Jempol: Mahu popular di media sosial dengan merakam aksi berbahaya menunggang motosikal sebelum video perbuatan itu dikongsi dalam akaun Instagram miliknya.
Tindakan remaja berusia 15 tahun itu bagaimanapun mengundang padah apabila dia akhirnya ditahan polis selepas video itu tular di media sosial sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata, rakaman video menerusi laman sosial Instagram itu memaparkan aksi suspek sedang menunggang motosikal model Honda EX5 secara berbahaya.
Katanya, remaja itu membuat aksi mengangkat tayar hadapan motosikal beberapa kali berhampiran sebuah stesen minyak di Mahsan di sini.
“Berikutan itu, polis membuat semakan terhadap nombor pendaftaran motosikal itu sebelum memeriksa kediaman remaja itu di Rumah Murah Taman Mahsan di sini, jam 2 pagi tadi..
“Suspek mengaku dia adalah penunggang motosikal di dalam video yang tular itu. Dia turut mengaku akaun Instagram berkenaan adalah miliknya,” katanya, lapor HM online.
Chang Hook berkata, suspek direman selama empat hari.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
GAGAL PAKAI GELANG MERAH JAMBU DAN PELITUP MUKA DIKOMPAUN
KUALA LIPIS – Lelaki berusia 47 tahun dikompaun RM5,000 kerana sengaja menanggalkan gelang merah jambu dalam tempoh kuarantin di rumah serta dua lelaki yang gagal memakai pelitup muka turut dikenakan kompaun RM 1,500 oleh polis di Padang Tengku, Lipis, semalam.
Ketua Polis Lipis, Suprintendan Azli Mohd. Noor berkata, tindakan mengenakan kompaun kepada lelaki yang tidak memakai gelang merah jambu berikutan hasil pemeriksaan pasukan pemantau di rumahnya berdekatan pekan Padang Tengku.
Ketua Polis Lipis, Suprintendan Azli Mohd. Noor
“Hasil pemeriksaan mendapati lelaki berkenaan didapati tidak memakai gelang merah jambu malahan berada di luar pergi ke tempat lain tempoh kuarantin di rumah dan perlu memakai gelang itu seperti yang diarahkan oleh pihak Kementerian Kesihatan,” katanya kepada media di Ibupejabat Polis Daerah Lipis, semalam.
Katanya, manakala kompaun ke atas dua orang lelaki lagi berusia 21 tahun yang bekerja sebagai tukang gunting di situ dan seorang penganggur berusia 24 tahun secara terang-terang tidak memakai pelitup muka ketika polis membuat pemeriksaan di sebuah premis gunting rambut di Jalan Lipis – Benta.
Keduanya dikenakan kompaun oleh polis masing-masing berjumlah RM1,500 kerana tidak memakai pelitup muka semasa berada di dalam premis.
Pemeriksaan mengejut oleh polis di premis dan institusi kewangan dan rumah memastikan SOP dipatuhi.
“Pihak polis akan melakukan pemeriksaan mengejut ke atas premis, kediaman dan bank di semua lokasi termasuk penduduk yang masih dalam kuarantin di samping pematuhan prosedur operasi standard (SOP), penjarakan sosial, pemakaian pelitup muka, penggunaan pengimbas suhu, mencatat kehadiran di buku catatan termasuk penggunaan MySejahtera dan beberapa peraturan tertentu.
“Polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas mengenakan kompaun bagi membantu kerajaan mengawal dan mengurangkan penularan wabak pandemik Covid-19 yang dilaporkan semakin meningkat di bawah seksyen yang dikuatkuasakan sekarang,” katanya. –SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SEREMBAN: Usahawan dan selebriti tanah air, Noor Neelofa Mohd Noor atau Neelofa dan suaminya, Muhammad Haris Mohd Ismail mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seremban atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Pasangan itu yang tiba di Kompleks Mahkamah Seremban kira-kira jam 8.50 pagi tadi didakwa atas dua pertuduhan gagal mematuhi SOP PKPB pada 2 Mei lalu.
Neelofa dan suami menghadapi dua pertuduhan iaitu gagal membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk ‘check in’ atau menulis secara manual serta tidak memakai pelitup muka di tempat awam.
Pendakwaan terhadap Neelofa dan suami mendapat liputan meluas media apabila petugas media dari pelbagai agensi tiba seawal jam 730 pagi.
Media sebelum ini melaporkan kenyataan Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman, bahawa pertuduhan ke atas pasangan terbabit akan dijalankan selepas kertas siasatan kes perlanggaran SOP PKPB membabitkan kedua-duanya dikembalikan dari Pejabat Peguam Negara, Putrajaya.
Beliau dilaporkan berkata, kedua-duanya akan dituduh mengikut Peraturan 19, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No 4) (Pindaan) (No 12) 2021.
Pada 4 Mei lalu, Neelofa dan Muhammad Haris dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai bagi memberi keterangan selama empat jam berkaitan penularan gambar dan video mereka berada di sebuah premis menjual permaidani di Pusat Perniagaan Nilai 3 pada 2 Mei.
Turut diambil keterangan ialah pemilik premis serta pembantu kedai permaidani berkenaan.
Neelofa menjadi bualan hangat netizen selepas didakwa merentas negeri ke Nilai 3, Negeri Sembilan untuk membeli permaidani dan netizen mempersoalkan bagaimana dia boleh merentas negeri semata-mata untuk membeli barang perhiasan rumah,lapor BH ONLINE.
Isu itu mula menjadi bualan selepas Neelofa memuat naik sekeping foto dan video di akaun Instagram miliknya yang memaparkan dia dan suami berada di sebuah kedai permaidani.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Sibu: Seorang konstabel polis didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas tuduhan membunuh rakannya, pada 6 Mei lalu.
Muhamad Nur Alif Mazlan, 28, dituduh membunuh Konstabel Norhalim Tumiran, 24, di sebuah rumah di Lorong Permai Timur 9 antara 5.45 petang hingga 6.30 petang pada hari berkenaan.
Tiada pengakuan diambil daripada tertuduh ketika pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibacakan di hadapan Majistret Siti Hazwani Hanim Ramli.
Siti Hazwani kemudian menetapkan 6 Julai sebagai tarikh untuk sebutan semula kes berkenaan.
Dua lagi konstabel yang berusia 21 dan 23 tahun, dibebaskan dan akan dipanggil sebagai saksi bagi kes itu.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Zulfadhli Tuah dan Rex Heng Yi Min, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Dalam kejadian pada 6 Mei lalu, Norhalim ditemui tersandar di sofa rumah sewa rakannya dengan kesan kecederaan akibat tembakan di kepala.
Mangsa yang tinggal di rumah transit di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu pergi ke rumah sewa rakannya di Lorong Permai Timur 9, untuk bermain permainan video sementara menunggu waktu berbuka puasa.
Dia baru sebulan bertugas di Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Sibu selepas menamatkan latihan asas Konstabel polis.
Jenazah Norhalim dikebumikan di kampung halamannya di Felda Bukit Damar di Lanchang, Temerloh, Pahang pada 9 Mei lalu, lapor BH ONLINE.
Allahyarham meninggalkan balu, Nor Fitrah Ramli, 25, dan anak perempuan mereka, Nur Asyfa Alisha yang berusia 14 bulan.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
WANITA TUMBUK PERUT ANGGOTA PENGUAT KUASA MBPP DITAHAN
Georgetown: Wanita yang menumbuk perut dan membaling pisau kepada anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) selepas ditegur tidak memakai pelitup muka di Pasar Awam Pulau Tikus, di sini, semalam, sudah ditahan polis.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata wanita berusia 58 tahun itu ditahan berhampiran kediamannya di Jalan Burma, di sini, pada jam 1.30 petang, hari ini.
Katanya, turut dirampas ialah pisau berukuran 12 sentimeter (sm) yang dipercayai digunakan semasa kejadian.
“Surirumah terbabit sudah ditahan hari ini oleh sepasukan anggota dari Balai Polis Pulau Tikus.
“Suspek turut mengakui bahawa dia tidak berpuas hati dengan penguatkuasa MBPP kerana menutup laluan di kawasan pasar itu itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Dalam kejadian pada Ahad lalu itu, wanita terbabit bertindak menumbuk perut penguatkuasa MBPP selepas ditegur tidak memakai pelitup muka ketika memasuk menerusi laluan tikus di pasar awam berkenaan, lapor HM online.
Wanita terbabit kemudian bertindak membaling pisau ke arah penguatkuasa berkenaan namun tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden itu.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN: Seorang suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuantan atas dua dakwaan membabitkan penipuan perniagaan projek kuih raya pada Disember tahun lalu.
Wan Roshaidayati Wan Mohd Salleh, 51, berasal dari FELDA Jengka 8, dekat Maran, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Najwa Hashim, di Mahkamah Majistret Kuantan, pagi tadi.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu dengan menawarkan pemberian modal permulaan perniagaan projek kuih raya RM2,000 kepada seorang wanita berusia 41 tahun.
Perbuatan itu mendorong wanita terbabit menyerahkan wang RM500 secara tunai kepadanya di sebuah restoran di Taman Seri Mahkota di sini, jam 9.30 malam, pada 31 Disember tahun lalu.
Bagi pertuduhan kedua, Wan Roshaidayati didakwa menipu seorang pemuda berusia 28 tahun bagi tujuan sama dan mendorong menyerahkan wang RM500 kepada tertuduh.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di kawasan parkir sebuah stesen minyak di Taman Seri Mahkota Aman, pada masa dan tarikh yang sama.
Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan kes disebut semula pada 8 Jun depan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fathin Nadhirah Kasim dan tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Mohd Azahari Mat Asin.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN: Seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan atas dakwaan menggunakan gelaran tidak diiktiraf.
Tertuduh, Sabariah Hashim,45, mengaku tidak bersalah sebaik pendakwaan dikemukakan terhadapnya oleh Timbalan Pendakwa Raya, Fathin Nadhirah Kasim di hadapan Majistret Najwa Hashim.
Ibu kepada enam anak itu didakwa menggunakan gelaran dan panggilan ‘Datuk Seri Bakti Setia Temasek’ yang merupakan anugerah luar yang tidak diiktiraf.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, jam 3.30 petang pada 28 April lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Kesalahan Yang Berhubung Dengan Anugerah 2017, memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun, jika didapati bersalah.
Sementara itu, tertuduh yang diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Mohd Azahari Mat Asin, meminta cadangan wang jaminan RM5,000 oleh pihak Timbalan Pendakwa Raya, dikurangkan atas alasan tertuduh menyara enam anak dan seorang ibu yang sudah tua dan uzur.
Mahkamah kemudiannya membenarkan Sabariah diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.
Kes disebut semula 9 Jun depan.- SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SRI RAM WAKIL FIRMA GUAMAN BERDEPAN SAMAN SIVIL 1MDB
KUALA LUMPUR: Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram akan mewakili firma guaman Tetuan Wong & Partners dan rakan kongsinya, Brian Chia Hock Gee yang berdepan saman AS$1 bilion difailkan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) terhadap mereka.
Sri Ram berkata, tidak terdapat sebarang konflik kepentingan berhubung tindakan beliau mewakili kedua-dua firma guaman dalam saman sivil itu.
“Tidak ada konflik. Brian adalah saksi penting saya dalam perbicaraan kes 1MDB-Tanore yang sedang berlangsung.
“Beliau adalah rakan kongsi Tetuan Wong & Partners dan sasaran utama dalam saman itu. Saya perlu mewakili beliau dalam kedua-dua kes,” kata Sri Ram yang mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan kes jenayah membabitkan skandal 1MDB terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Pada 10 Mei lalu, Kementerian Kewangan mengesahkan 1MDB dan bekas anak syarikatnya SRC International Sdn Bhd (SRC) memfailkan sejumlah 22 saman sivil bagi mendapatkan semula aset bernilai lebih RM96.6 bilion termasuk kira-kira RM300 juta daripada pelbagai pihak tempatan.
Kementerian itu menyebut writ saman terbabit difailkan pada 7 Mei lalu iaitu enam oleh 1MDB dan 16 oleh SRC.
Saman itu difailkan 1MDB terhadap sembilan entiti termasuk dua institusi kewangan asing dan 25 individu manakala SRC memfailkan saman terhadap lapan entiti serta 15 individu atas pelbagai salah laku, lapor Bernama.
Antara saman difailkan ke atas Tetuan Wong & Partners serta Brian ialah bagi mendapatkan semula AS$1 bilion dan pembayaran fi perundangan sebanyak RM664,821.21 bagi peranan didakwa dimainkan mereka dalam frod itu.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MELAKA – Seorang pemandu lori dan tiga anak lelakinya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol, meliwat dan memukul seorang remaja perempuan yang juga ahli keluarga mereka, sejak tahun lalu.
Bapa mangsa berusia 51, dan tiga abangnya masing-masing berusia 23, 27 dan 29 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan secara berasingan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Nariman Badruddin.
Dalam prosiding tersebut, lelaki yang juga ketua keluarga itu didakwa dengan 33 pertuduhan kerana merogol mangsa yang berusia 17 tahun dua bulan di mana perhubungan tertuduh dengan anaknya itu adalah tidak dibenarkan di bawah undang-undang untuk berkahwin dengannya.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lapan tahun dan maksimum 30 tahun dan dikenakan sebat tidak kurang 10 sebatan.
Tertuduh juga berdepan satu pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa dan didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.
Selain itu, lelaki itu turut didakwa telah dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap mangsa dengan menggunakan getah paip.
Oleh demikian, dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Sementara itu, ketiga-tiga abang mangsa masing-masing dihadapkan dengan 18 pertuduhan merogol dan turut didakwa atas Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan.
Adik-beradik itu juga didakwa atas satu pertuduhan melakukan persetubuhan luar tabii dan didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan minimum lapan tahun dan maksimum 30 tahun dan hendaklah dikenakan sebat tidak kurang 10 sebatan.
Kesemua kesalahan itu dilakukan keempat-empat tertuduh di sebuah rumah di Taman Krubong Jaya antara 1 Mac 2020 hingga 1 Februari 2021 lalu.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N.Sivashangari membantah sebarang jaminan diberikan disebabkan mangsa adalah darah daging keluarga itu sendiri dan dikhuatiri akan diganggu oleh kesemua tertuduh, lapor KOSMO online.
Nariman bagaimanapun membenarkan bapa mangsa diikat jamin dengan nilai RM8,000 bagi setiap pertuduhan atau jumlah keseluruhan RM280,000, manakala abangnya pula dibenarkan diikat jamin sebanyak RM144,000 setiap orang.
Beliau kemudian menetapkan tarikh 8 Jun ini sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Pada 23 April lalu Kosmo! melaporkan perbuatan jelik seorang bapa dan tiga anak lelakinya menjadikan remaja perempuan berusia 18 tahun sebagai hamba seks selama setahun akhirnya terbongkar selepas polis memberkas keempat-empat suspek.
Tangkapan itu dibuat pada 22 April susulan mangsa membuat laporan mendakwa telah dirogol dan diliwat oleh ayah dan tiga abang kandung secara bergilir-gilir di sebuah rumah di Tanjung Minyak.
Hasil saringan ujian air kencing ke atas kesemua suspek mendapati tiga daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MAHKAMAH BATAL SAMAN FITNAH HANNAH YEOH TERHADAP MUSA HASSAN
KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi pada Isnin membatalkan saman bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan atas alasan terdapat isu teknikal dalam kes itu.
Saman itu adalah berhubung kenyataan Musa yang didakwa berbaur fitnah semasa beliau berucap dalam satu forum di Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada 30 Januari tahun lepas.
Peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, yang mewakili Musa, ketika dihubungi berkata, Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff membatalkan saman itu selepas mendapati Yeoh gagal mematuhi arahan mahkamah berkaitan pemfailan beberapa dokumen praperbicaraan.
“Perintah pembatalan ini dibuat tanpa kos dengan kebebasan untuk plaintif memfailkan semula saman,” katanya selepas pengurusan kes secara dalam talian (e-Review) di hadapan Rozana.
Peguam Lim Wei Jiet, yang mewakili Yeoh, pula berkata plaintif tidak dapat memfailkan beberapa dokumen kerana ia memerlukan persetujuan daripada peguam defendan dan meskipun kesemua dokumen sudah dihantar namun persetujuan itu belum diperoleh.
“Peguam defendan terpaksa menguruskan kecemasan peribadi beberapa hari lepas, yang menjadikan lebih sukar untuk memperoleh persetujuan itu. Malangnya, hakim tidak menerima penjelasan ini dan membuat keputusan seperti itu.
“Kes ini telah dibatalkan namun hanya atas alasan teknikal. Kami mendapat arahan untuk memfailkannya semula secepat mungkin dan tetap akan meneruskan saman fitnah terhadap Musa,” katanya.
Beliau kemudian memaklumkan pemberita bahawa saman itu telah difailkan semula pada Isnin dan sedang menanti mahkamah menetapkan tarikh baharu bagi pengurusan kes, lapor Bernama.
Berdasarkan tuntutan saman yang difailkan pada 3 Julai 2020, Yeoh mendakwa Musa memberi ucapan pada forum bertajuk “Wacana Isu Semasa Perjanjian Damai Hat Yai 1989: PKM Menyerah Diri?”
Ahli Parlimen Segambut itu mendakwa, kenyataan dalam ucapan itu adalah tidak benar, menyusahkan, palsu, salah dan tidak berasas selain telah dirancang terlebih dahulu, dibuat dengan niat jahat, mencemarkan nama baik, memfitnah serta memusnahkan reputasi plaintif.
Beliau memohon mahkamah mengeluarkan perintah injunksi untuk menghalang Musa, pegawai atau ejennya daripada menyebut, menerbit, menyebabkan untuk diterbitkan perkataan yang didakwa berunsur memfitnah selain menuntut ganti rugi umum, teruk dan teladan selain kos serta relif yang dianggap sesuai oleh mahkamah.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!