Bapa Saudara Didakwa Amang Seksual Kanak-Kanak
Bapa Saudara Didakwa Amang Seksual Kanak-Kanak
TEMERLOH – Seorang pekerja kilang besi di Bentong dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudaranya yang berusia empat tahun dua bulan, di Felda Lakum, Lanchang, bulan lalu.
Tertuduh, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah seksyen Temerloh, Jamaludin Mat.
Mengikut pertuduhan, pada 31 Julai lalu kira-kira jam 5 petang, tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di dalam sebuah bilik di rumah mangsa di Felda Lakum. Perbuatan itu dilakukan dengan cara memasukkan jari ke dalam kemaluan kanak-kanak perempuan berkenaan.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisa Zaffar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan memandangkan kes melibatkan kesalahan serius terhadap kanak-kanak. tertuduh yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak itu juga tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 24 September depan bagi membolehkan tertuduh melantik peguam.-SAHIH