Sindiket guna Malaysia transit dadah ke Eropah, RM42.46 juta dirampas
Sindiket guna Malaysia transit dadah ke Eropah, RM42.46 juta dirampas
NILAI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan beberapa cubaan penyeludupan dadah bernilai keseluruhan kira-kira RM42.46 juta yang dipercayai menggunakan Malaysia sebagai lokasi transit sebelum dihantar ke pasaran Eropah.
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Amran Ahmad berkata, rampasan membabitkan bunga kanabis seberat 212 kilogram (kg), ketamin (505.6 kg), methylenedioxyamphetamine (MDMA) (3.3 kg) dan methamphetamine (dua kg).
Menurutnya, dalam kes pertama pada 7 Julai lalu, pihaknya menemukan 197 bungkusan lut sinar mengandungi bunga kanabis seberat 51.4 kg bernilai kira-kira RM4.11 juta di sebuah gudang di Meru, Klang.
“Dadah itu disembunyikan di dalam kotak dagangan yang dicampurkan bersama pes cili, lampin pakai buang dan makanan kering.
“Kes kedua pula membabitkan serbuan di sebuah rumah di Bandar Botanic, Klang pada 8 Julai yang menemukan 153 bungkusan dadah jenis sama bernilai RM12.48 juta,” katanya pada sidang media di sini, Jumaat.
Amran berkata, lima suspek ditahan dalam serbuan berkenaan, namun hanya seorang daripada mereka didakwa atas pertuduhan mengedar dadah.
Dalam kes berasingan, operasi khas ke atas sebuah kotak bungkusan di Hab Antarabangsa Pos Malaysia, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan di Ukay’s, Ampang berdasarkan alamat tertera pada bungkusan itu.
Katanya, pemeriksaan menemukan serbuk MDMA seberat 3.3 kg dan methamphetamine seberat dua kg dengan nilai keseluruhan RM587,500.
Sementara itu, Kastam turut merampas 119 bungkusan mengandungi ketamin seberat 505.6 kg bernilai RM25.28 juta yang disorokkan dalam serbuk koko di sebuah gudang di Seksyen 27, Shah Alam pada kira-kira jam 3.20 petang, 21 Julai lalu.
Rampasan itu dibuat susulan maklumat daripada Direktorat Jeneral Kawalan Narkotik, Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi.
Seorang lelaki tempatan berusia 30-an ditahan dan sudah didakwa di mahkamah.
Amran berkata, siasatan mendapati Malaysia digunakan sebagai lokasi transit sindiket bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, dengan sebahagian dadah dipercayai berasal dari Sepanyol dan Belanda sebelum dihantar ke pasaran lain.
Semua kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: Kastam, JKDM, dadah, ketamin, kanabis, MDMA, methamphetamine, Datuk Seri Amran Ahmad, sindiket dadah, Eropah, KLIA, Klang, Shah Alam
