HARAP AHLI PARLIMEN GUNA PERUNTUKAN BANTU RAKYAT TERKESAN TERUK
TEMERLOH: Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kome Cakna mahukan semua ahli parlimen yang menerima peruntukan sebanyak RM300,000 yang diluluskan oleh kerajaan pusat memberi bantuan kepada rakyat yang terkesan dengan memberi bantuan bakul makanan dengan segera.
Pengerusinya, Jamil Yaakub berkata, wakil rakyat yang dipilih segera turun padang ke akar umbi untuk melihat kesukaran golongan yang terkesan kerana memerlukan bantuan bekalan makanan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlarutan melebihi sebulan.
Pengerusi Kome Cakna, Jamil Yaakub mahu wakil rakyat segera santuni rakyat yang terkesan.
“Kebanyakan yang terkesan adalah golongan yang bekerja dengan mendapat upah harian, peniaga kecil-kecilan serta ada yang telah diberhentikan kerja oleh majikan masing-masing.
“Dengan situasi yang sedang berlaku, ada yang mengadu tiada bekalan makanan atau terputus bekalan di rumah kerana tiada pendapatan untuk membeli barang keperluan,” katanya.
Katanya, diharap wakil rakyat sentiasa menyantuni dan membuka ruang untuk rakyat sekitar kawasan parlimen masing-masing untuk mengadu masalah mereka.
“Dengan bajet yang diluluskan oleh kerajaan pusat, ahli parlimen boleh membeli barangan keperluan untuk diagihkan kepada yang sangat memerlukan.
“Bantuan itu diharapkan diberikan kepada orang ramai tanpa memikirkan fahaman politik, kaum dan agama untuk disalurkan kepada yang terkesan semasa darurat pandemik ini,” katanya.
Katanya, terdapat beberapa kumpulan anggota masyarakat yang berkongsi sesama sendiri mengumpul dana untuk membeli barang keperluan dan dihantar ke rumah yang sudah terputus bekalan.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PENDUDUK MUKIM HULU TEMBELING SAMBUT BAIK PEMBINAAN ( Foto atas- Sebahagian jalan yang sudah siap dibina)
JERANTUT : Penduduk di kawasan Mukim Hulu Tembeling menyambut baik dan bersyukur dengan pengumuman yang dibuat oleh Menteri Besar Pahang projek pembinaan jalan dari Kampung Mat Daling ke Kampung Raja, Dungun, Terengganu yang bakal direalisasikan.
Tiga kampung itu, Kampung Bantal, Kampung Gusai dan Kampung Mat Daling yang berpenduduk seramai kira-kira 3,000 orang bakal mengecapi kemudahan jalan raya serta memberi peluang daripada sudut ekonomi dan sosial.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Kampung Mat Daling, Wan Mohd Suhaimi Wan Ishak (60) berkata, penduduk di Mukim Hulu Tembeling seluas kira-kira 420,000 hektar turut meliputi Taman Negara sudah lama menunggu prasarana seperti itu.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Kampung Mat Daling, Wan Mohd Suhaimi Wan Ishak
“Memang kami menunggu lama prasarana ini, selain meningkatkan ekonomi dengan menjual hasil tanaman kami ke Jerantut, masih boleh dipasarkan ke Kampung Raja, Hulu Terengganu yang jarak sejauh kira-kira 52 kilometer (km) berbanding ke bandar Jerantut lebih 100 km.
“Selain itu, kami boleh merapatkan tali persaudaraan kami yang berada di Kampung Raja, Kampung Batu dan beberapa buah kampung lagi, walaupun dekat tetapi jauh,” katanya.
Terdapat kubu Mat Kilau di Kampung Raja, antara sebahagian laluan Mat Kilau.
Katanya, projek jalan antara Kampung Tuit ke Kampung Pagi sudah disiapkan, malah jalan ke Kampung Kuala Sat turut boleh digunakan termasuk jalan ke Kampung Bantal.
“Hanya pembinaan sambungan dari Persimpangan Kampung Bantal ke Kampung Raja yang dianggarkan sejauh 52 km. Ini turut memberi kemudahan orang ramai dari arah Jerantut ke Terengganu melalui jalan ini,” katanya.
Pengerusi JKKK Kampung Bantal, Hamdan Ali (50) berkata, sangat gembira kerana menunggu begitu lama pembinaan projek jalan seperti itu selain dapat menghubungkan hubungan adik-beradik di sebelah Kampung Raja.
Pengerusi JKKK Kampung Bantal, Hamdan Ali
“Emak saya orang Kg Raja, bapa orang Kg Bantal, kami pernah berjalan kaki sekeluarga menziarah keluarga di sana mengambil masa 4 malam, berhenti berkelah, berkhemah dan memasak semasa dalam perjalanan dan menempuh laluan berbukit dan lurah serta menikmati pemandangan sungai yang cantik.
“Saya masih ingat, kami singgah di Bukit Mandi Angin, tempat persinggahan orang berehat di kawasan sempadan negeri ketika saya berusia 18 tahun… kalau tak silap pada tahun 1988,” katanya.
Peta Jerantut dan Dungun, laluan Kg Mat Daling -Kg Raja yang bakal dibina
Katanya, sudut ekonomi bakal memberi tempias kepada penduduk di Mukim Hulu Tembeling serta nilai hartanah akan melonjak naik, serta besar kemungkinan pelaburan dari sudut pembinaan resort bagi penggemar untuk menikmati alam sekitar dalam perjalanan ke Kg Raja.
“Selain itu, setelah melihat pelan jajaran jalan yang bakal dibina, pembinaan jalan itu jauh daripada sungai bagi mengelakkan pencemaran sungai dan alam sekitar,” katanya.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata , projek Jalan Hulu Tembeling – Pasir Raja yang yang tertangguh sejak beberapa tahun lalu, kini di peringkat perolehan sebelum dikemukakan kepada Kementerian Kewangan.
“Status pelaksanaan jalan luar bandar dari Kampung Mat Daling, Jerantut ke Kampung Pasir Raja di Dungun, Terengganu sepanjang 52.55 kilometer itu dimaklumkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang pada Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK).
“Jalan itu sebahagian daripada projek sambungan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) melibatkan laluan dua lorong (single carriageway) dengan lebar 6.5 meter dan berturap serta melibatkan pembinaan 12 buah jambatan,” katanya baru-baru ini.
Wan Rosdy berharap pembinaan jalan itu dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan untuk manfaat rakyat.-Sahih.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
‘HADIAH’ TERAKHIR BUAT JENAZAH COVID-19 DARIPADA PENGGALI KUBUR
PUTRAJAYA: “Bacaan Al-Fatihah serta doa menjadi ‘hadiah’ terakhir daripada kami buat jenazah pesakit Covid-19. Hanya itu sahajalah yang sentiasa dibaca di dalam hati ketika mengusung jenazah sehingga menurunkannya ke liang lahad,” demikian kongsi seorang penggali kubur, Yazrul Ekhzan.
Menurut kakitangan Unit Kecil Perkuburan dan Krematorium Perbadanan Putrajaya (PPj) berusia 42 tahun itu, tugas mengurus jenazah pesakit Covid-19 menjadi ‘terlalu sunyi’ apabila tiada waris dibenarkan berada di tanah perkuburan untuk bersama-sama mengiringi perjalanan terakhir si mati.
Petugas KKM menyempurnakan jenazah ke liang lahat-Foto Media Sosial.
“Memang rasa ralat apabila lihat waris mangsa Covid-19 tidak dapat menyentuh, menatap, mencium jenazah, buat kali terakhir. Ada ahli keluarga datang mengiringi van jenazah tetapi tidak boleh datang dekat ke kawasan perkuburan kerana prosedur operasi standard (SOP) dalam membendung risiko jangkitan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Walaupun berat tugas yang dipikul, selain kurang diambil perhatian masyarakat, namun ia sedikit pun tidak mematahkan semangat Yazrul bersama enam lagi rakan sekerja yang menjalankan tugas sebagai penggali kubur.
Mengakui sebelum menerima suntikan vaksin sebelum ini, timbul juga rasa bimbang ketika mengurus jenazah pesakit Covid-19, namun terpaksa membuang perasaan itu demi tanggungjawab yang diamanahkan.
Sebaik menerima tugasan yang diamanahkan, beliau bersama enam rakan lain akan terus ke tanah perkuburan untuk kerja penggalian bagi membolehkan jenazah diuruskan dengan segera bagi mengelakkan risiko penularan virus.
“Kerja berpasukan amat penting, terutama dalam memberi sokongan mental kerana kami terpaksa menghadapi cuaca yang tidak menentu, terutamanya ketika panas terik atau hujan yang terlalu lebat.
“Namun dalam apa jua keadaan, semuanya harus diuruskan dengan pantas kerana kita tidak boleh terlalu lama dengan jenazah. Apa yang boleh kami lakukan ketika itu adalah sentiasa berdoa semoga urusan jenazah dapat dipermudahkan dan dikebumikan segera,” katanya.
Melihat situasi pandemik yang masih lagi kritikal dengan kes kematian yang tinggi menyebabkan beliau sedih apabila ada segelintir masyarakat masih tidak nampak bahaya Covid-19, seterusnya mengambil mudah penularan wabak dengan tidak mematuhi SOP yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).
Beliau berkata, hanya mereka yang kehilangan ahli keluarga atau orang yang disayangi akan sedar bahawa semua ini adalah benar dan sekiranya masyarakat masih mengambil mudah, tidak mustahil mungkin suatu hari nanti sama ada kita atau keluarga pula yang akan melalui situasi sama.
Perjalanan terakhir yang ‘sunyi’ kerana tiada waris mengiring sehingga ke kuburan.-Foto Media Sosial
Sementara itu rakan setugas Yazrul, Zulkhurnain Abu Samah, 50, pula menyifatkan kerja penggali kubur walaupun bukan seperti petugas barisan hadapan lain yang menyelamatkan nyawa atau menjaga keselamatan awam tetap memainkan peranan penting, terutamanya ketika perang pandemik Covid-19 yang belum berakhir.
“Ini adalah amanah dan kita perlu melaksanakannya dengan penuh dedikasi walaupun susah. Semasa Covid-19 mula-mula melanda negara, memang (kami) khuatir untuk mengurus jenazah kerana ketika itu tidak banyak maklumat mengenai penyebaran virus, sifat virus dan tahap bahayanya.
“Apabila kes harian semakin tinggi dan angka kematian juga meningkat, kami perlu menghadapi tugas dan situasi ini dengan reda,” katanya.
Seorang lagi rakan setugas mereka Mohd Rizal Othman, 41, turut senada dengan sahabatnya bahawa tugas mereka sentiasa terdedah kepada risiko, namun amanah tersebut perlu dilaksanakan dengan baik dalam apa situasi sekali pun.
“Alhamdulillah…Sehingga hari ini, kami tujuh sahabat selamat dan tiada siapa pun yang dijangkiti atau dikuarantin kerana Covid-19. Ini kerana (berkat) doa yang tidak pernah putus supaya segala urusan dipermudahkan.
“Selain itu, sebagai pelindung, kami sentiasa memastikan SOP pengurusan jenazah dan pengebumian yang diberikan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya dipatuhi, terutamanya membabitkan tunjuk ajar dalam pemakaian PPE yang betul, selain memantau kerja kami agar semuanya selamat,” katanya.
Walaupun kadang kala merasa tertekan dengan tugas yang memenatkan, namun beliau dan rakan-rakan tidak pernah berputus asa dan yakin penularan wabak ini akan berakhir sekiranya seluruh masyarakat bekerjasama dengan mematuhi SOP yang ditetapkan serta mengikut nasihat KKM.-BERNAMA
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
TERTEKAN TIADA KERJA SEMASA PKP, LELAKI KURUNG ISTERI DAN ANAK DALAM RUMAH
SEREMBAN, N9: Sepasukan anggota bomba terpaksa bertindak memotong kunci mangga dan mengumpil pintu sebuah rumah bagi menyelamatkan seorang wanita serta dua anaknya yang dikurung suaminya yang dipercayai mengalami tekanan perasaan.
Pegawai Operasi Balai Bomba Senawang, Zainurin Sarip berkata, pihaknya menerima panggilan aduan pada pukul 8.51 malam semalam dan tiba di lokasi kejadian iaitu di Taman Nusa Intan dekat sini, sembilan minit kemudian.
“Kami mendapat laporan seorang lelaki bertindak mengunci pagar, grill dan pintu belakang rumahnya dari dalam kerana tertekan tidak mempunyai pekerjaan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Kami pada mulanya cuba memujuk lelaki itu tetapi selepas lebih kurang 15 minit dan melihat dia tidak mahu beralah, kami mula mengumpil pintu pagar dan grill rumah berkenaan. Kami terpaksa memotong kunci mangga pintu rumah berkenaan disebabkan lelaki itu mendakwa tidak tahu di mana dia meletakkan kunci tersebut,” katanya hari ini, lapor KOSMO online
Menurut Zainurin, anggotanya juga dimaklumkan, wanita itu ada mengadu kepada jirannya tentang kejadian tersebut sebelum suaminya itu mengalami tekanan lebih teruk dan abang kandungnya terpaksa datang dari Mambau, dekat sini untuk memujuk.
“Kami menyelamatkan wanita itu dan anak-anaknya yang berusia empat bulan dan lebih setahun. Mereka diantar ke rumah jiran terdekat. Kami dimaklumkan kesemuanya tidak makan sejak pagi.
“Tiada sebarang kecederaan yang berlaku ketika kejadian dan lelaki itu diserahkan kepada polis,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Kota Bharu: Bau busuk di tingkat satu sebuah bangunan di Jalan Tengku Chik, di sini membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki warga emas.
Lelaki berusia 67 tahun itu ditemui orang awam kira-kira 6 petang semalam dalam keadaan terbaring dan tidak berpakaian lengkap.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, berdasarkan keadaan mayat yang sudah berbau dan sedikit berulat, pihaknya menganggarkan kematiannya sudah hampir seminggu.
“Mayatnya ditemui orang awam yang memasuki bangunan itu untuk proses baik pulih. Mangsa terbaring di tangga dan dompet padanya mempunyai dokumen pengenalan diri dan sedikit wang,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini, lapor HM online.
Abdul Rahim berkata, siasatan awal dibuat berdasarkan kad pengenalan yang ditemui pada mangsa, mendapati dia pernah dilapor hilang pada 13 Jun lalu dengan laporan oleh anaknya yang mendakwa kali terakhir melihat bapanya pada Mei lalu.
“Dalam laporan itu, pengadu memberitahu dia menghantar bapanya ke Pasar Siti Khadijah kerana mangsa ingin bertemu seseorang dan selepas itu terus menghilang,” katanya yang memberitahu mayat dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini untuk bedah siasat.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Sejarah Penubuhan Negara Haram Israel Pengumuman Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump untuk mengiktiraf Baitulmaqdis atau Jerusalem sebagai ibu negara Israel dilihat seolah-seolah menghina rakyat Palestin dan masyarakat Islam seluruh dunia.
Israel itu sendiri merupakan sebuah negara haram. Pembentukannya menindas rakyat Palestin selama beberapa dekad sehingga sekarang.
Tahukah anda, sebelum perpindahan kaum Yahudi beramai-ramai ke Palestin, rakyat negara tersebut hidup aman damai dan normal seperti kita walaupun dihuni oleh mereka yang berbilang agama dan bangsa? Adakah kita sedar bagaimana Palestin yang dahulunya aman damai boleh berubah sekelip mata menjadi tanah jajahan Israel?
Bermulanya Idea Perpindahan Kaum Yahudi Dari Eropah ke Palestin Pelan yang serius bagi menubuhkan sebuah negara Yahudi pertama kali dilontarkan di Persidangan Bale di Switzerland pada tahun 1897. Persidangan yang diadakan pada tahun tersebut turut dikenali sebagai First Zionist Congress, dengan kehadiran orang kuat Yahudi berfahaman Zionist seperti Theodor Herzl (Bapa Politik Moden Zionisma) dan Abraham Salz.
Kebanyakan mereka yang hadir merupakan bijak pandai Yahudi daripada pelbagai negara di sekitar Eropah yang inginkan tanah air sendiri. Persidangan ini dianggap berjaya bagi mereka kerana berjaya mencapai kata sepakat bagi penubuhan sebuah negara Yahudi di Palestin.
Hasil persidangan ini, kumpulan gerakan Yahudi dilihat menjadi lebih aktif dalam mencapai objektif mereka. Sultan Abdul Hameed, yang merupakan khalifah terakhir bagi kerajaan Turki Uthmaniyah berasa menjadi tanggungjawab baginda untuk mempertahankan Palestin, kerana wilayah tersebut di bawah naungan kerajaan Turki.
Pada tahun 1900, baginda telah mengeluarkan perintah bahawa jemaah pilgrim Yahudi tidak dibenarkan untuk tinggal lebih dari 3 bulan di Palestin. Sultan Abdul Hameed sangat mengetahui rancangan jahat kaum Yahudi tersebut.
Kaum Yahudi merupakan kaum yang licik. Pelan bagi penubuhan negara Israel telah lama wujud, lebih awal dari Persidangan Bale. Mereka mula mendekati baginda pada tahun 1882 melalui Friends of Zion bagi memohon penempatan di Palestin.
Baginda kemudiannya memberi respons dengan mengeluarkan perintah bahawa semua kaum Yahudi yang ingin berpindah ke Turki tidak dibenarkan untuk tinggal di Palestin.
Walaupun kaum Yahudi berang dengan perintah tersebut, mereka mula menghantar delegasi demi delegasi bagi terus memujuk Sultan Abdul Hameed untuk mengubah keputusan baginda. Namun, respons yang diterima adalah lebih teruk daripada sebelumnya.
Pada tahun 1901, baginda meluluskan undang-undang bagi menghalang penjualan tanah di Palestin kepada mana-mana Yahudi. Tahun berikutnya, Theodor Herzl membentuk sebuah lagi delegasi baharu bagi menyakinkan baginda berkenaan penempatan Yahudi di Palestin. Ini merupakan percubaan kedua baginda selepas percubaan pertama pada tahun 1896.
Delegasi yang dihantar pada tahun 1902 gagal kerana Sultan enggan bertemu mereka. Jadi, delegasi ini bertemu dengan Perdana Menteri Tahsin Baba dengan cadangan mereka tersebut.
Kaum Yahudi sangat pandai dalam manipulasi kerana mereka bijak dalam ekonomi dan kaya dengan wang ringgit. Mereka membuat tawaran untuk membayar semua hutang kerajaan Turki Uthmaniyah sebanyak £23 million, dan membantu membina armada perang dengan kos yang sangat tinggi.
Mereka turut menawarkan loan tanpa bunga sebanyak ₺35 million bagi memulihkan ekonomi dan perbendaharaan negara.
Semua tawaran ini dibuat bertujuan bagi mendapatkan kebenaran Sultan untuk membenarkan kaum Yahudi menubuhkan sebuah negara Yahudi di Palestin. Sekiranya baginda menerima tawaran tersebut, ini bermakna baginda menjual maruah dan seluruh kehidupan rakyat Palestin serta tanah suci itu sendiri kepada mereka.
Seorang Sultan yang berani dan tidak mudah kalah dengan hasutan dunia, baginda menolak semua tawaran tersebut.
Perang Dunia Pertama & Kejatuhan Kerajaan Turki Uthmaniyah Selepas kekalahan kerajaan Turki Uthmaniyah dalam Perang Dunia Pertama, British dan Perancis telah menandatangani Perjanjian Sykes-Picot, di mana tanah arab dibahagikan mengikut zon pengaruh kuasa-kuasa besar dunia.
Menurut perjanjian ini, Palestin diletakkan di bawah bidang kuasa British. British memainkan peranan penting dalam perpindahan kaum Yahudi dari Eropah ke Palestin, yang berlaku secara berperingkat.
Migrasi ini turut mendapat sokongan negara-negara Eropah yang lain terutamanya ketika berlakunya Perang Dunia Kedua. Negara-negara tersebut kesian akan kaum Yahudi yang ditindas dan diseksa oleh Adolf Hitler. Hitler melakukan kekejaman Holocaust terhadap mereka tanpa sebarang belas kasihan.
Deklarasi Balfour Suatu Pengkhianatan British Pada tahun 1917, kerajaan British berjanji kepada pemimpin-pemimpin Arab untuk memberikan kemerdekaan kepada negara-negara Arab termasuklah negara Palestin melalui surat-surat yang dikenali sebagai The McMahon-Hussein Correspondence.
Pada masa yang sama, British secara rahsia turut menandatangani Deklarasi Balfour yang menjanjikan tanah Palestin sebagai tanah air kepada kaum Yahudi. Ketika itu, kaum Yahudi hanya meliputi 8% populasi keseluruhan Palestin, dan mereka hanya memiliki 2.5% tanah di tanah suci tersebut.
Tahun berikutnya, British bersama dengan nasionalis Arab bergabung menjatuhkan kerajaan Turki Uthmaniyah. Mereka berjaya memecahbelahkan Empayar Uthmaniyah dan akhirnya menjajah Palestin secara total.
Tanpa perlindungan kerajaan Turki, Palestin menjadi lemah. kerajaan British kemudiannya dengan serta merta memulakan kempen bagi perpindahan kaum Yahudi di Eropah ke Palestin.
Perpindahan secara beransur-ansur bangsa ini menyebabkan populasi mereka di Palestin meningkat. Sehingga tahun 1947, jumlah populasi Yahudi di Palestin mencecah lebih kurang 650,000 orang, bersamaan 31% keseluruhan penduduk.
Mereka mula menubuhkan organisasi-organisasi pertahanan dan keganasan, dengan latihan dalam keganasan terancang. Kebanyakan kaum Yahudi yang menyertai organisasi ini adalah terlatih, dan mereka menyertai Perang Dunia Kedua bagi mendapatkan pengalaman serta skil bagi pertempuran seterusnya dengan Palestin dan tanah Arab yang lain.
Apabila Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengarahkan pembahagian tanah Palestin melalui United Nations Partition Plan for Palestine pada tahun 1947, kaum Yahudi telah stabil dari segi ketenteraan dan mempunyai 75,000 tentera bersenjata yang terlatih.
Keganasan Negara Haram Israel di Bawah Zionist Pada tahun 1948, kaum Yahudi secara rasmi menuntut penubuhan sebuah negara untuk kaum mereka di tanah Palestin dan menamakan negara tersebut sebagai Israel.
Beratus ribu masyarakat Muslim di Palestin dihalau keluar dari negara sendiri atas desakan keselamatan oleh tentera-tentera Yahudi. Tentera-tentera ini adalah yang terlatih oleh organisasi keganasan seperti Irgun, Levi dan Haganot. Organisasi-organisasi ini mendapat sumber kewangan dan senjata dari tentera British serta Amerika Syarikat.
Pada tahun 1967, Israel telah menyerang Mesir, Jordan dan Syria, serta menjajah tanah Palestin yang lain termasuklah kawasan Masjid Al-Aqsa buat pertama kalinya.
Sejak dari itu, Masjid Al-Aqsa sering kali menjadi target ancaman oleh Israel untuk dihancurkan, termasuklah usaha untuk meruntuhkan masjid ini melalui penggalian bawah tanah. Penjajahan Israel ke atas bumi Palestin memberi tekanan kepada rakyat Palestin dan ke satu tahap mereka tidak lagi dapat menerimanya.
Pemberontakan Rakyat Palestin – Intifada Pertama & Kedua Pada 8 Disember 1987, rakyat Palestin memulakan pemberontakan (Intifada Pertama) di West Bank dan semenanjung Gaza terhadap penjajahan kaum Yahudi. Pemberontakan ini berlangsung selama hampir 6 tahun, dengan jumlah syahid rakyat Palestin seramai lebih kurang 2000 orang.
Pada 28 September 2000, Perdana Menteri Israel iaitu Ariel Sharon telah memasuki Masjid Al-Aqsa bersama 3000 orang tentera. Tindakan provokasi ini dilihat seolah-olah menghina rakyat Palestin dan menjatuhkan maruah mereka.
Rakyat Palestin bertindak balas dengan melakukan bantahan. Dari situ, bermulalah Intifada Kedua. Intifada kali ini berlangsung selama lebih kurang 4.5 tahun yang mengakibatkan syahid seramai lebih kurang 3400 orang rakyat Palestin. Akibat daripada Intifada Kedua, Israel telah membina dinding pembahagi di West Bank.
Adakah pengumuman Donald Trump untuk mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel baru-baru ini akan menjadi penyebab berlakunya Intifada Ketiga?
Kesimpulan Israel sudah sekian lama mengimpikan tanah Palestin untuk dijadikan negara mereka kerana kepentingan dari segi sejarah kaum mereka, yang berbalik kepada Nabi Musa A.S, Nabi Daud A.S. dan Nabi Sulaiman A.S..
Dengan bantuan kuasa-kuasa besar dunia, mereka semakin hampir untuk mencapai cita-cita mereka. Namun, sebagai umat Islam, wajib bagi kita untuk mempertahankan tanah Palestin, Masjid Al-Aqsa dan darah saudara seagama kita di sana.
Jika kita tidak mampu untuk berperang bersama mereka di sana, sekurang-kurangnya apa yang kita boleh lakukan adalah dengan memboikot secara konsisten semua produk Israel atau mana-mana produk yang menyumbang kepada kententeraan negara haram Israel.
Sedangkan mereka yang non-muslim pun turut menuntut hak rakyat Palestin ditegakkan, apakah alasan kita sebagai umat Islam untuk tidak turut bersama membantu mereka yang seagama dengan kita?
Bayangkan kita dalam situasi mereka, tidakkah kita mengharapkan saudara seagama kita untuk turut memberi sokongan kepada kita? Adakah kita sanggup melihat anak-anak Palestin merana tanpa peluang untuk membesar dewasa seperti anak-anak kita di Malaysia?
Sekurang-kurangnya marilah kita bersama-sama menunaikan solat hajat mendoakan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Palestin.-sumber FB
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BAHAGIAN SATU: PRESIDEN TURKI PERTAMA, MUSTAFA KEMAL ATATURK
Mustafa oglu Ali Riza atau Mustafa bin Ali Reza yang dikenali Mustafa Kemal Atatürk dilahirkan pada 19 Mei 1881 dan meninggal pada 10 November 1938, adalah pengasas Republik Turki. Beliau merupakan pegawai tentera, pemimpin revolusi, negarawan dan Presiden Turki yang pertama.
Mustafa Kemal Artaturk
Beliau adalah komander tentera yang berjaya dan berkhidmat sebagai panglima tentera semasa Pertempuran Gallipoli iaitu ketika Perang Dunia I. Angkatan tentera pimpinan beliau berjaya merampas kembali wilayah Anatolia dan Palestin.
Ketika itu Empayar Ottoman atau Uthmaniyah sedang dikoyak-koyak oleh Tentera Bersekutu. Mujurlah Mustafa Kemal telah memimpin pergerakan kebangsaan Turki menghadapi Perang Kemerdekaan Turki.
Beliau telah memindahkan ibu negara Turki dari Istanbul ke Angora yang kini dikenali sebagai Ankara.
Mustafa Kemal telah membentuk semula aspek kehidupan rakyat Turki agar sesuai dengan tuntutan semasa yang kemudian dipangil ideologi Kemalist. Ideologi ini bertujuan menyediakan Turki ke arah negara moden, demokratik dan negara sekular, positif dan bertindak rasional.
Beliau memerintah dari tahun 1918 hingga 1934. Mustafa adalah seorang negarawan yang berkebolehan dalam bidang politik. Memperkenalkan sistem politik sekularisme, beliau ‘berjaya’ meruntuhkan empayar Turki Uthmaniyyah.
Mustafa Kamal Ataturk meninggal dunia pada tahun 1938 dan telah dikebumikan di sebuah makam di Ankara iaitu ibu negara Turki.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KOTA SAMARAHAN: Seorang pembantu kedai meninggal dunia selepas merempuh belakang sebuah lori yang ditinggalkan di tepi jalan raya di Jalan Ensenggei, di sini malam Jumaat.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkusaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata manga dikenali sebagai Muhammad Nazri Mahli,22, dan berasal dari Kampung Lubuk Buntin, Simunjan.
Menurutnya, mangsa semasa kejadian menunggang sebuah motosikal dari arah Kota Samarahan menuju ke Simunjan iaitu sekitar jam 7.47 malam.
“Mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah apabila melanggar sebuah lori yang ditinggalkan tanpa dijaga di tepi jalan raya tersebut dipercayai rosak.
“Impak kemalangan menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan selanjutnya.
Siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Siasatan di tempat kejadian mendapati cuaca adalah baik dan keadaan jalan gelap kerana tiada lampu jalan, lapor Sarawak Post.
“Kita juga sekarang sedang berusaha mengesan pemandu lori,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Pasir Mas: “Mereka sangat istimewa dan anugerah terindah dari Allah buat saya,” kata Suzita Zakaria berhubung empat daripada tujuh anaknya yang dilahirkan dengan penyakit Hidradenitis Suppurativa atau albino.
Suzita, 37, berkata, selain dilahirkan dengan penyakit albino, empat anaknya itu Muhammad Adam Harris,7, Muhammad Azim Hafiz, 6 dan pasangan kembar, Muhammad Aiman Haziq, 4 serta Muhammad Amirul Haziq, 4, mereka mempunyai masalah penglihatan iaitu silau yang menyebabkan mereka tergolong dalam kategori Orang Kurang Upaya (OKU).
Bercerita lanjut, Suzita yang menetap di Kampung Jejuluk, di sini mengakui terkejut selepas melahirkan anak keempat kerana pertama kali mendapat zuriat yang menghidap penyakit albino.
Bagaimanapun, Suzita berkata, doktor ada memberitahu kemungkinan dia mendapat zuriat dengan penyakit sama jika hamil anak kelima dan seterusnya, menyebabkan dia lebih bersiap sedia.
“Anak pertama hingga ketiga saya normal dan disebabkan itu terkejut apabila yang keempat (Muhammad Adam Harris) menghidap albino.
“Saya ada lakukan ujian imbasan dalam tempoh kehamilan tetapi doktor hanya dapat mengesan jantina, bukan penyakit berkenaan.
“Jadi, saya hanya tahu mengenainya selepas melahirkan mereka namun terima ketentuan itu dengan reda,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menurut Suzita, memang ada individu sekeliling yang hairan apabila melihat empat anaknya itu hingga membuat andaian mereka menghidap penyakit kronik seperti leukemia dan tidak cukup darah.
Bagaimanapun, Suzita bersyukur kerana keempat-empat anaknya itu sihat dan bebas daripada penyakit kronik.
“Biasalah, ada orang akan memandang pelik malah tiga anak saya yang normal juga ada bertanya pada peringkat awal dulu kerana menyangka adik mereka sakit.
“Sebagai ibu, saya cuba terangkan kepada anak-anak dan Alhamdulillah, mereka dapat menerima adik mereka dengan baik.
“Sejak bayi lagi anak-anak sudah didedahkan dengan matahari walaupun kulitnya begitu dan mereka sihat, tiada penyakit atau sebarang alahan kecuali masalah silau.
“Mereka perlu gunakan cermin mata. Saya dan suami pula harus membawa empat anak kami itu bertemu pakar mata sekurang-kurangnya tiga kali dalam setahun untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.
Menurut Suzita, dia tidak sangka kisah empat anaknya itu mendapat perhatian netizen selepas sepupunya, Muhammad Faisal Muhammad Yusoff, 18, memuat naik video di TikTok.
“Saya dan suami terkejut apabila dapat tahu kisah anak tular kerana tiada niat ke arah itu (tular).
“Bagaimanapun, saya bersyukur dan anggap ia rezeki buat anak istimewa jadi dikenali dalam sekelip mata,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Faisal berkata, dia memang rapat dengan anak kepada sepupunya itu sejak mereka kecil lagi.
“Mereka tinggal di sebelah rumah saya jadi kami kerap bertemu satu sama lain. Mereka memanggil saya dengan gelaran Pok Sa dan ikutkan saya pernah kongsi kisah mereka di TikTok sebelum ini.
“Cuma, video baru-baru ini meraih tontonan jauh lebih tinggi hingga membuatkan lebih ramai netizen mahu tahu lebih lanjut mengenai kisah empat beradik itu,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Sungai Buloh: Tertekan diberhentikan kerja dan dihalau dari rumah sewa, seorang wanita cuba terjun dari tingkat 32 sebuah kondominium di sini, semalam.
Bagaimanapun, tindakan pantas anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berjaya memujuk dan menyelamatkan mangsa.
Pengarah JBPM Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian terbabit pada jam 7.52 malam.
“Seramai 19 anggota dengan satu jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan lokasi kejadian.
“Setiba di lokasi terdapat seorang wanita berada di tepi bangunan di tingkat 32 kondominium berkenaan dan cuba untuk membunuh diri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, pasukan penyelamat membuat persiapan dengan memasang tali keselamatan dan memujuk wanita terbabit ke tempat selamat.
“Mangsa didapati mengalami masalah peribadi kerana kehilangan kerja dan dihalau dari rumah sewa, lapor HM online.
“Wanita terbabit diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!