MAG giat bincang dengan kerajaan kurangkan tekanan kos operasi
MAG giat bincang dengan kerajaan kurangkan tekanan kos operasi
KUALA LUMPUR: Malaysia Aviation Group (MAG) terus mengadakan perbincangan rapat dengan kerajaan bagi mengenal pasti langkah yang dapat membantu syarikat penerbangan mengurangkan tekanan kos susulan kenaikan harga bahan api.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Nasaruddin A Bakar berkata, harga bahan api kekal antara cabaran utama industri penerbangan ketika ini, terutama dalam suasana konflik berterusan di Asia Barat.
Menurutnya, kerajaan sentiasa mendapatkan maklum balas daripada MAG bagi memahami bentuk bantuan yang boleh diberikan untuk mengurangkan kesan peningkatan kos operasi.
“Kerajaan sangat prihatin dengan apa yang berlaku di Asia Barat dan kami kerap berhubung bagi melihat perkara yang boleh dibantu.
“Antara bantuan yang diberikan adalah dalam bentuk kelonggaran terhadap beberapa kos termasuk fi tertentu di lapangan terbang dan langkah itu sedikit sebanyak membantu prestasi kewangan kami,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media sempena pengenalan laluan baharu MAG di sini, Jumaat.
Nasaruddin berkata, sokongan berterusan kerajaan penting kerana kenaikan harga bahan api bukan sahaja memberi kesan kepada syarikat penerbangan, malah pelbagai industri di seluruh dunia.
Katanya, MAG akan terus bekerjasama dengan kerajaan bagi mengenal pasti ruang yang boleh membantu syarikat penerbangan mengurus kos tanpa menjejaskan rangkaian dan daya saing.
Menurutnya, kos bahan api kini merangkumi hampir 40 peratus daripada keseluruhan kos operasi MAG, sekali gus memberi kesan ketara terhadap prestasi kewangan kumpulan.
Dalam pada itu, Nasaruddin berkata, MAG melaksanakan strategi lindung nilai bahan api antara 36 hingga 50 peratus daripada keperluannya bergantung kepada keadaan pasaran.
Katanya, urusan lindung nilai dilakukan setiap suku tahun dan strategi semasa kumpulan adalah berdasarkan tempoh bergerak 12 bulan.
“Bagi 2027, ia bergantung kepada keadaan harga bahan api di pasaran. Kami akan terus melaksanakan lindung nilai dan strategi ini banyak membantu dari segi prestasi kewangan kumpulan,” katanya.
Beliau berkata, MAG kekal komited mengembangkan rangkaiannya secara berdisiplin dengan memberi keutamaan kepada pasaran yang mempunyai permintaan mampan dan nilai komersial yang jelas.
Strategi jangka panjang kumpulan turut memberi tumpuan kepada pengukuhan armada, keupayaan operasi dan piawaian perkhidmatan, selain terus melabur dalam pembangunan tenaga kerja, pengalaman pelanggan serta infrastruktur sokongan.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: Malaysia Aviation Group, MAG, Nasaruddin A Bakar, harga bahan api, kos operasi, kerajaan, Asia Barat, lindung nilai, syarikat penerbangan, industri penerbangan
