Jumpa perahu lama milik pedagang di tebing Sungai Ketil
Baling: Sebuah perahu lama dipercayai digunakan pedagang zaman dahulu ditemui penduduk di tebing Sungai Ketil berdekatan Kampung Lela, Kuala Pegang, dua hari lalu.
Penduduk mendakwa air Sungai Ketil semakin cetek akibat kemarau panjang menyebabkan perahu itu timbul di tepi tebing.
Seorang penduduk, Mohd Azhar Ismail, 46, berkata perahu perahu sepanjang sembilan meter itu masih dalam keadaan baik dan kayunya masih kukuh.
“Perahu itu dalam keadaan baik kerana strukturnya masih kukuh dan dipercayai diukir oleh pedagang dahulu menggunakan kayu dari jenis yang tahan lama.
“Perahu itu dipercayai digunakan oleh pedagang terdahulu melalui Sungai Ketil untuk berdagang,” katanya.
Mohd Azhar berkata, perahu itu dipercayai berusia 100 tahun malah strukturnya masih dalam keadaan baik.
“Saya meminta orang kampung menarik keluar dan mencuci perahu itu supaya bersih dan dalam keadaan baik.
“Saya juga telah menghubungi Jabatan Muzium Malaysia mengenai penemuan perahu lama itu,” katanya.
Gambar: media sosial
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Bertemu semula selepas 30 tahun meninggalkan kampung
Foto atas : Ahli ABS bergambar bersama-sama jemaah Surau Tengah Sempang Tanjung, Melaka selepas mengadakan program reunion serta bacaan yasin, tahlil, doa selamat dan solat hajat.
MELAKA – Kumpulan sahabat Aku Budak Sempang (ABS) dari Melaka yang berjaya mengadakan perjumpaan (reunion) selepas hampir 30 tahun meninggalkan kampung halaman.
Bertemu semula rakan-rakan pada alam persekolahan pasti menjadi kenangan indah, apa tidaknya, berkumpul sehari semalam belum tentu ‘selesai’ bercerita kisah-kisah silam yang dilalui bersama,
Selepas sekian lama tertangguh beberapa kali berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pandemik Covid-19 akhirnya hasrat mengadakan program silaturahim pertemuan semula ABS berjaya diadakan pada awal Januari 2022 lalu.
Suasana sedih dan sayu menyelubungi kira-kira 20 ahli ABS apabila lebih 30 tahun meninggalkan kampung halaman untuk berkelana mencari rezeki di perantauan kembali bersatu dan bertemu sahabat sepermainan.
Aku Budak Sempang berswafoto di tepi sawah selepas bertemu dalam program reunion yang diadakan pada awal Januari 2022 lalu.
Walaupun seketika dalam reunion yang julung kali diadakan di Surau Tengah Sempang Tanjung Kling, Melaka, meninggalkan kenangan manis yang dapat dikongsi bersama.
Pengerusi ABS, Johar Mohd Alwi berkata, program itu sudah dirancang begitu lama namun terpaksa ditangguhkan beberapa kali akibat PKP, tetapi disebabkan keinginan untuk bertemu dengan sahabat sekampung usaha berkenaan tetap diteruskan.
Katanya, ABS terdiri daripada anak-anak Sempang Tanjung Kling, Melaka yang dilahirkan sekitar tahun 60-an dan semua rakan sepermainan yang bergaduh, berkelahi, berdamai semula serta pergi ke sekolah rendah bersama-sama dan meninggalkan banyak kenangan indah.
“Apabila balik ke kampung bersama-sama keluarga, kami tidak berkesempatan untuk bertemu serta berborak hanya sekadar menyapa di jalanan kerana masa terhad untuk menziarah ibu bapa serta sanak-saudara terdekat.
“Bagaimanapun dengan kerjasama dan semangat yang tinggi daripada ahli ABS akhirnya program ini berjaya dilaksanakan, menjadi syahdu apabila mereka yang berada jauh di perantauan sanggup pulang ke kampung bagi memenuhi hajat yang tertangguh,” katanya.
Johar menambah, paling manis apabila Md Nor Hamid berusia 84 tahun merupakan anak jati Sempang Tanjung Keling kini menetap di Liverpool sempat meluangkan masa untuk menghadiri program itu yang kebetulan pulang bercuti menziarah saudara mara.
Jelas beliau, sebagai memanfaatkan program berkenaan pelbagai pengisian yang dirancangkan berjaya dilaksanakan seperti menziarah rumah warga emas dan penduduk yang kurang berkemampuan.
Ahli ABS, Mahmod Mat Ali (kiri) bersama-sama Md Nor Hamid yang menetap di Liverpool turut hadir dalam program reunion berkenaan.
Menurutnya, 20 keluarga terpilih menerima sumbangan berbentuk barangan keperluan asas harian dan cenderahati daripada ABS di samping berjaya mengumpul dana untuk diinfak kepada pengurusan surau bagi pemasangan kubah sebagai mercu tanda.
“Pada sebelah malamnya, iman surau, Hashim Ahmad mengetuai solat berjemaah diikuti dengan bacaan yasin, tahlil, doa selamat dan solat hajat bersama-sama ahli ABS serta penduduk kampung,” katanya.
Seorang wakil ahli ABS, Rashid Ahmad, berkata program itu amat bermakna kepada mereka semua kerana dapat mengeratkan hubungan persaudaraan serta persahabatan yang terbina sejak kecil.
Selain dapat bersua muka dengan penduduk kampung yang sudah lama tidak bertemu serta bertanyakan khabar.
“Ada dalam kalangan kami ahli ABS sudah lebih 30 tahun tidak berjumpa kerana berkelana ke negeri lain demi melaksanakan tugas kerjaya yang diceburi dan masing-masing sayu menitis air mata mengenangkan kembali sejarah silam, saya berharap program reunion seperti ini dapat diadakan pada tahun berikutnya,” katanya. -SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT – Mengangkut lembu atau kerbau menggunakan perahu panjang di kawasan hulu Tembeling tidak asing lagi bagi penduduk di kawasan itu dan sudah menjadi lumrah disebabkan hidup dalam serba kesukaran mengajar mereka lebih kreatif.
Selain kreatif hidup dalam keadaan surivival seperti dalam kalangan masyarakat Melayu di Ulu Tembeling, Jerantut yang tinggal di pesisir Sungai Tembeling dan Sungai Gusai ketika melaksanakan kerja harian dan mencari rezeki.
Seorang warga emas yang juga seorang penternak menggunakan perahu kajang berenjin untuk memindahkan ternakannya dari dari Kampung Kucing dibawa pulang ke rumahnya, di Kampung Komel, Ulu Tembeling
Penduduk Kampung Komel, Ulu Tembeling, Abdul Rani Saidy, 62, mempunyai cara tersendiri untuk memunggah ternakan kerbaunya ke lokasi lain bagi tujuan peliharaan di kandang berdekatan dengan kediamannya.
Abdul Rani Saidy , bukan mudah cuma mampu dilakukan oleh orang tertentu sahaja yang mempunyai kemahiran menggunakan tali, teknik menarik termasuk memujuk haiwan ini perlu dikuasai bagi memudahkan naik ke atas perahu dan ditambat supaya ia tidak bergerak,” katanya.
“Saya terpaksa menggunakan perahu kajang dipasang enjin 40 kuasa kuda untuk membawa seekor kerbau betina dan dua anak yang sudah lama dipelihara di kandang Kampung Kucing.
“Jarak perjalanan darat yang agak jauh, iaitu enam kilometer dengan kampung ini memaksa saya mengangkut ternakan ini dengan perahu kajang lagipun kerbau ini berada di seberang Sungai Tembeling dan agak sukar menyeberang di kawasan sungai yang dalam dan arus deras walaupun haiwan ini mampu berenang,” katanya di Kampung Kucing, Ulu Tembeling dekat sini, baru-baru ini.
Katanya, dia cuma dibantu oleh seorang rakan untuk menghalau dan menarik ternakan itu ke atas perahu kajang miliknya yang terletak di tepi Sungai Tembeling.
Katanya, kerja menaikkan tiga ekor kerbau ini mengambil masa hampir satu jam kerana dua ekor anaknya agak liar dan lagipun tugas itu perlu dilakukan dengan cermat supaya tidak melibatkan kecederaan haiwan ini apaila ditarik dengan tali ke atas perahu kajang.
“Sebelum ada jalan raya menghubungkan bandar Jerantut ke kawasan hulu, membawa lembu atau kerbau menggunakan bot adalah pemandangan biasa bagi penduduk di sini, tetapi agak pelik bagi pengunjung luar yang melihatnya.
“Kerja menaikkan ternakan ini ke atas perahu kajang bukanlah mudah cuma mampu dilakukan oleh orang tertentu sahaja yang mempunyai kemahiran menggunakan tali, teknik menarik termasuk memujuk haiwan ini perlu dikuasai bagi memudahkan naik ke atas perahu dan ditambat supaya ia tidak bergerak,” katanya.
Katanya, lembu atau kerbau yang hidup bebas di luar kandang memang agak rumit dan merbahaya serta mengambil masa berhari-hari untuk dijinakkan sebelum boleh dinaikkan ke atas perahu kajang.
“Tiga ekor kerbau yang diangkut seberat kira-kira 300 kilogram sudahpun ditambat kaki pada tiang bumbung perahu juga berdepan sedikit cabaran ketika saya mengemudi bot meredah arus deras Sungai Tembeling, tetapi selamat sampai ke Kampung Komel kira-kira 30 minit perjalanan.
“Bagi masyarakat Ulu Tembeling kerja memindahkan atau mengangkut kerbau yang dibeli dari penduduk kampung lain selalunya ketika berlaku menjelang musim perayaan dan majlis perkahwinan, manakala ada juga untuk dimasukkan ke dalam kandang untuk peliharaan sendiri, ‘katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JPKK Jorak Elahi santun masyarakat sambut Tahun Baru Cina
BATU PAHAT – Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Jorak Elahi, Batu Pahat, Johor menyantuni keluarga kaum Cina yang menyambut Tahun Baharu Cina tahun ini.
Usaha itu sebagai merealisasikan aspirasi Keluarga Malaysia ke arah memupuk dan menyuburkan semangat perpaduan serta kesejahteraan hidup.
Pengerusinya, Hamidi Mad Tap, berkata bersama ahli jawatankuasa JPKK, mereka mengagihkan 52 bungkusan cenderahati dan limau kepada jiran tetangga kaum Cina di sekitar Kampung Parit Jorak Elahi untuk berkongsi kegembiraan serta menceriakan sambutan Tahun Baharu Cina.
Hamidi Mad Tap (2 dari kiri) bersama JPKK Jorak Elahi menyantuni penduduk kampung itu
Katanya, langkah itu dilaksanakan sebagai menyahut saranan pemimpin negara di samping menghargai semangat kerjasama dan sikap toleransi pelbagai kaum termasuk masyarakat Cina yang sekian lama menetap di kampung berkenaan.
“Dalam tempoh ini kami boleh hidup secara aman tanpa sebarang syak wasangka malah boleh bergotong-royong dalam aktiviti kemasyarakatan setiap kali dianjurkan dan pada kesempatan bertemu digunakan untuk mengeratkan hubungan perpaduan.
“Saya amat terharu apabila ada majlis keramaian seperti kenduri kahwin orang Melayu mereka yang berbangsa Cina umpamanya tidak segan untuk turut serta membantu apabila mengetahui perkara itu diadakan secara bergotong-royong,” katanya yang juga Ketua Kampung Parit Jorak Elahi.
Hamidi berkata, walaupun sumbangan itu tidak seberapa namun diharap dapat meringankan bebanan sesetengah keluarga kaum itu yang turut terkesan dengan pandemik Covid-19 serta bencana seperti banjir baru-baru ini.
Tambahnya, paling penting kegembiraan mereka menyambut Tahun Baharu Cina akan turut terasa kepada masyarakat lain yang berasa bangga apabila dapat berganding bahu dengan JPKK menghulurkan sumbangan menyediakan cenderahati dan limau itu.
“Sebagai ketua kampung saya amat berharap hubungan serta semangat perpaduan yang terjalin dengan baik selama ini dan menjadi contoh kepada penduduk di kampung sekitar untuk hidup dengan harmoni bersama-sama pelbagai kaum dan bangsa,” katanya. -SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT – Seramai 112 orang peserta telah menyertai Pulau Tawar Fun Ride Kayuhan 2022, sejauh 25 km dengan laluan utama dari Kompleks Galeri Mat Kilau ke Simpang Jengka 8 dan masuk ke jalan perkampungan tradisional Kampung Pulau Tawar.
Ahli Dewan Undangan Pulau Tawar, Datuk Nazri Ngah berkata, riadah seperti ini amat popular ketika ini dan dianggap mudah dan murah yang memberi kesan baik pada kesihatan.
Antara yang menyertai kayuhan Fun Ride itu, semalam
“Rakyat Malaysia dianggap mempunyai bilangan penduduk ‘tergemuk’ paling tinggi di Asia dan 33 peratus rakyatnya berlebihan berat badan dan 18 peratus mengalami obesiti.
“Mungkin belaku pandemik wabak Covid-19, bukan sahaja golongan wanita malah lelaki juga berkeluh-kesah di media sosial mengenai berat badan yang semakin bertambah, bukan setakat sekilogram, malah berkilo-kilogram,” katanya selepas melepaskan kumpulan kayuhan itu, semalam.
Turut hadir, Ahli parlimen Jerantut,Datuk Ahmad Nazlan Idris dan Pegawai Kesihatan Daerah Jerantut, Dr Amir Faisal Dato Mohd Khairi serta ketua jambatan yang lain.
Katanya, dipercayai pergerakan di rumah yang terhad, mudah mendapat makanan, kurang aktiviti fizikal selain terikut-ikut dengan selera anak yang sentiasa hendak makan, dijadikan antara alasan kenaikan saiz badan.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MB Pahang sumbang RM10,000 kepada rakyat Pahang yang koma di Korea Selatan
Foto atas: Datuk Nazri Ngah (tengah) menyampaikan sumbangan kepada kepada anak sulung mangsa, hari ini
JERANTUT – Seorang rakyat Malaysia yang sedang koma di Hospital Besar Hyosung, Cheongju, Korea Selatan, Kamarulzaman Mohamed Fauzi@Jazuli, 50, telah mendapat perhatian kerajaan negeri Pahang.
Kamarulzaman yang berasal dari Kampung Batu Balai, dekat sini telah bekerja di negara itu sejak Oktober 2019 dan telah melakukan pelbagai pekerjaan sebelum bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang tisu.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail telah meluluskan peruntukan sebanyak RM10,000 untuk membantu pesakit itu bagi meringankan bebanan membiayai kos perubatan dan rawatan di sana sejak minggu lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, Datuk Nazri Ngah berkata, kerajaan negeri Pahang di bawah pimpinan Menteri Besar sangat cakna dengan masalah rakyat negeri ini yang di dalam musibah.
Datuk Nazri Ngah, Menteri Besar dan rakyat Pahang mendoakan Kamarulzaman segera sembuh
“Kamarulzaman dikatakan telah pengsan di kediamannya di sana dan terus dihantar ke hospital di situ disebabkan pembuluh darah pecah selain terdapat darah beku di bahagian kepala.
“Oleh itu kira-kira RM11,000 diperlukan bagi menampung kos perubatan sehari ketika dirawat di hospital itu dan dapat dilangsaikan melalui hasil kutipan dana daripada rakan-rakan senegara yang turut bekerja di sana,” katanya.
Penyampaian sumbangan itu disempurnakan oleh Datuk Nazri yang mewakili Menteri Besar Pahang kepada Mohammad Zafifi di sini, hari ini.
Katanya, bagi menampung kos seterusnya, kerajaan memberi sumbangan untuk seorang waris iaitu anak sulungnya yang bakal melawat bapanya dalam masa terdekat.
“Diharap sumbangan ini dapat menampung kos tiket pergi dan balik anaknya ke sana untuk mengikuti perkembangan kesihatan bapanya,” katanya.
Pejabat Ahli Dewan Undangan (ADUN) Pulau Tawar, Datuk Nazri Ngah turut menyumbang sebanyak RM3,000 kepada wakil keluarga tersebut.
Sementara itu, anak sulung mangsa, Muhammad Zafifi Kamarulzaman berkata, dia menerima berita sedih itu menerusi kiriman WhatsApp oleh sepupu bapanya, Saloha Adlan, 27, yang juga bekerja di sana.
Anak sulung mangsa, Muhammad Zafifi Kamarulzaman menerima berita sedih itu menerusi kiriman WhatsApp oleh sepupu bapanya, Saloha Adlan, 27, yang juga bekerja di sana.
Katanya, dia sekeluarga diberitahu bapanya telah pengsan pada 8 malam waktu Korea Selatan dan dibantu oleh rakan serumah sebelum dikejarkan ke hospital dengan ambulans.
“Selain itu, menerusi ujian saringan pada pagi itu, ayah turut positif Covid-19, lumpuh seluruh badan dan sehingga kini masih tidak sedarkan diri.
“Saya sekeluarga mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan negeri Pahang di bawah kepimpinan Datuk Seri Wan Rosdy yang sedia membantu meringankan perbelanjaan kos rawatan dan pemergian saya ke sana,” katanya.
Kamarulzaman Mohamed Fauzi@Jazuli, 50, koma di Hospital Besar Hyosung, Cheongju, Korea Selatan.
Katanya, keluarganya turut berterima kasih kepada penyumbang yang telah menyalurkan bantuan untuk meringan kos rawatan dan perubatan bapanya.
Orang ramai yang ingin memberi sumbangan boleh menghubungi Muhammad Zafifi Kamarulzaman menerusi talian 014- 8101377 atau +821075318557 (Solehah di Korea Selatan) atau terus ke akaun Maybank bernombor 556-208-131-635.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Rosmiza mohon bantuan kos pembedahan penyakit kaki gajah
PASIR MAS – Seorang wanita, Rosmiza Awang Mat berusia 40 tahun memerlukan bantuan untuk membiayai kos perubatan bagi mengubati kakinya yang membesar seperti kaki gajah.
Abang iparnya, Rosdi Ibrahim ( 58 ), berkata, Rosmiza telah ada tanda penyakit itu sejak berusia 7 tahun dan pernah melakukan pembedahan pada usia 15 tahun.
“Ketika itu, seorang doktor pakar mencadangkan untuk mendapat rawatan ke Australia dengan kos RM60,000, oleh kerana kami keluarga kurang berkemampuan untuk menanggung kos tersebut maka hasrat itu tertangguh.
“Dia (Rosmiza) anak bongsu daripada 6 beradik dan bujang tinggal bersama saya sekeluarga, di sini,” katanya ketika dihubungi Sahih.
Rosmiza mengalami penyakit ini sejak berusia 7 tahun
Menurut Rosdi selaku penjaga, kos rawatan untuk pembedahan kaki yang semakin membesar yang dianggarkan sebanyak RM50,000 untuk menjalani pembedahan.
“Minggu hadapan, Rosmiza akan bertemu doktor di Hospital Pasir Mas untuk pemeriksaan dan untuk mendapatkan maklumat lanjut seterusnya berkaitan perkembangan penyakit dialaminya.
Kepada yang mahu menghulurkan sumbangan amat dialu-alukan agar dapat mempermudahkan urusan rawatan Rosmiza.
“Sesiapa yang mahukan maklumat lanjut boleh menghubungi saya di nombor 017-9386508,” katanya ketika dihubungi.
Kepada yang berhasrat menghulurkan bantuan, boleh salurkan kepada Rosdi Ibrahim, Bank Simpanan Nasional (BSN) , nombor akaun, 0301-0410-0027-9365 dan beralamat di Kg Kubang Bunut, 17000 Pasir Mas, Kelantan.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MUARA TEBAS: BAYI LELAKI DIPERCAYAI LEMAS DITEMUKAN TERAPUNG
Sarawak : Seorang bayi lelaki meninggal dunia dipercayai lemas selepas ditemui terapung di sungai di Kampung Muara Tebas, petang semalam.
Mangsa yang berusia setahun 8 bulan itu disedari hilang oleh ibunya dari rumah mereka iaitu tidak jauh dari lokasi kejadian sekitar pukul 6 petang.
Keluarga mangsa kemudian terus mencari mangsa dan menemuinya terapung dalam keadaan tidak sedarkan diri kira-kira sejam kemudian.
Dipercayai mangsa terjatuh dari atas jambatan di luar rumah keluarganya dan keadaan air ketika itu sedang pasang.
Ibu bapa mangsa kemudian terus mengejarkan mangsa ke Hospital Umum Sarawak selepas itu dan telah disahkan meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah mengesahkan kes tersebut.
Kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut secara menyeluruh sedang dijalankan.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Kisah dan teladan : Isteri Guru Besar meninggal ketika lahir anak pertama
Foto atas: Gambar hiasan
Guru Besar kesal tak luluskan cuti seorang cikgu, isteri cikgu tersebut meninggal ketika lahir anak pertama tanpa suami disisi. Ajal, maut, jodoh dan pertemuan segalanya di tangan tuhan. Kita umatnya sedikit pun tak pernah tahu bila segalanya akan berlaku melainkan takdir Allah SWT.
Kita sebagai manusia harus sentiasa berbuat baik kepada setiap inci bumi; manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan segala yang telah dikurniakan. Kita tak pernah tahu atau sedar, setiap kebaikan yang kita buat pasti akan terbalas, samada cepat atau lambat.
Perkongsian kali ini pasti menghambat hati sesiapa sahaja yang membacanya kerana tanpa sengaja, ketegasan mengatasi budi baik. Apalah salahnya jika beliau (guru besar) beri cuti kepada guru itu kerana ingin menemani isteri yang sedang dalam kesakitan melahirkan.
Ikuti coretan Tuan Kamarul, semoga menginspirasikan anda semua terutama kepada majikan di luar sana.
Tangisan Guru Besar Ini Tidak Berguna Lagi.
Cikgu Ismail terpaku, terkejut. Berdiri di hadapan pegawai polis. Wajahnya memandang tepat kepada Guru Besar, yang tunduk sambil berdiri tegak juga di hadapannya.
Kertas telegram yang baru dibaca oleh Guru Besar itu terlepas dari tangan. Seluruh sendinya menjadi lemah. Beliau hampir jatuh. Sempat dipegang oleh pegawai polis itu dan dibantu duduk di atas kerusi.
Saat itu semua orang di dalam bilik guru berdiri, kehairanan, memandang kepada mereka bertiga.
“Maafkan saya, Cikgu!,” kata-kata pertama daripada Guru Besar dengan nada penuh penyesalan.
Cikgu Ismail terbayang kembali. Di saat dia memohon cuti, untuk balik ke kampung, menemani isterinya bersalin anak pertama. Guru Besar itu dengan tegas tidak meluluskan permohonan cutinya.
Dia kecewa, sambil bergerak meninggalkan bilik. Marah, kecewa. Namun mengikut perintah. Isteri jauh di kampung.
Hari ini diterima berita. Isteri Guru Besar meninggal ketika melahirkan anak pertama mereka. Sedih. Kecewa. Di saat menerima berita. Bergenang air mata semua orang di situ.
Rasa bersalah hadir bertamu di hati Guru Besar. Serba salah ketika membuat keputusan tempohari. Kalaulah dia menggunakan budi bicara, kalaulah dia mencari guru lain menggantikan Cikgu Ismail untuk satu hari sahaja, kalaulah kemanusiaan melebihi peraturan, kalaulah….
Peristiwa ini berlaku di Daerah Hulu Perak zaman dahulu. Diceritakan kepada saya oleh seorang bekas guru besar. Ia mengingatkan saya untuk menggunakan budi bicara semasa membuat keputusan, apabila perlu.
Minggu depan, jika anak kepada seorang guru akan menjalani operasi pembedahan jantung berlubang di IJN. Kalau saya seorang GB, saya tidak tunggu guru saya memohon cuti. Saya akan paksa dia bercuti untuk bersama isteri ketika pembedahan anaknya.
Ingat. Untuk kita semua.
1. Kita hidup bukan untuk kerja. Kita kerja untuk hidup. 2. Jika esok kita mati, lusa boss akan cari pengganti. Mereka tidak pernah peduli berapa banyak pengorbanan anda untuk syarikat. 3. Apabila kita hilang kerja atau sakit, bukan boss dan pangkat akan teman kita dan terus bagi gaji. Anak dan isteri atau suami atau ibubapa yang akan tetap di sisi.
SUMBER : Gemilang daily.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Runtuhan tebing dan mendapan Jalan Lepar Utara – Kota Gelanggi, penduduk bimbang keselamatan
JERANTUT – Kira-kira 2,000 orang penduduk bimbang Jalan Lepar Utara melalui Kota Gelanggi ke Bandar Pusat Jengka dan Jerantut akan berlaku mendapan tanah dan runtuhan tebing di satu kawasan laluan tersebut pada gelombang pertama banjir pada 19 Disember 2021 lalu.
Laluan itu sudah dibaikpulih pada penghujung tahun lalu (2021) untuk cuma satu lorong sahaja, tetapi penduduk bimbang kerana hujan lebat masih berlaku ketika tempoh gelombang kedua ini dikhuatiri kawasan berkenaan mengalami kejadian yang sama semula.
Jalan berkenaan antara laluan utama penduduk keluar berbelanja, rawatan hospital dan urusan tertentu di Bandar Pusat Jengka dan bandar Jerantut kerana perjalanannya lebih dekat serta tempoh masa yang singkat.
Penduduk Felda Lepar Utara 4, Noh Hitam Yusof, 57, berkata, kejadian tebing runtuh sudah lama berlaku sejak musim banjir awal tahun lalu sehingga gelombang pertama pada 19 Disember nampak ketara apabila kejadian itu semakin teruk menyebabkan hampir sebahagian jalan tersebut.
“Pada mula kejadian berkenaan, kebanyakan penduduk tidak berani memandu kenderaan di laluan ini bimbang sekiranya berlaku runtuhan memandangkan hujan lebat turun dalam tempoh seminggu mulai 17 Disember 2021.
“Walaupun sudah dibaiki untuk cuma laluan satu lorong bagi kenderaan ringan pada penghujung tahun ini, tetapi kita masih bimbang sambil berharap kerajaan membina laluan baharu dalam masa terdekat,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Din Yusof, 57, berkata, Jalan Lepar Utara melalui Kota Gelanggi ke bandar terdekat semakin tenat dan perlukan perhatian segera kerajaan memandangkan laluan tersebut telah lama berlaku kerosakan akibat mendapan dan runtuhan tebing.
“Bilakah penantian kami penduduk di sini untuk menggunakan kemudahan jalan raya yang selamat dan selesa akan berakhir kerana laluan ini adalah jalan utama kami ke bandar.
“Cuma satu harapan sahaja kami perlukan kemudahan jalan raya yang sempurna dan selamat termasuk membaikpulih beberapa laluan lain ke gugusan Felda ini yang mengalami masalah yang sama setiap kali musim tengkujuh,” katanya.
Pemilik laman sosial Facebook dikenali Mohamad Arif Mohamad Sofian, 40-an menerusi penghantarannya menambah jalan tersebut merupakan satu-satunya laluan yang menghubungkan perkampungan Lepar Utara 1,2 dan 4 dengan dunia luar.
“Harap situasi kali ini mendapat perhatian penuh pihak yang bertanggungjawab. Kes ini sudah lama. Nak tunggu sampai bila baru nak repair (baiki) betul-betul.
“Ini cuma salah satu jalan yang rosak, bersepah (banyak) lagi jalan rosak teruk dari bandar menuju ke Felda Lepar Utara. Harap dapat perhatian wajar pihak yang bertanggungjawab….” katanya menerusi hantaran tersebut.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!