Lelaki cetus provokasi sambutan Hari Kebangsaan direman sehari
Lelaki cetus provokasi sambutan Hari Kebangsaan direman sehari
PUTRAJAYA: Lelaki berusia 30-an yang dipercayai mencetuskan kekecohan ketika Sambutan Hari Kebangsaan ke-69 di Dataran Putrajaya, Isnin lalu, direman selama sehari bagi membantu siasatan.
Perintah reman terhadap lelaki terbabit dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas membenarkan permohonan polis di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan.
Sebelum ini, rakaman tindakan seorang lelaki yang dipercayai cuba melompat pagar bagi memasuki kawasan tempat duduk ketika berlangsungnya sambutan Hari Kebangsaan ke-69 di Dataran Putrajaya tular di media sosial.
Tindakan lelaki terbabit yang didakwa melakukan provokasi ketika acara berkenaan berlangsung turut mendapat perhatian pengguna media sosial.
Susulan kejadian itu, polis meminta individu berkenaan tampil bagi membantu siasatan selepas menerima empat laporan polis berkaitan insiden tersebut.
Polis kemudian menjalankan siasatan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
Siasatan lanjut masih dijalankan bagi melengkapkan kertas siasatan berhubung kejadian berkenaan.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: Putrajaya, Hari Kebangsaan ke-69, provokasi, reman, Aidi Sham Mohamed, Dataran Putrajaya, Mahkamah Majistret Putrajaya
