KPKT cadang wira kebersihan terima pingat kebaktian
KPKT cadang wira kebersihan terima pingat kebaktian
KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bercadang mencalonkan pemenang Anugerah Pekerja Pembersihan 2026 untuk menerima pingat kebaktian daripada pihak istana sebagai pengiktirafan terhadap jasa dan pengorbanan mereka menjaga kebersihan awam.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, cadangan itu dibuat susulan perbincangan bersama Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Dr Wira M Noor Azman Taib bagi memastikan pekerja pembersihan yang menunjukkan prestasi cemerlang menerima penghormatan sewajarnya.
Menurutnya, usaha memberi pengiktirafan kepada pekerja pembersihan bukan perkara baharu apabila kerajaan negeri Pulau Pinang sudah melaksanakannya sejak hampir 10 tahun lalu.
“Amalan memberikan penghormatan kepada wira-wira pembersihan negara sudah dilaksanakan kerajaan negeri Pulau Pinang hampir 10 tahun.
“Bagi saya, sudah tiba masanya wira-wira pembersihan negara kita di negeri-negeri lain turut diberikan pengiktirafan dan penghormatan sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi Hari Pekerja Pembersihan di sini, Selasa, yang turut dihadiri Timbalan Menteri KPKT, Aiman Athirah Sabu.
Nga berkata, penerima anugerah berkenaan dipilih berdasarkan dedikasi, disiplin serta prestasi cemerlang sepanjang menjalankan tugas dalam sektor pembersihan.
Katanya, penghargaan berkenaan penting kerana golongan terbabit memainkan peranan memastikan jalan raya, taman serta kawasan awam sentiasa berada dalam keadaan bersih dan terpelihara tanpa mengira cuaca, hari bekerja mahupun cuti umum.
“Lebih membanggakan, profesion ini disokong tenaga kerja yang matang, berpengalaman, berkemahiran dan setia.
“Ramai dalam kalangan mereka menabur bakti melebihi sedekad, malah ada yang hampir tiga dekad berkhidmat dalam sektor pembersihan,” katanya.
Menurutnya, pengiktirafan itu juga diharap dapat mengangkat martabat sektor pembersihan sebagai profesion penting dalam sistem perkhidmatan negara.
Pada masa sama, beliau menegaskan tanggungjawab menjaga kebersihan tidak seharusnya diletakkan sepenuhnya kepada pekerja pembersihan, sebaliknya perlu menjadi tanggungjawab setiap rakyat Malaysia.
Katanya, usaha memastikan negara sentiasa bersih perlu bermula dengan perubahan sikap dan tindakan setiap individu.-SAHIH
Sumber :BERNAMA
#KPKT #NgaKorMing #PekerjaPembersihan #AnugerahPekerjaPembersihan2026 #WiraKebersihan #PingatKebaktian #KebersihanAwam #PekerjaKebersihan
