kementerian Kesihatan yang sedang menjalankan tugasnya.
Tertuduh, Amran Mohamed, 46, dari Kuala Berang membuat pengakuan itu selepas pertuduhan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam dibacakan di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda.
Tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan kakitangan Kementerian Kesihatan daripada menjalankan kewajipannya di sebuah kedai makan di Kuala Berang, Hulu Terengganu jam 9 pagi pada 5 Oktober lalu.
Dalam kejadian itu, tertuduh yang sedang menghisap rokok di dalam kedai makan berkenaan dikatakan ditegur mangsa yang sedang menjalankan tugas pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di tempat awam.
Tertuduh yang tidak berpuas hati dengan teguran itu bertindak menumbuk mangsa sehingga mendatangkan kecederaan di beberapa bahagian anggota badannya.
Selain itu, tertuduh yang merokok di kawasan larangan merokok iaitu di kedai makan turut dikenakan kompaun melalui Notis Memerintahkan Kehadiran di Mahkamah (Notis Di Bawah Seksyen 32B) kerana merokok di tempat larangan merokok mengikut Peraturan 11 (1)(d).
Bagi kesalahan itu, tertuduh berhadapan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 2 November ini, sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.
Engku Nurul Ain kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin.
Mahkamah turut meletakkan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh menganggu mangsa dalam apa saja bentuk komunikasi sepanjang prosiding.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Othman Ibrahim.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima aduan beberapa pegawai Bahagian Penyelidikan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) menyalahgunakan wang disyaki milik Kerajaan Malaysia yang dianggarkan jutaan ringgit dan disimpan di beberapa lokasi.
Penolong Penguasa SPRM, Muhammad Nizhar Kadi berkata selepas mendapat aduan itu, SPRM telah menjalankan operasi OpsDinar2 bagi menyiasat dakwaan salah guna wang tersebut.
“Selepas penangkapan beberapa suspek dan penggeledahan di beberapa rumah di Cyberjaya dan Putrajaya, tiada sebarang wang tunai dan dokumen berkaitan ditemui.
“Sekitar jam 12.15 tengah malam, 30 Ogos 2018, saya dan pasukan diarahkan untuk menangkap seorang suspek yang dikenali sebagai Datuk Salahudin Yaakob di KLIA2.
“Pada jam 1 pagi, kami terus bergerak ke ShaftsburyResidence, Cyberjaya untuk tujuan penggeledahan.
“Wang tunai berjumlah AS$4.07 juta telah disita di unit tersebut,” kata saksi pendakwaan pertama ketika membacakan penyataan saksinya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Muhammad Iskandar Ahmad dalam perbicaraan kes pecah amanah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid.
Muhammad Nizhar berkata pada jam 11 pagi, hari sama, penyitaan kedua dibuat di Kuala Terengganu selepas suspek lain yang dikenali sebagai Maliki memberitahu yang dia menyimpan sejumlah wang di rumah ibu bapanya.
“Hasil penggeledahan di rumah keluarga Maliki, saya telah menjumpai satu beg yang berisi wang tunai sebanyak RM220,000 seperti dinyatakan oleh Maliki.
“Maliki telah mengira sendiri duit yang disita sambil disaksikan oleh saya,” katanya.
Hari pertama perbicaraan kes itu juga mendengar keterangan saksi ketiga, Pegawai Tadbir dan Diplomatik di Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Norhisham Md Nordin, 40, yang memberitahu Hasanah tidak menyediakan NotaSerahTugasdanFailMeja selepas kontraknya sebagai Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan JPM tamat.
“Kontrak perkhidmatan Hasanah bagi jawatan tersebut tamat pada 30 Jun 2018 dan beliau tidak menyediakan kedua-dua dokumen (NotaSerahTugasdanFailMeja) tersebut.
“Mengikut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 2004 dan surat Jabatan Perkhidmatan Awam bertarikh 19 Julai 1985 menyatakan mana-mana pegawai kerajaan yang bertukar atau bersara mereka diwajibkan menyediakan NotaSerahTugasdanFailMeja untuk diserahkan kepada pengganti,” katanya ketika membacakan pernyataan saksinya semasa pemeriksaan utama oleh TPR, Muhamad Ashraf Md Kamal.
Menurut Norhisham, proses pertukaran, kenaikan pangkat atau penamatan perkhidmatan pegawai, perlu disertakan NotaSerahTugas selaras dengan panduan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia.
“NotaSerahTugas ini bertujuan sebagai panduan kepada pegawai baru yang akan mengambil alih tugas jawatan berkenaan,” katanya
Saksi itu yang sebelum ini bertugas sebagai pegawai khas di Bahagian Penyelidikan JPM berkata perkara itu tercetus selepas bekas majikannya yang merupakan Ketua Pengarah Penyelidikan JPM ketika itu, Datuk Ahmad Shublee Othman mengarahkannya supaya mendapatkan NotaSerahTugasdanFailMeja Hasanah.
“Saya mendapati kedua-dua dokumen itu tidak disediakan oleh Hasanah selepas bertanya kepada bekas pembantu khas Hasanah serta kakitangan di Pejabat Ketua Pengarah.
“Datuk Ahmad Shublee Othman dilantik sebagai Ketua Pengarah Penyelidikan pada 8 Julai 2018 bagi menggantikan Datuk Hasanah kerana kontrak perkhidmatan Hasanah tamat pada 30 Jun 2018. Sepanjang tempoh 1 sehingga 7 Julai 2018, jawatan Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan tidak diisi kerana belum ada sebarang pelantikan daripada pejabat Ketua Setiausaha Negara,” katanya.
Norhisham berkata isi kandungan NotaSerahTugas Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan perlu menyatakan perkara-perkara seperti senarai kedudukan terakhir (status) tugas-tugas pegawai yang masih belum selesai, senarai harta benda atau peralatan pejabat yang berada di bawah kawalan pegawai tersebut, kedudukan kewangan semua akaun jabatan dan fail meja.
Pada 25 Oktober 2018, Hasanah, 62, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan sebagai seorang penjawat awam iaitu Ketua Pengarah Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri melakukan pecah amanah wang berjumlah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan Malaysia.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Ketua Pengarah, Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kompleks JPM, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 30 April hingga 9 Mei 2018.
Wanita itu dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh bersambung Khamis.
Sumber: BERNAMA
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengemukakan surat tuntutan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) dengan menuntut ganti rugi daripada kerajaan kerana mendakwa perkhidmatannya ditamatkan secara tidak sah oleh kerajaan Pakatan Harapan, dua tahun lalu.
Mohamed Apandi berkata, penamatan khidmatnya melalui surat bertarikh 5 Jun 2018 oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) menyebabkannya mengalami kehilangan dan kerugian antaranya kehilangan pendapatan, elaun dan faedah lain.
Surat itu menyatakan, Mohamed Apandi tiada pilihan lain selain meneruskan dengan tindakan undang-undang bagi menuntut ganti rugi, termasuk ganti rugi teladan jika tidak menerima sebarang tawaran pemulihan atau ganti rugi daripada kerajaan dalam tempoh tujuh hari.
Ia menyatakan bahawa perkhidmatan Mohamed Apandi daripada 27 Julai 2015 sehingga 26 Julai 2018 hanya boleh ditamatkan melalui peruntukan Artikel 145(5) Perlembagaan Persekutuan.
Peruntukan itu menyatakan, tertakluk kepada Fasal (6), Peguam Negara hendaklah memegang jawatan selama diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong dan boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya dan, melainkan jika beliau ialah anggota Jemaah Menteri, hendaklah menerima apa- apa saraan ditentukan Yang di-Pertuan Agong.
Mohamed Apandi memfailkan surat tuntutan itu melalui firma guaman Tetuan Shukor Baljit & Partners semalam dengan itu menyatakan bahawa pemecatannya adalah terbatal dan tidak sah.
Tuntutan itu menyatakan, surat daripada KSN menyebut bahawa Yang di-Pertuan Agong bersetuju dengan penamatan khidmat Mohamed Apandi, bagaimanapun beliau tidak dikemukakan dengan sebarang dokumen membuktikan terdapat persetujuan itu.
Ia menyebut bahawa tindakan penamatan khidmat itu diatur dan diputuskan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamed yang menjalankan kuasa pemberhentian secara tidak sah.
“Kami mendapat arahan daripada anak guam bahawa perdana menteri ketika itu menyalahgunakan kedudukan selaku pegawai awam dan melakukan salah guna di pejabat awam.
“Perdana menteri ketika itu juga ketika melakukan tindakan terbabit, menyedari serta berniat untuk menyebabkan pelanggaran kontrak di antara kerajaan dan anak guam kami.
“Tindak tanduk perdana menteri terbabit juga adalah menggunakan kuasa yang tidak sah di sebalik kedudukannya,” kata kenyataan itu.
Mohamed Apandi ketika dihubungi berkata, beliau hanya menjalankan hak perundangan terhadap kuasa dan kedudukan Dr Mahathir yang menamatkan khidmatnya tanpa alasan sah, selepas lanjutan perkhidmatannya diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN: Seorang ibu terpaksa dijatuhi hukuman penjara selama dua tahun kerana bertindak menganiaya dan mencederakan anak tirinya menggunakan pisau berukuran lapan sentimeter yang dipanaskan, pada 20 September lalu.
Hakim Mahkamah Sesyen Kuantan, Siti Aminah Ghazali menjatuhkan hukuman itu terhadap Khairunnisa Abdullah, 24, selepas tertuduh mengaku bersalah atas dakwaan itu.
Siti Aminah turut mengarahkan hukuman penjara itu berkuatkuasa dari tarikh tangkap iaitu pada 22 September lalu.
“Tertuduh juga dikenakan bon berkelakuan baik dengan pengawasan selama tiga tahun serta perlu melakukan khidmat masyarakat selama 120 jam, selain melaporkan diri di Balai Polis Cenderawasih, Rompin setiap bulan.
“Hukuman tambahan ini dikenakan terhadapnya selepas tertuduh selesai menjalani hukuman penjara selama 24 bulan,” katanya dalam prosiding yang berlangsung hari ini.
Pekerja ladang itu mengaku menganiaya anak tirinya berusia sembilan tahun dengan cara meletakkan pisau yang dipanaskan pada bahagian atas lengan kanan mangsa sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.
Perbuatan itu dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Perumahan Ladang Suburban Chenderawasih, Muadzam Shah, dekat Rompin, pada jam 3 petang, 20 September lalu.
Dia mengaku bersalah mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun atau denda tidak sampai RM50,000 atau kedua-duanya sekali.
Sebelum itu, Peguam Mohd Faizal Hiqram Azmi yang mewakili tertuduh meminta hukuman pemenjaraan diminimumkan dengan mengenakan syarat tambahan terhadap anak guamnya.
Dalam hujahan pembelaannya, kesalahan terbabit pertama kali dilakukan anak guamnya dan perlu diberi peluang untuk berubah.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Nurul Syuhada Tuan Mamat berkata, tertuduh sepatutnya melindungi kanak-kanak tersebut, bukan dengan cara menganiaya dan mencederakannya.
“Ini adalah kesalahan serius di mana tertuduh sanggup mengambil dan memanaskan pisau terlebih dahulu sebelum menekap di lengan kanan mangsa.
“Jadi, kepentingan awam perlu diambilkira oleh mahkamah melebihi kepentingan peribadi tertuduh. Pohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh,” katanya.
Pada 22 September lalu, akhbar tempatan melaporkan seorang kanak-kanak melecur pada lengan serta lebam di dada dan paha dipercayai didera ibu tirinya di rumahnya dekat Muadzam Shah, Rompin.
Kejadian itu terbongkar selepas mangsa berusia sembilan tahun memaklumkan kepada guru sekolah pada jam 7.30 pagi, sehari selepas kejadian itu.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
RAUB: Sepasang kekasih yang ditahan minggu lalu kerana dipercayai bersubahat melarikan diri dari tahanan polis di perkarangan Kompleks Mahkamah Raub, didakwa hari ini.
Ketua Polis Daerah Raub Superintendan Kama Azural Mohamed berkata, suspek lelaki berusia 22 tahun dan perempuan berusia 23 tahun itu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Raub, pagi tadi.
“Proses pendakwaan selesai kira-kira jam 12 tengahari tadi… suspek wanita didakwa mengikut Seksyen 39c(1)(b) Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 224 Kanun Keseksaan manakala suspek lelaki pula didakwa mengikut Seksyen 225 Kanun Keseksaan,” katanya melalui satu kenyataan media di sini, hari ini.
Beliau berkata, suspek wanita adalah orang kena tuduh (OKT) yang meloloskan diri dari perkarangan Kompleks Mahkamah Raub ada 14 September lalu dan suspek lelaki itu adalah rakan subahat yang dipercayai membantu suspek wanita berkenaan pada tarikh dan lokasi sama, dengan menggunakan motosikal.
Keduanya ditahan kira-kira jam 9 malam, Khamis lalu di sebuah rumah sewa dekat Dong, Raub.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PENIAGA NASI LEMAK DIDAKWA DERA KANAK-KANAK 6 TAHUN
ALOR GAJAH: Seorang peniaga nasi lemak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua pertuduhan mendera kanak-kanak perempuan berusia enam tahun.
Tertuduh, Julaili Md Said, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim, Ahmad Sazali Omar.
Bagi pertuduhan pertama, ibu kepada lima anak itu didakwa dengan niat bersama seorang yang masih bebas sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun, mengabaikan atau mendedahkan kanak-kanak itu dengan cara mungkin akan mengalami kecederaan fizikal.
Dia didakwa mengikut Seksyen (31)(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Sementara bagi pertuduhan kedua pula, wanita itu didakwa bersama seorang yang masih bebas dengan sengaja menyebabkan mangsa cedera parah dengan menggunakan sebatang kayu sehingga menyebabkan mangsa patah tangan kiri dan kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Seri Paya Rumput, Masjid Tanah kira-kira jam 8 pagi hingga 12 tengah malam, antara bulan Mei hingga bulan ini.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Arthana Sarma Rao, yang tidak mencadangkan sebarang jaminan kerana mangsa masih kanak-kanak, manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan jaminan memandangkan tertuduh mempunyai lima anak termasuk dua daripadanya mengidap sakit talasemia dan asma selain hanya berniaga nasi lemak untuk menyara keluarga.
Selepas mendengar hujah kedua pihak, hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan 26 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes serta lantikan peguam.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!